Dunia tempat ujian. Akhirat pula tempat menerima keputusan. Sama ada baik atau tidak keputusan yang kita akan dapat nanti adalah bergantung kepada usaha kita dalam menempuhi ujian dalam kehidupan ini. Yang pasti, carilah kebenaran sebagai jawapan.
Kita diberi masa
yang berbeza dalam menempuhi ujian. Tidak bererti lamanya masa menghadapi ujian
itu menjadikan kita insan yang berjaya. Tetapi apa yang kita lakukan di dalam
masa ujian ini jika selaras dengan tuntutan Allah s.w.t, maka kita insya-Allah
akan lulus ujian kehidupan ini.
Di sinilah kita sekarang.
Di medan ujian. Di sekolah kehidupan, atau di universiti kehidupan barangkali.
Kita sedang melalui detik-detik ujian. Tempohnya adalah selama mana umur kita
diperuntukkan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah menjadikan kematian dan
kehidupan itu sebagai ujian kepada kita yang mana lebih baik amalannya di sisi
Allah s.w.t.
Kita adalah
manusia. Sejak di alam roh lagi kita telah mengakui Allah itu adalah Pencipta
kita. Sebaik menjejak kaki ke dunia, ingatan terhadap pengakuan bahawa Allah
ialah Pencipta kita telah diluputkan dari ingatan kita sama ada kita manusia
baik ataupun jahat, Islam atau bukan Islam. Kita tidak ingat akan suasana pengakuan
itu terjadi!
Tetapi Allah
s.w.t tidak kejam kepada kita. Allah tidak membiarkan kita terus lupa. Allah
s.w.t telah mengutuskan kepada kita para rasul untuk menceritakan kembali
saat-saat terjadinya pengakuan itu kepada kita. Benar, melalui wahyu yang
disampaikan kepada kita yang wajib kita yakini kebenaran firman-Nya.
Di dunia yang
menjadi tempat menduduki ujian Allah ini, kita tidak mengingatinya kerana
itulah ujian. Jika kita semua mengingatinya, di manakah lagi ujian itu? Ibarat
seorang pelajar di sekolah yang belajar sesuatu ilmu daripada guru-gurunya.
Tiba masanya guru itu melaksanakan ujian untuk menguji pelajar-pelajarnya.
Semasa ujian, pelajar perlu menjawab apa yang mereka faham tentang sesuatu
ilmu. Jika semasa berlangsungnya ujian, boleh merujuk buku teks atau apa-apa
jenis rujukan, sesuaikah ianya dipanggil ‘ujian’?.
Tidak bukan.
Justeru, bila hidup ini tempat ujian maka selayaknya Allah meluputkan ingatan
pengakuan kita bahawa Allah itu tuhan yang menciptakan kita ketika di alam roh
agar kita melalui ujian yang benar-benar dipanggil ‘ujian’? Sebab kita tidak
ingat. Jika kita semua ingat, mungkin semua manusia beriman kepada Allah di atas
muka bumi ini.
Justeru, kita
perlu berusaha mencari jawapan yang sebenar-benarnya. Allah telah menghantar
para rasul untuk mengajak manusia menerima kebenaran dan beriman kepada Allah
s.w.t. Melalui para rasul diturunkan wahyu sebagai panduan menempuhi ujian. Maka,
jika kita ingin lulus dalam ujian di sekolah kehidupan ini, semestinya kita
mengikuti ajaran para rasul yang mengajak kita beriman kepada Allah yang Maha
Esa.
Semoga kita
diberi taufik dan hidayah oleh Allah s.w.t untuk terus berada di atas jalan
kebenaran. Sesungguhnya agama yang diredhai oleh Allah s.w.t adalah Islam.
Belajarlah dan fahami agama yang suci ini sebaik-baiknya. Jika ingin mengenali
Islam, belajarlah dan fahamilah agama Islam itu bukannya melihat pada
penganutnya. Fahamilah Islam kerana ianya agama yang suci dan diredhai.
Dunia tempat
ujian, sentiasalah di atas jalan kebenaran. Di situlah adanya jawapan!
No comments:
Post a Comment