Showing posts with label Diari. Show all posts
Showing posts with label Diari. Show all posts

Saturday, October 3, 2015

Kembali bertaut ukhuwah kita..


Tahun 2015, berkesempatan untuk pulang ke kampung halaman dengan lebih kerap pada kali ini. Tahun keempat di bumi kenyalang. Terasa sekejap sahaja. Menimba pengalaman di sini sebelum pulang berbakti ke tanah semenanjung. Insya-Allah tidak lama lagi. Mungkin.

Baru kembali dari halaman bonda minggu lepas. Pulang sempena cuti Hari Raya Aidil Adha setelah tiga tahun beraya di tempat orang. Alhamdulillah, berkesempatan menunaikan ibadah korban pada tahun ini setelah sekian lama bercita-cita untuk melaksanakannya.

Kepulangan kali ini cukup bermakna. Walaupun tidak bertemu ashab seperjuangan, namun dapat berpeluang bersama adik-adik pelajar Meheliah dalam aktiviti riadah dan ziarah. Lama tidak bersama mereka lantaran masing-masing jauh berkelana menuntut ilmu di Universiti al-Azhar, Mesir. Ya, sejak dua tahun yang lalu. Alhamdulillah, kembali bertaut ukhuwah kita.



Kebetulan tahun ini mereka pulang bercuti, dapatlah bersama mereka di gelanggang riadah. Begitulah rutin sebagaimana sebelum ini. Ya, sebelum mereka pergi menuntut ilmu ke sana. Sering bersama-sama dalam aktiviti sukan. Terima kasih atas ajakan untuk saling mengeratkan ukhuwah sesama kita. Maklumlah, seringkali kepulangan sekadar untuk menjenguk keluarga dan kaum kerabat di kampung. Jarang benar ada aktiviti bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Sekurang-kurangnya dapat mengisi waktu terluang dengan aktiviti yang berfaedah.

Justeru, kepulangan pada cuti Hari Raya Korban kali ini merupakan kali terakhir dapat bersama-sama adik-adik pelajar sebelum mereka kembali bermusafir jauh ke Timur Tengah untuk menyambung urusan pengajian mereka. Maaf, kerana tidak mempunyai ruang waktu yang banyak untuk bersama-sama kerana insan ini jauh bertugas di kepulauan Borneo ini.

Hanya waktu cuti sahaja dapat pulang ke kampung halaman. Selebihnya perlu mencari rezeki di negeri orang. Mendidik anak-anak generasi ibu pertiwi. Sungguh, insan ini sedaya upaya merebut peluang yang ada untuk bersama-sama adik-adik pelajar yang pulang dari jauh kerana selepas ini entah bila pula mereka akan kembali ke tanah air. Bertahun-tahun lagi pula barulah dapat bersua kembali. Insya-Allah.



Terlalu banyak kenangan bersama telah tercipta meskipun lewat pertemuan ukhuwah ini bertaut dengan mereka. Terima kasih kerana tidak jemu mengajak insan ini untuk aktiviti bersama. Justeru, insan ini semampunya akan cuba untuk terus menghargai ukhuwah yang cukup indah ini.

Benar, ukhuwah tidak mengenal usia. Tidak berkira jauh mahupun dekat. Selama mana kita beriman pada Allah Yang Maha Esa, selama itulah kita bersaudara. Sungguh, Islam mengutamakan ukhuwah sesama manusia.

“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya apa yang dia suka untuk dirinya.”

Begitulah mafhum sabda junjungan baginda Nabi Muhammad s.a.w. Untuk mencapai kesempurnaan iman, kita mesti saling mengasihi sesama saudara kita sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri.


Berkasih sayang sesama saudara, semoga iman semakin sempurna!

Monday, January 19, 2015

Berukhuwah sememangnya indah..


Hari ini, insan ini masih berada di bumi Sarawak untuk tahun yang keempat. Alhamdulillah kerana masih diberi kesempatan untuk terus berkhidmat di kepulauan Borneo ini. Ketika kebanyakan teman yang pernah bersama-sama melalui perjuangan di sini telah berangkat pulang ke tanah semenanjung, insan ini masih lagi berada di sini untuk terus menabur bakti kepada generasi ibu pertiwi.

Meskipun saban hari kelihatan semakin sepi dari gelak tawa teman-teman terdahulu, namun perjuangan mesti diteruskan demi anak bangsa. Segala kenangan bersama teman-teman akan tersimpan utuh di pentas sanubari insan ini. Insan ini mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada teman-teman yang banyak membantu dari awal keberadaan insan ini di negeri asing ini. Sungguh, berukhuwah sememangnya indah!

Jauh dari keluarga, sanak saudara dan sahabat-sahabat di kampung halaman merentas Laut Cina Selatan pastinya menggamit kerinduan yang kadangkala singgah mengusik lubuk hati insan ini. Siapa sangka, pejam celik pejam celik sudah hampir tiga tahun berada di sini. Terasa sekejap sahaja. Mungkin kerana insan ini tidak terlalu memikirkan untuk pulang berkhidmat di semenanjung lagi buat masa ini menyebabkan insan ini mampu menyerap tekanan perasaan yang sering melanda kebanyakan teman-teman yang lain.

Insya-Allah suatu hari nanti insan ini akan ditukarkan kembali ke semenanjung. Biarlah buat masa ini berada di sini untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman berada di tempat orang. Masa akan menjawab segala-galanya. Kita hanya merancang, Allah sebaik-baik perancangan.

Memori cuti hujung tahun..



Di kesempatan ini, insan ini ingin mengucapkan tahniah buat sahabat seperjuangan yang telah menamatkan zaman bujang pada cuti akhir tahun yang lalu. Tahniah buat saudara Ahmad Saifullah Bin Nawi dan isteri. Tidak dilupa juga ucapan tahniah buat saudara Muhammad Syibly Bin Hussin dan isteri atas mahligai yang dibina. Mudah-mudahan diberkati oleh Allah s.w.t dan berbahagia hingga ke syurga-Nya nanti.



Ya, cuti hujung tahun 2014 yang lalu berkesempatan meraikan hubungan ukhuwah bersama-sama ashab seperjuangan. Biarpun suasana tidak seperti dulu, namun tetap cukup bermakna dalam mengisi diari ukhuwah pada cuti hujung tahun yang lalu. Berkesempatan bersama-sama dengan ashab seperjuangan dalam beberapa aktiviti yang dirancang bersama. Sepastinya permainan futsal dan badminton menjadi pilihan warga tinta ukhuwah.

Selain itu, majlis menjamu selera juga turut diadakan. Walaupun tidak ramai yang dapat hadir ke majlis tersebut namun ianya tetap membuktikan bahawa persahabatan yang terbina sejak di bangku sekolah masih lagi utuh walaupun ramai dalam kalangan warga tinta ukhuwah yang telah berumah tangga. Namun ianya bukannya alasan untuk tidak bersama-sama dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan aktiviti ukhuwah sepanjang cuti akhir tahun yang lalu. Mudah-mudahan, kita dapat menganjurkannya lagi pada masa yang akan datang. Insya-Allah..

Benar sekali, berukhuwah sememangnya indah!

Monday, August 18, 2014

Ketika suasana terus berubah..

Lama sudah tidak menitipkan sesuatu di blog Tinta Ukhuwah ini. Maaf sekiranya ada yang tertunggu-tunggu bingkisan terkini dari insan ini. Kekangan masa dan rasa menyebabkan insan ini kurang menjenguk dashboard blog ini. Biarpun kerap kali menjenguk laman blog ini tetapi tidak berkesempatan menggarap sesuatu untuk dicoretkan di laman ini.

Sekalipun ianya mungkin tidak bermakna kepada orang lain tetapi laman ini cukup bermakna buat insan ini. Memang benar, bukan mudah untuk istiqamah dalam menghidupkan laman yang kerdil ini kerana bukan senang untuk membuahkan kisah dalam bentuk tulisan.

Entah ada atau tidak insan yang sudi membaca coretan biasa ini ataupun ianya hanyalah sekadar menjadi diari yang terkunci meskipun ia berada di jaringan terbuka. Biarkanlah sekiranya ianya cukup sekadar itu dalam perkongsian yang sekelumit ini.

Hari berganti hari, masa pantas berlalu. Justeru, hari ini tidak mungkin sama dengan semalam. Ya, semalam sudah menjadi kenangan sedangkan hari ini adalah kenyataan sebuah perjuangan kerana esok adalah sebuah harapan yang belum tentu. Banyak perkara sudah berubah, lantas suasana jua pasti berbeza.

Ketika suasana terus berubah, bagaimana dengan pentas ukhuwah ketika ini? Semestinya ia turut mengalami kesan perubahan itu. Benar, ramai sudah dalam kalangan sahabat-sahabat yang telah mendirikan baitul muslim dan mempunyai komitmen hidup masing-masing terhadap diri, keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Justeru, tidak terlambat kiranya insan ini mengucapkan selamat pengantin baru kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang telah selamat diijab kabulkan dengan pasangan masing-masing. Semoga perkahwinan kalian diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t.

Tahniah buat pengantin baru, saudara Hamidul Hannan Hasani Bin Mohd Nawi dan pasangan. Juga tidak dilupakan kepada saudara Mohd Husnee Bin Awang dan isteri, saudara Mohd Zaidin Bin Sapian dan pasangan. Tahniah juga buat saudara Muhamad Shukri Bin Che Noh dan pasangan serta saudara Mohd Hafiz Azhari Bin Zulkifli dan isteri atas terbinanya ikatan pernikahan berlandaskan syariat Islam. Kami juga mengharapkan doa daripada kalian agar dapat menjejaki langkah kalian suatu hari nanti. Insya-Allah..






Sungguh, jodoh pertemuan, ajal dan maut itu adalah ketentuan Allah s.w.t. Insya-Allah semuanya pasti akan hadir pada waktu yang tepat. Maka, nikmatilah kebahagiaan yang dikurniakan tuhan disamping bersedia dengan ujian alam rumahtangga yang pasti menuntut amanah dan tanggungjawab yang besar serta perngorbanan dan ketabahan yang tinggi.

Rasanya cukuplah setakat ini dahulu coretan buat kali ini bagi mencuci sedikit pandangan mata dan hati pada laman sesawang yang telah dipenuhi sarang ankabut sejak berbulan-bulan lamanya ini.

Sekalung tahniah buatmu teman dari teman seukhuwah!

Monday, January 6, 2014

Ingin kembali menulis..

Rasa rindu pula untuk kembali menulis setelah sekian lama ber‘cuti’ merehatkan minda dan hati. Mungkin terkena virus ‘kemalasan’ membuatkan diri ini membiarkan  sekian lama laman Tinta Ukhuwah ini tidak di ‘update’ dalam menyimpan info-info terkini berkenaan ukhuwah di sini.


Apa cerita kali ini ya?

Saat ini, insan ini telah berada di kepulauan Borneo bagi meneruskan khidmat sebagai seorang guru setelah hampir sebulan setengah pulang bercuti di desa. Alhamdulillah, cuti pada kali ini membuka lembaran kepada insan ini untuk merakam sedikit kenangan ukhuwah yang berlangsung sepanjang percutian pada kali ini.

Syukur kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya aktiviti-aktiviti ukhuwah masih mampu dianjurkan walaupun situasi kini telah banyak berbeza. Meskipun ramai dalam kalangan ashab seperjuangan yang sudah berumah tangga, namun masih berusaha meluangkan masa untuk bersama-sama dalam menjayakan aktiviti-aktiviti ukhuwah yang dirancang bersama.



Pelbagai peristiwa telah berlaku sepanjang ketidak bersamaan dalam menempuh perjalanan hidup ini. Tidak diduga, musibah melanda sahabat insan ini. Setiapnya mungkin mempunyai hikmah. Bersabarlah di atas ujian dan dugaan yang melanda. Berita ketika masih di kepulauan Borneo amat mengejutkan insan ini apabila dikhabarkan seorang sahabat ditimpa kemalangan jalan raya. Keterbatasan masa dan jarak menyebabkan insan ini dan sahabat-sahabat yang lain tidak berkesempatan melawatnya di hospital.



Ziarah ukhuwah diatur sebaik sahaja pulang bercuti di kampung halaman. Ziarah atas dasar ukhuwah amat digalakkan dalam Islam. Justeru, ziarah ukhuwah bagi bertanya khabar dan berbual bicara dengan sahabat yang ditimpa musibah. Mendengar ceritanya pastinya amat menyayat hati. Mana tidaknya, kejadian berlaku ketika diri jauh di perantauan. Tiada ahli keluarga bersama. Yang ada hanya teman-teman seperjuangan di perjalanan.


Cerita ukhuwah bukan sekadar ziarah. Ianya terus diwarnai dengan aktiviti bersama bagi mengeratkan ukhuwah yang telah sekian lama terbina. Permainan mesra ukhuwah dirancang dan semestinya futsal yang menjadi kegemaran warga tinta ukhuwah. Bermain secara santai dan bersuka ria cukup menghiburkan hati. Perlawanan badminton juga turut diadakan bagi memenuhi diari percutian ukhuwah pada kali ini.


Ya, santapan ukhuwah amat meriah di meja ukhuwah. Sesekali mengadakan aktiviti makan-makan cukup menyelerakan. Hidangan ukhuwah semestinya yang berasaskan belut menjadi menu sajian. Ditambah pula dengan ikan kakak masak stim dan tiga rasa membuatkan selera semakin bergelora. Namun pada kali ini tidak berkesempatan menganjurkan aktiviti BBQ. Tidak mengapa, mungkin boleh dirancang pada masa yang akan datang.


Meja ukhuwah juga turut diserikan dengan pertemuan demi pertemuan bagi mengikuti perlawanan bola sepak liga antarabangsa di kedai makan. Ya, sambil menyaksikan bola sepak sambil berbual bicara, bergelak ketawa dan sebagainya. Pertemuan ukhuwah yang cukup bermakna mengisi ruang percutian pada kali ini. Itulah antara bingkisan percutian pada kali ini di kampung halaman. Berukhuwah dengan ashab seperjuangan akan diteruskan sampai bila-bila. Merekalah sahabat yang sering menghiburkan ketika berada di halaman bonda meskipun masing-masing mempunyai komitmen sendiri yang perlu dilunaskan namun pada masa yang sama tidak pernah meminggirkan ukhuwah yang telah dibina sekian lama. Mudah-mudahan persahabatan yang terbina ini akan berkekalan sampai ke syurga yang abadi.


Biarpun percutian kali ini tampak menyeronokkan namun hati insan ini merasai kehilangan sesuatu yang sering hadir setiap kali percutian sebelum ini. Ya, percutian kali ini tanpa kelibat adik-adik pelajar insan ini yang pastinya menggamit memori yang tersendiri untuk dikenang oleh insan ini.

Kebiasaan bersama-sama dengan mereka setiap kali berada di kampung halaman dengan aktiviti bersama pasti menyuburkan ukhuwah yang cukup bermakna. Rindu rasa hati insan ini pada mereka namun apakan daya perpisahan itu menuntut sabar dan redha. Insya-Allah, tiba masanya nanti akan bertemu lagi dan ukhuwah ini akan terus dihubungkan melalui ruang talian massa yang ada pada masa kini.

Selamat berjuang kepada adik-adik pelajar insan ini yang telah berangkat ke medan-medan pengajian tidak kira di dalam mahu pun di luar negara. Mudah-mudahan mendapat kejayaan di medan perjuangan masing-masing.

Ukhuwah dibina, mesra bersama, memori tercipta!

Saturday, February 9, 2013

Meheliah; namamu terus gemilang..



Gemilang namamu terus cemerlang. Nama yang sentiasa mekar di ingatan. SMU (A) Meheliah Geting. Sekolah yang pernah menjadi saksi sebuah perjuangan buat insan ini. Dari seorang pelajar sehingga berkesempatan menjadi tenaga pengajar di situ. Tempat bermulanya langkah insan ini sebagai seorang pendidik, meskipun hanya sementara sebagai guru ganti di situ. Namun ianya memberi banyak pengalaman yang berguna buat insan ini.

Terlalu besar dirasakan jasa sekolah itu buat insan ini. Jasa warga pendidiknya yang begitu tabah mendidik insan ini. Tidak mampu dibalas oleh insan ini. Kenangan di sekolah itu menjadi sebuah nostalgia yang tersimpan utuh dalam diari kehidupan. Kenangan bersama sahabat-sahabat seperjuangan, guru-guru, dan juga adik-adik pelajar insan ini adalah cukup indah dan sentiasa menerpa dalam ingatan saban waktu.


Meheliah; namamu terus gemilang. Insan ini catatkan di laman ini sebagai tanda penghargaan buat sekolah yang telah banyak menyumbangkan bakti buat diri ini. Jasa warga pendidik yang tidak jemu mencurahkan mutiara ilmu yang berharga sebagai bekalan berguna sepanjang kehidupan.

Di bangku sekolah itu pernah insan ini duduk, menimba mutiara berharga dari warga pendidik yang berjasa. Di tanah itu juga, kaki ini pernah kembali menyumbang sedikit bakti yang tetap tidak mampu membalas jasa sekolah itu buat diri. Sungguh, insan ini amat bertuah kerana dapat merasai dan menikmati pengalaman dalam 2 situasi yang berbeza.

Tahniah atas kejayaan..


Cemerlang dan terus gemilang. Mekar harum namamu dijulang. Itulah SMU (A) Meheliah Geting. Dinobatkan sekolah bantuan kerajaan terbaik, dalam keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia 2012 baru-baru ini. Ianya merupakan sebuah pengiktirafan yang cukup membanggakan bagi seluruh warga sekolah dan bekas pelajar yang masih dan pernah berada di situ. Tahniah atas kejayaan ini!!!

Sekalung tahniah dan syabas juga kepada bekas adik-adik pelajar insan ini yang telah lulus dengan cemerlang dalam STAM 2012 terutamanya kepada Ali Zakaria Tabari Bin Mohd Nawi yang telah memperolehi 10 MUMTAZ dalam peperiksaan tersebut. Pencapaian ini turut mengulangi pencapaian abangnya, Hamidul Hannan Hasani yang merupakan sahabat seperjuangan insan ini dalam STAM 2006 yang lalu di sekolah yang sama. Sejarah si abang dicipta kembali oleh si adik. Sebagai bekas pendidik, insan ini turut berbangga dengan kejayaan dan kecemerlangan ini. Tahniah dan syabas! Mabruk!


Cerita SMU (A) Meheliah Geting dalam post kali ini. Sekian lama tidak mencatatnya di laman Tinta Ukhuwah ini. Dari seorang pelajar kepada seorang tenaga pengajar. Ia sesuatu yang cukup bermakna dalam menulis diari kehidupan. Cerita-cerita pahit manis perjalanan sebagai seorang pelajar bersama sahabat-sahabat seperjuangan pada awal persinggahan ke hujung perjuangan di sekolah yang tercinta itu, hatta kisah-kisah bersama adik-adik pelajar yang pernah bersama-sama menemani hari-hari insan ini sebagai seorang pendidik sekalipun dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama. Ianya cukup bermakna dalam meniti ukhuwah di perjalanan dalam kehidupan. Semoga ianya menjadi memori yang terus diingati sampai bila-bila..

Sekalung tahniah, setinggi syukur, Alhamdulillah!

Tuesday, August 28, 2012

Cerita di halaman desa..

Alhamdulillah.. Seminggu dapat bercuti di kampung halaman. Sedikit terubat kerinduan di jiwa pada warga di halaman desa. Pulang menyambut hari lebaran selepas enam bulan berada di perantauan. Pulang mencari ketenangan dan kedamaian.

Perjalanan yang jauh melibatkan jalan darat, air dan udara. Lengkap. Semuanya dapat dirasai berjam-jam berada di air dan di udara. Itulah yang terpaksa dilalui untuk tiba di kampung halaman, tanah kenangan dalam sejarah kehidupan.

Seminggu berhari raya. Sekalipun ia dirasakan tidak mencukupi. Tetapi insan ini bersyukur kerana dapat pulang menjenguk insan-insan tercinta. Lega rasanya saat dapat bertentang mata dengan mereka yang sentiasa dirindui kehadiran di sisi.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Ya, hari raya biarpun tidak banyak aktiviti sepanjang kepulangan pada kali ini namun masih ada pertemuan yang menyemarakkan ukhuwah insan ini. Hari raya pertama, hanya sempat berhari raya dengan sanak saudara. Tidak berkesempatan bersama-sama dengan sahabat-sahabat seperjuangan suatu ketika pada sebuah pertemuan yang pada setiap kalinya pasti menyubur ukhuwah.


Saat mata bertentangan, saat tangan bersalaman, saat erat berpelukan, diharap ada kemaafan buat insan ini jika terdapat khilaf sepanjang pertemuan. Walaupun seketika bersama, sekejap kita dapat berjumpa dan bersua muka, namun ianya amat bermakna. Sekalipun dengan yang tidak sempat bersama, insan ini juga memohon kemaafan atas segala kesilapan dan kekurangan sepanjang ikatan. Mungkin tiada jodoh untuk kita bertemu pada percutian dan perayaan kali ini.


Jika zaman kanak-kanak dahulu, seronok dapat duit raya. Kali ini pula seronok bagi duit raya. Ya, berkongsi sedikit daripada timbunan rezeki kurniaan ilahi ini dengan keluarga, sanak-saudara, adik-adik dan budak-budak di kampung halaman. Biarpun tidak banyak nilainya tetapi cukuplah sekadar menceriakan suasana hari lebaran pada tahun ini. Mudah-mudahan terus dikurniakan  rezeki dan keberkatan oleh Allah s.w.t.

Jalan-jalan di Aidilfitri kali ini. Paling jauh pun sampai di Jerteh, Terengganu. Sempadan antara negeri Kelantan dan Terengganu. Jalan-jalan mengikut sahabat-sahabat berhari raya. Banyaknya berhari raya dan beristirehat di rumah sahaja. Melayan karenah anak-anak saudara yang masih kecil lagi.

Saat ini, insan ini kembali menjadi sang perantau. Berat rasanya hati ini untuk meninggalkan tanah halaman yang penuh kenangan. Biarpun kini terpaksa berjauhan dengan keluarga merentas Laut China Selatan, namun demi secicip rezeki maka segala keberatan rasa terpaksa diketepikan. Perjuangan mesti diteruskan demi sebuah kehidupan.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin!!!

Saturday, August 18, 2012

Selamat Menyambut Hari Lebaran...!!!



Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin. Sesungguhnya insan ini hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada silap dan salah. Ampun dan maaf dipinta. Terima kasih kerana sudi menjadi sahabat insan ini dalam menghadapi perjuangan dalam kehidupan ini. Jazakallahu khoiran jazak. Syukran! Thank you!.

Di laman blog Tinta Ukhuwah ini, insan ini menulis kisah-kisah dan cerita-cerita ukhuwah kita. Seandainya ada bicara yang mengguris rasa, ada tinta yang menghiris luka, ada suara menyindir hina, ada nada yang mengejut lena, dan jika ada janji belum dikota, insan ini menyusun sepuluh jari memohon jutaan kemaafan daripada semua walau di mana pun kalian berada. Sekadar apa yang termampu, digarapkan oleh insan ini bagi memenuhi ruangan laman Tinta Ukhuwah ini.

"Salam Aidilfitri 1433H"
"Taqabbalallahu minna wa minkum.."
~Admin~

Saturday, March 31, 2012

Bingkisan sang musafir di Kepulauan Borneo..



Melewati sebulan di bumi kenyalang ini, pelbagai pengalaman dilalui. Cerita suka dan dukanya. Namun keceriaan tetap menghiasi kehidupan di sini. Apa khabar sahabat-sahabat semua? Mudah-mudahan sahabat semua sihat wal ‘afiat. Sudah lama tidak menulis bingkisan sebegini. Hari ini tajuknya, bingkisan sang musafir di Kepulauan Borneo memandangkan insan ini sedang menikmati permusafiran di perantauan ini. Bulan Februari yang lalu telah membuka lembaran baru dalam hidup ini, bukan disebabkan insan ini dilahirkan dalam bulan tersebut tetapi kerana insan ini diberi peluang dan dipilih oleh Allah s.w.t untuk bernafas di bumi kenyalang ini yang kaya dengan keindahan flora dan faunanya.


Ya, tiada siapa menduga. Di sini pilihan terbaik yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t untuk insan ini. Di tanah yang pasti tidak diimpikan oleh kebanyakan kita. Tetapi insan ini berserah diri biarpun di mana sahaja kaki ini memijak demi satu usaha mendidik anak bangsa. Seperti yang insan ini katakan sebelum ini, banyak pengalaman baru yang dilalui di sini. Ya, suasana yang cukup berbeza. Dari sudut ketentuan takdir-Nya yang begitu hebat dan tidak terduga, hinggalah pelbagai perubahan pada kehidupan insan ini.

Berada di sini banyak mengajar erti kesabaran dan ketabahan. Juga mengajar erti ukhuwah bagi insan ini. Bukan mudah berada di tempat asing bagi diri kita. Jauh dari keluarga. Jika mahu pulang ke halaman bonda pun pasti akan terfikir banyak kali lantaran kos ulang-alik yang tinggi dan ianya pasti berbeza dengan kosnya di Semenanjung. Namun begitu, sudah menjadi kebiasaan bagi insan ini berada jauh dari kampung halaman. Tiada apa yang hendak dirisaukan untuk berada di Kepulauan Borneo ini. Di sini, ukhuwah berputik dan jalinannya dapat dipereratkan. Ramai rakyat semenanjung di sini. Merekalah keluarga di sini. Saling membantu bila diperlukan kerana masing-masing mengerti hakikat diri dan ukhuwah di tanah asing ini.

Alhamdulillah.. Bersyukur kerana dipermudahkan lagi oleh Allah s.w.t. Terus bertukar IPG ke Kota Samarahan di Kuching. Biarpun jaraknya seakan-akan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Namun itulah yang lebih mudah bagi insan ini berbanding pada asalnya terpaksa berkejaran dari Sibu ke Kota Bharu. Ya, dapatlah menjimatkan kos perjalanan ulang-alik insan ini setiap kali tibanya musim cuti persekolahan.


Seronok mengajar di sini lantaran bilangan pelajar yang tidak ramai. Biarpun pelbagai karenah mereka banyak menguji kesabaran dan ketabahan diri ini. Biasalah bermain dengan kanak-kanak ribena ini memerlukan ketabahan dan kecekalan dalam diri. Namun yang seronoknya, di sini boleh cubit-cubitan, rotan-rotanan dan pukul-pukulan. Bukan berniat untuk menyakitkan tapi untuk mendidik menjadi insan yang berakhlak mulia yang mampu membeza baik dan buruk.

Seringkali sinis kedengaran. “Mengajar budak-budak, tidak berkembang ilmu.” Pada insan ini tidak begitu. Mengajar budak-budak juga, ilmu juga mampu dipertingkatkan. Malahan ianya bukan terletak pada tahap pengajaran kita tetapi ianya terletak pada kesungguhan kita dalam menuntut ilmu. Jadi, walau di mana pun kita, seharusnya kita yang memilih sama ada untuk terus belajar atau kita hanya ingin berkerja semata-mata.

Mengajar budak-budak mengenal Alif, Ba, Ta dan ABC, usah dipandang remeh. Percayalah, bukan mudah untuk mengajar mereka dalam tahap mengenal dan mengeja bahkan untuk menulis huruf-huruf tersebut. Seringkali orang berbangga dengan pencapaian peringkat menengah mahupun universiti namun ketahuilah asalnya mereka dilahirkan dari bimbingan guru yang mengenalkan mereka huruf-huruf aksara dan ejaan secara berperingkat sehinggalah mereka mampu mengeja, membaca dan menulis.


Berada di kepulauan Daro, Sibu banyak memberi pengalaman baru. Perjalanan menaiki “Boyew Ekspress” selama lebih kurang 2 jam dari jeti Sibu untuk sampai ke Kepulauan Daro. Alhamdulillah.. Mujurlah rumah sewa dekat dengan pekan kecil. Malahan pula, dapat menyewa di Kampung Baru bersama sahabat seperjuangan Mohd Husnee Awang adalah satu keajaiban dalam takdir Ilahi buat insan ini. Mana tidaknya, seluas tanah di bumi kenyalang ini, kami disatukan di Kepulauan Daro. Jarak dari rumah sewa ke sekolah lebih kurang 15 hingga 20 minit perjalanan menaiki motorsikal. Jalannya tidaklah sesibuk di kebanyakan tempat di Semenanjung. Jalanan yang begitu tenang, segar dan nyaman. Keadaan jalan yang sedikit beralun mungkin disebabkan ianya sering digunakan oleh lori-lori pemunggah kelapa sawit.


Pengalaman menjengah hidup ini. Antaranya terpaksa merasai pengalaman naik lori yang sarat dengan muatan kelapa sawit suatu hari tatkala tayar motorsikal pancit semasa pulang dari mengajar di sekolah. Terpaksalah menumpang lori tersebut untuk tiba ke rumah sewa. Pengalaman yang menduka cita juga tercatit dalam hari-hari kehidupan insan ini di sini. Salah satunya adalah, terjatuh daripada motorsikal kerana keadaan jalan yang tidak begitu baik. Mujurlah tiada apa-apa yang teruk berlaku. Cuma luka-luka kecil sahaja di tapak tangan dan lutut. Nasib baik keadaan tar yang basah kerana hujan pada pagi itu mengurangkan kesan-kesan luka pada diri ini.


Krisis air bersih juga menguji ketabahan hati. Seringkali bekalan air paip sukar didapati di sini. Persediaan mental dan fizikal menghadapi segala kemungkinan perlulah sentiasa ada bagi mengelakkan masalah yang lebih besar berlaku. Ya, ini adalah ujian-Nya yang sedikit cuma. Mengajar kami menghargai setitis air. Sebotol air mineral untuk membasahi tubuh badan dan berwuduk sudah mencukupi dalam kadarnya saat berada dalam krisis bekalan air. Menggunakan spray untuk membasahi tubuh badan dan berwuduk. Itulah rutin kami di sini menghadapi saat-saat getir ketiadaan bekalan air bersih. Kebiasaannya akan menumpang mandi di rumah teman-teman di sini yang mempunyai bekalan air. Ya, begitulah suasana ukhuwah di sini.

Semasa orang lain sedang bergembira untuk bercuti di halaman bonda. Insan ini pula akan bermusafir ke Kota Samarahan, Kuching untuk menghadiri interaksi di sana mengikut jadual yang ditetapkan. Buat pertama kali pada cuti penggal pertama persekolahan bulan Mac, insan ini menaiki bas dari Sibu ke Kuching. Perjalanan yang jauh mengambil masa 7 jam untuk sampai ke maktab Kota Samarahan. Jadual yang padat dari pagi hingga ke lewat petang. Selepas ini, mungkin akan mengikuti jalan laut ataupun jalan udara pula. Bergantung kepada keputusan bersama teman-teman seperjalanan di sini.


Buat masa ini, satu kem telah diikuti insan ini di sekolah. Ya, Kem Jati Diri Pelajar namanya. Selama 3 hari 2 malam berkampung dan berprogram di sekolah. Pelbagai pengalaman yang pasti mencipta nostalgia dalam hidup insan ini bersama adik-adik pelajar di sini. Berada di bumi Sarawak, dapatlah belajar bahasa Melanau. Biarpun tidak banyak tapi insya-Allah dalam tempoh kurniaan Allah s.w.t ini, insan ini akan cuba mempelajarinya setakat yang termampu.

Redha ketentuan-Nya, menikmati hidup yang lebih tenang dan bahagia!!!

Sunday, February 26, 2012

Cerita ukhuwah di kejauhan..



Dalam tempoh jarak masa 20 hari, sahabat-sahabat insan ini kembali mengadakan aktiviti mesra ukhuwah. Tanggal 25 Februari 2012, mereka mengadakan aktiviti BBQ bagi mengeratkan ikatan ukhuwah mantan pelajar SPM 2005, SMU (A) Meheliah Geting. Kali ini, insan ini tidak berkesempatan untuk bersama-sama dalam aktiviti tersebut kerana berada jauh di negeri Sarawak atas urusan pra-kerjaya.


Sekadar mampu melihat potret-potret mereka yang di upload di laman muka buku. Ya, tidak sendiri mengikuti aktiviti berkenaan menyebabkan insan ini tidak tahu apa yang ingin dicatatkan dalam post Tinta Ukhuwah pada kali ini. Sekadar memasukkan beberapa keping foto untuk tatapan semua yang diambil dari laman FB. Biarlah ianya tercatat di laman blog ini sebagai kenang-kenangan buat sahabat semuanya. Cerita ukhuwah di kejauhan.


Insan ini bukanlah reporter. Tetapi sekadar mengutip dan menceritakan kembali perjalanan ukhuwah yang indah ini. Biarpun tidak dapat bersama dalam aktiviti reunion pada kali ini kerana ada komitmen lain di Kepulauan Borneo ini. Namun, insan ini tetap berasa gembira dengan perkembangan ukhuwah kita yang terus subur dengan aktiviti-aktiviti bersama yang sering dijalankan bagi mengeratkan ikatan persahabatan ini.

Opss.. Sebenarnya insan ini tidak tahu apa yang ingin dibicarakan dalam post ini. Bukan mudah untuk memahami keadaan jika kita sendiri tidak mengalami keadaan itu. Samalah seperti aktiviti yang diadakan pada hari ini, sukar hendak menulisnya jika tidak berada di sana bersama-sama. Hanya gambar yang menceritakan pelbagai cerita. Namun hakikat realitinya, tidak mampu insan ini merasai suasananya. Kemeriahan dan keriuhan suasana dengan gelagat sahabat-sahabat semuanya yang pasti mencuit perasaan. Ya, sama-sama bergelak ketawa dan berkongsi cerita.

Apa-apa pun, tahniah diucapkan kerana berjaya menganjurkan aktiviti mesra ukhuwah pada kali ini. Mudah-mudahan suatu ketika nanti, kita akan dapat bersama-sama menganjurkan aktiviti seperti itu lagi. Buat masa ini, insan ini mengundurkan diri terlebih dahulu daripada sebarang aktiviti mesra ukhuwah kerana ketidakberadaan insan ini di tanah halaman atas urusan pra-kerjaya di bumi Sarawak ini. Hanya doa yang insan ini iringkan, mudah-mudahan segala aktiviti yang dirancang dapat dianjurkan dengan jayanya.

Potret mesra ukhuwah, menceritakan keteguhan persahabatan kita!!!

Sunday, February 5, 2012

Sepetang Bersama Mengeratkan Ukhuwah..



Tanggal 5 Februari 2012 pada hari ini melakar satu aktiviti ukhuwah yang akan dirakamkan dalam post pada hari ini. Saat menulis post ini, insan ini baru sahaja pulang dari aktiviti bakar ayam (BBQ) bersama sahabat-sahabat seperjuangan bertempat di tasik Pantai Sri Tujuh. Masih kekenyangan menikmati menu-menu BBQ pada petang ini. Alhamdulillah.. Masih ada lagi aktiviti seumpama ini yang terus dirancang dan dianjurkan oleh kita semua.


Rasanya sudah satu tahun lebih kita tidak berkumpul beramai-ramai menikmati aktiviti santai sebegini bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Biarpun tidak semua dapat menghadirkan diri pada pertemuan ukhuwah pada hari ini, namun sekurang-kurangnya aktiviti ini mampu menyuburkan kembali suasana mesra ukhuwah kita. Sepetang bersama mengeratkan ukhuwah di tepi tasik landai di Pantai Sri Tujuh yang telah banyak menyaksikan pelbagai memori program-program ukhuwah kita. Hari ini, diari Tinta Ukhuwah merakamkan satu lagi aktiviti ukhuwah kita sebagai kenang-kenangan buat kita semua.


Meskipun tidak ramai yang hadir pada hari ini kerana berkemungkinan sahabat-sahabat mempunyai komitmen masing-masing, namun suasana BBQ pada hari ini tetap meriah dengan pelbagai gelagat dan ragam masing-masing. Ya, ramai di kalangan kita tiada di kampung halaman, sama ada sedang berkhidmat di Sabah, Sarawak atau mana-mana negeri di tanah air ini, ataupun juga ada di kalangan kita yang masih meneruskan perjuangan di medan ilmu sama ada di dalam atau di luar negara, Hari ini, kita bertemu, bersua muka, dan bertentang mata sambil berkongsi cerita dan menikmati menu-menu yang biasa kita sediakan untuk aktiviti seperti ini.


Catatan ringkas ini seperti yang dijanjikan akan di‘post’kan di laman Tinta Ukhuwah ini. Sekadar menghiasi paparan di skrin teknologi ini bagi menyimpan cerita ukhuwah kita ini. Saban tahun dan ketika ada cerita ukhuwah kita, berpisah lumrah biasa dan kita sering bersatu pula di medan pertemuan ukhuwah yang dirancang secara drastik dan ‘asal jadi’ seperti ini. Biarpun hanya sekadar aktiviti biasa namun ianya amat bermakna dan berharga untuk ukhuwah kita.


Laman Tinta Ukhuwah merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang bertungkus-lumus menyediakan bahan-bahan aktiviti BBQ kita pada hari ini juga pada mereka yang ‘sponsor’ atau ‘support’ aktiviti ukhuwah pada hari ini. Mudah-mudahan Allah s.w.t terus melimpahkan rezeki kepada kalian dan juga buat kita semua dalam menjalani kehidupan ini. Insya-Allah, jika ada di lain perancangan, kita akan bertemu lagi dengan aktiviti-aktiviti mesra ukhuwah kita.


Buat sahabat-sahabat yang tidak berkesempatan untuk bersama-sama pada hari ini, jangan berkecil hati dan merasa rugi kerana tidak bersama, kami mengerti dan memahami situasi kalian semua. Insya-Allah kita akan menganjurkan aktiviti seperti ini lagi pada masa yang akan datang untuk kita bersama-sama berkumpul bagi mengeratkan ukhuwah kita yang telah dibina sekian lama. Doakanlah semoga ukhuwah sesama kita terus subur biarpun kita terus terhimpit dengan komitmen kita masing-masing. Teruskanlah perjuangan kita di medan kehidupan ini. Kepada yang berkerjaya, selamat berkerja menabur bakti dan mencurah tenaga untuk agama, bangsa dan negara. Buat yang masih di medan ilmu, teruskan perjuangan menimba khazanah mutiara berharga sebagai bekalan di hari muka.

Selamat Maju Jaya kepada semua!!!.


Sedetik Bersama Selamanya Terasa!!!