“Jom main
futsal malam ni!!!”
“Demo ejas la. Nanti oyak blako ko hok mano ado.”
Futsal. Ya, inilah permainan yang
terus hidup dalam ukhuwah kita hingga ke saat ini. Seringkali apabila ada
kelapangan masa, kita akan berkumpul untuk beriadah sesama kita. Lokasinya di
gelanggang futsal berhampiran Tanah Perkuburan Neting atau di gelanggang futsal
pantai di Pantai Sri Tujuh. Permainan yang berjaya menyatukan kita kembali
dalam medan ukhuwah ini. Sekadar bersuka-suka dalam sukan yang menyihatkan
badan ini.
Ya, kita berkongsi kewangan bagi
membayar harga sewa gelanggangnya. Sekitar (RM 4.00) hingga (RM 5.00) seorang
bukanlah sesuatu yang membebankan kita. Demi ukhuwah ini, kita tidak perlu
berkira dalam perkongsian. Masing-masing akan diberi peluang untuk bermain bagi
menunjukkan skill yang ada. Biarpun ada dalam kalangan kita sekadar
mengikut sahaja. Ya, demi meraikan ukhuwah ini. Kita sering bertukar-tukar
pemain jika ada yang ingin berehat kerana keletihan. Satu jam sebenarnya sudah
cukup memenatkan. Bermandi peluh dalam permainan mesra ukhuwah ini.
Begitulah kita merangka pertemuan
ukhuwah ini. Di medan futsal kita bersama memerah tenaga. Bermain dalam suasana
penuh persahabatan. Mengeratkan ikatan silaturrahim sesama kita. Setelah sekian
lama tidak bersua. Lantaran sibuk dengan komitmen masing-masing. Ya, kita
bertebaran di medan perjuangan kita. Namun kita kembali bersatu di gelanggang
futsal biarpun dalam tempoh masa yang amat singkat. Begitulah indahnya ukhuwah
kita, terus ada aktiviti yang membolehkan kita bersama walaupun hanya seketika.
Permainan dan gurauan dalam
kenangan..
Mengimbau kembali sejarah ukhuwah
ini. Banyak aktiviti ‘bermain dan bergurau’ yang sering dimainkan bersama-sama.
Ya, masih lagi dalam ingatan selain futsal atau bola sepak, kita juga sering
bermain badminton bersama-sama. Semestinya bertempat di gelanggang dalam dewan
Kompleks Penggawa Daerah Pengkalan Kubur. Bermain bersama-sama secara solo dan
berkumpulan. Itulah permainan yang kita sering adakan suatu ketika dulu. Antara
permainan mesra ukhuwah kita yang masih segar di ingatan. Penat bermain
sepastinya kita akan menikmati Air Nisan yang di kedai milik keluarga Zamri
Abdullah. Sepastinya akan menyegarkan kembali tenaga yang hilang setelah penat
berlawan.
Masih lagi segar di ingatan insan
ini, satu permainan yang istimewa yang dikenali dengan nama permainan “Balok”
dalam kalangan kita. Permainan ini dimainkan di Pondok kediaman Affan dan Jai
suatu ketika dulu. Bermain permainan ini pasti berlarutan hingga ke awal pagi.
Ya, bermalam di pondok sahabat kita bagi mengulang kaji pelajaran. Biasalah
kita sering banyak bermain-main bagi menghiburkan suasana dan menghilangkan
stress. Permainan yang menguji kemampuan kita menghabiskan kepingan-kepingan
bertanda titik-titik berwarna yang dibahagikan secara mengikut giliran. Siapa
yang dapat menghabis kepingan-kepingan itu dulu, dialah pemenangnya. Biasanya
orang yang tewas akan menjadi pengacuh bagi perlawanan seterusnya. Seronok kita
bermain waktu itu. Riuh rendah dengan gelak ketawa sesama kita. Antara permainan
mesra ukhuwah yang pasti dirindui bila diimbas kembali.
Macam-macam cerita permainan
mesra ukhuwah ini. Jika di dalam kelas, kita bermain “Dam dan Catur” di atas
meja yang dilakar khas, adakalanya kita bermain “Diri & Duduk” yang pasti
riuh menyebutnya ketika berdiri atau duduk berserta isyarat tangannya, jika ada
siapa terlupa menyebutnya pasti akan menerima padahnya. Sakit!!!. Ada juga
masanya kita bermain “Bola” yang direka sendiri, kita bermain “Mekong kapur dan
pemadam papan hitam” serta “Sumpit air batu”, atau kita bergurau sedikit kasar
menutup kepala teman-teman dengan beg sekolah lalu mengetuk kepala mereka.
Itulah kisah ‘bermain dan bergurau’ kita semasa masih berada di bangku sekolah.
Kisah kenakalan dan pemberontakan jiwa kita sebagai budak remaja. Sepastinya
yang masih segar di ingatan, kita bermain “Mekong Pasir” di kelas bangunan kayu
yang kini sudah tiada di Meheliah. Serang menyerang berlaku antara kelas
bersebelahan. Habis bertaburan pasir di atas meja dan di dalam kelas. Suasana
menjadi huru-hara umpama medan peperangan.
Seringkali juga kita “berdikir,
dan bernasyid” sambil mengendang meja yang pasti menggamat suasana. Biasalah
bila bersama geng-geng nasyid sekolah. Suara Shahrizat antaranya pasti bergema
syahdu menghiasi halwa pendengaran kita. Bisingnya kita ketika itu sehingga
memeningkan kepala warga pendidik kita. Adakalanya kita “berzanji, selawat,
azan dan bertarannum” bersama-sama. Mengisi kerohanian kita. Itulah antara
cerita ‘bermain’ di sebalik kisah ukhuwah kita yang penuh nostalgia. Permainan-permainan
inilah antara yang sering mewarnai hari-hari kita di sekolah tercinta. Menjadi
memori yang semestinya manis untuk dikenang sehingga ke hari ini.
Lokasi ulang kaji bersama..
Dalam bermain dan bergurau, kita
tidak lupa tanggungjawab kita sebagai pelajar. Ya, kita sering mengulang kaji
pelajaran bersama-sama. Banyak lokasi yang bersejarah yang menjadi saksi. Di
dalam kelas-kelas, di pondok sahabat-sahabat kita, di dewan Islah Bahasa Arab, dan
di Balaisoh bersebelahan rumah Azizi. Kita sering bermalam di
lokasi-lokasi ini terutamanya ketika tarikh peperiksaan semakin hampir. Kita
pasti lebih kerap bersama-sama bagi mengulang kaji pelajaran kita dengan lebih
bersungguh-sungguh.
Ya, kita berbincang. Saling
membantu sesama kita. Saling memberi tunjuk ajar dalam memilih kaedah penyelesaian
terbaik terutamanya bagi subjek Matematik. Ya, subjek yang paling diminati oleh
kebanyakan kita. Kita mengkaji soalan-soalan peperiksaan yang lepas. Kita
menghafaz isi-isi penting pelajaran. Saling berbincang dan mencari jawapan.
Begitulah kisah study group kita. Siang malam kita bersama. Ya, sekolah
itu seperti rumah kedua bagi kita. Siang malam kita di situ. Kiranya para guru
sudah sebati dengan cara study group kita. Meheliah seperti hidup setiap
masa dengan budaya ilmu. Kita pasti berbangga kerana kita antara generasi yang
gemilang yang pernah dilahirkan Meheliah. Dari aspek kecemerlangan akademik,
kita sepastinya antara batch yang sering dibanggakan pihak sekolah
ketika itu.
Kepahitan dalam memburu manis
kejayaan..
Sejarah pengajian kita
membuktikan keteguhan kita. Seringkali kita tidak ada guru bagi mata pelajaran
tertentu kerana gurunya yang sering berpindah-randah. Keterlewatan guru yang
menggantikan kekosongan itu tidak sedikit pun mencalar prestasi kita. Suatu
ketika, seingat ana, kita diserang dengan isu (S.A.R). Ramai guru yang bertukar
sekolah. Kita juga turut terkesan dan tersempit dalam situasi ketika itu. Ya,
kita menempuhi tahun-tahun sukar di Meheliah. Menelan setiap kepahitan dalam
memburu manis kejayaan. Ianya tidak pernah mematahkan semangat kita untuk
membuktikan bahawa kita adalah yang terbaik. Kejayaan demi kejayaan kita
perolehi. Tidak salah kiranya jika kita mengatakan bahawa batch kita
adalah batch yang banyak memecah rekod demi rekod pencapaian akademik di
Meheliah. Itulah sejarah pengajian kita. Kejayaan dan kecemerlangan itulah
yang kita tinggalkan untuk diikuti dan disambung oleh generasi selepas kita.
Ianya pasti membanggakan ukhuwah bagi batch kita!!!
Seringkali tidak lupa kita
membantu warga pendidik jika diminta dan diperlukan. Ya, membantu kerja-kerja
mengindahkan suasana sekolah. Membina infrastruktur dan kemudahan di sekolah. Kita
berganding bahu bersama warga guru suatu ketika dulu. Amat terasa keakraban
kita dengan warga pendidik Meheliah. Kita sentiasa berkerjasama apabila tenaga
kita diperlukan. Memang banyak sumbangan yang telah kita berikan. Ya, dalam
usaha kita mencari keberkatan di sebalik setiap amalan dan pengajian kita.
Itulah peranan kita sebagai pelajar bukan sahaja dalam akademik kita saling
membantu sesama kita, tetapi juga dalam lain-lain urusan yang berkaitan.
Begitulah kita menjaga hubungan kita dengan warga pendidik Meheliah. Sepastinya
ia adalah memori yang amat berharga.
Sejarah ukhuwah kita, tersimpan
kenangan yang teramat indah!!!
No comments:
Post a Comment