Thursday, February 25, 2010

Serikandi...

Wahai serikandi

Tidak terukir namamu

Dalam benak minda

Membuatku tertanya

Siapa geranganmu

Yang bakal bertakhta

Dalam lubuk jiwa..


Wahai serikandi

Tidak ku lihat wajahmu

Samar dalam pandanganku

Biarlah hadirmu nanti

Untuk bermadu kasih

Membelai cinta ini


Wahai serikandi

Ku simpan cinta di hati

Istimewa buatmu

Tidak pernah diusik

Terkunci rapi buatmu

Dalam sanubariku..


Wahai serikandi

Andai esok ditakdir bertemu

Jika esok tertulis bersatu

Dalam ikatan yang suci

Ambillah milikmu

Kerana kau miliki kuncinya

Di hatimu serikandiku..

Saturday, February 20, 2010

Cuti Sebentar...


Alhamdulillah.. Aku selamat tiba di perbukitan ilmu ini selepas bercuti selama beberapa hari di kampung halaman. Perjalanan yang amat memenatkan. Tidur yang tidak lena. Kesejukan aircond bas amat terasa. Menaiki bas Perdana Ekspress bertolak dari Pengkalan Kubor jam 7.45 malam dan tiba di Hentian Kajang pada jam 6.30 pagi. Sekadar mencatit aktiviti sepanjang cuti semester bersempena Tahun Baru Cina.

14 Februari 2010

Cuti yang tidak ku rancang. Aku pulang atas urusan keluarga. Atas arahan ayahku. Jika tidak mana pernah aku pulang jika cuti seminggu begini. Cuti yang amat membosankan. Malam pertama di kampung, aku berkesempatan bertemu teman-teman. Hanya berbual kosong. Tiada apa yang istimewa saat itu. Entahlah terasa keceriaan itu amat malap. Pudar menghiasi ikatan ini. Apa yang ku inginkan tiada di situ. Sekadar sahaja. Menikmati segelas teh o limau sambil menonton filem senario. Keceriaan tidak tercipta. Aku dapat merasakannya. Itu maksudku. Malas melayan karenah teman-teman. Jiwaku bagai tidak hadir bersama pada waktu itu. Aku lebih banyak berdiam. Jauh hendak ketawa. Sekadar mengiya dan menidakkan sahaja. Yang banyaknya membisu tanpa kata-kata.

Jiwaku kosong. Begitu terasa hilang serinya. Mungkin sudah lama tidak menampakkan peranan. Sepanjang perjalanan ini. Terasa sendirian. Jadi ikatan itu terasa tawarnya. Tidak terserlah manisnya. Kekadang terbayang wajah sahabat-sahabat di perantauan. Indahnya jika mereka bersama saat itu. Rindu pada mereka tidak ku nafikan. Sahabat yang sekian lama bersama. Sahabat seperjuangan. Satu ketika, saat aku pulang pasti ada yang menjenguk. Membawaku ke mana sahaja. Memenuhi kekosongan waktu. Terasa bagaikan berertinya hidup ini. Masih lagi bermakna. Masih diingati dan diperlukan.

Satu masa bersama-sama Nasrun pastinya merata dibawanya aku menemaninya ke sana sini. Cuti yang lalu banyak pula diceritakannya. Tapi biarlah rahsia kerana amanah yang perlu dipegang olehku. Tidak mungkin terucap dibibirku kecuali jika tuan empunya yang mengarahkannya. Bersama-samanya terisi juga masa cutiku waktu itu. Tapi dia sudah pergi meneruskan pengajiannya di al-Azhar. Entah bila akan kembali. Mudah-mudahan sahabat-sahabat di sana cepat-cepat menamatkan pengajian masing-masing.

15 Februari 2010

Aku tidak ke mana-mana hari ini. Sekadar berada di rumah melayan karenah anak-anak saudaraku. Jalan-jalan sekitar rumah saudara mara di sekeliling rumah. Malas rasanya untuk pergi ke mana-mana. Hari ini terasa amat letih. Banyak masa aku habiskan untuk berehat sahaja. Tidur dan tengok TV.

Malamnya seperti biasa aku ke masjid. Beriktikaf di situ dari Maghrib sehinggalah sesudah solat Isyak. Tenang berada di situ sambil mendengar mutiara-mutiara ilmu sebagai pengisian jiwa. Jua sebagai peringatan pada diri yang sering lupa dan leka. Bertemu dengan adik-adik sahabat seperjuangan. Mengubat kerinduan pada sahabat perjuangan di bumi anbiya’ sana.

16 Februari 2010

Aku mencari sahabatku di Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor. Mujurlah masih ada. Khabarnya malam itu akan bertolak ke Kuantan. Entahlah mengapa hati ini tergerak untuk ke sana. Aura kuat sangat kot. Hihi.. Bayangkan jika keesokannya aku pergi pastinya tidak sempat bertemu dengannya. Sudah takdir agaknya.

Seperti biasa bertemu dengan sahabatku yang gigih ini. Bekerja kuat dan berdikari. Dijamunya ABC, Som Tam dan Air Kelapa Laut. Mengenyangkan perut ini. Terima kasih yo. Berbual panjang dengannya walaupun dia sibuk melayan pelanggan yang datang untuk membeli. Kalau cuti yang lalu sempat juga membantunya berniaga. Sekadar memarut betik untuk dibuat Som Tam. Terasa pengalaman itu. Mengingatinya membuat aku tersenyum. Hmm... Banyak yang dibualkan bersama. Tidak jemu aku di situ berjam-jam. Duduk di rumah pun bosan. Tiada apa yang dilakukan. Kebanyakannya tidur memanjang.

17 Februari 2010

Sepupuku mengajakku ke Kota Bharu. Menemaninya atas urusan kerja. Aku mengikutinya kerana merasakan tiada apa yang boleh ku lakukan hari ini. Round-round melihat pemandangan kota Islam Malaysia ini. Bangganya aku menjadi anak Kelantan. Di bawah kepimpinan Tok Guru yang dihormati dan disegani oleh umat di seluruh pelusuk dunia. Di atas dasar membangun bersama Islam menampakkan keindahan Islam di kota ini. Biarpun hak rakyat Kelantan mendapatkan royalti petroleum dinafikan oleh kerajaan pusat namun kami tetap bersyukur kerana kami hidup dalam budaya Islam. Satu-satunya bandar di Malaysia yang tidak terdapat pusat hiburan melampau seperti kelab malam, disko, pawagam dan tidak wujud pusat kegiatan judi dan arak. Malah kami berbangga dengan syarat ketat kerajaan negeri mengenakan hukuman bagi pasangan kekasih yang berpimpin tangan di khalayak ramai dan wanita Islam yang tidak memakai tudung.

Jika dibandingkan dengan bandar-bandar lain di Malaysia. Kami yakin bahawa Kelantan sebenarnya adalah negeri yang paling maju di Malaysia. Sekiranya kerajaan pusat berlaku adil semestinya pembangunan di Kelantan akan lebih menyerlah tetapi masyarakat Kelantan terus dinafikan hak. Kelantan terus dipersalahkan kerana kadar kemiskinan yang tinggi oleh mereka yang dengki dengan kejayaan yang dicapai oleh Kelantan. Melihat kelemahan Kelantan dari sudut materialistik yang dinafikan hak royalti adalah satu kebodohan. Mengapa tidak dilihat dari sudut pembangunan insaniah. Pembangunan jati diri rakyat Kelantan yang terdidik dengan budaya Islam adalah lebih hebat dan lebih mengkagumkan. Apa gunanya pembangunan yang terlampau pesat sedangkan keruntuhan moral masyarakat adalah amat kritikal dan terus diabaikan serta tidak terkawal.

Petang itu, aku ke Pantai Geting. Jalan-jalan menikmati angin pantai dan deruan ombak yang membisik lagu dengan gemersik alunan yang indah. Seperti biasa aku mengayuh basikal ke sana. Tidaklah jauh rumahku dengan pantai. Pantai yang banyak menyimpan kenangan zaman kanak-kanak dan zaman remajaku. Di situlah tempat bermain, mandi-manda, di situ juga tempat berkumpulnya teman-teman mengadakan aktiviti reunion bahkan perkhemahan. Berada di situ pastinya menenangkan jiwa. Biarpun sendirian pada hari itu tapi ianya cukup bermakna. Setiap kali pulang ke kampung halaman semestinya pantai merupakan salah satu destinasi yang mesti dituju. Biasanya bersama Husnee menikmati air tuak nyo ataupun air kelapa di deretan kedai di Pantai Geting ini. Namun dia tidak pulang cuti minggu ini untuk diajak ke sana. Terpaksalah bersendirian.

18 Februari 2010

Hari ini sekali lagi aku ke Pengkalan Kubor. Mencari sedikit barangan untuk dibawa ke pusat pengajian. Ronda-ronda melihat barang-barang yang berkenan di hati. Hmm.. Biasanya window shopping je. Hihi.. Beli benda-benda yang penting je.

Terasa amat bosan hari ini. Mencari arah ke mana hendak dituju. Akhirnya mengambil keputusan menunggang motorsikal ke Galeri Tengku Anis di sempadan Malaysia-Thailand. Jalan-jalan ke sana. Lama tidak sampai ke situ. Biasanya berbasikal ke sana. Biarpun sendirian namun tidak mengapa. Round2 meninjau kawasan tapak Galeri. Melihat sempadan Malaysia-Takbai. Berada di penghujung Malaysia. Berada di puncak menara melihat pemandangan lautan yang terhampar luas sambil menikmati tiupan angin yang nyaman dan mendamaikan jiwa.

Di situlah tempat aku ditinggalkan Azizi satu masa dahulu gara-gara dia terlupa mengambilku selepas pulang sebentar kerana ada urusan. Lama ku nanti waktu itu. Sendirian di sana kini seperti menjadi kebiasaan. Mengingatkan pengalaman itu pasti mencuit sanubari. Kenangan bersama sahabat seperjuanganku itu. Ada-ada saja. Mujur ada telefon ketika itu, boleh juga aku menghubunginya. Hihi…

19 Februari 2010

Aku tidak ke mana-mana. Hari terakhirku di kampung. Berada di rumah melayan karenah anak-anak buahku. Bila pula akan kembali selepas ini. Mungkin selepas menamatkan pengajian semesta terakhirku di universiti sana. Hmm… Malamnya aku bertolak menuju ke perbukitan ilmu. Masih banyak urusan belum diselesaikan. Doa-doakan semoga dipermudahkan segala urusan nanti. Misiku untuk menyiapkan projek akhirku… Mudah-mudahan berjaya…

Friday, February 5, 2010

Terima Kasih Atas Ingatanmu...

Semalam genap sudah usiaku 23 tahun jika mengikut taqwim Masihi. Tanggal 4 Februari. Semakin meniti usia dewasa. Hari demi hari. Saban tahun berulang lagi. Selagi tidak terhembus nafas yang terakhir. Maka hidup ini diteruskan. Melangkah alam perjuangan. Hingga ke akhirnya.

Aku masih di sini. Di perbukitan ilmu ini. Semester terakhir bagiku. Sudah lebih 5 semester berada di sini. Kini berada di semester terakhir. Sedikit sibuk dengan projek ilmiah. Projek terakhir bagiku sebelum bergelar graduan. Insya-Allah… Mudah-mudahan dengan kehendak-Nya sekitar bulan Ogos nanti.

Ke mana langkahku selepas ini? Belum ditentukan lagi. Masih dalam dilema. Berkerja atau meneruskan pengajian di peringkat sarjana? Entahlah… Sedikit buntu memikirkannya..

Semalam, mesej dari teman-teman mengucapkan selamat dan mendoakan kebahagiaan dan kejayaan buat diri ini. Moga tidak sekadar taipan abjad pada skrin telefon bimbitku. Biarlah terungkap dalam tadahan doa kalian. Mungkin ada keberkatannya. Amin.. Mudah-mudahan diperkenankan-Nya…

Tidak juga lupa dari teman-teman di laman friendsterku. Mesej daripada kalian sudah ku terima. Aku terus mengharapkan doa teman-teman di kejauhan ini. Moga terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menjalani hidup ini. Mudah-mudahan berjaya meniti semesta terakhir di sini. Doakan juga perjalanan sahabatmu selepas ini.

Cepat masa berlalu. Tempoh 22 tahun telah berlalu. Mengukir berjuta kenangan di lubuk sanubari. Dalam onak duri hidup ini. Kekadang diri ini alpa. Kekadang leka menjelma. Kekadang terselit lupa. Namun terima kasih kepada yang membantu. Menyedarkan dan menunjukkan jalan serta meniupkan kembali semangat perjuangan yang kadangkala luntur dalam diri. Saat terpalit sepi sendirian.

Buat sahabat yang tidak pernah lupa. Terima kasih atas ingatanmu. Membuatkanku rasa berteman sepanjang masa. Dalam perjuangan ini. Jauh hanya jarak yang berbeza. Namun ukhuwah tiada kesudahannya. Terima kasih atas perananmu. Sebagai teman dalam persahabatan ini.

Diri ini akan terus mengislahkan diri. Akan terus belajar menerima ketentuan-Nya. Akan terus cuba menimba butiran mutiara ilmu berharga. Agar lebih teguh menghadapi segala rintangan yang melanda. Moga berjaya menempuhinya.

Perjalanan hidup ini akan diteruskan. Hingga ke helaan nafas terakhir. Masa akan mengajar segalanya. Masa juga akan meninggalkan memori yang tercipta. Masih banyak lagi tanggungjawab dan amanah yang menanti di hadapan. Masih banyak lagi yang perlu dipelajari. Masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Kelemahan dalam diri ini.

Mesej teman bertanyakan bila akan terjalin ikatan pernikahan. Terasa kelu untuk menjawab persoalan dan buntu mencari jawapan. Apapun biarlah masa yang menentukan. Jodoh dan pertemuan itu Allah yang tentukan. Doa-doakan mudah-mudahan dengan izin-Nya insya-Allah... Bertemu jodoh pilihan. Penyejuk mata dan penenang jiwa…

Buat teman-teman, terima kasih atas segala-galanya. Sepanjang pertemuan meniti perhubungan ini. Mungkin wujud kekhilafan dan dosa. Maafkanlah diri ini sekiranya gagal berperanan sebagai sahabatmu. Diri ini sedaya upaya memelihara dan menghargai persahabatan ini. Jika ada kekurangannya. Mungkin atas kelemahan diri ini.

Teruskan perjuangan kalian. Diri ini akan terus mendoakan kebahagiaan dan kejayaan buat semua. Salam penuh kerinduan bersulam kasih dan sayang dari sahabat di perjalanan…