Bertahun meniti ukhuwah ini. Kita mewarnainya dengan pelbagai ragam dan karenah kita. Hakikatnya perpisahan terjadi jua. Ada yang setia dan ada yang lupa pada ukhuwah ini. Ada yang menghargai dan ada yang hanya biasa-biasa dengan ukhuwah ini. Memandang dengan sebelah mata tanpa pengertian dan tanpa makna. Mungkin hanya setakat itu maksud ukhuwah dalam dirinya. Setakat bila hanya berada di depan mata. Tidak ambil tahu dan tidak pernah kisah apa tugas dan peranan sebenar dirinya dalam ukhuwah yang terjalin.
Menjadi pendengar setia. Itulah
tugas dan peranan sebagai seorang teman buat sahabatnya. Mendengar luahan
sahabat-sahabat. Ada ketika menjadi amanah yang tersimpan. Atas dasar
kepercayaan dan kejujuran. Ada ketika menjadi tempat mengadu rasa hati yang
sarat menahan bebanan rasa. Diluah sepenuh rasa melepaskan derita yang
terpendam di jiwa.
Dengan siapa lagi jika tidak
dengan sahabatnya. Berkongsi rasa meluah bicara. Mungkin kerana selesa dan
terbiasa. Keakraban yang mungkin terasa. Kepercayaan mengatasi keberatan rasa.
Menanggung rahsia hati nun jauh terpendam di dasarnya. Membuka bicara dan
menutur kata. Melepaskan segala kekusutan yang ada. Agar diperhati dan wujud
prihatin.
Terkadang menjadi penasihat.
Itulah tugas dan peranan seorang teman buat sahabatnya. Agar teman terus gagah
melawan rasa. Walaupun pahit menusuk sukma. Jika masih ada manisnya, pasti akan
terasa jua akhirnya. Kerana begitu besar kuasa kata-kata. Mampu mendorong
kekuatan rasa. Saat lemah menguasai hatinya. Hadir mengubati rasa. Juga mampu
mempengaruhi jiwa.
Dari siapa lagi jika bukan dari
sahabatnya. Sepatah kata menguatkan jiwa. Sepatah bicara menegur alpa. Biarpun
tidak pernah diminta. Ungkapan kata membuah ceria. Luahan bicara menggamit
mesra. Tanda ingatan setia persahabatannya. Mungkin pada lembaran hari yang
kian dilupa. Hadirnya pasti amat bermakna. Menjentik rasa mengubah suasana.
Jadilah sahabat yang
bersahabat..
Betapa ramai menjadi sahabat
hanya pada fitrah nama. Istilah yang terbiasa diguna pakai dalam kamus-kamus
bahasa. Jadilah sahabat yang bersahabat. Dalam apa jua situasi dan keadaannya.
Bukan hanya di depan sahabatnya tetapi ketika di sisinya tiada. Bersahabat
menjadikan kita lebih terasa dekat dan hampir dengan sahabat. Bukan pada istilah
nama semata-mata. Sebaliknya merangkumi jiwa dan raga. Berkongsi rasa percaya
dan cinta.
Sahabat yang bersahabat tidak
akan pernah meninggalkan persahabatannya. Saat berdekatan mahupun berjauhan.
Tidak putus perhubungannya. Sekali pun hanya dalam tadahan doa buat sahabatnya.
Tidak pernah melupakan peranannya sebagai seorang sahabat. Terus menemani
perjalanan dan perjuangan sahabatnya. Biarpun tidak bersama pada hakikatnya.
Sahabat yang bersahabat akan
terus menghargai persahabatannya. Akan terus setia dalam perhubungan biar apa
pun yang berlaku. Rela menelan kepahitan demi persahabatannya. Sedaya upaya
berusaha membahagiakan dan mengembirakan hati sahabatnya. Terus berusaha
menceriakan persahabatannya. Mengerti akan peranannya sebagai teman kepada sahabatnya.
Terus berkorban mempertahankan persahabatannya. Biarpun pengorbanan itu
langsung tidak dipeduli. Hanya sekadar dipandang dengan mata bukan dengan mata
hati oleh sahabatnya.
Sahabat yang bersahabat
seringkali memiliki telepati rasa. Ianya anugerah yang amat berharga. Sering
terasa resah bila ada yang tidak kena pada sahabatnya. Sering terasa gelisah
bila mengetahui perkhabaran hiba. Tidak senang duduk jika sekadar
membiarkannya. Membuatkannya prihatin dan rasa bersama sentiasa. Saat suka dan
duka dikongsi bersama. Kesakitan dan kesedihan ditanggung bersama. Telepati
rasa yang terkadang tepat meneka rasa terpendam hanya dengan melihat luaran
sahabatnya.
Sukarnya memiliki sahabat
sejati..
Sahabat sejati yang sentiasa
mengingatkan kita kepada Ilahi. Sahabat yang tidak pernah jemu menjadi sahabat
kita. Sahabat yang sentiasa menasihati ketika kita tersilap langkah. Sahabat
yang membimbing ke arah kebenaran. Sahabat yang sentiasa mengingatkan kita jika
kita terleka dan alpa. Sahabat yang cinta kepada sahabatnya kerana Allah s.w.t.
Bukan hanya pada bicaranya tetapi juga pada pembuktian peranannya. Sahabat yang
menghargai kita semasa berada di sisi dan terus menghargai biarpun kita tiada
di sisinya. Sahabat yang setia menjaga amanah dan menyimpan rahsia kita dan
juga sahabat yang sentiasa menjaga dan membela maruah kita.
Sukarnya memiliki sahabat sejati.
Sahabat yang sering diimpikan oleh kita. Begitu indah madah Imam As-Syafie
berkenaan sahabat sejati: “Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwaku,
sahabat yang baik ialah yang seiring denganku dan menjaga nama baikku ketika
aku hidup atau selepas mati, ku hulurkan tangan kepada sahabatku kerana aku
akan merasa senang, semakin ramai sahabat aku semakin percaya diri, aku selalu
berharap akan mendapat sahabat sejati yang tidak luntur dalam suka atau duka,
jika aku dapat aku ingin setia padanya.”
Tiada salah mencari dan mengharap
untuk beroleh sahabat sejati. Sahabat yang mengerti dan memahami tuntutan berukhuwah
atas dasar keimanan. Saling berkasih sayang kerana Allah. Dalam mencari
kesempurnaan iman yang tersimpan di sebalik ukhuwah Islam. Ya, beruntunglah
sesiapa yang memiliki sahabat sejati. Sahabat yang sentiasa mendekatkan diri kita
kepada Allah s.w.t. Dalam tutur bicaranya, dalam amal perbuatannya, dalam gurau
sendanya, dalam lembut kemesraannya dan dalam butir nasihatnya yang sentiasa
mendorong kita mengingati Allah s.w.t dan menyuntik semangat dalam meningkatkan
keimanan dalam amalan seharian.
Indahnya memiliki sahabat sejati
yang tidak jemu mengajak kita ke syurgawi!!!
No comments:
Post a Comment