“Belum baca lagi.. Panjang sangat.. Tak sempat laa.. Nanti
nak baca slow2..”
Tergelak kecil mendengar kata-kata ini dari teman-teman suatu ketika. Ya, insan ini mengakui bahawa coretan di laman ini adakala bahasanya berbunga-bunga. Tetapi tidak semua. Sengaja begitu. Menulisnya dengan cara ala-ala sastera sedikit. Maklumlah insan ini asalnya dari aliran sastera untuk sekian lamanya. Sekadar mengaplikasi penggunaan bahasa yang dirasa begitu indah diatur setiap bait dalam kalimah bertinta. Puitis penanya mengganti suara dan bicara yang adakalanya tidak secantik coretannya seperti di laman ini. Mungkin itulah bezanya laman ini daripada laman-laman yang pernah dilayari oleh teman-teman sebelum ini.
Bahasa jiwa kita. Ya, bertahun
insan ini di aliran sastera, banyak mengajar kaedah bermain bahasa. Sudah
sebati rasanya dengan jiwa ini. Tidak pasti pula bagaimana dengan teman-teman?
Sepastinya kita tetap ada perbezaan biarpun di aliran yang sama. Justeru,
itulah kemampuan yang ada. Bukankah ianya satu anugerah yang perlu dihargai dan
disyukuri? Insan ini lebih seronok bermain lenggok bahasa. Lebih teratur dan
memiliki kepelbagaian makna. Alunannya adakalanya mencuit rasa dan menghibur
jiwa insan ini. Tidak tahu pula, apakah kefahaman teman-teman dengan
bahasa-bahasa yang dikatakan berbunga-bunga itu? Terpulanglah kepada
teman-teman.
Insan ini bukannya sepakar ahli
sasterawan. Rasanya ayat-ayat yang dikatakan berbunga-bunga itu pasti masih kaku
di mata mereka. Keras macam kayu layaknya!. Justeru, masih banyak
kelemahan yang perlu diperbaiki kerana masih banyak yang belum dipelajari dan perlu
betul-betul difahami. Penulisan insan ini sekadar menghiasi laman ini,
berkongsi sebahagian daripada cerita-cerita sepanjang perjalanan hidup dan
ukhuwah insan ini di samping sedikit sebanyak perkara-perkara yang pernah
dibaca dan dipelajari daripada ilmuan-ilmuan yang lain. Cuma ianya diolah
mengikut cara insan ini yang tersendiri.
Masih banyak kekurangan yang
insan ini rasakan sepanjang menulis di laman ini. Masih banyak juga kelemahan
dari sudut pengisiannya dari insan ini. Justeru, jika selama ini ada yang terasa
kekurangan dan kelemahan itu, maafkanlah insan ini kerana insan ini sedang
belajar menulis untuk berkongsi dan akan terus belajar lagi. Menulis, mencatat,
mencoret dan berkarya. Mudah-mudahan ianya dapat memberikan manfaat kepada
semua biarpun cuma sedikit. Itulah sekadar yang termampu dari insan ini dengan
kecetekan ilmu yang dimiliki ini. Anggaplah ianya satu perkongsian daripada
insan ini biarpun tidak mampu mengubah apa-apa.
Ya, insan ini menulis mengikut
rasa. Jika perlu panjang maka panjanglah coretannya. Dalam usaha mengisi
kekosongan waktu yang ada untuk dimanfaatkan penggunaannya oleh insan ini.
Mengajak insan ini berfikir, merenung dan menggunakan kudrat minda ini bagi
mencatat sesuatu yang dirasakan perlu oleh insan ini. Terkadang mengajar insan
ini erti susah payah seorang penulis bagi menyiapkan sesuatu penulisannya. Di
situlah bernilai dan berharganya satu usaha yang mengajak manusia berfikir,
merenung dan memerhati untuk mencari kebenaran.
Meluangkan masa seketika untuk
membaca penulisan-penulisan ada baiknya dari asyik berkepit di laman muka buku,
berbual-bual kosong tanpa sebarang pengisian ilmu yang mampu meningkatkan
kefahaman tentang sesuatu perkara. Jauh daripada fitnah-memfitnah,
kata-mengata, keji-mengeji dan umpat-mengumpat sesama rakan-rakan maya yang
kadang-kadang tanpa disedari mampu menghadiahkan dosa dan noda. Jadi, berhati-hatilah
dalam pergaulan sosial di laman muka buku yang sering menjerat dan memenjara
hati kita dalam kelekaan dan kelalaian semata-mata.
Apa yang penting? Ukhuwah..
“Kita kalau pasal ukhuwah gak,
tidak berkira la mano..”
Ayat-ayat yang kedengaran
akhir-akhir ini dalam ikatan ini. Fenomena baru dibibir sahabat insan ini.
Penangan Tinta Ukhuwah agaknya. Haha.. Macam-macam sahabat insan ini. Ya,
pentingnya memahami ukhuwah untuk menghargai ukhuwah. Apa yang penting?
Ukhuwah.. Seakan-akan wonder pets pula jadinya. Sesekali rasa hendak
tergelak pun ada. Macam-macam gelagat dan karenah sahabat insan ini. Namun
itulah yang mewarnai suasana dalam ikatan persahabatan ini. Biarkanlah jika itu
yang dirasakannya. Mungkin begitulah yang diharapkannya.
Sesekali diajak berkumpul bagi
mengeratkan ikatan ukhuwah ini setelah sekian lama tidak berkumpul secara beramai-ramai
lantaran sibuk dengan komitmen hidup masing-masing. Ya, duduk semeja
beramai-ramai dapat me‘refresh’ kembali ikatan yang adakalanya semakin
pudar sinarannya ini. Kembali bertemu mata dan bersua muka sesama kita sambil
berkongsi pelbagai cerita kisah semasa. Sesekali mengimbau memori zaman sekolah
yang penuh nostalgia terindah pasti mencuit sanubari. Ya, terlalu banyak kisah
yang tidak mungkin dilupakan kita semua. Sebahagiannya telah pun insan ini
coretkan di laman Tinta Ukhuwah ini dalam lembaran post-post yang lalu.
Jika belum mengikutinya, kembalilah membaca entri-entri sebelum ini yang
terpapar di ruangan teknologi maklumat ini.
Luangkan masa untuk ukhuwah ini
seketika. Kerana mustahil kita dapat bersama kembali untuk satu jangka masa
yang agak lama. Justeru, hargailah ruang waktu yang ada dalam pertemuan yang
singkat sebegini untuk berkongsi cerita dan menyemai kembali kemesraan yang
pernah wujud suatu ketika sebelum perpisahan menjelang tiba. Ya, usaha
mengumpulkan semula sahabat-sahabat untuk selamanya ini perlu terus diwujudkan
bagi melahirkan keakraban sesama kita biarpun cuma seketika. Hadirkanlah diri
kita ke lokasi pertemuan ukhuwah ini apabila diajak bersama-sama bagi bersua
muka. Tiada apa untuk disegani dan dimalukan kerana kita semua adalah sama
sahaja. Apa yang penting, hati kita ikhlas untuk terus berukhuwah.
Pertemuan mesra ukhuwah, me‘refresh’
kembali ikatan mesra yang pernah melakar sejarah!!!
No comments:
Post a Comment