Sepinya malam ini. Rasa sunyi sekali. Detik-detik sebegini dirasakan keterlambatannya sahaja. Maklumlah bersendirian ketika ini saat semua teman-teman serumah sewa di sini telah pun berangkat untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Insan ini masih lagi di sini.
Kerana masih perlu meneruskan tugas di sini. Masih belum cuti biarpun hati ini
sudah pun bercuti. Menerawang jauh ke halaman bonda seminggu ini. Menanti
saat detik waktunya untuk terbang ke tanah semenanjung sana. Seterusnya terbang
ke negeri tercinta. Kelantan Darul Naim.
Sabarlah wahai hati. Cuba
menenangkan diri dalam kesepian ini. Dalam kalutan rindu di sanubari. Hati
tidak keruan lagi. Amat terasa sunyi. Biarpun bukan kali pertama merasai
pengalaman sebegini. Namun ini kali pertama berada jauh merentas lautan biru.
Jadi perasaan itu juga pasti berbeza dengan yang sebelum ini.
Enam bulan di sini. Kaki ini tidak
menjejak pulang lagi ke halaman bonda semenjak dihantar ke bumi kenyalang ini.
Lamanya di perantauan ini buat pertama kali di sini sekalipun tidak selama
sahabat-sahabat di bumi anbiya’ sana. Berbeza kerana di sini hanya dipisahkan Laut
China Selatan sedangkan teman-teman di sana merentas pelbagai negara. Jarak
mereka jauh sedangkan insan ini dekat. Seandainya alasan mereka adalah kos
perjalanan yang beribu-ribu menyebabkan mereka sering terpaksa menyimpan hasrat
untuk merealisasikan impian pulang menyambut lebaran di kampung halaman tetapi
bagi insan ini bukannya kos sebaliknya kemahuan dan kehendak sama ada untuk
pulang ke kampung halaman atau pun tidak.
Keterikatan dengan kontrak bagi kursus
perguruan menyebabkan insan ini sering tidak boleh pulang ke halaman bonda saat
cuti sekolah menjelma kerana perlu mengikuti kursus dalam cuti di sini. Mungkin
merealisasikan impian pulang ke kampung hanya pada cuti raya Aidilfitri dan cuti
pada akhir tahun ini sahaja untuk pulang bercuti di kampung halaman. Selebihnya
perlu berada di pusat pengajian selama tempoh 18 bulan kontrak ini. Bila lagi
jika bukan pada hari raya Aidilfitri ini untuk mengubati kerinduan di hati ini.
Bukan alasan untuk tidak cuba
menyambut hari raya di perantauan tetapi insan ini mempunyai peluang dan ruang
untuk pulang seketika menjenguk ayahbonda dan sanak saudara serta teman-teman
di kampung halaman setelah berbulan-bulan berkhidmat di sini. Maka seharusnya
peluang itu direbut dengan sebaik-baiknya.
Insya-Allah akan terbang ke tanah
semenanjung pada hari Jumaat ini bersamaan 17 Ogos 2012. Pulang untuk berhari
raya di kampung halaman. Doakanlah perjalanan insan ini dan sahabat-sahabat
semuanya mudah-mudahan selamat sampai ke destinasi nanti. Tunggulah kepulangan kami. Insya-Allah kita bertemu nanti di hari lebaran pada tahun ini. Jom balik
kampung!!!
Salam dari perantauan. Selamat
Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin…
No comments:
Post a Comment