“Duit tak pernah cukup..”
“Tidak tahu laa ke mana duit itu
digunakan..”
Begitulah keluhan
seorang teman. Selalu merasakan kesempitan wang. Sedangkan setiap hari adanya
wang masuk. Keuntungan dari perniagaan barangkali. Justeru, ke mana
menghilangnya duit tersebut?. Entah. Yang pasti, saku sentiasa kering.
Jika dikira
setiap hari, tidak pernah rugi. Masih ada biarpun sekelumit rezeki. Tapi bila
dihitung dan dikira kembali, kenapa tidak berbaki untuk dijadikan simpanan
untuk kemudian hari? Malah terpaksa berhutang lagi dan lagi. Jelas nampak
buntu. Serabut mengenangkan nasib diri. Namun hidup mesti diteruskan tanpa
beralasan lagi. Usaha perlu ditingkatkan bagi mengatasi kemelut yang sering terjadi.
Biasalah hutang
masih berbaki. Setiap bulan mesti dibayar ganti sebanyak mana yang dipersetujui
sebelum ini. Ya, sebelum dapat berdikari perlu bantuan kewangan untuk mengisi.
Lantas pinjaman perlu dibuat sebelum kualiti kerja dapat dipertingkat. Itu
perkara biasa pada permulaan, sebelum menempa kejayaan.
Hitung punya hitung,
kenapa masih belum mencukupi? Ternyata cukup-cukup untuk belanja sendiri serta
buat pusingan modal kembali. Belum sempat juga untuk dibuat simpanan peribadi.
Ya. tidak kaya-kaya lagi. Namun itulah rezeki. Sebanyak mana yang diberi, kita
nikmati dan perlu kita syukuri.
Ini soal hati.
Apakah kita mengerti erti kekayaan yang hakiki? Benar, ianya kekayaan hati.
Hati rasa mencukupi dengan rezeki yang Allah beri. Jika kaya itu pada banyak
harta, mengapa ramai dalam kalangan orang kaya masih tidak berasa cukup dengan
hartanya yang ada?. Sedangkan ramai orang yang miskin tetap berasa cukup dengan
rezeki yang diterima walaupun ianya tidak seberapa. Syukur dan redha. Ya, ia
soal hati kita memahami erti kaya yang sebenarnya.
“Jagalah hak Allah, insya-Allah Dia akan
menjaga hak kita.”
“Ini bukan soal
untung atau rugi, ini soal keberkatan dalam rezeki”
Muhasabah kembali
diri kita. Selama kita berkerja, bagaimanakah kita menjaga hak Allah dalam diri
kita. Ya, soal ibadah kita seperti solat, zakat, puasa dan sebagainya, adakah
ia terjaga? Atau kita sering melaksanakan di hujung masa? Jika begitu,
sebenarnya kita lebih mengutamakan keuntungan dunia semata-mata sehingga
sanggup meletakkan tangggungjawab sebagai hamba di tempat kedua. Jaga ibadat,
rezeki berkat. Insya-Allah.
Benar, ia bukan
sekadar soal untung atau rugi, tapi ianya soal berkatnya rezeki. Kita lebih
takut rugi berbanding memburu keberkatan rezeki. Dengan keberkatan, kita akan
mampu menguruskan kewangan kita dengan lebih baik. Benar, kehendak hati terlalu
banyak, tetapi kitalah yang perlu memilih dengan bijak. Seringkali kenapa kita
gagal mengutamakan yang lebih penting? Salah satunya kerana hilang berkat.
Nafsu kita tidak akan tenang selagi kehendaknya tidak dapat.
Seringkali, itu
yang berlaku. Itulah realiti. Sepatutnya rezeki yang terlebih itu untuk
kegunaan pada perkara atau masa yang lebih penting tetapi kerana tertutupnya
pintu hati, maka sebaliknya pula yang terjadi. Kita dikalahkan oleh kehendak
hati hingga tidak memenangkan keperluan diri.
Jagalah hak
Allah, insya-Allah Dia akan menjaga hak kita. Ya, menjaga seluruh urusan
kehidupan kita selama mana kita yakin bahawa urusan rezeki itu milik-Nya.
Jangan terlalu mengejar angka keuntungan sehingga melengahkan perintah tuhan,
tetapi burulah keberkatan dengan penuh keyakinan bahawa Dialah yang mengatur
segala keperluan. Untung dan rugi yang sering terbayang-bayang mengajak kita
untuk bergantung sepenuh harapan kepada Tuhan. Burulah keberkatan!
Rezeki akan
berkat bila kita tidak abaikan ibadat!
No comments:
Post a Comment