“Barakallah lakuma wa baraka ‘alaikuma wa jama’a
bainakuma fil khoir”
Ucapan dan doa mengiringi
perjalanan dan perjuangan sahabat yang sedang melangkah ke fasa baru kehidupan
iaitu kehidupan berumah tangga. Tahniah diucapkan kepada Eyie dan pasangannya,
Sue yang telah disatukan dengan ikatan yang sah sebagai suami dan isteri.
Semoga pernikahan ini diberkati oleh Allah s.w.t dan semoga berbahagia hingga
ke akhir hayat dan meneruskan delegasi umat yang soleh dan solehah.
Post kali ini bukan untuk
menceritakan majlis walimah sahabat kita tetapi bagi merakamkan ucapan tahniah
kepada kedua pasangan pengantin dan tanda kesyukuran kita meraikan hari yang
bahagia bagi sahabat kita. Mudah-mudah dengan keberadaan kita bersama
meraikannya akan lebih membahagiakan kedua-dua pasangan mempelai yang baru
menempuhi gerbang perkahwinan.
Alhamdulillah, semakin ramai
sahabat kita yang telah mendirikan rumah tangga. Begitulah perubahan yang
berlaku saban hari. Jodoh pertemuan itu ketentuan Allah s.w.t. Teruslah
berusaha dan bersabar dalam usaha mendapatkannya. Panjatkan doa kepada-Nya agar
dikurniakan pasangan hidup yang baik agamanya, berasal dari keturunan yang baik
dan memiliki kecantikan yang mampu menenangkan jiwa kita serta mempunyai harta
yang baik lagi berkat sebagaimana ciri-ciri pasangan yang telah diperkatakan
oleh Nabi Muhammad s.a.w melalui sabdanya: “Dinikahi seseorang wanita itu
kerana empat perkara; hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka
pilihlah yang beragama, nescaya kamu akan beroleh keuntungan.” (Riwayat
Bukhari dan Muslim).
Bersatu dua jiwa..
Juga tidak dilupakan ucapan
tahniah dan doa kepada sahabat seperjuangan kita Jijie dan pasangannya Madihah,
yang telah melangsungkan perkahwinan di bumi Mesir sana pada hari raya
Aidilfitri yang lalu. Jauh berkelana, bersatu jua akhirnya nun jauh di bumi
anbiya’. Biarpun tidak berkesempatan meraikannya bersama-sama, namun doa kami
akan terus mengiringi perjalanan dan perjuangan kalian. Akhirnya bersatu dua
jiwa. Tahniah!!! Semoga Allah memberkati pernikahan kalian dan semoga
berbahagia hingga ke akhirnya. Teruslah mencipta syurga dalam rumah tangga
dengan ketulusan cinta kepada-Nya.
Firman Allah s.w.t dalam surah
al-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari
jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan
dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih sayang dan rahmah.” Begitulah
lumrahnya hidup ini, setiap manusia mengimpikan pasangan hidup masing-masing. Lelaki
inginkan wanita dan begitulah sebaliknya. Saling memerlukan antara satu sama
yang lain bagi memenuhi tuntutan zahir
dan batin.
Itulah realitinya, daripada satu
menjadi dua dan seterusnya berkembang menjadi sebuah keluarga yang lebih besar.
Agar ummah terus berkembang, berkahwinlah jika berkemampuan kerana Rasulullah
s.a.w sendiri berbangga mempunyai umat yang ramai. Agar perhubungan yang halal
antara lelaki dan perempuan tidak dimulakan dengan yang haram seperti
kebanyakan manusia pada zaman ini. Berhati-hatilah kita dalam pergaulan dengan
insan yang bukan muhrim kepada kita. Jagalah batasan adab dan pergaulan seperti
yang telah digariskan dalam syariat Islam.
Agar cinta sampai ke syurga,
sulamilah ianya dengan iman dan taqwa!!!
amboi2...post sal tawen yep?x se ikut jejak langkah lg ke?
ReplyDelete