Friday, February 5, 2010

Terima Kasih Atas Ingatanmu...

Semalam genap sudah usiaku 23 tahun jika mengikut taqwim Masihi. Tanggal 4 Februari. Semakin meniti usia dewasa. Hari demi hari. Saban tahun berulang lagi. Selagi tidak terhembus nafas yang terakhir. Maka hidup ini diteruskan. Melangkah alam perjuangan. Hingga ke akhirnya.

Aku masih di sini. Di perbukitan ilmu ini. Semester terakhir bagiku. Sudah lebih 5 semester berada di sini. Kini berada di semester terakhir. Sedikit sibuk dengan projek ilmiah. Projek terakhir bagiku sebelum bergelar graduan. Insya-Allah… Mudah-mudahan dengan kehendak-Nya sekitar bulan Ogos nanti.

Ke mana langkahku selepas ini? Belum ditentukan lagi. Masih dalam dilema. Berkerja atau meneruskan pengajian di peringkat sarjana? Entahlah… Sedikit buntu memikirkannya..

Semalam, mesej dari teman-teman mengucapkan selamat dan mendoakan kebahagiaan dan kejayaan buat diri ini. Moga tidak sekadar taipan abjad pada skrin telefon bimbitku. Biarlah terungkap dalam tadahan doa kalian. Mungkin ada keberkatannya. Amin.. Mudah-mudahan diperkenankan-Nya…

Tidak juga lupa dari teman-teman di laman friendsterku. Mesej daripada kalian sudah ku terima. Aku terus mengharapkan doa teman-teman di kejauhan ini. Moga terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menjalani hidup ini. Mudah-mudahan berjaya meniti semesta terakhir di sini. Doakan juga perjalanan sahabatmu selepas ini.

Cepat masa berlalu. Tempoh 22 tahun telah berlalu. Mengukir berjuta kenangan di lubuk sanubari. Dalam onak duri hidup ini. Kekadang diri ini alpa. Kekadang leka menjelma. Kekadang terselit lupa. Namun terima kasih kepada yang membantu. Menyedarkan dan menunjukkan jalan serta meniupkan kembali semangat perjuangan yang kadangkala luntur dalam diri. Saat terpalit sepi sendirian.

Buat sahabat yang tidak pernah lupa. Terima kasih atas ingatanmu. Membuatkanku rasa berteman sepanjang masa. Dalam perjuangan ini. Jauh hanya jarak yang berbeza. Namun ukhuwah tiada kesudahannya. Terima kasih atas perananmu. Sebagai teman dalam persahabatan ini.

Diri ini akan terus mengislahkan diri. Akan terus belajar menerima ketentuan-Nya. Akan terus cuba menimba butiran mutiara ilmu berharga. Agar lebih teguh menghadapi segala rintangan yang melanda. Moga berjaya menempuhinya.

Perjalanan hidup ini akan diteruskan. Hingga ke helaan nafas terakhir. Masa akan mengajar segalanya. Masa juga akan meninggalkan memori yang tercipta. Masih banyak lagi tanggungjawab dan amanah yang menanti di hadapan. Masih banyak lagi yang perlu dipelajari. Masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Kelemahan dalam diri ini.

Mesej teman bertanyakan bila akan terjalin ikatan pernikahan. Terasa kelu untuk menjawab persoalan dan buntu mencari jawapan. Apapun biarlah masa yang menentukan. Jodoh dan pertemuan itu Allah yang tentukan. Doa-doakan mudah-mudahan dengan izin-Nya insya-Allah... Bertemu jodoh pilihan. Penyejuk mata dan penenang jiwa…

Buat teman-teman, terima kasih atas segala-galanya. Sepanjang pertemuan meniti perhubungan ini. Mungkin wujud kekhilafan dan dosa. Maafkanlah diri ini sekiranya gagal berperanan sebagai sahabatmu. Diri ini sedaya upaya memelihara dan menghargai persahabatan ini. Jika ada kekurangannya. Mungkin atas kelemahan diri ini.

Teruskan perjuangan kalian. Diri ini akan terus mendoakan kebahagiaan dan kejayaan buat semua. Salam penuh kerinduan bersulam kasih dan sayang dari sahabat di perjalanan…

2 comments:

  1. waa...ankel tersayang...sowie weh,daku terlupa nk wish..
    olalala...
    epi belated besdey yep ankel..=P

    ReplyDelete
  2. salam alaik..
    kaifahal?
    sanah helwa..
    smga dimurahkan rezeki,
    di panjangkan umur dan dipermudahkan segala urusan..amin Ya Rabb,,
    salam ta'aruf...

    ReplyDelete