“Berilah masa kepadanya,
jangan memaksanya untuk menerima hasrat hatimu itu.”
Catatan bertinta di ruang
teknologi kepada seorang teman di perjalanan. Dia meminta pandangan dan nasihat
daripada insan ini berkenaan hasrat hatinya terhadap seseorang. Bukan mudah
untuk memberi pandangan dan nasihat pada situasi ini. Tetapi insan ini tidak
mungkin menghampakan permintaannya kerana ianya sekadar pandangan dari sudut kefahaman
insan ini terhadap situasinya ketika itu. Dengan harapan agar ianya dapat
membantu menenangkan hatinya menghadapi sebarang tekanan yang sedang dan akan
melanda dirinya. Juga peringatan bagi insan ini dalam menghadapi situasi
sepertinya.
Untuk lebih merasakan ketenangan,
luahkanlah hasrat hatimu itu kepadanya. Kemudian berdoa dan serahkanlah hasrat
hatimu itu kepada Allah s.w.t. Panjatkanlah doa mengharap perkenan-Nya. Ya, bukan
mudah menyatakan hasrat hati kepada seseorang. Ia memerlukan keberanian diri
dan kekuatan hati kita. Seringkali timbul perasaan bimbang di hati kita. Ya, kita
bimbang ianya ditolak dan jika itu berlaku ianya pasti memalukan diri kita.
Tetapi bagaimana dirinya itu akan mengetahui hasrat hati kita seandainya kita
tidak meluahkannya? Jika tidak melalui kata-kata sekali pun, nyatakanlah dengan
kalimah bertinta atau melalui pertolongan orang lain bagi menyampaikan hasrat
hati kita. Agar dia mengetahui perkara yang sebenar.
Jangan hanya bersuara dengan
redup pandangan mata. Juga bukan hanya dengan tingkah laku kita. Kerana belum
tentu dirinya mengerti hasrat di hati kita. Tuturkanlah sesuatu walaupun ianya
hanya pada catatan warkah atau melalui wakil sebagai pengganti diri. Pasti
ianya lebih difahami dan dimengerti. Bukannya dengan hanya mendiamkan diri
menanti dengan penuh harapan agar ianya menjadi realiti. Ianya tidak semudah
itu!
Berilah masa kepadanya. Jangan
memaksa untuk diterima dan jangan pula terus mendesak minta jawapan darinya.
Dia berhak menerima atau pun sebaliknya. Paksaan bukanlah cara terbaik untuk
memiliki. Biarlah dia yang membuat keputusan tanpa sebarang paksaan. Biarpun
dirinya tidak membalas apa-apa. Anggaplah dia sedang memikirkannya. Biarpun
bagi tempoh yang amat lama. Barangkali dia sedang menilai siapa diri kita. Mana
kita tahu!
Serahkan semuanya kepada Allah
s.w.t..
“Sabar dan redha dengan
ketentuan-Nya dan jangan berputus asa..”
Sabar dan redha. Serahkanlah
semua harapan kita kepada Allah s.w.t yang Maha Pencipta. Dia pemilik
segalanya. Perbanyakkanlah berdoa mengharap dari-Nya. Dialah sebaik-baik
penyempurna harapan hamba-Nya. Mudah-mudahan dimakbulkan-Nya akan hasrat dan
harapan hati kita dengan syarat kita ikhlas dengannya. Apa yang penting kita
telah meluahkan hasrat hati kita kepadanya. Terpulanglah kepadanya untuk
menerima atau menolaknya. Ya, bukan mudah meluahkannya. Ditempis perasaan malu
itu dan perlu dikuatkan emosi serta hati kita bagi menghadapi pelbagai
kemungkinan. Apa pun keputusannya jangan kita berputus asa. Biarpun perlu
menanti keputusan yang tidak kunjung tiba. Apa yang penting, kita telah
berusaha meluahkan hasrat hati kita. Walau sebesar mana pun harapan dan hasrat
hati kita, kita jangan memaksa dan mendesaknya. Dia juga manusia, miliki hati
dan perasaan yang perlu kita hormati.
Setelah itu, jalani kehidupan ini
seperti biasa. Seperti tiada berlaku apa-apa antara diri kita dan dirinya.
Jangan malu dan jangan pula segan padanya. Dia juga insan biasa dan dia juga
pasti akan melalui situasi begini. Jika kita benar-benar tulus untuk
memilikinya, teruslah menjadi temannya biarpun tiada ikatan yang bermakna dan
biarpun status antara kita dengannya tidak berubah. Ingatlah status itu
hanyalah sekadar istilah nama untuk lebih melahirkan rasa akrab dan erat. Bukannya
bukti kejujuran dan ketulusan kita. Kerana bukti itu ada pada peranan kita
kepadanya. Biarpun sekadar teman biasa dan bukannya teman istimewa atau apa-apa
sahaja status yang kita hasratkan. Yang penting kita tetap bersaudara
dengannya. Ya, bersaudara dalam kesatuan akidah. Itu sudah cukup indah! Dan
hasrat kita itu tidak lain hanyalah cuma untuk lebih mengindahkannya. Untuk
lebih rapat, lebih erat dan lebih akrab! Justeru, jagalah adab pergaulan kita
dengannya berlandaskan syariat Allah s.w.t.
Jangan berputus asa. Jika kita
tahu betapa indahnya “keikhlasan dirinya” dalam menerima hasrat hati kita,
pasti kita tidak akan memaksanya. Keikhlasan itu amat penting dalam perhubungan
sesebuah ikatan walaupun apa jua status ikatan itu. Tanpa keikhlasan, kejujuran
dan ketulusan hati sudah pasti hubungan yang dibina tidak bererti. Paksaan dan
desakan hanya akan menawarkan suasana sesebuah ikatan. Pasti akan timbul
pelbagai masalah nanti. Biarlah dirinya menerima kita seadanya kerana hanya
dengan itu yang mampu memberi kebahagiaan dalam perhubungan. Catatan ini bukan
untuk menggalakkan apa jua status perhubungan tetapi hanya sekadar pandangan
dari insan yang kerdil ini sahaja.
Luahkanlah hasrat terpendam untuk
difahami, agar jiwa beroleh ketenangan hati!!!
No comments:
Post a Comment