Monday, January 18, 2010

Memori Reunion SPM 2005



Sekitar mengimbau aktiviti reunion bersama sahabat-sahabat Meheliah pada 30 November 2009. Melalui gambar-gambar kenangan bersama teman-teman. Telah menjadi kebiasaan mengadakan program reunion apabila berkumpul sekali sekala.

Program yang dirancang secara drastik oleh saudara Mohd Nasruddin Bin Loman telah berjaya dianjurkan dengan bayaran RM5 seorang. Bertempat di Wakaf Pantai Geting dengan aktiviti BBQ. Menunya ayam bakar, keropok, colek dan air gas.

Reunion yang diadakan secara ringkas namun tetap meriah dengan gelagat teman-teman apabila sesekali berkumpul. Ada saja perkara yang dibicarakan dari zaman sekolah hinggalah kini. Bukan mudah untuk berkumpul ramai-ramai kerana masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Sekadar mengambil kesempatan pada musim cuti yang kebanyakan kami berada di kampung halaman.

Aktiviti ringkas kami bermula pada jam 5.00 petang dan berakhir sebelum waktu Maghrib telah membuktikan kesepakatan ukhuwah kami yang terbina sejak dulu. Ibarat air yang dicincang tidak akan putus. Begitulah kami dalam ikatan persahabatan ini.

Laman Tinta Ukhuwah ini merakamkan kembali memori itu sebagai kenang-kenangan untuk semua. Biarpun merupakan aktiviti kecil namun biarlah tercatat di laman ini manakan tahu suatu ketika nanti menjadi sejarah yang amat bererti buat diri dan ukhuwah ini.

Malam sebelum program reunion ini iaitu pada 29 November 2009, kami telah berkumpul bagi perlawanan futsal. Ramai juga di kalangan teman-teman yang berkesempatan meluangkan masa beriadah bersama-sama. Ana yang telah lama tidak turun padang turut bersama teman-teman menyertai perlawanan tersebut kerana sudah lama tidak bermandi peluh. Sekadar berseronok dan mengisi kekosongan aktiviti saat bercuti di kampung.

Sekadar itulah cebisan kenangan yang telah lama ingin dipostkan tetapi tidak berkesempatan kerana menghadapi sedikit masalah yang tidak dapat dielakkan. Tetapi Alhamdulillah tercapai juga hasrat menyiarkannya di laman Tinta Ukhuwah ini. Apapun terima kasih buat semua yang bertungkus lumus menganjurkan aktiviti-aktiviti yang boleh merapatkan hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin ini. Insya-Allah kita anjurkan di lain waktu pula nanti…

No comments:

Post a Comment