“Terima
kasih kerana sudi menjadi sahabat bagi insan ini..”
Begitulah sering sukar diluahkan
dari lubuk hati. Ungkapan terima kasih buatmu sahabat. Atas segala jasa dan
pengorbananmu buat insan ini hingga ke detik ini. Sejak awal pertemuan yang
telah meribat ukhuwah yang cukup indah dalam lipatan diari hidup ini. Kalian
hadir mewarnai kehidupan ini dengan memori yang tersendiri.
Kalimah penghargaan yang sukar
meniti bicara. Sekalipun pena mampu menulisnya belum tentu lidah mampu
mengungkapnya. Bukan sekadar hanya alunan kata-kata tetapi hadirnya dari
ketulusan rasa yang terpendam dari lubuk jiwa yang amat dalam.
Seringkali terfikir di benak
minda insan ini. Siapakah insan ini tanpa sahabat-sahabat sekalian? Insan ini
menumpang teduh di payung kemesraan yang terjalin. Tanpa persahabatan ini
mungkin hidup ini diselubung sunyi dan sepi. Jauh dari gelak tawa, senyum ceria
dan usik manja.
Saat ini pasti wujud rindu di
hati. Sememangnya kita jauh. Itulah takdir yang tertulis. Antara kita ada yang
jauh terus menjauh. Ada yang jauh namun terus mendekat. Ada yang dekat seakan
menjauh. Ada yang dekat semakin akrab. Namun yang paling menyedihkan, ada yang
tidak lagi ingin meneruskan ikatan ukhuwah ini. Berlalu membawa diri tanpa sudi
berpaling lagi.
Insan ini bertuah mempunyai
sahabat seperti kalian. Sekalipun siapa pun insan ini pada kalian. Sungguh,
kalian amat bermakna buat insan ini. Sepanjang meniti kehidupan ini, seringkali
ada saat suka dan duka. Saat suka berkongsi bersama. Saat duka pula sering kali
berlalu sepi yang seakan hilang dalam keriangan yang wujud dalam ukhuwah kita.
Kemesraan yang lahir telah mengusir segala kesepian yang sering singgah di jiwa
ini.
“Terima kasih wahai sahabat
kerana mempercayai insan ini..”
Terima kasih atas kepercayaan
yang diberikan kepada insan yang kerdil ini. Dari sekecil-kecil rahsia
hinggalah sebesar-besar rahsia yang terpendam di sanubari dengan tulusnya
dikongsi. Seandai itulah yang dapat meringankan bebanan rasa di hati kalian, insan
ini sedia mendengarnya, memahami dan sedaya upaya cuba mengerti setiap situasi.
Amanah itu terlalu berat buat
insan ini namun insan ini akan terus menjaganya selama hidup ini. Di situ ada
cerita dan juga bicara yang bersulam rahsia. Hakikatnya itulah hak kalian pada
insan ini untuk berkongsi sesuatu yang bersarang di jiwa kalian. Sungguh, insan
ini akan terus menjujung hak itu dan akan terus sedia mendengar dan
menyimpannya seadanya.
Kepercayaan yang diberikan akan
insan ini balas dengan kesetiaan. Kehadiran kalian amat berharga dalam meniti
kehidupan ini. Tiada apa yang mampu insan ini berikan kecuali kesetiaan dan
penghargaan yang tetap wujud di lembaran hari-hari insan ini. Dalam kuntuman
doa yang akan terus mengiringi perjuangan kalian walau di mana pun kalian
berada. Ianya akan terus terpahat dalam ingatan dan doa.
“Terima kasih kerana membuatkan
diri ini rasa bersahabat..”
Dalam jarak perpisahan ini tetap
hadir diri sahabat yang tidak pernah jemu menyapa. Sekalipun dari ruang-ruang
yang mana antara kita tidak bersemuka. Sekalipun jarang pula kita dapat
berjumpa lantaran antara kita kesibukan melanda. Namun tidak pernah membatas
perhubungan kita sekalipun dalam ruang talian terbuka.
Kalian adalah insan-insan yang
istimewa yang pernah melakar catatan dalam sebuah diari kehidupan insan ini.
Insan-insan yang sering menjadi penguat keazaman tatkala pudarnya semangat
perjuangan. Begitu indah sebuah perkongsian yang mewarnai sebuah persahabatan
demi memenuhi perhubungan sesama insan. Kita melayari sebuah bahtera perjuangan
di atas lautan yang adakala tenang dan adakala ombaknya mengganas membadai
bahtera kehidupan.
Kita berharap agar kita dapat
singgah di persisiran pantai kejayaan. Dan kini kita mungkin sedang melaluinya.
Kita sedang menikmati kemanisan itu setelah kepahitan pernah kita telan suatu
ketika dulu. Kita bersyukur kepada tuhan dengan rezeki pemberian bagi
meneruskan sebuah kehidupan. Biarpun kita berpisah ke merata penjuru namun
tidak bererti kita tidak mampu mencari sudut pertemuan. Sekalipun bukanlah
dengan bicara berpanjangan namun tetap wujud kemesraan dalam meniti kehidupan
ini.
“Terima kasih kerana insan ini masih
wujud di hatimu..”
Sekalipun insan ini bukan yang
istimewa. Biarpun bukan pula yang sering membuatkan persahabatan ini lebih
bermakna. Namun insan ini amat bertuah memiliki teman-teman sebaik kalian.
Insan ini sering merasai kehadiran kalian dalam hidup ini. Dari sembang bicara antara
kita sekalipun di alam maya tanpa bersua muka atau dalam talian di ruang
telinga. Biarpun sedikit cuma namun terasa seakan diingati melalui perkongsian
yang terus wujud di bilahan hari-hari. Sering bertanya khabar dan tidak pula
jemu menyebarkan salam persahabatan.
Sekalipun dirimu jauh wahai
teman. Adapun jua yang dekat. Tetap akan dirasai perananmu buat hidup ini
sampai ke detik ini. Insan ini akan terus menyambut salam ukhuwah ini
berpanjangan. Di mana pun kita pada saat ini, hargailah ukhuwah ini.
Kalian adalah teman buat
selamanya. Sahabat yang akan terus mencipta warna-warni ukhuwah ini. Biarpun
tidak seerat sejarah yang lalu namun biarlah tetap ada dalam melewati hari muka.
Sedetik bersama selamanya terasa. Sekalipun kita mampu terbang setinggi
angkasa, jangan kita lupa tanah serendah pusara. Sehebat mana pun takdir hidup
kita, jangan kita lupa bahawa Allah telah menentukan segala-galanya. Jadi,
jangan pula kita angkuh kerana seringkali yang angkuh itu jatuh.
Setinggi penghargaan sahabat
berkasih, sambutlah salam Terima Kasih!!!
No comments:
Post a Comment