“Harap2, awok2 kita jange pecoh sapa bilo2 biar apa pun yang
berlaku..”
“Biarpun sek2 kito masing2 doh berumah tangga lepas ni, masih ada
masa untuk ukhuwah ini..”
Begitu besar harapan teman-teman.
Begitu juga harapan insan ini. Hati tersentuh mendengar bicara ini. Ya, ukhuwah
kini tidak serancak dulu. Insan ini mengakuinya. Malah bukan insan ini sahaja
menyedari. Sebaliknya kita semua mengetahui. Ukhuwah ini tidak semesra dulu.
Masing-masing memahami kenapa dan mengapa begitu jadinya. Namun dalam tidak
rancaknya ukhuwah ini masih tetap terasa kehadirannya. Tidak semua pun, masih
tetap ada.
Harapan-harapan ini masih
bersinar selagi masih ada insan yang sudi menjadikannya realiti. Masih ada
insan yang rela menggilap sirna yang sering wujud dalam ukhuwah ini. Biarpun
harapan-harapan ini dilihat seakan-akan fatamorgana apabila melihat realiti
kini. Soalnya siapa?. Siapa saja yang berada dalam ruang lingkup ukhuwah ini.
Jika dia rasa dia sahabat untuk sahabatnya. Dia pasti inginkan ukhuwah ini
selama-lamanya ada. Subur di tamannya. Ya, taman ukhuwah ini yang selama ini
dibina. Bertahun-tahun lamanya merentas masa dan tempat. Adakah yang berani memusnahkannya?
Jangan pandang sebelah mata
ukhuwah ini. Akuilah banyak jasa insan-insan di dalamnya untuk diri kita.
Mereka adalah teman-teman kita. Ya, sahabat-sahabat kita. Bohong jika ada yang
mengatakan bahawa mereka tiada kaitan langsung dalam menentukan siapa dirinya
ketika ini. Tipu! Dusta! Kita memang tahu kita di mana. Kita kenal siapa kita.
Hakikatnya, jiwa kita kosong tanpa mereka di sisi kita. Biarpun kita miliki
segalanya tapi kita masih perlukan mereka untuk berkongsi cerita, meluahkan
rasa, malah untuk gembira. Kuatkah kita tanpa sahabat-sahabat kita?
Mereka kenal kita. Yang penting
kita juga kenal mereka. Saling mengenali. Suatu ketika, masa kita banyak
dihabiskan bersama mereka. Ya, ke sana ke mari membina ikatan ukhuwah ini.
Keakraban amat terasa. Eratnya hubungan kita. Seperti adik beradik layaknya.
Kita bagai sekeluarga. Ya, keluarga dalam ukhuwah ini. Biar keluarga dalam
ukhuwah ini tidak beribu dan tidak berbapa! Hanya yang ada adik beradik semata.
Alamak.. Yatim piatu la kita kalau macam ni? Ya, hakikatnya memang begitu. Kita
tidak kuat sendiri. Kita kuat kerana hadirnya insan-insan yang menguatkan kita.
Tidak mengapa yatim piatu tetapi masih ada adik beradik membantu. Beruntungnya
kita.. Ada sahabat-sahabat kita..
Kadang-kadang kita rasa semakin
bebas dari belenggu ukhuwah ini. Kita sudah jauh daripadanya. Bebas dari
peranan kita untuknya. Bebas dari pandangan insan yang telah biasa bersama
kita. Adakah akan semudah itu untuk kita lupakan mereka? Bagaikan tidak
berharga dan bernilai. Kita tinggalkan ukhuwah ini. Sepi untuk terus sepi dan
semakin sepi. Hati kita pasti menidakkannya. Tapi tingkah laku kita
kadang-kadang mengiyakan. Benar bukan? Kita sering lupa insan-insan ini bila
kita rasa semakin kuat. Berdikari kononnya. Kita rasa biasa-biasa saja kini.
Biasa yang menjadi kebiasaan. Akhirnya mematikan rasa pada insan-insan yang
berjasa ini.
Perananmu perananku..
“Buat apa hendak terasa, kita kena sedar, kita semua sudah besar.”
“Aku buat biasa sahaja biarpun
aku terasa.”
Memendam rasa. Makan hati. Pahit
terasa. Lumrahnya begitu. Jika kita memberi untuk dibalas, kita akan terus
terasa. Tidak puas hati agaknya selagi tidak menerima. Memberi bukan bererti
untuk menerima seperti yang diberi atau sekurang-kurangnya untuk dihargai.
Memberi kerana kita mesti memberi untuk kepuasan hati. Memberi kerana kita rasa
perlu memberi. Memberi dan terus memberi. Kerana yang memberi itu terlebih
dahulu merasai dan menghargai. Sesiapa yang memberi pasti dia memiliki. Dia
sebenarnya kaya. Jika memberi dengan harta, bererti dia kaya harta. Jika dia
memberi dengan hati, dia kaya hati. Jika dengan rasa, dia kaya rasa.
Untuk ukhuwah ini. Setiap kita
mesti berperanan. Perananmu akan menjadikan ukhuwah ini bermakna. Juga peranan
insan ini akan turut mewarnainya. Saling berperanan. Bukan hanya sebelah pihak
semata. Adanya ukhuwah ini kerana adanya peranan. Masih wujudkah ukhuwah jika
tiada peranan? Untuk apa lagi ikatan ukhuwah jika tanpa fungsinya?
Kita lupa untuk renung kembali.
Sejarah ukhuwah kita. Buat apa? Untuk kita melihat kesuraman ini. Di manakah
puncanya? Sebab dan musababnya. Kita gagal memuhasabah diri dan ukhuwah kita. “Ah..
Itu cerita dulu. Dah basi dah. Kini semua berbeza. Masing-masing sudah berjaya.
Semuanya di merata-rata. Ada komitmen masing-masing!!!” Begitulah kita
mempertahankan keegoan kita. Ya.. Memang benar, itu sejarah kita. Kenangan
kita. Ukhuwah kita. Telah berlalu meninggalkan kita. Terus pergi ditelan masa.
Adakah kita tidak mampu menciptanya semula? Biarpun tidak sama. Tapi terus
tercipta kerana kita yang menciptanya.
Kita menanggung hutang keegoan
kita. Kalau tidak kita pun. Mungkin sahabat-sahabat kita yang terpaksa
menanggungnya. Terpaksa membayar hutang keegoan kita. Bukan dengan wang dan
harta. Tapi dengan hati dan rasa. Mereka mungkin terasa hati dengan keegoan
kita. Lupa kita pada ukhuwah ini. Namun baiknya mereka kerana tidak menuntut
gantinya. Namun tetap akan terkesan secara umumnya terhadap ukhuwah kita. Akhirnya
sepi dan terus menyepi. Bila ukhuwah ini kehilangan rasa manisnya. Tidak
berharga tiada serinya.
Kita memberi tanda noktah
terhadap ukhuwah ini. Kita sudah tawar untuk memberi. Kita sudah terasa sukar
berperanan. Kita memilih untuk terus ego. Bersikap acuh tak acuh saja. Ukhuwahlah
yang menerima kesannya. Berperanan dan teruslah berperanan. Kita pasti merasai
kepuasannya. Jangan diharap balasan manusia. Kerana ramai manusia yang tidak
pandai menghargai. Berperananlah kerana Allah sebab pembalasan-Nya yang terbaik
dan paling adil.
Agar harapan menjadi kenyataan, marilah kita bersama memainkan
peranan!!!
No comments:
Post a Comment