Dunia tempat ujian. Akhirat pula tempat menerima keputusan. Sama ada baik atau tidak keputusan yang kita akan dapat nanti adalah bergantung kepada usaha kita dalam menempuhi ujian dalam kehidupan ini. Yang pasti, carilah kebenaran sebagai jawapan.
Sunday, February 14, 2016
Dunia tempat ujian, carilah kebenaran..
Dunia tempat ujian. Akhirat pula tempat menerima keputusan. Sama ada baik atau tidak keputusan yang kita akan dapat nanti adalah bergantung kepada usaha kita dalam menempuhi ujian dalam kehidupan ini. Yang pasti, carilah kebenaran sebagai jawapan.
Monday, September 24, 2012
Teguklah hikmah wahyu pertama..
Saturday, December 17, 2011
Hijrah menyemarakkan ukhuwah..
Perintah Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya berhijrah ke Yathrib (Madinah al-Munawwarah) disebabkan perancangan Kaum Musyrikin Mekah di Dar al-Nadwah yang mengambil keputusan untuk membunuh baginda s.a.w. Perintah hijrah disahut baginda kerana telah mendapat keizinan daripada Allah s.w.t. Dengan perancangan yang rapi, baginda mengatur strategi untuk berhijrah ke Madinah agar tidak dapat dikesan oleh musuh Islam. Di sinilah betapa besarnya peranan para sahabat baginda dalam usaha melaksanakan strategi hijrah baginda s.a.w.
Kesetiaan dan kecintaan yang tinggi Abu Bakar al-Siddiq terhadap Rasulullah s.a.w ditunjukkan dalam peristiwa hijrah. Menjadi teman perjalanan Rasulullah s.a.w untuk berhijrah ke Madinah bukanlah sesuatu yang mudah kerana ancaman pembunuhan yang telah dikeluarkan oleh orang Musyrikin Mekah. Justeru, nyawa dan keselamatan diri sendiri turut dipertaruhkan. Kesetiaan dan kecintaan yang tinggi dalam usaha menjayakan perjalanan hijrah tersebut menyebabkan beliau sanggup bersabung nyawa apabila beliau disengat binatang berbisa ketika bersembunyi di dalam Gua Thur. Begitulah pengorbanan seorang sahabat sejati yang mencintai Rasulullah s.a.w melebihi segala kepentingan peribadi bagi memastikan keselamatan diri Nabi Muhammad s.a.w seterusnya meneruskan kelangsungan misi dakwah Islam di Kota Madinah al-Munawwarah.
Thursday, August 27, 2009
Bisanya Jarum Media Massa...
Sekitar berita Media Perdana berkaitan hukum syar’ie bagi kesalahan minum arak terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno, seorang model yang mengaku bersalah meminum arak. Hakim di Mahkamah Syariah yang mengendalikan kes ini telah menjatuhkan hukuman sebat 6 sebatan terhadap pengakuan salah tersebut.
Kenapa isu ini diperbesarkan???
Heboh kisah model yang seorang ini. Entah mengapa isu ini diperbesarkan. Memalukan dan mengundang aib yang melampau. Kalau dikatakan hukuman sebat itu mengikut syariah. Itu pembohongan yang besar! Tipu! Dusta!
Lupakah kita bahawa hukum bagi orang yang minum arak dalam Islam adalah 80 kali sebatan? Sedangkan hukuman yang dijatuhkan ke atas model ini hanya 6 sebatan. Layakkah ia dikatakan sebagai hukuman mengikut syarak? Sedangkan ia tidak sama. Tengoklah bezanya antara 80 dengan 6. Jauh bezanya. Besar!!!
Bagaimana pula dengan kaedah sebatan yang akan digunakan? Wallahua’lam. Tapi yang sepastinya hukuman tersebut bukannya hukuman syarak. Perkara ini sengaja digembar-gemburkan. Berhati-hatilah!!! Ini antara sembilu yang halus bagi meracuni pemikiran masyarakat. Mengelirukan!!!
Mengapa hanya kes Kartika???
Berapa ramai umat Islam di Malaysia ini yang pernah minum arak sedangkan tahu hukumnya haram di Malaysia ini? Berapa ramai pula yang menerima hukuman??? Inilah kesannya bila arak dijual di merata-rata tempat. Kilang-kilang arak melambak di Malaysia ini. Pelbagai masalah akan timbul.
Mengapa isu ini sengaja diperbesarkan?? Hanya kerana pesalah mahu hukuman dilaksanakan mengikut syarak ataupun sekadar meraih simpati. Adakah begitu???
Kalaulah betul mahu mengikut syarak. Kenapa hanya 6 sebatan? Tidakkah syarak menetapkan 80 sebatan?!!! Siapa yang akan bertanggungjawab untuk bakinya sebanyak 74 sebatan lagi.
Inilah antara permainan manusia yang jahil terhadap hukum Allah!!!
Isu ini sebenarnya menggambarkan betapa parahnya kes arak di Malaysia hari ini. Biarpun hanya seorang yang di ’media’kan tapi hakikatnya ramai lagi yang terjerumus dalam najis arak ini.
Beginilah kaedah musuh Islam yang cuba mengelirukan masyarakat. Kerana masyarakat kita bukan semuanya yang alim mengenai bab hukum-hakam agama Islam. Kita yang belajar agama mungkin memahami kerana kita di bidang ini. Tapi masyarakat di luar sana terus dikelirukan. Hari ini mungkin masyarakat yang cetek pengetahuan agama akan mengatakan ”inilah hukum Islam” biarpun hakikatnya tidak benar sama sekali. Beginilah besarnya pengaruh media massa kepada masyarakat.
Semoga kita berhati-hati dan berwaspada dengan jarum tajam media massa!!!
Saturday, August 22, 2009
Ramadhan al-Mubarak: Bulan Mendidik Jiwa
Ramadhan tiba lagi selepas setahun meninggalkan kita. Hari ini, umat Islam seluruh dunia mula berpuasa sebagai menyahut seruan dan perintah Allah s.w.t supaya berpuasa di bulan Ramadhan. Puasa di bulan Ramadhan merupakan satu kewajipan yang difardhukan kepada seluruh umat Islam sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mulia dan satu bulan yang dipenuhi dengan keberkatan yang mana pada bulan ini akan digandakan pahala orang yang berbuat kebaikan dengan hati yang ikhlas dan mengharapkan keampunan dan keredhaan daripada Allah s.w.t. Pada malam harinya pula dijanjikan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Qadr yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”
Allah s.w.t menyediakan kepada umat Muhammad s.a.w satu bulan yang penuh keberkatan dan menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda untuk diraih oleh kita umat akhir zaman. Justeru itu, di samping kita diwajibkan berpuasa, kita juga digalakkan memperbanyakkan amalan-amalan soleh seperti bersedekah, berzikir, bertadarus, mengerjakan solat sunat dan banyak lagi.
Kedatangan bulan Ramadhan amat dinanti-nantikan oleh setiap orang mukmin kerana bulan yang mulia ini adalah bulan yang terbaik untuk mendidik dan mentarbiah jiwa bagi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Hal ini juga kita dapat melihat masjid-masjid dan surau-surau akan dipenuhi oleh semua lapisan masyarakat yang beragama Islam tanpa mengira usia muda mahupun tua untuk sama-sama turun menunaikan solat sunat terawih yang hanya ada pada malam-malam bulan Ramadhan dan tidak ada pada bulan-bulan Islam yang lain.
Begitu indah Ramadhan mendidik jiwa manusia kerana pada bulan ini semua iblis laknatullah dibelenggu oleh Allah s.w.t. Hanya yang ada pada manusia adalah hawa nafsu semata-mata dan setiap manusia itulah berhak memilih sama ada untuk berbuat kebaikan atau kejahatan dengan tanpa paksaan dan gangguan iblis laknatullah. Jadi, Ramadhan mendidik kita supaya melawan hawa nafsu bukannya dari aspek makan dan minum sahaja tetapi juga turut mendidik kita dari sudut akhlak kita. Sesungguhnya mereka yang masih melakukan kejahatan pada bulan ini adalah mereka yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsu dan golongan ini adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi dan lalai.
Ramadhan juga mendidik kita supaya bersyukur dengan segala apa yang dianugerahkan kepada kita. Bulan ini juga mengajar kita erti lapar dan dahaga yang dirasai oleh golongan fakir miskin selama ini. Selain itu, bulan ini juga mentarbiah jiwa kita supaya tidak membazir dan tidak terlalu bakhil untuk memberi sedekah kepada golongan yang memerlukan. Kita juga dididik dengan kesabaran dan ketabahan dalam menahan hawa nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah s.w.t pada bulan Ramadhan terutamanya ketika sedang berpuasa.
Justeru itu, marilah kita bersama-sama mempertingakatkan amalan-amalan kebaikan dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t agar kita mendapat keredhaan Allah s.w.t serta memperoleh keampunan daripada-Nya. Marilah kita sama-sama menghayati bulan Ramadhan ini dengan mengerjakan amalan yang baik dengan penuh keikhlasan mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mendapat pengampunan daripada Allah s.w.t di atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan sepertimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisaab (kesedaran dan keinsafan serta ketaqwaan) akan diampunkan baginya segala dosa yang telah lalu.”
Oleh itu, marilah kita memperbanyakkan doa kita kepada Allah s.w.t agar segala amalan yang kita kerjakan diterima oleh-Nya dan Allah s.w.t memberkati kita di dunia dan di akhirat kelak, insya-Allah…
P/S: Ana mengucapkan Selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak dan Selamat Berpuasa kepada sahabat-sahabat khususnya dan kepada seluruh umat Islam amnya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik bagi diri kita kerana kita belum pasti dapat menemui Ramadhan pada tahun-tahun yang akan datang. Justeru itu, ana berpesan kepada diri ana sendiri dan berpesan kepada sahabat-sahabat sekalian agar dapar mengambil kesempatan pada bulan yang mulia ini untuk mempertingkatkan kualiti amalan kita serta dapat mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t…
Thursday, August 20, 2009
Hiburan: Kegilaan Masa Kini
Beberapa minggu yang lalu, ana dan teman-teman serumah berkesempatan mengikuti program Ummah Talk anjuran Ikatan Studi Islam UKM yang bertajuk Manusia Menyalak, Anjing Berzikir. Rasa ingin tahu tentang topik yang bakal dikupas oleh seorang pensyarah Fakulti Pendidikan iaitu Dr. Halim Tamuri menyebabkan diri ini bersama-sama teman-teman serumah terpanggil untuk mengikuti program ini.
Sebelum itu, ana berpandangan bahawa isu yang akan di bincangkan adalah berkaitan dengan isu hiburan ataupun hedonisme. Kerana pada jangkaan ana terhadap tajuk berkenaan adalah sekitar isu hiburan kerana hiburan semakin menjadi kegilaan masyarakat dunia pada hari ini dan pengaruhnya yang kuat kepada masyarakat terutamanya golongan remaja pada masa kini.
Ternyata jangkaan ana tepat dan tidak meleset kerana yang dibincangkan adalah berkaitan hiburan cuma lebih menekankan kepada mahasiswa terutamanya mahasiswa Islam agar mengambil peluang berdakwah melalui seni hiburan yang berkonsepkan Islam. Hal ini kerana menurut pandangan peribadi Dr. Halim Tamuri bahawa kesan pengaruh hiburan pada hari ini terlalu kuat dan kebanyakan masyarakat amat tertarik pada hiburan. Jadi pada pandangan beliau, sudah tiba masanya mahasiswa pada hari ini mengambil satu pendekatan yang positif melalui hiburan Islam sebagai satu jalan dakwah yang terbaik bagi mendekati masyarakat terutamanya golongan remaja supaya dapat memahami Islam.
Terdapat banyak lagi ruang hiburan yang semestinya diisi oleh mahasiswa Islam untuk meneruskan usaha dakwah. Kita bersyukur kerana di Malaysia, seni hiburan Islam terutamanya industri nasyid mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat tetapi masih banyak lagi yang kurang diceburi oleh mahasiswa bagi mengetengahkan dakwah berunsur rohani dan agama seperti bidang lakonan drama, teater dan filem, penulisan skrip, bidang penerbitan dan sebagainya. Dr. Halim Tamuri mengajak mahasiswa supaya menggunakan alternatif ini dengan berkarya mengikut kebolehan masing-masing bagi mengembangkan lagi industri seni berkonsepkan keislaman bagi mendidik jiwa masyarakat agar kembali kepada ajaran Islam dalam menjalani kehidupan ini.
Ana bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Dr Halim Tamuri kerana merasakan bahawa mempergiatkan hiburan berkonsepkan Islam adalah satu kemestian dalam dakwah Islam dan ianya adalah relevan untuk dipraktikkan oleh golongan da’ie pada zaman ini. Hal ini kerana kepelbagaian kaedah berdakwah itu sendiri dan kerana melihat dari sudut kepentingan industri hiburan Islam kepada masyarakat dewasa ini.
Kepincangan yang berlaku dalam sosial masyarakat pada hari ini terutamanya golongan belia kerana bersikap fanatik kepada hiburan-hiburan yang melalaikan. Budaya hedonisme ini adalah merosakkan jiwa dan mampu menggugat akidah manusia. Budaya ini adalah merupakan satu racun yang ditabur oleh musuh Islam bagi menjauhkan umat Islam daripada mengingati Allah s.w.t dan menjauhkan masyarakat daripada kebenaran ajaran Islam.
Pembentukan sahsiah yang terbaik adalah bermula daripada acuan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi panduan umat serta mampu menjadi benteng yang utuh bagi mengelakkan daripada berlakunya gejala-gejala yang negatif dalam kalangan masyarakat agar masyarakat kembali mengikut lunas-lunas yang dituntut oleh Islam. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 138 yang bermaksud:
“(Katakanlah Wahai orang-orang Yang beriman: "Agama Islam, yang Kami telah sebati dengannya ialah): acuan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan Kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik acuannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah Kami beribadat.”
Pendidikan melalui hiburan berunsur Islam adalah amat penting bagi menjana masyarakat yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t. Justeru, topik yang bertajuk Manusia Menyalak, Anjing Berzikir merupakan isu terhadap suasana yang melanda umat dunia pada hari ini kerana manusia lebih mengagung-agungkan hiburan mengatasi panggilan azan dan bacaan al-Quran. Oleh yang demikian itu, kita sebagai umat Islam semestinya perlu memuhasabah diri kita agar kita dapat berusaha menjauhkan hiburan-hiburan yang melalaikan dan memilih alternatif lain untuk berhibur iaitu dengan menanamkan minat terhadap hiburan berbentuk keislaman dan berusaha memperjuangkan hiburan Islam yang mendidik jiwa serta hiburan yang dapat mengingatkan kita kepada Allah s.w.t…
Monday, August 17, 2009
Musibah Dunia: Peringatan Dari Ilahi...
H1N1 atau Selsema Babi menjadi kegerunan manusia dewasa ini. Penyakit berjangkit yang kini telah mengorbankan banyak nyawa. Manusia menjadi bimbang dengan penularan wabak yang membawa maut ini. Malaysia tidak terlepas dari musibah selsema babi ini. Setakat ini, Malaysia telah mengesahkan 62 kematian akibat selsema yang sedang menggila memburu mangsanya.
Mungkinkah ini bala daripada Allah s.w.t?
Selepas wabak selsema burung yang melanda dunia. Kini tiba giliran babi pula mengeluarkan selsemanya yang amat merbahaya itu. Kalau dulu burung yang menyerang manusia menyebabkan kebanyakan spesis burung dihapuskan terutamanya ayam dan itik dan beberapa spesis burung dibunuh secara besar-besaran. Yang menghairankan mengapa ketika selsema babi ini berlaku suasana tidak begitu. Tidak kedengaran pula babi disembelih dan ditanam hidup-hidup secara besar-besaran.
Pelik Bin Ganjil. Mengapa ia tidak berlaku. Sedangkan puncanya daripada binatang haram itu. Mungkinkah antara punca Malaysia diserang wabak ini kerana mengingkari perintah Allah s.w.t? Mungkin ianya bala daripada Allah s.w.t kerana negara ini dilaporkan antara pengeksport babi terbesar di dunia.
Hari ini menjadi bukti mengapa Allah s.w.t mengharamkan manusia daripada memakan babi. Malah Islam mewajibkan samak kepada mereka yang menyentuh babi dan seumpama dengannya. Kerana babi itu memang berpenyakit dan amat menjijikkan. Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Mengetahui segala baik buruk makhluk ciptaan-Nya.
Betulkah selsema babi ini ciptaan para saintis Barat?
Tidak mustahil virus ini dicipta dan dirancang penyebarannya oleh manusia yang gila. Kita melihat kepada suasana ekonomi barat yang kini merudum jatuh. Tatkala inilah mereka mencari peluang mencipta virus dan mencipta vaksinnya sekali bagi menjana kembali ekonomi mereka.
Secara praktikalnya mudah sahaja dan ia tidak mustahil berlaku. Membiarkan virus ini merebak ke seluruh dunia sehingga mengorbankan banyak nyawa dan membuatkan masyarakat dunia dalam ketakutan dan kebimbangan. Selepas itu, mereka menawarkan vaksin bagi membasmi wabak maut ini. Seluruh negara akan membelinya kerana akan bergantung pada vaksin tersebut bagi membasmi virus babi ini daripada terus menyerang rakyat mereka.
Beginilah peluang dan cara kotor yang Barat gunakan untuk kepentingan mereka. Bagi memulihkan sistem ekonomi kapitalis yang terbukti gagal dan musnah itu. Masyarakat dunia dijadikan sebagai tempat menempias kerakusan nafsu jahat mereka.
Di manakah silap umat Islam hari ini?
Silapnya kerana umat Islam terlalu jauh ketinggalan dalam ilmu-ilmu pakar. Umat Islam terlalu leka dengan hiburan ciptaan Barat. Adakah kita lupa matlamat Yahudi dan Nasrani? Mereka hanya mahu Islam lenyap di dunia ini dan manusia mengikut agama mereka.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud:
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu."
Umat Islam perlu bangkit dari mimpi-mimpi yang mengasyikkan. Mimpi yang tidak seindah realiti. Semuanya tipu daya yang dirancang oleh musuh Islam bagi menghancurkan Islam. Umat Islam perlu berubah. Ingatlah firman Allah s.w.t dalam surah ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:
“...Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun Yang dapat menolak atau menahan apa Yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun Yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”
Umat Islam mesti berubah. Umat Islam mesti kembali memuhasabah diri. Kerana setiap kelekaan dan kealpaan akan membawa padah. Hari ini H1N1 menyerang umat dunia. Ianya merupakan peringatan dari tuhan. Entah apalagi musibah dan bala buat umat dunia selepas ini sebelum dunia ini menutup tirainya.
Sama-samalah kita lihat nanti...
Tuesday, July 28, 2009
Berjalanlah di atas muka bumi ini...
Monday, July 20, 2009
Tanggal 27 Rejab 1430H...
Pejam celik pejam celik, kita sudah hampir ke penghujung bulan Rejab. Hari ini bersamaan 27 Rejab 1430H. Satu tarikh yang mulia. Ada peristiwa besar yang telah berlaku pada tanggal ini. Peristiwa yang terukir dalam sejarah Islam. Peristiwa yang tercatat dalam al-Quran. Peristiwa yang dilalui oleh Rasul junjungan mulia Muhammad s.a.w. Iaitu peristiwa agung perjalanan Isra’ dan Mi’raj.
Umum mengetahui bahawa Isra’ adalah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Manakala Mi’raj pula adalah perjalanan naik Nabi Muhammad s.a.w dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha menemui Allah s.w.t bagi menerima fardhu solat.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."
(Surah al-Isra’: ayat 1)
Maksud ayat al-Quran tersebut menjadi dalil peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang berlaku kepada baginda Rasulullah s.a.w yang diperjalankan oleh Allah s.w.t untuk menunjukkan bukti kekuasaan-Nya dimana Dia berkuasa memperjalankan hamba-Nya dalam tempoh satu malam sahaja.
Sepanjang perjalanan itu, Nabi Muhammad s.a.w diperlihatkan oleh Allah s.w.t dengan pelbagai nikmat dan juga azab-azab yang disediakan kepada hamba-Nya yang beriman atau sebaliknya. Antaranya, nabi telah diperlihatkan satu kejadian aneh di mana terdapat segolongan manusia yang bercucuk tanam pada suatu hari dan pada hari berikutnya menuai hasilnya dan begitulah seterusnya. Nabi s.a.w juga telah diperlihatkan satu golongan manusia yang disediakan dua bekas berisi daging. Bekas yang pertama berisi daging yang telah masak, enak dan segar. Manakala bekas yang kedua berisi daging yang mentah, busuk dan hanyir. Namun manusia tetap memilih daging yang mentah itu walaupun ada yang lebih elok.
Kisah Isra’ dan Mi’raj adalah satu peristiwa yang menguji keimanan umat Islam ketika itu. Hanya dengan keimanan yang teguh membuatkan umat membenarkannya seperti sahabat baginda s.a.w iaitu Saidina Abu Bakar yang telah membenarkan peristiwa tersebut. Sebab itulah Saidina Abu Bakar diberi gelaran as-Siddiq. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini juga membuktikan betapa mulianya ibadah solat berbanding dengan ibadah-ibadah lain dalam Islam. Ibadah solat adalah ibadah yang diterima terus oleh Nabi Muhammad s.a.w daripada Allah s.w.t tanpa perantaraan malaikat Jibril a.s.
Beberapa hari lagi, Rejab akan meninggalkan kita. Selepas ini akan kita lalui pula bulan Sya’baan seterusnya kita akan bertemu dengan bulan Ramadhan al-Mubarak. Sepatutnya bulan Rejab ini menjadi bulan kita mentarbiah diri kita dengan mula membiasakan diri kita dengan amalan-amalan sunat sebagai persiapan kita menyambut bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan tidak lama lagi.
Sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah berdoa ketika berada dalam bulan Rejab yang bermaksud:
“Ya Allah Ya Tuhan Kami, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Sya’baan dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan”.
Nabi s.a.w bersungguh-sungguh memohon kepada Allah s.w.t agar disampaikan usia kepada bulan Ramadhan melambangkan betapa mulianya bulan Ramadhan yang mana pada malam-malamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Oleh sebab itu, Rasulullah menganjurkan kepada umatnya supaya berdoa mudah-mudahan Allah s.w.t memberkati kehidupan di bulan Rejab dan Sya’baan dan memanjangkan umur kita hingga sampai ke bulan Ramadhan al-Mubarak.
Ada ulama’ berpendapat bahawa bulan Rejab ini adalah bulan menanam, bulan Sya’baan sebagai bulan berbuah manakala bulan Ramadhan adalah bulan mengutip hasil.
Sebahagian ulama’ yang lain pula berkata bahawa Rejab itu ibarat bulan angin bertiup, Sya’baan pula bulan awan berkumpul manakala Ramadhan adalah bulan hujan turun.
Ibarat perumpamaan yang digambarkan oleh para ulama’ tersebut menunjukkan bahawa perlunya kita bersedia untuk menghadapi bulan Ramadhan bermula dari bulan Rejab lagi. Yang mana kita diseru meningkatkan amalan-amalan kita dari sehari ke sehari dan dari semasa ke semasa bagi kita mengecapi nikmat yang sebenar-benarnya ketika berada dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Tanpa pentarbiahan dan pengisian jiwa dengan amalan-amalan kebajikan di peringkat awal mana mungkin kita mampu menghadapi bulan Ramadhan yang mulia nanti dengan sebaik-baiknya.
Oleh yang demikian itu, marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan amalan-amalan soleh mudah-mudahan kita lebih bersedia menjalani ibadah di bulan Ramadhan dan mendapat rahmat dan keredhaan daripada Allah s.w.t.






