Monday, September 24, 2012

Teguklah hikmah wahyu pertama..



Bacalah. Sekalipun hanya sekali. Biarpun sekadar melewati tanpa ingin memahami. Baca untuk hati kita terus hidup dengan budaya ilmu yang memberi manfaat pada diri. Tatkala kita sering kepenatan dalam bebanan kerjaya atau tugasan seharian. Membaca menjadikan dunia yang sempit menjadi luas. Jangan jadi seperti katak di bawah tempurung sebaliknya keluarlah dari penjara itu dan bergerak bebas di muka bumi Allah ini.

Sekalipun kita bukan lagi seorang pelajar di sekolah atau di universiti. Namun jangan pernah kita lupa bahawa kita masih lagi seorang pelajar dalam sekolah kehidupan ini. Sekolah yang akan menentukan sama ada untung atau rugi nasib kita di akhirat sana tatkala menerima ijazah daripada Allah s.w.t yang mana natijahnya hanya syurga dan neraka.

Perjalanan hidup ini bermula sejak kita lahir dari rahim ibu sehinggalah kita dijemput kembali oleh Rabbul ‘Izzati.  Sebuah perjalanan yang penuh dengan mehnah dan tribulasi yang semuanya menguji kedudukan kita di sisi Ilahi. Jika berjaya, alhamdulillah.. Jika gagal, na’uzubillah..

Kembara seorang abdi mengharapkan redha Ilahi. Di situlah tujuan penciptaan insan yang disuruh mengabdikan diri kepada Allah yang Maha Tinggi. Meskipun kini kita bukan seorang hamba dalam mu’amalat sesama manusia namun kita tetap seorang hamba dalam perhubungan kita dengan Allah ‘Azza Wa Jalla.

Hidup adalah sebuah perjuangan. Perjuangan yang bermatlamatkan keredhaan Tuhan. Ya, Tanpa redha-Nya, hidup menjadi tidak bermakna. Biarpun memiliki harta setinggi gunung, mahu pun ilmu seluas lautan. Tiada erti jika tanpa redha Ilahi. Semuanya jadi hina sekali.

Perjuangan menuju redha perlu mengikuti jalan-jalan yang benar. Jalan yang dilalui mestilah selari dengan kehendak Ilahi. Jalan yang diikuti dengan tepat mengikut kompas iman yang lahir dalam diri. Sekalipun peta perjuangan itu berliku namun dengan keimanan yang jitu mampu mengharungi liku-liku itu untuk tiba ke destinasi yang dituju.

Dunia ini cuma seketika buat kita. Jadi, kembaralah dengan penuh waspada dan hati-hati di belantara kehidupan ini agar kita tidak tersesat dalam mencari jalan pulang. Biarpun pasti kita tempuhi duri-duri ujian, maka tempuhilah dengan ilmu yang kita pelajari. Allah akan terus menguji kita sehinggalah kita bertemu dengan-Nya.

Pasti ada hikmah di sebalik ujian yang melanda. Sekurang-kurangnya ia mengajak kita kembali kepada Tuhan yang Maha Esa. Kita hanya hamba-Nya yang hina. Kudrat yang ada pada diri kita ini pun adalah pinjaman daripada-Nya dan sepastinya dia akan mengambilnya semula bila tiba saat ketikanya. Kita pasti akan ditanya ke mana kudrat ini kita salurkan semasa kita hidup di dunia. Sepastinya ganjaran dan balasan yang setimpal akan diberikan atas segala yang kita kerjakan. Jadi, berhati-hatilah dan jangan bangga sekalipun hari ini kita berkuasa!.


Jangan berhenti membaca sekalipun bukunya amat tebal. Bacalah sedikit demi sedikit, sehelai demi sehelai. Lambat atau cepat ianya akan berakhir jua. Sedangkan membaca itu adalah perintah yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya. Sekalipun kita tidak mampu, belajarlah sehingga kita mampu membacanya. Jangan berputus asa!.

Membaca memberikan kita cahaya. Cahaya yang menerangi kehidupan kita. Mudah-mudahan dengan cahaya itulah dapat menerangi jalan kita mengenal Allah, tuhan pencipta alam. Kita perlu banyak membaca kerana kita adalah pelajar di sekolah kehidupan. Sebagaimana pelajar di sekolah harian biasa, membaca banyak membantu dalam menempuhi ujian atau peperiksaan. Tanpa membaca kita pasti gagal menjawab soalan-soalan yang diajukan kepada kita sekalipun soalan itu sangat mudah bagi kita.

Justeru, wahyu pertama mengingatkan kita tentang “Iqra” – Bacalah. Ya, ilmu itu amat penting kepada manusia yang mendambakan cinta Tuhan-Nya. Untuk mencintai Allah, kita perlu mengenali-Nya. Tidak dapat tidak kita perlu belajar kerana ilmu perlu dipelajari agar ianya selari dengan kehendak ilahi dan bukannya berlandaskan akal dan nafsu semata-mata.

Ku coret catatan di laman tinta ukhuwah ini sebagai muhasabah kita bersama. Agar kita jangan lupa pada perintah wahyu pertama. Jadi, selamilah hati, tanyalah diri - Sudah banyakkah tinta ilmu yang kita baca? Sudah kenyangkah kita dengan ilmu yang ada? Atau adakah kita sememangnya masih dan semakin haus sekalipun kita telah meneguk ratusan telaga tinta ilmu yang pernah ditatap mata? Semoga kita terus dikurniakan minat untuk membaca dan belajar dalam sekolah kehidupan ini agar ianya menjadi bekalan berguna di hari muka. Justeru, teguklah hikmah wahyu pertama.

Iqra’ adalah satu perintah, pastikan hati kita terus teguh menurut perintah!

No comments:

Post a Comment