“Anta ni
suka sangat bergurau mesra dengan budak-budak..”
“Ana lihat anta layan budak-budak tu macam adik-adik
sendiri..”
Insan ini tersenyum mendengar
kenyataan ini suatu ketika. Jauh di sudut hati insan ini mengatakan ia sebenarnya
adalah satu kebiasaan dalam diri. Sebaliknya ia adalah satu situasi yang
dibentuk dan dididik dalam diri ini bagi melahirkan kemesraan sesama insan. Alhamdulillah..
Allah s.w.t mengurniakan sekeping hati yang penuh kelembutan di sebalik ketegasan
yang tetap wujud dalam diri ini. Itulah hati yang subur dengan rasa kasih dan
sayang bagi menghiasi sesebuah ikatan dalam kehidupan ini. Di sebalik kelembutan
hati itulah yang sering mengindahkan suasana dalam berukhuwah dengan segala
rasa cinta, kasih sayang, bertimbang rasa dan prihatin terhadap ukhuwah yang
dibina. Ya, indahnya hidup ini kerana ianya adalah sebuah perkongsian.
Berkongsi bererti kita perlu memberi dan menginfaqkan apa yang kita miliki sama
ada harta benda, ilmu, perasaan hati dan sebagainya kepada sesama makhluk-Nya. Saling
memberi dan saling menerima. Barulah kita akan menikmati keindahan dalam hidup
ini.
Bukan mudah jika kita tidak
mendidik hati kita untuk bermesra dengan budak-budak seperti adik-adik kita. Biasanya
perbezaan umur pasti akan menjarakkan hubungan kita dengan budak-budak yang
jauh lebih muda usianya daripada kita. Lebih-lebih lagi jika mereka yang tidak
mengenali kita atau mengenali kita sedikit sahaja. Juga jika antara kita dengan
mereka tiada pertalian darah dan kita tidak pula dikenali oleh mereka sejak
mereka kecil lagi. Kadang-kadang kita yang lebih dewasa ini pun adakalanya berasa
rimas dengan budak-budak. Ya, mereka dengan dunia mereka sendiri. Kita juga pasti
pernah melaluinya saat itu suatu ketika dulu. Mereka ada rakan-rakan mereka
sendiri. Mana mungkin mereka mudah mendekati kita yang lebih dewasa. Begitulah
juga dengan kita. Ada dunia kita sendiri.
Namun ianya bukan alasan untuk
terus menjarakkan hubungan. Sebaliknya kita perlu melahirkan kemesraan dengan
mereka. Kita yang lebih dewasa perlu menunjukkan rasa kasih sayang kita kepada
mereka agar mereka tidak takut dan tidak malu untuk mendekati kita. Kita juga
manusia seperti mereka. Tiada sebab untuk ditakuti dan dimalukan oleh mereka. Cuma
jarak umur yang membezakan kita dengan mereka yang mungkin melahirkan perasaan
itu. Jadi, apabila kita menunjukkan kemesraan kita kepada mereka, insya-Allah
mereka akan lebih menghormati kita dan merasa senang di samping kita.
Untuk melahirkan kemesraan dengan
budak-budak atau ‘adik-adik’, gunalah bahasa yang setaraf dengan mereka dari
sudut membahasakan diri kita dan diri mereka. Jangan menggunakan bahasa seperti
bahasa kita dengan teman-teman sebaya kita. Tidak praktikal untuk melahirkan
kemesraan. Justeru, gunalah bahasa-bahasa yang sesuai dalam berkomunikasi
dengan mereka. Panggillah nama mereka dengan panggilan yang manja. Berlembutlah
ketika bergurau senda dengan mereka. Cubalah pelbagai pendekatan untuk
melahirkan kemesraan dalam hubungan kita dengan mereka. Kita pasti mempunyai
cara tersendiri untuk memikat hati dan perasaan mereka.
Jika mampu membelai mereka, maka belailah
mereka. Zahirkan kasih sayang kita melalui tindakan kita. Sesekali jika mampu
memeluk mereka, maka peluklah mereka. Berikan perhatian bila berbicara dengan
mereka. Dengarlah percakapan mereka dengan sebaiknya. Tumpu dan lihatlah kepada
wajah mereka. Ukirlah senyuman penuh mesra. Sesekali kita perlu memainkan memek
muka dengan mereka. Agar mereka merasa terhibur dan merasa tenang bersama kita.
Tunjukkan kepada mereka yang kita seorang yang mudah didekati dan raikanlah
mereka seperti adik-adik kita sendiri. Kita perlu berada dalam dunia mereka
seketika bagi melayan karenah mereka agar mereka rasa ‘bersama’ dengan kehadiran
kita.
Hargailah adik-adikmu..
“Bertuahnya kamu miliki adik-adik yang comel. Jurus pula tu..”
“Mesti seronok ada adik-adik
tempat kita mencurahkan kasih sayang kita..”
Cebisan kata-kata insan ini buat
seorang sahabat suatu ketika. Mungkin biasa bagi dirinya kerana memiliki
adik-adik untuk bermain, bergurau dan bermanja. Tapi bagi insan ini, sepastinya
lebih merasakan kekurangan yang wujud tanpa adik-adik bagi mencurah perasaan
kasih sayang dan bermanja dengan mereka. Biarpun memiliki seorang adik
perempuan namun ianya tetap tidak sama kerana ada batasan-batasan tertentu
dalam gurauan bersamanya. Maklumlah sifat wanita, tidak sama dengan lelaki.
Lagi pun pula jarak umur dengannya terlalu rapat.
Bukan tidak mensyukuri dan tidak
menghargai pemberian-Nya tetapi hati ini tetap merasakan seperti adanya
kekurangan dalam hidup ini apabila melihat kemesraan orang lain yang begitu
akrab bersama adik-adik mereka. Cemburu!. Tidak salah cemburu yang hanya ada
rasa cinta bukannya kerana benci atau cemburu secara membabi buta. Insan ini memang
merasai kekurangan yang ada, namun insan ini tetap redha pada ketentuan-Nya. Ya,
bertuahlah mereka yang dianugerahkan semua itu. Memiliki adik-adik yang
dijadikan tempat bermesra dan bermanja serta dapat dijadikan sebagai teman
dalam kehidupan sebuah keluarga. Justeru, hargailah adik-adikmu. Merekalah
permata-permata hati anugerah Ilahi buatmu. Hadir mereka sudah pasti
membahagiakan dan menceriakan suasana dalam keluargamu. Hargailah mereka!!!.
Mungkin itulah antara sebab insan
ini amat senang bergaul dengan ‘adik-adik’ bagi insan ini. Ya, sebagai tempat bermanja
dan mencurahkan perasaan kasih sayang dalam diri ini. Alhamdulillah..
Syukur kepada Allah s.w.t yang tetap menghadirkan ‘adik-adik’ yang sudi bergaul
mesra dengan insan ini. Permata-permata hati, tempat insan ini tumpang bermanja
dengan mereka seperti adik-adik sendiri. Berkongsi keindahan rasa dalam ikatan
ukhuwah ini. Juga bersyukur kerana Allah
s.w.t mengurniakan insan ini adik-beradik yang lain. Sekurang-kurangnya insan
ini dapat merasai nikmat memiliki abang dan kakak serta seorang adik perempuan juga.
Jauh berbeza dengan anak tunggal. Ya, pasti mereka lebih sepi hidup tanpa
kehadiran insan lain dalam keluarga dengan hanya memiliki ayah dan ibu sahaja.
Entah bagaimana rasanya jika dipilih Allah s.w.t berada pada situasi begitu.
Sedangkan yang ada, rasanya belum mencukupi, inikan pula yang tiada. Justeru,
dalam kelebihan yang ada, prihatinlah pada yang tiada. Syukur kepada-Nya.
Biarpun tidak ramai tetapi tetap
ada. Merekalah ‘adik-adik’ bagi insan ini. Insan ini menghargai kehadiran
mereka. Biarpun tidak selalu bersama mereka dan tidak pula berjumpa sebagai
satu keluarga tetapi ianya sudah cukup bagi insan ini untuk merasai sedikit apa
yang dirasakan insan-insan lain yang memiliki permata-permata hati ini.
Begitulah indahnya Allah s.w.t. mengatur kehidupan ini dalam perhubungan sesama
manusia. Yang ada disyukuri, yang hadir dihargai dan yang tiada boleh dikongsi.
Sebab ikatan persaudaraan itu tidak menghalang perhubungan sesama insan biarpun
berbeza darah keturunan, umur dan darjat kerana tetap bersatu dalam akidah
keimanan kepada Allah s.w.t. Justeru, Islam amat mementingkan aspek muamalat
sesama manusia dalam berkongsi perasaan cinta, dan kasih sayang. Ia juga
menjadi prasyarat bagi memiliki iman yang sempurna.
Istilah “angkat” melahirkan rasa
akrab dan erat..
“Temankan ana ke rumah
keluarga angkat ana..”
Seringkali ia pernah singgah di
ruang pendengaran insan ini dari teman-teman . Salahkah untuk memiliki
seseorang dengan istilah ‘angkat’? Bergantung pada diri kita. Selagi mana kita
tidak melanggar batasan syariat dalam pergaulan selagi itu ianya diharuskan. Sebaliknya
jika kita melanggar batasan syariat, maka ianya diharamkan. Jika kita sering
mengikuti program-program kemasyarakatan yang melibatkan keluarga angkat, kita
akan menjalinkan hubungan dengan semua ahli dalam keluarga angkat kita. Bahkan
juga saudara-mara dan jiran tetangga mereka. Di situ, terjalinnya ukhuwah
sesama insan. Ya, begitulah istilah keluarga angkat yang sering kita dengar.
Ianya istilah untuk melahirkan rasa akrab dan erat. Di situlah wujudnya istilah
adik angkat, abang angkat, kakak angkat, ibu angkat dan ayah angkat.
Istilah ‘angkat’ seakan sebati
dan sinonim dalam kehidupan masyarakat kita terutamanya bagi golongan
mahasiswa. Namun di dalamnya tetap ada batasan yang perlu dijaga dan dipelihara
terutamanya batasan aurat dan pergaulan dengan mereka yang bukan muhrim dengan
kita. Ianya perlu dipelihara dan dikawal agar tidak menimbulkan fitnah dan
mendatangkan dosa. Istilah ‘angkat’ tidak menghalalkan pergaulan bebas antara
lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Justeru, berhati-hatilah dengan istilah-istilah
‘angkat’ kerana dibimbangi diri kita akan bergelumang dengan dosa dan noda jika
kita tidak menjaga hukum-hakam syariat dalam aspek pergaulan kita dengan mereka.
Jika kita memerlukannya bagi melahirkan keakraban dan kemesraan serta
mencurahkan perasaan kasih sayang kita kepada mereka, sebaik-baiknya pilihlah
mereka yang sejantina atau semuhrim dengan kita agar batasan aurat mudah
dipelihara dan dijaga.
Kita pasti mempunyai persepsi
kita masing-masing berkenaan istilah ‘angkat’ ini. Ada yang menyenanginya dan
ada pula yang meremehkannya. Jika kita melihat dalam sejarah Islam, Nabi
Muhammad s.a.w sendiri memiliki seorang anak angkat iaitu Zaid bin Harithah. Jadi,
hubungan anak ‘angkat’ ini akan merangkumi pelbagai istilah ‘angkat’ yang lain
kerana ianya sudah tentu melibatkan satu keluarga. Baginda s.a.w amat
menyayangi Zaid bin Harithah. Keakraban dan kemesraan antara Rasulullah s.a.w
dengan anak angkatnya itu menyebabkan golongan masyarakat pada ketika itu
memanggil dan menggelarkan Zaid dengan gelaran Zaid Bin Muhammad. Namun, ianya
dilarang dan ditegah oleh Allah s.w.t melalui firman-Nya di dalam al-Quran yang
menyuruh agar manusia memanggil anak-anak angkat dengan dinasabkan kepada bapa
kandungnya. Ya, istilah saudara ‘angkat’ bukanlah bererti sama seperti
adik-beradik kandung kita dan mereka tidak boleh mewarisi harta pusaka tetapi
istilah ‘angkat’ itu akan lebih melahirkan rasa akrab dan erat. Justeru, dalam
Islam sendiri mempunyai contoh yang jelas dan terbaik berkenaan istilah
‘angkat’, jadi sangkaan atau persepsi yang meremehkannya atau menafikannya
adalah salah dan tidak benar sama sekali sebaliknya ia adalah diharuskan bagi
meraikan perasaan cinta dan kasih sayang yang wujud dalam hati manusia. Begitu
terperincinya Islam meraikan perasaan dan jiwa kita. Subhanallah!!!
Alhamdulillah!!! Allahu Akbar!!!
Justeru, beruntunglah mereka yang
memiliki saudara ‘angkat’ tidak kiralah apa jua istilah statusnya kerana ianya
mampu mengeratkan hubungan silaturrahim sesama manusia di samping dapat
menyebarkan rasa kasih dan sayang sesama insan. Ya, mereka mampu merasai kasih
sayang daripada saudara ‘angkat’ mereka dan mereka juga boleh berkongsi
perasaan kasih sayang mereka dengan saudara ‘angkat’ mereka. Bukankah Islam itu
agama yang mengajak kepada persaudaraan dan menganjurkan perdamaian serta
menuntut untuk saling berkasih sayang? Justeru, istilah ‘angkat’ antara yang
mampu melahirkan bibit-bibit kemesraan dalam jalinan muamalat sesama manusia
dengan berlandaskan syariat bagi mewujudkan suasana aman dan damai dalam
kehidupan manusia.
Coretan ini bukanlah untuk
menggalakkan istilah ‘angkat’ kerana kita mengetahui bahawa ianya sekadar
diharuskan dalam Islam dengan syarat-syarat tertentu dan bukannya ia digalakkan
tetapi hanya ingin mengajak kita merenung nilai ukhuwah yang begitu indah di
sebalik istilah ‘angkat’ ini. Nilai kasih sayang dan nilai keimanan yang wujud
dalam ukhuwah ‘angkat’ mampu melahirkan ketenangan dan kedamaian dalam
kehidupan ini terutamanya bagi mereka yang memerlukannya.
Sebarkanlah kasih sayangmu dalam
berukhuwah, agar hidup terasa tenang dan indah!