Bila hati rasa ingin menulis lagi, insan ini akan menulis. Maaflah kerana tidak mampu istiqomah dalam penulisan di laman Tinta Ukhuwah ini. Justeru, insan ini kagum pada mereka yang mampu beristiqomah dalam menyebarkan buah fikiran dalam bentuk seni penulisan ini.
Benar, bukan
mudah untuk menulis tanpa mujahadah dalam diri. Seringkali hasrat untuk menulis
dihalangi dengan pelbagai alasan-alasan yang sering membantut. Ya, kesempatan
waktu juga sering menjadi alasan meskipun ianya bukanlah alasan yang konkrit.
Bertemankan buku
mampu mencerna pemikiran yang luas. Buku adalah hasil cetusan pemikiran para
penulis dari pelbagai perspektif dan pandangan. Membaca buku adalah sajian
terbaik untuk mengembangkan potensi minda dalam meningkatkan kemampuan diri
dalam memahami sesuatu perkara dan mampu menambahkan perbendaharaan kata kepada
kita.
Jadi, bacalah
buku atau karya penulisan yang mampu memberi manfaat kepada kita. Sejujurnya,
bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu tulisan yang baik. Hanya mereka yang
istiqomah sahaja mampu menghasilkannya. Tanpa rasa jemu dalam diri dan tanpa
rasa berputus asa.
Sememangnya di
laman Tinta Ukhuwah inilah, insan ini cuba belajar membuahkan hasil pemikiran,
pandangan dan nukilan untuk tatapan mereka yang sudi berkunjung ke laman yang
serba kekurangan ini. Selain page Facebook insan ini, yang dipenuhi karya-karya
peribadi dalam bentuk penuh seni dan puitis temanya. Semoga insan ini terus dikurniakan
bakat yang indah ini untuk manfaat kepada kita semua. Amin. Insya-Allah.
Berbalik pada
tulisan pada post kali ini, insan ini sebenarnya tidak tahu apa yang ingin
dicatatkan pada kali ini. Sekadar menaip keyboard laptop insan ini bagi mengisi
ruang post di laman Tinta Ukhuwah ini. Lama sudah rasanya insan ini tidak
menulis sesuatu sebagai tatapan buat semua pengunjung yang sudi singgah di blog
ini dan juga sebagai kenang-kenangan buat insan ini untuk suatu hari nanti.
Rindu untuk
kembali menulis seperti suatu ketika dahulu tetap ada dalam jiwa insan ini. Namun
untuk merealisasikannya bukanlah sesuatu yang mudah. Mungkin insan ini
sebenarnya yang banyak memberi alasan untuk menjadikannya seperti yang diimpi. Biasalah,
insan ini hanya menulis, meluahkan bicara yang terbuku di hati, menceritakan
segenap memori yang pernah terjadi yang masih diingati, memberi pandangan
mahupun nasihat buat diri, teman dan sesiapa sahaja yang bergelar insan dan
semestinya demi sebuah dakwah pada jalan kebenaran.
Biarpun hasil
yang mampu dititipkan tidak banyak, walaupun laman tinta ini tidak masyhur,
namun insan ini tidak akan jemu berbicara walaupun hanya mata insan ini yang
tidak jemu membacanya. Percayalah, di sinilah kepuasan yang insan ini miliki.
Kemampuan menulis merupakan satu anugerah yang tidak ramai insan yang mampu beristiqomah
melakukannya kerana menulis itu memerlukan fokus dan mujahadah yang tinggi.
Insan ini menulis
bukan kerana nama, tetapi kerana berasa rugi jika insan ini memiliki pena tapi
tidak mampu berbuat apa-apa. Justeru itu, insan ini telah menggerakkan
jari-jemari yang ada untuk melakar bahasa sebagai perkongsian kepada semua. Apa
yang baik itu datangnya dari Allah yang Maha Kaya dan yang buruk itu datangnya
dari kelemahan insan yang penuh hina ini.
Semoga diberikan
taufik dan inayah-Nya untuk terus menyalurkan info-info, cerita-cerita,
pandangan, pemikiran dan juga kata-kata nasihat yang bermanfaat kepada semua.
Terima kasih kerana sudi membaca. Terima kasih kerana terus setia.
Biarpun coretan
ini sekadar memenuhi ruangan pada kali ini, sekurang-kurangnya insya-Allah
menjadi talian hayat untuk insan ini agar terus istiqomah dalam menyampaikan
sebarang bentuk artikel dari sudut pandangan insan yang kerdil ini dan
semestinya kisah-kisah ukhuwah bersama teman-teman seperjuangan yang hadir
menghiasi taman kehidupan ini.
Di sinilah insan ini sedaya upaya merakamkannya
dalam bentuk penulisan sebagai kenang-kenangan buat kita warga Tinta Ukhuwah dan
juga sebagai tatapan buat generasi Tinta Ukhuwah pada masa akan datang.
Penulisan bukan permainan,
menulis wadah perkongsian!
No comments:
Post a Comment