Alhamdulillah.. Hasil curahan minda, menyusun bicara kata, mencoret kalimah bertinta. Buat perkongsian kepada kita semua.. Mudah-mudahan memberi manfaat kepada diri kita semua.. Bacalah karya olahan bahasa dari insan ini yang digarapkan untuk mendidik jiwa ke arah yang lebih baik.. Maka insan ini menamakannya sebagai "Nasihat buat hati.." Karya ini bukanlah Hak Cipta Terpelihara, tetapi sekadar perkongsian ilmu yang sedikit kerana semuanya adalah kurniaan Allah s.w.t.. Mudah-mudahan Allah s.w.t memberi kekuatan kepada insan ini untuk terus menulis sesuatu yang lain pula selepas ini dengan kudrat minda yang ada.. Hakikatnya semua ini datangnya daripada Allah s.w.t..
“Bermulanya sebuah
pertemuan. Takdir-Nya mengeratkan ikatan. Semakin terikat peranan. Inilah
sebuah anugerah. Di dalamnya tersimpan jutaan hikmah. Dari ukhuwah yang
biasa-biasa menjadi semakin berharga..”
“Belajarlah dari ikan di lautan,
biarpun dikelilingi oleh masinnya air laut namun ianya tidak masin..” :-}
Janganlah kita terpengaruh dengan mana-mana anasir yang boleh merosakkan kita,
sebaliknya jagalah diri kita agar mampu menghargai nilai istimewa yang ada pada
diri kita sebagai makhluk-Nya. Seperti ikan di lautan, sekiranya ia terpengaruh
oleh masinnya air laut pasti kita tidak mampu membezakan rasa ikan dengan rasa
air laut. Justeru, di mana lagi istimewanya ikan tersebut?
Renung-renungkanlah..
“Kadang-kadang kita lebih cepat
menghukum sesuatu kejadian daripada memerhati hikmah lain yang ada. Seperti
marahnya kita apabila seekor burung di angkasa melepaskan hajatnya lalu menimpa
kita. Saat itu, kita lupa bersyukur kepada Allah yang mencipta burung itu
sebagai makhluk yang kecil. Kita beruntung kerana Allah tidak mencipta seekor
gajah yang boleh terbang biarpun Dia Maha Pencipta. Bayangkan jika gajah itu
terbang dan melepaskan hajatnya lalu menimpa kita, sudah tentu haru-biru
seluruh alam.” :-} Nilailah setiap sesuatu dengan pandangan mata hati, pasti
akan tersingkap hikmahnya. Jangan cepat menghukum ciptaan Allah kerana setiap
ciptaan-Nya tidak sia-sia, pasti ada peranan dan hikmahnya.
Jangan tunggu menjadi “SUPERMAN”
dulu baru rasa boleh membantu. Usah nanti menjadi “JUTAWAN” dulu, baru rasa
boleh memberi. Sebaliknya bantulah mereka yang memerlukan sekadar termampu
dengan kudrat yang ada. Jadilah diri sendiri biarpun hanya mampu memberikan
sekuntum senyuman..:-) :-} Allah tidak menilai pada kuatnya tenaga, bukan juga
pada banyaknya harta, tetapi DIA menilai pada keikhlasan kita. Jangan menanti
impian itu terjadi baru akan membantu dan memberi pada saat ini, kerana perlu
dibimbangi pada saat itu, hati kita mungkin tidak seikhlas saat ini. Rebutlah peluang
yang ada ketika ini walau siapa pun kita ketika ini..
“Tiada hidupan dalam Laut Mati
kerana airnya tidak mengalir keluar. Sebaliknya laut-laut lain dipenuhi hidupan
kerana airnya bebas mengalir keluar. Sifat Laut Mati itu seolah-olah tidak
memberi, begitulah sebaliknya.” :-} MEMBERI: Satu Permulaan Untuk Kehidupan.
Memberi bererti mengurangkan apa yang kita miliki pada luaran. Tapi memberi akan
menambahkan kekayaan dalaman kita. Orang yang memberi adalah seorang yang kaya.
Jika dia memberi dengan harta, dia kaya harta. Jika dengan rasa, dia kaya rasa.
Jika dengan ilmu, dia kaya ilmu. Memberi untuk orang lain merasa dan orang yang
memberi turut merasa. Ya, merasa kepuasan, menikmati ketenangan dan beroleh
ganjaran. Memberilah untuk memiliki hati yang hidup. Jangan jadi seperti Laut
Mati yang sepi tanpa hidupan kerana airnya terlalu masin. Pepatah kita
mengatakan: Jangan jadi “Tahi Hidung Masin”. Bakhil dan kedekut untuk MEMBERI..
“Hebatnya pada ciptaan seekor
LABAH-LABAH. Biarpun kecil namun tetap kuat. Mampu membina rumahnya dengan apa
yang dimilikinya tanpa bantuan sesiapa. Ia sendiri menjadi arkitek dan buruh
binaan dengan berbekalkan ilham Ilahi. Rumahnya mampu disiapkan tidak sampai
pun satu hari.” :-} Allah mengajak kita berfikir tentang ciptaan-Nya. Sekuat
mana pun tenaga kita tetap tidak mampu menyediakan kemudahan sendiri dengan apa
yang ada pada diri kita. Ya, kita tetap memerlukan pertolongan insan lain
sebagai arkitek dan buruh binaan serta bahan-bahan dari sumber alam yang lain.
Kita juga mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya. Justeru, agar tidak
takabbur, lihatlah betapa lemahnya kita yang sering bergantung kepada sesama
makhluk. Dan ingatlah, sebaik-baik tempat bergantung itu hanyalah
kebergantungan kita kepada Allah s.w.t., dalam semua aspek kehidupan kita..
“Apa khabar IMANmu saat ini?
Bagaimana pula keadaan HATImu ketika ini? Mudah-mudahan Allah s.w.t. sentiasa
memelihara dan memulihara iman dan hati kita dengan cahaya taufiq dan
hidayah-Nya..” :-} Seringkali kita bertanya khabar orang lain. Tapi kita kadang-kadang
lupa bertanya khabar iman dan hati kita. Sebenarnya itulah yang paling dekat
dengan kita. Itulah juga yang paling berharga buat kita. Ya, binasa iman, tiada
guna lagi menjadi insan. Bahkan lebih teruk daripada haiwan. Hati yang ‘rosak’
atau ‘sakit’ akan menyebabkan amal ibadat tidak bernilai di sisi-Nya. Jagalah
dan peliharalah iman dan hati kita dengan ILMU dan AMAL. Sekadar muhasabah
bersama agar sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dan amal dalam kehidupan
kita..
“Diari
silam dalam lipatan. Diari baru menanti catatan. Kita ini musafir di
perjalanan. Mencari bekalan untuk dibawa pulang kepada TUHAN.. Jika diari silam
penuh noda-noda hitam, bertaubat dan kembalilah ke jalan kebenaran. Catatlah
diari baru dengan petunjuk iman. Jauhi segala dosa dan noda. Pertingkatkan
amalan dan perteguhkan iman sebelum kematian menjemput datang. Rebutlah peluang yang masih diberi kepada kita dan teruskanlah misi kita
mencari keredhaan TUHAN..”
“Sebesar harapan jangan sekadar
diimpi rasa di hati. Juga jangan hanya berserah pada takdir-Nya semata. Iringi
ianya dengan usaha dan doa. Ya, Doa itu senjata orang Mukmin. Jangan dipandang
remeh akan doa biarpun hanya untuk perkara biasa.” :-} DOA bukan untuk
memberitahu kepada Allah apa yang kita inginkan kerana Dia sedia mengetahui apa
yang kita inginkan sekalipun kita tidak meminta kepada-Nya. Tapi doa itu tanda
pengabdian kita kepada-Nya. Seringkali kita ingin doa kita dimakbulkan
secepatnya, tapi Allah berhak menangguhkan permintaan kita ke satu masa atau
menolaknya. Justeru, betapa ruginya kita jika kita kurang berdoa saat ini
kerana jika Allah menangguhkan untuk memakbulkannya ke satu masa pasti kita
akan merasakan betapa ruginya kita saat itu. Oleh itu, perbanyakkan berdoa
kepada-Nya biarpun hanya pada sekecil-kecil harapan dan impian kita tanpa rasa
jemu dan putus asa.
“Jangan disangka apabila telah
tamat belajar di sekolah nanti, diri telah bebas dari status sebagai seorang
pelajar kerana tempoh belajar itu adalah sepanjang hayat kita..” :-} Selama-lamanya
kita adalah seorang pelajar. Ya, pelajar dalam sebuah SEKOLAH KEHIDUPAN.
Seperti juga di sekolah, dalam Sekolah Kehidupan, kita terikat dengan peraturan
yang telah ditetapkan oleh pentadbirnya iaitu Allah s.w.t. untuk menjadi
seorang pelajar yang berjaya, kita mesti mematuhi setiap peraturan-Nya.
Sebaliknya jika kita melanggarnya, kita akan menerima hukuman-Nya. Selamat
meneruskan tugas sebagai seorang pelajar sekolah dan juga sebagai seorang
pelajar dalam Sekolah Kehidupan ini. Belajar rajin-rajin. Semoga berjaya.
“Apabila diminta memberi nasihat,
maka berilah sekadar yang kita mampu. Kurang ilmu bukan sebab untuk tidak
menasihati biarpun sekadar biasa-biasa sahaja. Jangan pula sesekali berkata:
‘Aku tidak layak!’ atau ‘Aku belum layak!’” :-} Ya, biasanya kita berasa tidak
layak kerana ilmu belum cukup lagi. Soalnya sampai bila? Sedangkan semakin kita
belajar, semakin banyak yang kita tidak tahu. Jangan biarkan syaitan melompat
gembira kerana jika kita tidak menasihati nescaya akan tersebarnya kemungkaran.
Justeru, berilah nasihat kerana agama itu nasihat. Jangan malu-malu dalam
memberi dan meminta nasihat. Lumrah insan yang tidak sempurna, sentiasa
perlukan nasihat sebagai peringatan dan pengisian jiwa. Sebarkan dan mintalah
nasihat kerana ianya menambah kekuatan iman dan keyakinan kita. Nasihat bagi
hati yang sering membuat alasan untuk memberi nasihat pada umat ini dan sedikit
pula meminta nasihat daripada orang lain.
“Sebelum
lena dibuai mimpi, muhasabah diri amalan sehari, jika ada khilaf terisi,
istighfarlah untuk diri, dengan azam kita iringi, agar tidak berulang lagi..”
;-(
“HATI yang tenang adalah hati
yang sentiasa mengingati Allah dalam semua urusan kehidupan. Tiada nikmat yang
terindah dalam hidup ini melainkan memiliki hati yang TENANG..” :-} Seperti
ikan memerlukan air, begitulah kita memerlukan zikir. Mengingati Allah mampu
menguatkan jiwa dan membanteras segala kemungkaran dengan benteng keimanan. Ya,
tanpa zikrullah Hati kita telah Mati biarpun diri kita masih Hidup. Justeru,
perbanyakkan usaha mengingati Allah dengan kalimah-kalimah zikir. Agar Hati
kita Hidup ketika kita masih Hidup. Hanya dengan Hati yang Hidup kita dapat
memiliki Akal yang Sejahtera.
“Fitrah manusia suka pada
HIBURAN. Mencari ketenangan dan melepaskan tekanan. Ramai manusia seakan tidak
percaya. Ketenangan hanya mampu dimiliki bila hati dekat dengan Allah. Namun
ramai yang memilih hiburan yang menjauhkan hati dari mengingati-Nya. Ketenangan yang dicari terasa
jauh sekali. Padahal ia sangat dekat
dalam diri. Pada HATI yang mengingati-Nya.” :-} Fitrah sudah terbalik. Manusia
suka Menyalak, anjing pula yang Berzikir. Ya, ramai yang tersesat jauh.
Ketenangan yang dicari tidak juga ditemui. Justeru, berhiburlah dengan AL-QURAN
kerana ianya penyembuh bagi hati. Hanya di situ ketenangan yang dicari akan
ditemui. Ya, Al-Quran adalah Hiburan Terbaik bagi setiap jiwa. Sudahkah Al-Quran
dibaca? Berbicaralah dan berhiburlah dengan Allah melalui Kalam-Nya. Itulah Ayat-Ayat
Cinta Terindah yang mampu menghibur dan mengubat hati yang lara. Kembalilah
kepada tugas kita untuk Berzikir, biarlah anjing terus Menyalak kerana itulah
FITRAH makhluk ciptaan-Nya. Kembalilah kepada fitrah kita..
“KEMATIAN bukan untuk ditakuti
tapi untuk dihadapi dan diinsafi. Setiap jiwa yang bernyawa pasti akan
merasainya. Masanya akan tiba jua. Ia datang tanpa undangan. Bila tiba
waktunya, ia pasti datang menjemput kita untuk dibawa bertemu TUHAN yang Maha
Pencipta..” :-} MATI adalah satu permulaan kehidupan. Ya, mati untuk hidup yang
tidak mati-mati lagi. Darinya ada peringatan agar kita mempersiapkan diri dan
bersedia menghadapinya. Muhasabah amalan kita, apa yang akan kita bawa untuk
menghadap-Nya. Semalam telah berlalu, esok belum tentu milik kita, hargailah saat
ini kerana ia untuk kita. Justeru, jadilah seorang Hamba yang taat kepada Tuhannya..
Sudahkah kita bersedia untuk ke sana?..
“Kasihilah makhluk yang ada di Bumi,
pasti kamu akan dikasihi makhluk yang ada di Langit..” :-} Manusia tidak mampu
hidup dengan aman dan damai tanpa adanya Kasih Sayang. Ianya hadir dalam naluri
Hati yang paling lembut. Kelembutan Hati inilah yang menyantuni suasana dalam
kehidupan. Indahnya terasa bila ia menghiasi sesebuah ikatan. Namun untuk
dikasihi, kita mesti mengasihi. Begitulah maksud sabda Nabi Muhammad s.a.w.:
“Sesiapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.” Sebarkanlah KASIH
SAYANG kita kepada sesama makhluk agar melaluinya kita akan merasai Halawatul
Iman. Jom kita Berkasih Sayang!!! Ianya
satu tuntutan bagi Kesempurnaan Iman.
“Lebih baik sedikit asalkan
ISTIQOMAH. Memberi adalah sebuah Perkongsian.” :-} MEMBERI terapi bagi hati
kerana ia melahirkan simpati. Berilah apa yang termampu dengan apa yang ada. Memberi
tanpa mengharap untuk dibalas, pasti tidak akan menjemukan kita. Sebaliknya
jika kita mengharap ianya dibalas, pasti kita akan cepat berputus asa. Ya, jiwa
kita akan sakit jika mengharap balasan daripada orang yang diberi kerana ramai
orang tidak tahu menghargai orang lain. Berilah sebagai tanda SYUKUR kita atas
kurniaan nikmat-nikmatNya kepada kita. Indahnya hidup kerana adanya Perkongsian.
Jika tidak berharta, berkongsilah rasa hati yang diberi percuma kepada kita
kerana ianya lebih bernilai daripada harta..
“Setiap Musibah yang melanda
pasti ada HIKMAHnya. Paling tidak pun, ia akan mendekatkan diri kita
kepada-Nya. Begitulah manusia dengan sifatnya yang pelupa. Saat senang, Allah
sering dilupa. Bila musibah melanda, mulalah hati mencari-Nya..” :-} Hidup ini
adalah Ujian yang tiada berkesudahan sehinggalah Mati menjemput datang. Itulah
tanda Allah menyayangi hamba-hamba-Nya. Ujian-ujian inilah yang menentukan siapa
kita di sisi-Nya. Jangan berputus asa kerana Rahmat-Nya sentiasa bersama
hamba-hamba-Nya yang SABAR. Bersabarlah biarpun musibah itu pahit untuk
ditelan. Bersyukurlah kerana Allah masih berbicara dengan kita. Ya, MUSIBAH
adalah mesej daripada Allah agar kita kembali kepada-Nya..
“Petang
akan menjelang senja, begitu juga usia kita, dari lahir ke saat ketika, mati
pasti datang jua, menjemput setiap manusia, untuk bertemu Pencipta-Nya.” :-)
“Kecilnya berperanan besar dalam
mendidik insan jika manusia memerhati dan mengkaji. Hidupnya mengajar kita erti
Usaha dan Ukhuwah Sejati. Hebatnya makhluk ciptaan Allah ini. Jauh berjalan
beribu batu dalam dunianya. Penuh kesabaran dan ketabahan. Itulah nilai yang
ada pada seekor SEMUT.” :-} Ya, lihatlah semut dalam dunianya. Saat memanjat
dinding yang tinggi, pasti terjatuh berulang kali apabila ditiup angin. Tidak
pernah jemu dan berputus asa. Diusahanya hingga tiba di puncaknya. Bila bertemu
saudaranya pasti disapanya. Bila diberi rezeki dikongsi bersama. Yang berat sama
dipikul, yang ringan diangkat sendiri. Itulah nilai USAHA dan UKHUWAH pada
seekor semut untuk kita teladani..
“Secantik BUNGA MAWAR semerbak
harumannya. Tetap dilindungi tajamnya DURI pada dahannya dari dirosakkan oleh
binatang dan serangga..” :-} Begitulah kita MANUSIA, sebaik-baik makhluk-Nya di
dunia ini, dikurniakan HATI dan AKAL untuk menilai kebaikan dan keburukan.
Justeru, pelihara diri kita dengan Senjata Pelindung kita itu daripada
dirosakkan oleh syaitan dan nafsu amarah. Hulurkan Senjata Pelindung itu ketika
berada dalam situasi yang mampu menggoyah keimanan kita kepada Allah s.w.t.
Gunalah senjata yang dikurniakan kepada kita bagi memelihara Kemanisan Iman dalam
diri kita. Semoga IMAN kita terus disulami dengan rasa Ketaqwaan kepada-Nya..
:-}
“Padanya ada baik dan buruk,
terbang bebas di udara, namun lebih suka pada kekotoran dan kekejian. Itulah
serangga kecil digelar LALAT. Pada sayap-sayapnya memiliki RACUN dan PENAWAR..”
:-} Begitulah DUNIA ini, ada Racun dan Penawarnya. Tapi ramai manusia yang
memilih untuk menelan racun dunia. Segala yang menyakiti jiwa manusia itu
adalah racun dunia, manakala segala yang menyihatkan jiwa manusia itulah
penawarnya. Jadi, awasi diri kita dari segala jenis racun dunia yang merosakkan
jiwa dan ambillah penawar-penawarnya sebagai ubat untuk mengubati segala
kesakitan kita jika tertelan racun dunia. Ingat, jangan ditelan racun yang sama
berulang kali..
“Biarpun warna-warni cantiknya,
indah umpama pelangi, menghiasi penampilan dirinya, namun tidak mampu terbang
ke angkasa, begitulah nasib si BURUNG MERAK, bangga dengan kecantikan bulunya,
namun terpenjara di tanah semata.” :-} Begitu juga MANUSIA, jika silap memilih
gaya penampilannya, biarpun cantik di pandangan mata, tapi jika melanggar
syariat agama, atau menimbulkan fitnah manusia, akan dibenci makhluk dunia, jua
dimurkai Pencipta-Nya. Ya, ramai manusia terpenjara dalam fesyen musuh agama,
tidak menjaga kecantikan hakiki yang hanya wujud dalam keindahan akhlak diri.
Berhati-hatilah dalam memilih penampilan diri agar sesuai dengan syariat-Nya..
(“,)v..
“Tersedar
dari MATI kecil, diri masih bernafas di bumi-Nya, SYUKUR masih berpeluang
melihat alam ini dan masih dapat bersama teman-teman, sebelum jiwa merasai
sebenar-benar MATI..”
“Adakalanya gelora samudera di
lautan biru, memberi tenaga pada redupan awan, membuahkan titis-titis hujan,
sebagai RAHMAT untuk sekalian alam.” Begitulah HATI manusia, seringkali ditimpa
gelora yang menimbulkan sebak di dada, mencurah rasa melalui titisan air mata.
Meredakan gelora perasaan dalam menggapai REDHA. Lumrah hati manusia, ada
ketikanya perlu selembut air. Menangis melepaskan bebanan gelora rasa. Ya, kita
perlu banyak menangis dari ketawa. Insafi segala kelemahan kita. Dari rasa
TAQWA kepada-Nya, mampu mengalirkan air mata berharga yang bisa memadamkan api
neraka. Ianya mampu menyubur rasa kehambaan kita kepada-Nya..
“Secantik butiran buah DELIMA,
dalam sebiji buahnya, ada berbiji-biji butirannya, tersimpan utuh dalam
karungnya. Lazat rasanya adakala menjadi ubat..” :-} Begitulah diibarat
hebatnya sebuah AL-QURAN, di dalamnya ada pelbagai MUTIARA ILMU, tersimpan
kukuh dalam mashafnya. Mukjizatnya menjadi ubat yang paling mujarab. Ya,
Al-Quran bukan untuk disimpan di dalam almari, tapi ianya perlu dibaca,
dipelajari dan dikaji untuk kita hayati dan amalkan dalam semua urusan
kehidupan kita. Justeru, saat Mukjizat Agung ini kian dilupa, marilah kita
terus akrab menjadi temannya agar ia juga sudi menemani kita dengan cahaya dan
syafaatnya di akhirat sana..
“Rasanya meresap ke seluruh raut
muka, merembes segala cecair di ruang rongga dan pantas mengairi ruang mata. Itulah
kuasa spesis LADA..” :-} Begitulah lidah kita, jika tidak dikawal, kata-katanya
bisa merobek dan menikam hati pendengarnya. Pedihnya boleh mengundang air mata.
Jadi, peliharalah lidah kita daripada menutur palitan keji atau melempar fitnah
melata. Peliharalah jiwa orang lain agar jiwa kita turut dipelihara. Ya,
terlajak tinta boleh dipadam, terlajak kata buruk padahnya. Namun kuasa
kata-kata juga adakalanya mampu membina jiwa. Ya, kata-kata yang sering menjentik
lembutan rasa dan menguatkan hati kita. Juga kata-kata yang mampu mendekatkan
diri kita kepada Allah s.w.t..
“Lampu tidak akan menyala tanpa
tenaga elektrik. Kereta tidak mampu
bergerak jika tidak diisi minyak. Tanpa elektrik dan minyak, LAMPU dan KERETA
itu hanya tinggal bentuk dan nama..” :-} Samalah dengan UKHUWAH kita.. Tiada maknanya
tanpa ingatan dan peranan. Ingatan umpama elektrik yang akan terus menghidupkan
ukhuwah di hati kita manakala peranan umpama minyak bagi ukhuwah kita yang
perlu sentiasa diisi untuk terus menghidupkan suasana dalam berukhuwah. Ya,
ianya soal peranan kita bukannya hak yang tidak berkesudahan. INGATAN dan PERANAN
yang berterusanlah yang akan terus mewarnai sesebuah ikatan walau apa pun yang
terjadi. Tanpanya ukhuwah hanya tinggal kenangan dan nama..
“Kuat
kudrat muda kita hanya sementara, ianya pasti akan hilang dimamah usia, saat
kuat kudrat ini dimiliki kita, beramallah untuk bekalan kita dengan
sebanyaknya, kerana saat lemah melanda, pasti kita sukar melakukannya. Jadi, ketika
ianya masih ada, hargailah kudrat kuat kita dengan sebaik-baiknya..”
“Ketika langit cerah, sinarnya
menghiasi alam. Ketika langit dilitupi mendungnya awan, kilauannya pasti hilang
dan semakin berkurangan. Itulah cahaya BINTANG-BINTANG yang bergemerlapan..”
:-} Lumrahlah dengan insan yang bergelar sahabat, teman, rakan, kawan dan
taulan. Ramainya yang hadir saat kita ceria dan gembira, namun saat kita
bersedih dan berduka, tidak semua yang akan datang menghibur lara.
Kadang-kadang tiada langsung di sisi kita. Sahabat masa gembira senang dicari,
tapi sahabat masa berduka sangat ramai yang lari. Sukarnya memiliki SAHABAT
SEJATI samalah seperti sukarnya melihat bintang pada mendungnya awan. Yakni
sahabat yang akan terus setia menemani kita dalam apa jua situasi..
“Bertuahnya kita kerana Allah
mencipta alam ini dengan penuh warna-warni. Jika hanya dicipta-Nya satu warna
pasti kita akan buta menilai makna KEINDAHAN..” :-} Bersyukurlah kita
kepada-Nya yang telah mencipta manusia dengan pelbagai gelagat dan ragam,
kerana ianya sesuatu yang menghiburkan dalam sesebuah ikatan dan membuatkan
kita mengenal erti keindahan dalam sesebuah PERSAHABATAN. Justeru, hargailah
kelebihan teman-teman kita dan hormatilah kekurangan mereka. Kelebihan dan
kekurangan sesama kitalah yang mewarna-warnikan ikatan UKHUWAH kita. Jika
manusia dicipta dengan gelagat dan ragam yang sama, pasti ia akan menjemukan
kita. Bersyukurlah dengan anugerah-Nya kepada kita ini..
“Kita ibarat penumpang sebuah bas
yang dalam satu perjalanan menuju pelbagai destinasi. Sebelum tiba ke destinasi
terakhir, penumpangnya silih berganti. Akan naik ke dalam bas dan turun pula
bila telah tiba ke destinasinya..” :-} Begitulah kita manusia, silih berganti
menghuni dunia ini. Bila tiba masanya akan berlalu pergi meninggalkan dunia
ini. Seperti penumpang bas, tidak semestinya yang naik dahulu akan turun
dahulu. Begitulah kita manusia, ada jangka UMURnya yang telah ditentukan
oleh-Nya. Tidak semestinya yang lahir ke dunia dahulu akan MATI dahulu. Kerana
realitinya bukan begitu. Tidak kira tua atau muda jika telah tiba AJALnya,
pasti akan pergi jua..
“Seperti KEPALA KERETA API, di
belakangnya terdapat gerabak-gerabak yang penuh dengan manusia dan harta.
Kepalanya mesti bergerak mengikut landasan. Sekiranya tergelincir daripadanya,
pasti buruk padahnya..” :-} Begitulah kita sebagai PEMIMPIN, banyak beban
amanah di bawah jagaan kita. Kita mesti memandunya mengikut syariat-Nya. Jika
tergelincir daripada apa yang telah ditetapkan-Nya itu, pasti akan menerima
akibat-Nya. Ya, pemimpinlah yang menentukan hala tuju segala yang dipimpinnya.
Justeru, jadilah seorang pemimpin yang taat kepada Allah s.w.t. Menjaga setiap
amanah kepimpinannya dengan mengikut peraturan-Nya. Ya, kita semua pemimpin
yang akan disoal tentang KEPIMPINAN kita..
“Biarpun sedikit asalkan kita Qana’ah,
daripada banyak yang Tamak. Sedikit yang Qana’ah adalah rasa cukup bagai
beroleh seisi dunia dengan mensyukuri nikmat-Nya. Namun banyak yang Tamak
adalah rasa belum puas kepada seisi dunia lantaran tidak bersyukur kepada-Nya.
Didiklah hati kita dengan sifat Qana’ah agar beroleh barakah!!!”
“Jangan secantik BULAN, biar
sepanas MATAHARI. Jangan seindah PELANGI, biar segelap BAYANG-BAYANG..” :-}
Jangan menilai sesuatu dengan mata kasar. Secantik bulan hanya menumpang sinar
matahari yang panasnya sering dicari perteduhan. Seindah pelangi hanya seketika
berbanding gelapnya bayang-bayang yang sentiasa setia menemani kita. Justeru,
jadilah orang yang sehebat matahari yang sentiasa menghiasi orang lain dengan
memberi kebaikan kita biarpun kita sering dipinggirkan mereka. Jadilah teman
seperti gelapnya bayang-bayang yang sentiasa menemani sahabatnya biarpun
kehadirannya sering tidak dihargainya. Ya, sesuatu yang cantik di ruang mata,
belum tentu indah di pandangan-Nya dan begitulah sebaliknya. Justeru, nilailah
sesuatu dengan mata hati kita melebihi mata kita sendiri..
“Satunya menjadi rebutan, di atas
kertas bukan keputusan, kerana realiti menjadi penentuan. Seluruh dunia
mengharap kejayaan, menjadi milik team pilihan, pelbagai gelaran menjadi
rebutan. Rencah sukan BOLA SEPAK yang melanda alam..” :-} Begitulah manusia
dengan kisah bolanya. Fanatiknya hingga mampu mengingati nama-nama ahli team
pilihan hati. Ramai manusia yang buta menilai erti KEJAYAAN HAKIKI. Panduan
hidup terus diketepi. Al-Quran terus tidak dipeduli. Tidak pula diminati seperti
bola sepak tadi. Jauh sekali untuk diamal dan diingati. Yang banyaknya terus
tersimpan dalam almari. Bertinta Kalam-Nya terus sepi. Amal ibadah sering
diketepi. Ibarat bola itu yang akan dibawa mati. Ya, PIALA AKHIRAT tidak
direbuti tapi Piala Dunia yang diburui. Di akhirat nanti pasti menyesal tiada
erti, bila jasad mula dimamah api..
“Sejijik beluncas bisa berubah
menjadi secantik Rama-rama, sejelik ulat mampu berubah menjadi seliar lalat.
Kedua-duanya berasal dari daratan juga mampu terbang di udara..” :-} Jangan
mudah menafsir sesuatu dengan hanya melihat kepada keburukan dan kebaikannya.
Kadang-kadang yang asalnya buruk bagi kita adalah baik untuk kita. Sedangkan
yang asalnya baik bagi kita adalah buruk untuk kita. Jangan remehkan kekurangan
diri sendiri sedangkan ianya baik untuk kita atau ianya baik kepada orang lain.
Jangan agungkan kelebihan diri sendiri biarpun ia baik untuk kita tapi
kadang-kadang buruk bagi orang lain. Jadi, insafi diri kita kerana setiap
kekurangan atau kelebihan itu kadang-kadang ada baik dan buruknya untuk kita..
“Sepanas SETERIKA adalah untuk
menggosok pakaian, bukannya untuk menggoreng telur..” :-} Setiap sesuatu ada
peranannya. Biarpun pada pertimbangan akal, ianya dirasakan boleh tapi
adakalanya ia menyalahi lazimnya. Ya, begitu juga dengan kita dalam hidup
bersyariat ini. Sesuatu yang pada pertimbangan akal, ianya dirasakan boleh tapi
adakalanya pada pertimbangan syarak, ianya tidak boleh kerana ianya di luar
kelaziman kita atau boleh mendatangkan mudharat kepada kita. Sesungguhnya Allah
lebih Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya dalam setiap suruhan
dan larangan-Nya. Justeru, ikutlah petunjuk iman, bukannya petunjuk akal dan
nafsu yang membabi buta dalam setiap urusan kehidupan kita..
“Deruan
ombak pantai, menggamit rasa damai, dari gemersik desirannya, mampu merehatkan
minda, merenung agung ciptaan-Nya, terbentang luas di pandangan mata, menjadi
terapi bagi jiwa, sejenak berfikir kebesaran-Nya, mencipta alam dengan
kehidupan, bertemankan daratan dan lautan..”
“Lazat dimakan, enak rasanya,
lemak manisnya menjadi kegemaran, diminati untuk dinikmati, nikmatnya
merangsang lisan hatta merembes air liur insan, begitulah lazatnya rasa coklat..”
:-} Begitulah kita manusia, alangkah manisnya hidup ini jika kita dapat merasai
nikmat ibadat selazat coklat. Pasti ianya diimpi dan diingini oleh kita semua.
Ibadat yang lazat, manisnya menusuk sukma, melahirkan kedamaian rasa,
menghayati ketenangan jiwa, kemuncaknya menikmati erti SYUKUR dan REDHA, hingga
terserlah rasa hamba, dalam pengabdian diri kepada-Nya. Selamat
berQiamullail!!! Carilah keampunan-Nya dalam tulus sujud dan munajat sebagai
hamba-Nya..
“Dalam banyaknya anak kunci yang
ada, seringkali anak kunci terakhir yang dapat membuka mangga idaman kita..”
:-} Begitulah hendaknya kesabaran kita dalam menghadapi kehidupan ini.
Kadang-kadang apa yang diimpi tidak seindah realiti. Kejayaan tidak secepat
mungkin dimiliki. Jika tidak dapat hari ini, esok mungkin masih ada lagi.
Jangan berputus asa kerana mungkin belum tiba masanya lagi. Ya, kesabaran
umpama anak kunci terakhir yang mampu menyubur rasa REDHA. Nilai kesabaran
adalah ganjaran pahala daripada-Nya. Justeru, bersabarlah dalam setiap kerja
usaha kita sebagai hamba-Nya. Kejayaan hakiki adalah apabila mendapat rahmat
dan keredhaan-Nya..
“Bercahaya dalam kepekatan malam,
berkerlipan riang berterbangan, menarik perhatian mata yang memandang, itulah
menariknya si KUNANG-KUNANG, sendiri pun mampu menawan, tambah berseri dalam
kawanan..” :-} Begitulah kita manusia, dikurnia kelebihan masing-masing.
Mulianya kita kerana ISLAM, ianya umpama cahaya yang menerangi alam. Islam
mengajar kita tentang AKHLAK. Cantiknya bila berhias dengan akhlak yang terpuji.
Memandu kita ke arah kebaikan. Biar sendirian, Allah tetap di hati. Saat
berteman, tercetus keamanan. Bila akhlak mulia menjadi perhiasan diri, pasti akan
mampu mempengaruhi jiwa insan-insan yang melihatnya.. (“,)v..
“Mustahil mendapat ikan, jika
mata kail tiada umpan..” :-} Begitulah seringkali pada matlamat kita dalam
memburu redha Allah s.w.t untuk ke syurga-Nya. Ya, kita memerlukan
keredhaan-Nya melebihi segala-galanya. Umpan bagi mendapatkannya adalah
ketaatan kita kepada-Nya. Itulah bekalan amal kebajikan kita ketika hidup di
dunia ini. Jadi, selama hayat ini, lakukanlah amalan-amalan yang membuatkan
Allah s.w.t redha kepada kita. Seperti mata kalil memerlukan umpan, begitu juga
kita memerlukan bekalan amal ketaatan dan bekalan terbaik adalah TAUBAT NASUHA.
Justeru, iringi hidup kita dengan sentiasa bertaubat kepada-Nya, kerana kita
adalah manusia yang sering membuat
dosa..
“Masih
ada lagi, biarpun sendirian. Hingga tiba satu saat nanti. Sendirian yang
sendiri. Sepi dan sunyi. Tiada lagi yang masih ada lagi seperti saat ini.
Itulah masanya bila kita telah MATI..”
“Pokok yang baik berasal dari
benih yang baik. Selalu dibajai dan disirami pemiliknya. Agar ia mampu berbuah
dan menghasilkan benih yang baik pula..” :-} Kebaikan perlu bermula dari hati
yang IKHLAS. Ya, jika hati elok, akan eloklah pekerti. Jika hati rosak, maka
akan rosaklah peribadi. Jaga dan didiklah hati agar sentiasa mengingati Ilahi.
Jangan biarkan hati mati sebab kurangnya zikir pada Ilahi. Hidupkan hati yang
mati dengan banyak mengingati mati. Agar melaluinya hati terus dekat dengan
Rabbil Izzati. Menyubur rasa taqwa dalam diri agar jiwa sentiasa berhati-hati
dengan hidup ini yang mana halalnya akan dihisab dan haramnya pula akan
diazab.. ;-(
“Bersyukurlah biarpun KUMBANG
berlalu pergi, namun RAMA-RAMA pula datang sebagai pengganti..” :-} Begitulah
dalam hidup ini, seringkali apa yang kita hajati tidak kesampaian, tapi Allah
s.w.t tetap memberi kepada kita sesuatu yang lebih baik untuk kita. Ya, kita
mesti redha dengan ketentuan-Nya kerana setiap apa yang diberikan kepada kita
adalah yang terbaik untuk kita. Jangan hanya memandang dengan pandangan
keduniaan, tapi lihatlah dari sudut keakhiratannya kepada kita. Nilailah hikmah
setiap ujian agar kita mendapat pengajaran daripadanya. Juga lihatlah sesuatu
dari sudut positifnya terlebih dahulu sebelum melihat negatifnya. Kemudian
pertimbangkanlah yang mana lebih baik untuk kita..
“Gegar jantung hati bila dilanda
kejutan. Deras denyut nadi tergigil belulang. Lemah rasa diri merimas tubuh
badan. Tegak bulu roma diusik ketakutan..” :-} Indahnya jika begitu rasa TAQWA
kita kepada-Nya. Ya, takut kita pada kemurkaan-Nya yang menjanjikan api neraka.
Panasnya berganda menyajikan kepedihan pada yang dibenci-Nya. Rasa TAQWA lahir
bila kita dekat dengan-Nya. Juga bila kita yakin pada kekuasaan-Nya.
Menyuburkan keimanan dalam diri kita. Sedikit pesanan yang perlu sentiasa
adaagar kita tidak terus lalai dan leka daripada matlamat kita sebagai
hamba-Nya. Bertaqwalah kita kepada Allah s.w.t.!!! Ya, pesan TAQWA buat kita
semua..
“Tidak salah bercinta asalkan
tidak bercouple..” :-} Cinta itu fitrah yang lahir dalam diri kita. Justeru,
sesiapa sahaja layak bercinta. Ya, bercinta yang bukan bercouple. Dua istilah
yang berbeza. Bercouple dalam ikatan yang tidak sah adalah haram di sisi
syarak. Bercouple boleh mendekatkan manusia pada kemurkaan-Nya. Justeru,
relakah kita menempuh sesebuah ikatan yang dimurkai oleh Allah s.w.t.? Fitrah
manusia ingin menyayangi dan disayangi. Ianya bukan sebab untuk menghalalkan
apa yang diharamkan oleh Islam. Jadi, perhubungan yang boleh jadi halal,
janganlah dimulakan dengan yang haram. Cinta yang indah hanya pada mereka yang
menghargai kesucian cinta..
“Bukan berapa banyak yang
diterima, tapi berapa banyak kesyukuran kita kepada-Nya..” :-} Mengejar dunia
itu satu kepenatan. Bila mendapat sesuatu pasti akan diimpikan sesuatu yang
lain pula. Dunia menjanjikan rasa tidak pernah cukup dengannya. Justeru, betapa
pentingnya sifat QANAAH dalam diri. Ya, apa yang diperolehi disyukuri dan apa
yang tidak didapati diredhai. Hakikatnya dunia ini adalah perhiasan semata.
Adanya dunia disusuli dengan ujian pengabdian. Oleh itu, jadilah hamba yang
bersyukur kepada penciptanya. Jua jadilah hamba yang mengabdikan seluruh
hidupnya kepada Allah s.w.t..
No comments:
Post a Comment