Terlebih dahulu insan ini
mengucapkan salam takziah buat Azizi sekeluarga di atas pemergian ayahandanya
yang tercinta pulang ke rahmatullah malam tadi. Semoga roh arwah ditempatkan di
kalangan orang-orang yang beriman dan sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah
s.w.t.
Al-Fatihah..
Semasa menulis post ini, insan
ini baru kembali dari majlis pengebumian arwah Ustaz Abdul Rahman Bin Abdul
Somad (Ustaz Pokme: Mantan Imam Muda Masjid As-Somadi Mukim Geting) di Tanah Perkuburan Neting pagi ini. Insan ini
turut merasai kesedihan ini dan masih terkejut dengan berita kematian yang baru
pagi tadi dimaklumkan oleh jemaah Masjid As-Somadi Mukim Geting berkenaan solat
jenazah arwah.
Terasa baru semalam berbual mesra
dengan arwah kerana minggu lepas insan ini menemani Nasrun ke rumah arwah untuk
mengambil barang-barang yang dipesan oleh anaknya, Azizi supaya dikirim kepada
seorang rakan yang akan ke Mesir bagi menyambung pengajiannya. Wajah arwah begitu ceria
dan tidak pernah sunyi dengan senyuman. Bercerita tentang pengalaman hidup
sebagai guru dan imam muda ketika itu. Cebisan nasihat dan kata-kata semangat
juga turut terselit dalam bicaranya. Apa yang paling menyentuh perasaan sempat
arwah mengusik insan ini tentang “undangan majlis walimah perkahwinan jika
berkahwin nanti” saat mahu berangkat pulang. Gurauan bersahaja yang membuat
insan ini tersenyum saat itu. Begitulah cerianya seorang insan yang disegani
dan dihormati bukan sahaja oleh keluarga dan kerabatnya tetapi juga oleh
sahabat handai, anak didik dan masyarakat umumnya.
Begitu pantas masa berlalu. Saat
ini, arwah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya untuk bertemu Penciptanya
selepas beberapa tahun ditimpa keuzuran. Gerimis hujan yang renyai-renyai
ketika acara pengebumian jenazah pagi ini seakan turut menangisi dan meratapi pemergian
insan yang banyak berjasa ini. Semoga arwah bahagia dan aman bersemadi di alam
sana serta mendapat keampunan dan keredhaan Allah s.w.t.
Ajal maut, jodoh pertemuan adalah
ketentuan Allah s.w.t. Apabila tiba waktu dan ketikanya maka kematian itu
pasti akan tiba jua. Tidak dipercepat mahupun dilambatkan walaupun sesaat
sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Munafiqun ayat ke 11 yang
bermaksud: “Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang apabila waktu
kematiannya telah datang. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”
Buat sahabat insan ini nun jauh
di bumi Mesir sana, bersabar dan redhalah dengan ketentuan Ilahi yang telah
tersurat ini. Semoga Allah s.w.t memberi kekuatan dan ketabahan kepadamu
sekeluarga menghadapi ketentuan-Nya. Teruskanlah perjuanganmu sahabat menuntut
mutiara ilmu di sana sehingga dapat mengenggam kejayaan yang kau impikan selama
ini.
Sambutlah salam takziah dari
sahabatmu ini…
No comments:
Post a Comment