Alhamdulillah.. Seminggu dapat
bercuti di kampung halaman. Sedikit terubat kerinduan di jiwa pada warga di
halaman desa. Pulang menyambut hari lebaran selepas enam bulan berada di
perantauan. Pulang mencari ketenangan dan kedamaian.
Perjalanan yang jauh melibatkan
jalan darat, air dan udara. Lengkap. Semuanya dapat dirasai berjam-jam berada
di air dan di udara. Itulah yang terpaksa dilalui untuk tiba di kampung halaman,
tanah kenangan dalam sejarah kehidupan.
Seminggu berhari raya. Sekalipun
ia dirasakan tidak mencukupi. Tetapi insan ini bersyukur kerana dapat pulang
menjenguk insan-insan tercinta. Lega rasanya saat dapat bertentang mata dengan
mereka yang sentiasa dirindui kehadiran di sisi.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Ya,
hari raya biarpun tidak banyak aktiviti sepanjang kepulangan pada kali ini
namun masih ada pertemuan yang menyemarakkan ukhuwah insan ini. Hari raya
pertama, hanya sempat berhari raya dengan sanak saudara. Tidak berkesempatan
bersama-sama dengan sahabat-sahabat seperjuangan suatu ketika pada sebuah
pertemuan yang pada setiap kalinya pasti menyubur ukhuwah.
Saat mata bertentangan, saat
tangan bersalaman, saat erat berpelukan, diharap ada kemaafan buat insan ini
jika terdapat khilaf sepanjang pertemuan. Walaupun seketika bersama, sekejap
kita dapat berjumpa dan bersua muka, namun ianya amat bermakna. Sekalipun dengan
yang tidak sempat bersama, insan ini juga memohon kemaafan atas segala kesilapan
dan kekurangan sepanjang ikatan. Mungkin tiada jodoh untuk kita bertemu pada
percutian dan perayaan kali ini.
Jika zaman kanak-kanak dahulu,
seronok dapat duit raya. Kali ini pula seronok bagi duit raya. Ya, berkongsi
sedikit daripada timbunan rezeki kurniaan ilahi ini dengan keluarga,
sanak-saudara, adik-adik dan budak-budak di kampung halaman. Biarpun tidak
banyak nilainya tetapi cukuplah sekadar menceriakan suasana hari lebaran pada
tahun ini. Mudah-mudahan terus dikurniakan
rezeki dan keberkatan oleh Allah s.w.t.
Jalan-jalan di Aidilfitri kali
ini. Paling jauh pun sampai di Jerteh, Terengganu. Sempadan antara negeri
Kelantan dan Terengganu. Jalan-jalan mengikut sahabat-sahabat berhari raya.
Banyaknya berhari raya dan beristirehat di rumah sahaja. Melayan karenah
anak-anak saudara yang masih kecil lagi.
Saat ini, insan ini kembali
menjadi sang perantau. Berat rasanya hati ini untuk meninggalkan tanah halaman
yang penuh kenangan. Biarpun kini terpaksa berjauhan dengan keluarga merentas
Laut China Selatan, namun demi secicip rezeki maka segala keberatan rasa
terpaksa diketepikan. Perjuangan mesti diteruskan demi sebuah kehidupan.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan
Batin!!!
No comments:
Post a Comment