Menyayangi dan mengasihi adalah lumrah kehidupan ini. Fitrah diciptakan
insan dengan kurniaan perasaan kasih sayang dan cinta oleh Allah s.w.t.
Perasaan yang begitu indah tetapi amat sukar untuk dilepas pergi.
Sekadar muqaddimah. Tersentak bila ditanya dari hati ke hati. Satu perasaan yang menimbul sebak di hati oleh seorang teman. Perasaan yang hadir menyelubungi jiwa. Singgah menerjah ke lubuk hati insan. Coretan ini bukanlah bertujuan untuk menjawab persoalan yang membungkam di sanubarinya saat ini tetapi sekadar tulisan untuk tatapan mata dan hati dari insan yang kerdil ini.
Hadirnya kerana kita memerlukannya. Akan timbul rasa sunyi, sepi dan tidak lengkap tanpa kehadirannya. Membuahkan satu keadaan yang penuh kenikmatan namun tidak berupaya diluahkan. Membenih harapan yang belum pasti di gengaman. Kita mengharapkan kesempurnaan tetapi bukan itu hakikatnya. Kita tidak mengharapkan balasan tetapi cukuplah secebis penghargaan dan kejujuran.
Aneh dan peliknya hati…
Sudah menjadi lumrah kehidupan. Perasaan hati mana pernah sama dan tetap. Ia pasti berbeza dan berubah-ubah. Ada turun dan naiknya. Ada suka dan dukanya. Ada sinar dan sirnanya. Ada pasang dan surutnya. Itulah hati. Tidak sama bahkan tidak pernah sama. Setiap orang mempunyai kualiti hati yang berbeza-beza mengikut tahap keimanannya.
Namun dalam situasi ini, kita mengasihi teman atau kenalan rapat kita membuatkan kita lebih menumpukan perhatian terhadapnya. Memang pelik hati dan perasaan anugerah Allah s.w.t ini. Tapi jika ia singgah dalam jiwa mungkin kita tidak dapat menafikannya. Indahnya ikatan yang terjalin ini akan membuatkan kita menghargainya.
Bukan mudah untuk berbicara tentang hati. Mungkin akan disalah anggap dan disalah tafsirkan. Perasaan yang tidak pernah sama. Hanya yang pernah melaluinya akan lebih memahami keadaan serta situasinya. Bila perasaan ini hadir dalam diri kita, kita akan merasakan satu kelainan dalam diri kita. Mungkin ianya persepsi kita sahaja atau mungkin itulah hakikatnya. Kita akan menjadikan teman tersebut lebih disenangi. Ingin sentiasa berada dalam pandangan mata dan akan terasa kehilangan apabila tiada di sisi kita. Rindu.
Mengenali untuk berkasih sayang…
Rela berkorban masa dan tenaga bahkan kadang-kadang tidak berkira wang ringgit. Ingin membuatkan dirinya bahagia, senang dan aman. Jika ada masalah yang timbul maka dengan segera ada usaha untuk membantu. Sekalipun diri berada pada situasi yang tidak mengizinkan. Biarpun berjauhan pasti akan cuba membantu dengan apa cara sekalipun. Begitulah ketulusan yang tidak pernah minta dibalas. Cukuplah sekadar menghargai dan memahami.
Dugaan si pemilik hati…
Pelbagai situasi berkemungkinan berlaku. Mungkin hanya kita merasakan ianya perlu. Sedangkan dirinya tidak. Bahkan wujud ketidakselesaan, rimas, dan jeluak dengan apa yang kita berikan. Namun ia dibiar sepi tanpa bicara. Jika sekadar itu tidak mengapa. Namun sekiranya perasaan itu diterjemah dalam bentuk tindakan tanpa sepatah kata ia pasti mengundang ketidaktenteraman hati kita. Lebih-lebih lagi jika perasaan itu diluahkan kepada insan lain tanpa pengetahuan kita. Ia pasti amat menyakitkan dan memeritkan kerana kita tidak mengetahui situasi yang sebenar.
Memberi yang manis, menelan yang pahit. Itulah
ujian si pemilik hati ini. Usahanya sekadar memberi dan berkongsi perasaan
kasih dan sayang. Kadang-kadang apa yang diterima bukan semuanya indah sehingga
bergelumang dalam cemuhan dan penghinaan. Mungkin ada yang iri hati melihat
keakraban yang terjalin dan cuba mengkhianatinya.
Sudah menjadi fitrah
manusia untuk berkasih sayang antara satu sama lain. Lihatlah perasaan indah
ini dalam skop yang luas. Bukan sekadar kasih sayang kepada kekasih. Justeru,
memiliki perasaan cinta dan kasih sayang itu bukanlah satu kesalahan kerana
ianya fitrah. Setiap manusia pasti memilikinya. Biar sekejam dan sejahat
manapun manusia itu sepastinya perasaan ini tetap wujud dalam hati mereka.
Sememangnya ianya anugerah daripada Allah s.w.t.
Berkasih sayang kerana Allah s.w.t…
Kembalilah kepada sejarah yang dilakarkan oleh Al-Quran mahupun sejarah zaman kegemilangan Islam. Lihatlah pengajaran di sebalik kisah Firaun, Qarun dan sebagainya. Mereka memiliki segala-galanya kecuali taqwa. Mereka dihina dan terhina sepanjang zaman sama ada di dunia dan di akhirat. Lihatlah hikmah di sebalik sejarah Islam, kita lihat kisah Bilal bin Rabah. Seorang hamba yang tidak memiliki apa-apa tetapi memiliki iman dan taqwa. Ianya lebih bernilai di sisi Allah s.w.t dari segala isi langit dan bumi. Bukan pada banyaknya harta, bukan pada hebatnya kuasa dan pengaruh tapi pada izzahnya iman dan taqwa.
Iman dan taqwalah yang telah menyatukan kaum Muhajirin dan kaum Ansar. Islam menjadikan mereka bersatu padu dan berkasih sayang. Rela berkorban dan berkongsi harta duniawi semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t. Nilai ukhuwwah yang begitu hebat telah membina ketamadunan yang gemilang berlandaskan keimanan dan ketaqwaan kerana wujudnya sikap toleransi dan bertolak ansur demi kepentingan agama Islam.
Indahnya bila kita dikasihi…
Balaslah kasih sayang seseorang kepada kita dengan kasih sayang kita sekadar yang kita mampu. Hargailah mereka yang mengasihi diri kita sekiranya kita tahu kita tidak mampu mengasihinya seperti dia mengasihi kita. Ketahuilah bukan mudah untuk mengasihi seseorang lebih dari biasa kerana hati dan perasaan manusia tidak pernah sama. Bersyukurlah jika ada insan yang mengasihi kita kerana kita masih dikasihi dan diperlukan. Sememangnya perasaan kasih sayang itu sangat indah kerana ia membawa kepada kebahagiaan, keceriaan, ketenangan dan kedamaian.
Marilah kita saling berkasih sayang!!! Agar dengan kasih sayang itu akan dapat menyuburkan ukhuwah yang terbina dalam mencapai kemanisan iman.
Buat sahabat-sahabatku yang membaca entri ini. “Ana uhibbukum fillah”…
No comments:
Post a Comment