Menyelusuri
peristiwa hijrah melalui sejarah perjalanan manusia agung, Nabi Muhammad s.a.w.
Sebuah peristiwa yang terlakar dalam lipatan sejarah Islam. Peristiwa yang
membawa kepada anjakan paradigma terhadap perkembangan dan penyebaran dakwah
agama Islam ke seluruh dunia. Peristiwa
perpindahan umat Islam dari Kota Mekah ke Kota Madinah dalam usaha
menyelamatkan akidah mereka yang diancam oleh Kaum Musyrikin di Kota Mekah yang
ketika itu tenggelam dalam kehidupan jahiliah dan buta dalam menerima
kebenaran.
Perintah
Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya berhijrah ke Yathrib (Madinah
al-Munawwarah) disebabkan perancangan Kaum Musyrikin Mekah di Dar al-Nadwah
yang mengambil keputusan untuk membunuh baginda s.a.w. Perintah hijrah disahut
baginda kerana telah mendapat keizinan daripada Allah s.w.t. Dengan perancangan
yang rapi, baginda mengatur strategi untuk berhijrah ke Madinah agar tidak
dapat dikesan oleh musuh Islam. Di sinilah betapa besarnya peranan para sahabat
baginda dalam usaha melaksanakan strategi hijrah baginda s.a.w.
Saidina
Ali bin Abi Talib r.a diamanahkan oleh baginda s.a.w untuk tidur di atas tempat
tidurnya sebagai salah satu strategi bagi mengelirukan musuh. Baginda s.a.w
bersabda yang bermaksud: “Tidurlah di atas tempat tidurku, berselimutlah
dengan selimut al-Hadrami yang berwarna hijau ini. Mereka tidak akan dapat
melakukan apa-apa yang buruk terhadapmu.” Dengan penuh keyakinan dan
keimanan yang wujud dalam jiwa Saidina Ali Karramallahu wajhah, beliau menuruti
perintah tanpa sebarang persoalan, bantahan dan perasaan ragu-ragu. Begitulah
kehebatan iman seorang anak muda yang cinta kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi
cintanya terhadap dirinya sendiri.
Begitu
juga dengan keberanian dan kecekalan Asma’ binti Abu Bakar dalam membantu
perjalanan hijrah Nabi Muhammad s.a.w. Beliau seorang yang amanah dalam
menyimpan rahsia tentang strategi hijrah Nabi Muhammad s.a.w bersama ayahnya
Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. Keberaniannya terserlah biarpun dipaksa oleh
Abu Jahal supaya memberitahu keberadaan ayahnya dan Nabi Muhammad s.a.w yang
ketika itu sedang bersembunyi di dalam Gua Tsur sehingga beliau ditampar oleh
Abu Jahal menyebabkan anting-anting yang dipakainya jatuh. Kecekalan Asma’ pula
terserlah apabila beliau sanggup merentas padang pasir yang luas untuk
menghantar bekalan makanan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan ayahnya yang sedang
bersembunyi di Gua Tsur.
Kesetiaan
dan kecintaan yang tinggi Abu Bakar
al-Siddiq terhadap Rasulullah s.a.w ditunjukkan dalam peristiwa hijrah. Menjadi
teman perjalanan Rasulullah s.a.w untuk berhijrah ke Madinah bukanlah sesuatu
yang mudah kerana ancaman pembunuhan yang telah dikeluarkan oleh orang
Musyrikin Mekah. Justeru, nyawa dan keselamatan diri sendiri turut
dipertaruhkan. Kesetiaan dan kecintaan yang tinggi dalam usaha menjayakan
perjalanan hijrah tersebut menyebabkan beliau sanggup bersabung nyawa apabila
beliau disengat binatang berbisa ketika bersembunyi di dalam Gua Thur.
Begitulah pengorbanan seorang sahabat sejati yang mencintai Rasulullah s.a.w
melebihi segala kepentingan peribadi bagi memastikan keselamatan diri Nabi
Muhammad s.a.w seterusnya meneruskan kelangsungan misi dakwah Islam di Kota
Madinah al-Munawwarah.
Selepas
beberapa hari bersembunyi di Gua Thur, mereka pun meneruskan perjalanan ke
Madinah. Sebelum memasuki Madinah, mereka berhenti di Quba’ menunggu keluarga
dan sahabat yang lain tiba. Dalam tempoh itu, Nabi Muhammad s.a.w mengambil
peluang untuk membina masjid pertama umat Islam iaitu Masjid Quba’. Selepas
mereka yang ditunggu telah tiba, barulah Nabi Muhammad s.a.w dan angkatannya
meneruskan perjalanan ke Madinah. Setibanya di Madinah, mereka disambut dengan
begitu meriah oleh penduduk Madinah yang sudah bersiap sedia menyambut
kedatangan rombongan baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w seterusnya
mempersaudarakan Kaum Muhajirin dan Kaum Ansar. Mereka hidup dengan aman dan
sentiasa saling membantu dalam urusan kehidupan.
Begitulah
besarnya peranan dan pengorbanan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah
menjayakan hijrah Rasulullah s.a.w ke kota Madinah. Inilah sebahagian cebisan
sejarah dalam peristiwa hijrah yang menjadi momentum terhadap perkembangan dan
penyebaran agama Islam di muka bumi ini. Daripada hijrah jugalah dapat
menyemarakkan ukhuwah Islamiyyah yang berdasarkan keimanan dan ketaqwaan kepada
Allah s.w.t sekaligus melangkaui segala bentuk kepentingan peribadi terhadap
kehidupan dunia yang sementara ini.
Hijrah
hari ini..
Hingga
ke saat ini, 1432 tahun peristiwa hijrah berlalu meninggalkan kita. Kini tiba
tahun ke 1433 hijrah, membuka era baru dalam sejarah peradaban manusia. Banyak
teladan yang kita perolehi daripada peristiwa tersebut jika kita mengkaji dan
mengambil pengajarannya. Hijrah hari ini bukan lagi hijrah daripada Kota Mekah
ke Kota Madinah sebaliknya lebih menjurus kepada hijrah melakukan perubahan
dalam diri dan kehidupan kita. Hijrah dari keburukan kepada kebaikan. Hijrah
dari kebaikan kepada kecemerlangan dan kegemilangan dalam usaha mencari
keredhaan Allah s.w.t.
Belajarlah
sesuatu daripada peristiwa hijrah. Hikmah yang tersurat dan tersiratnya terlalu
banyak untuk digali dan diteladani. Ianya memberi kesan bagi jiwa yang mencari
cahaya dalam kegelapan. Menuntut perubahan yang konsisten dan istiqamah.
Biarpun menelan kepahitan yang sering wujud dalam tempoh perubahan berlaku
kerana itulah ujian Allah s.w.t kepada kita kerana setiap orang yang beriman
itu tidak terlepas daripada menerima ujian daripada Allah s.w.t. Firman Allah
s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 214 yang bermaksud: “Apakah kamu mengira
bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan)
sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh
malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan)
sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya:
"Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya
pertolongan Allah itu amat dekat.” Yakinlah bahawa ujian itu adalah
prasyarat untuk mendapat kebahagiaan. Rasailah kepahitan itu dengan penuh sabar
dan gagah kerana kita perlu yakin bahawa ada kemanisan menanti di hadapan.
Kuatkanlah semangat memburu kemanisan yang pasti tiba jua. Jika tidak di dunia ini, pasti di
akhirat nanti.
Teruslah
bermujahadah melakukan perubahan ke arah yang lebih baik dan cemerlang.
Bermujahadah meninggalkan perkara mazmumah, beristiqamah melakukan
perkara mahmudah. Agar hidup ini lebih bermakna, setiap manusia mesti memenuhi
tuntutan pengabdian seorang hamba kepada tuan pemiliknya iaitu Allah s.w.t.
Itulah tujuan hidup dan penciptaan kita, mengabdikan diri kepada Tuhan yang
Maha Esa dalam segenap aspek kehidupan ini dengan melakukan perkara yang
diperintahkan oleh Allah s.w.t dan menjauhi serta meninggalkan semua perkara
yang dilarang dan ditegah oleh Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam surah
al-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud: “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia
itu melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.”
Indahnya
persaudaraan Islam..
Hijrah
mengajar erti persaudaraan. Islam menitik beratkan muamalat sesama manusia.
Persaudaraan dalam Islam tidak mengira batasan usia dan tidak pula mengenal
perbezaan bangsa, budaya mahupun adat resam. Persaudaraan dalam Islam itu
berteraskan keimanan kepada Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya dalam surah
al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang beriman itu
bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu
itu dan takutlah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.”
Biarpun
berbeza idealogi, berbeza pegangan mazhab dan berbeza darah keturunan serta berbeza
pangkat dan darjat, namun tetap bersaudara atas dasar akidah yang sama.
Keimanan kepada Allah s.w.t menjadikan persaudaraan Islam itu indah sebagaimana
yang terangkum dalam peristiwa hijrah. Pengorbanan Kaum Ansar terhadap Kaum
Muhajirin yang begitu terserlah. Rela berkorban harta dan segala kepentingan diri
atas dasar keimanan yang jitu dan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah
s.w.t.
Pemusatan
ukhuwah yang teguh mampu menjadi benteng yang kukuh bagi menghalang sebarang
ancaman luar yang amat membenci terhadap kesatuan dan perpaduan umat Islam.
Kesatuan, kesepakatan, hormat-menghormati dan sikap toleransi adalah amat
penting bagi membina sebuah masyarakat yang harmoni. Tanpanya tidak akan wujud
kekuatan ummah. Mungkin akan wujud kekacauan dan persengketaan yang boleh
mengancam kestabilan dan keharmornian sesebuah masyarakat.
Perubahan
membina kekuatan..
Belajarlah
melakukan perubahan. Kita semua insan yang serba kekurangan dan memiliki
kelemahan. Jika semalam kita melakukan kesilapan, kembalilah ke jalan
kebenaran. Tebuslah kembali kesilapan itu dengan memohon keampunan dan melakukan
penghijrahan dan perubahan yang konsisten ke arah yang lebih baik. Setiap insan
lumrahnya melakukan kesilapan. Sering terlupa dan terleka dalam keindahan
nikmat sementara dunia kerana kita bukan insan yang maksum. Tetapi
sering melakukan kesilapan dan kesalahan dalam meniti kehidupan ini.
Perubahan
penting untuk kita. Perubahan membina kekuatan jiwa kita. Untuk itu,
pengorbanan diperlukan. Bukan sedikit harga yang perlu dibayar untuk membina
kekuatan jiwa. Kekuatan jiwa lahir daripada ketenangan dan kedamaian hati dan
redha terhadap ketentuan-Nya. Keimanan menjadi teras memperolehi ketenangan dan
kedamaian. Hanya dengan keimanan manusia akan mengingati Allah s.w.t dan
mengagungkan-Nya, seterusnya melepaskan segala kepentingan duniawi kerana terlalu
asyik dalam kesyahduan cinta kepada Allah Yang Maha Berkuasa dan yakin kepada
janji-janji-Nya.
Jiwa
dan raga diserahkan hanya kepada Allah s.w.t bagi meraih ketenangan jiwa.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Ra’d ayat ke 28 yang bermaksud: “Ketahuilah
dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang..” Sebagaimana iman
menjadi teras kepada ketenangan dan kedamaian jiwa, maka begitu juga dengan
keikhlasan dan ketulusan hati. Ianya menjadi asas kepada sifat redha.
Keikhlasan hati menerima segala ketentuan Allah s.w.t terhadap segala urusan
kehidupan mampu memutik perasaan syukur terhadap nikmat kurniaan Allah s.w.t
dan juga menyubur sifat sabar terhadap segala musibah yang melanda.
Yakin
terhadap janji-Nya..
Janji
Allah pasti benar!!! Allah s.w.t tidak pernah sekali-kali memungkiri janji-Nya.
Semua janji-janji-Nya seperti yang tercatat dalam al-Quran dan Hadis pasti
berlaku. Justeru, kita perlu meyakininya dengan sebenar-benar keyakinan. Tanpa
ragu-ragu.
Justeru,
penghijrahan yang dilakukan dalam diri dalam usaha memburu keredhaan Allah
s.w.t pasti akan dikira sebagai kebajikan di sisi-Nya. Melakukan perubahan
dalam diri kita terhadap sesuatu yang menjadi kebiasaan kita memerlukan jihad
yang jitu. Jihad melawan hawa nafsu kita sebagaimana kita mampu berpuasa
sebulan di bulan Ramadhan yang memerlukan kita berperang dengan kebiasaan kita
di bulan-bulan yang lain. Begitulah juga penghijrahan yang mencorak permulaan
baru ke arah keadaan yang lebih baik memerlukan satu pengorbanan dan jihad yang
penuh konsisten dalam usaha mencapai matlamat yang diimpikan.
Berhijrahlah
selagi masih diberikan kesempatan oleh Allah s.w.t untuk hidup di dunia ini.
Berhijrah untuk melakukan sesuatu yang lebih baik dan lebih cemerlang. Didiklah
hati dan diri kita berhijrah biarpun ianya amat payah kerana perlu melawan
kebiasaan yang wujud dalam diri kita. Tetapi untuk mencapai matlamat yang kita
impikan, kita dituntut melakukan pengorbanan sama ada dalam bentuk harta,
tenaga, masa bahkan juga nyawa kita.
Bersyukurlah
kepada-Nya atas nikmat kurniaan yang dianugerahkan kepada kita. Kerana sifat
syukur ini tanda berterima kasih kita kepada-Nya. Dialah Yang Maha Pemurah dan
Yang Maha Penyayang. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sekiranya kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahkan (nikmat-Ku) kepada kamu, dan sekiranya
kamu kufur (ingkar) sesungguhnya azab-Ku tersangatlah pedih” Justeru,
berusahalah kita menjadi hamba yang bersyukur bukan sahaja dalam sebutan
kalimah “Alhamdulillah” tetapi juga dalam amalan kita seharian agar
selari dengan tuntutan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.
Agar
melalui hijrah, kita mampu berubah!!!