Laman Tinta Ukhuwah kali ini cuba
membawa kembali sebahagian kisah ukhuwah ini. Kisah yang masih segar di ingatan
insan ini. Mungkin sebagai catatan biasa bagi menghiasi laman tinta ukhuwah ini
atau mungkin ianya bermakna bagi yang pernah melaluinya. Sejujurnya, sepanjang
tempoh mengenali ukhuwah ini, banyak ceritanya, tetapi bukan semua yang ingin
dicoret dalam catatan ini. Sekadar apa yang ingin ditulis mengikut gerak hati
insan yang maha kerdil ini.
Masam manis ukhuwah ini.. Itulah
tajuk post kali ini. Puas memikirkannya. Akhirnya itulah yang mungkin sesuai untuk
menggambarkannya. Warna-warni dalam berukhuwah, meniti manisnya ikatan atas
dasar ukhuwah fillah.
Masihkah kita ingat??? Inilah
persoalan yang paling sesuai sebagai muqaddimahnya. Episod ukhuwah ini
tanda keakraban dan kemesraan kita. Atas jalinan persahabatan yang kita bina di
alam remaja. Mudah-mudahan ianya berkekalan selama-lamanya.
Di sini bermula..
Meheliah.. Di sini bermula
ukhuwah kita. Kita bertemu, bertegur sapa. Saling berkenalan sesama kita
membina ikatan persahabatan. Di sini juga medan perjuangan kita. Menimba ilmu
memburu kejayaan dan mencipta kenangan. Asam garam kehidupan kita terukir
disini.
Di sini terkandung pelbagai kisah
ukhuwah ini. Tujuh tahun berkongsi cerita susah dan senang di bumi bersejarah
Meheliah. Keakraban, kemesraan, kesatuan dan kesetiaan mewarnai ukhuwah kita. Kisah
kenakalan budak-budak sekolah yang sarat dengan kisah pemberontakan jiwa.
Episod masam manis dengan warga pendidiknya. Babak di kantin sekolah dengan
menu-menu kegemaran yang menjadi asal usul gelaran dalam kalangan kita. Cerita
zaman kegemilangan nasyid dan kadet bomba sekolah. Diari study group, Qiamullail,
gerai sewaktu ceramah dan pasaria sekolah terpahat indah. Semuanya memberi
makna tersendiri kepada ukhuwah ini.
Di sini juga perpisahan kita
setelah tujuh tahun bersama. Berkenalan, bersahabat, dan kemudian berpisah.
Itulah lumrah kehidupan. Berpisah membawa haluan perjuangan hidup
masing-masing. Membawa episod ukhuwah kita untuk dikenang sehingga ke saat ini.
Kejutan dalam berukhuwah..
Masih ingatkah kita? Satu kejutan
buat sahabat kita. Ianya melakar memori tersendiri buat ukhuwah ini. Kejutan
sambutan hari kelahiran buat sahabat kita Abe Rooney As-As suatu ketika dulu.
Biarpun sambutan secara ringkas diadakan di sebuah bilik darjah bangunan Abu
Bakar As-Siddiq SMU (A) Meheliah Geting, namun ianya memberi makna yang
tersendiri buat ukhuwah ini umumnya dan buat empunya diri khususnya.
Aktiviti yang dirancang tanpa
pengetahuannya. Alhamdulillah, ianya berjaya direalisasikan dengan
kesepakatan dan kesatuan ukhuwah kita biarpun dalam suasana penuh kesederhanaan
pada lewat petang itu. Manisnya ukhuwah itu bila dikenang kembali. Kejutan
penuh makna itulah mewarnai persahabatan kita. Sambutan di luar jangkaan itu
membenih kemesraan dan penghargaan.
Tiada siapa menduga, tiada siapa
menyangka, ada usaha yang dibuat ke arah itu. Sekali imbas, ianya seakan satu idea
yang tidak pernah terlintas sebelum itu oleh kebanyakan kita. Itulah aktiviti
yang belum pernah dibuat sepanjang ukhuwah kita sebelum ini, berjaya
dilaksanakan dengan kerjasama sesama kita. Begitulah indahnya ukhuwah kita yang
sarat dengan memori yang tercipta.
Sekadar lakonan semata-mata..
Masih segar di ingatan, lakonan
bersahaja bersama sahabat-sahabat pada zaman yang penuh kenakalan dahulu. Biarpun
waktu itu, sibuk dengan peperiksaan STAM, namun masih sempat merakam cerita lawak
pendek. Pastinya cerita sembahyang mayat. Penuh dengan lawak jenaka. Di ketuai
Mat Yie Tibek dengan barisan pelakon-pelakon terkenal di kalangan kita
sepanjang sejarah ukhuwah kita. Satu rakaman yang menjadi bahan jenaka ketika
itu. Biarlah hanya kita yang mengetahuinya. Jika rakaman itu masih tersimpan, usahlah
disebarkan bimbang menimbulkan fitnah dan keaiban. Sekadar lakonan semata-mata.
Tiada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang telah mati. Cukup hanya kita!
“Bertukar!!!” Bertukar
menjadi cerek air. Lakonan Mat Yie dan Bie. Rakaman bersahaja yang menggelikan
hati saat itu. Macam-macam karenah sahabat yang sukar dilupakan. Menghiburkan
suasana dan menghilangkan stress belajar. Seperti mahu pecah perut mengilai,
ketawa dengan aksi-aksi mereka lewat tengah malam itu. Menjadi kenangan meniti
perjalanan. Antara babak lakonan yang masih segar di ingatan semasa berkampung
di Dewan Islah Bahasa Arab semasa dalam perjuangan peperiksaan STAM 2006 di
Meheliah.
Itu belum lagi rakaman mem‘buli’
Ayih yang hanya mampu meminta tolong oleh Jijie dan teman-teman. Usik-mengusik,
sakat-menyakat adalah kebiasaan yang wujud dalam ukhuwah ini. Gurauan bersahaja
daripada teman-teman kepada sahabat yang sering menjadi sasaran. Begitulah Ayih
yang sering dijadikan sasaran sebagai “mangsa buli” dalam kalangan
sahabat hingga ke hari ini. Hanya gurauan semata-mata saat bersama. Tidak ada
niat menyakitkan hati. Jika terasa, maafkan kami!!!
Kenangan pahit jadi teladan..
Sekali imbas pahit terasa. Dua
kali imbas nak tergelak pun ada. Apa ke halnya? Nak bakar pondok ke?!!! Itulah
kenangan aktiviti bakar ayam di pondok kediaman Jai dan Pang yang tidak menjadi.
Terpaksa aktiviti itu berpindah ke Pantai Geting. Biarpun dalam dilema, namun
aktiviti itu berjaya juga diadakan biarpun keadaan masih hangat ketika itu.
Sehangat bara api yang membakar ayam sehingga dapat dinikmati rasanya.
Melewati secara ringkas plot
kisah pahit memori ini pasti mencuit hati. Apa tidaknya, sampai menjadi isu
yang hangat, bual cerita ukhuwah kita. Seperti biasa, kata sepakat diambil
mengadakan BBQ di pondok tersebut. Malam itu juga berserta dengan azam dan
impian untuk menonton bola sepak sehingga dengan penuh semangat sahabat-sahabat
berusaha membawa TV ke pondok tersebut. Sedang sebahagian teman-teman tengah
syok menyalakan bara api manakala sebahagian yang lain sedang khusyuk membaiki
siaran televisyen sambil dengan cerita bolanya, sekali Abe Ba datang.
Masing-masing tersentak. Apa lagi, di rampasnya TV itu, dan dilarangnya kami
bakar ayam di kawasan pondok itu. Adoiii terkena malam tu!!! Kena syarah!!!
Terpaksalah berpindah lokasi meneruskan aktiviti bakar ayam ke Pantai Geting dan
impian menonton bola sepak sebelum itu, hanya tinggal impian.
Mengingati kisah ini, sepastinya
menjadi teladan pada semua. Jangan buat sesuatu sesuka hati di tempat orang.
Lebih-lebih lagi di tempat larangan. Kadang-kadang sikap ikut suka hati yang tidak
kena pada tempatnya inilah mengakibatkan insiden seperti itu terjadi. Namun
itulah antara kenangan pahit yang menjadi memori yang melucukan dalam ukhuwah
ini. Mengingatinya mencuit perasaan. Antara kekesalan dan kelucuan. Mewarnai
ukhuwah kita.
Perkhemahan ukhuwah kita..
Masihkah kita ingat? Perkhemahan
ukhuwah kita di Pantai Sri Tujuh. Di lokasi bersejarah buat kita. Mengadakan
aktiviti BBQ bersama teman-teman lama. Kita bergotong-royong membina khemah
untuk bermalam di situ. Semalaman di sana, banyak cerita indah di dalamnya.
Biarpun cuaca tidak begitu baik pada malam itu namun ianya tidak mematahkan
semangat kita. Bila menatap kembali potret kenangan yang masih ada dalam
simpanan, pasti menggelikan hati. Wajah-wajah comel zaman awal remaja pasti
akan membuatkan kita ketawa sendiri.
Dalam keadaan hujan lebat dan
kegelapan malam itu, kita bersatu meneruskan aktiviti BBQ kita. Kepanasan bara
api menghangatkan diri kita saat itu. Seingat ana, bukan mudah menyalakan bara
api dalam keadaan basah. Hanya yang ada lighter dan arang. Berusaha kita
menghidupkannya dengan pelbagai cara. Cerita di awal pagi sebelum menjelang
subuh, kita terpaksa membasuh ayam yang sedikit berbau kerana terlupa dicampurkan
ke dalam hawas sedia ada. Kesejukan air terpaksa diredah sahabat-sahabat untuk
membersihkannya. Dalam kegelapan malam itu, hanya berbekalkan bantuan cahaya
lampu suluh kita menyambung usaha membakar ayam sampai ke pagi. Tidur pada
malam itu tidak seenak tidur di rumah kerana kesejukan dan berperang dengan
nyamuk.
Itulah lokasi penuh bersejarah
dalam ukhuwah kita. Lokasi aktiviti-aktiviti BBQ kita. Tempat pemberontakan
kita menumbangkan pokok rhu. Tempat kita berlumba lari dan bermain bola.
Semuanya terangkum di situ. Kenangan manis kita bersama saat itu dalam membina
ukhuwah persahabatan ini.
Juga pernah kita mengadakan BBQ
di tepi pantai sana. Kita bermalam beralaskan tikar di situ. Mujurlah cuaca
hari itu sangat elok. Kita boleh bermalam dengan tenang biarpun dalam kesejukan
angin pantai di malam hari. Inilah antara kisah ukhuwah kita. Kita bersatu hati
menjayakan setiap aktiviti yang dirancang. Kita mencipta suasana ukhuwah yang
begitu manis untuk dikenang sepanjang perjalanan.
Menjelajah membina ukhuwah..
Jauh kita menjelajah membina
ukhuwah. Merentas masa, melewati usia hingga melintas sempadan negeri. Bukan di
Meheliah sahaja ukhuwah kita. Jauhnya membelah jalanan. Sepastinya, ekspedisi
kembara ukhuwah ke Lata Tembakah menjadi ingatan yang akan terus terpahat di
hati. Bersuka ria, mandi-manda, dan berBBQ sambil menikmati keindahan alam
semula jadi ciptaan Allah s.w.t.
Jika sebelum ini kerap kali kita
memilih lokasi yang hampir dengan kita, tapi sekali sekala kita membawa ukhuwah
melancong sedikit jauh. Memberi suasana dan pengalaman yang berbeza kepada
kita. Itulah ukhuwah kita. Tidak habis dengan pelbagai episod dan cerita untuk
diperkata. Manisnya ukhuwah yang terbina biarpun seketika bersama.
Menjadi kebiasaan, menyewa dua
buah kereta sewa untuk ke sana. Kita bersepakat dari segi kewangan dan
persiapan dalam menjayakan ekspedisi kembara kita. Perjalanan kita dirancang
arah tujuannya terlebih dahulu. Jauh perjalanan, luas pemandangan, serta banyak
pengalaman. Ekspedisi kembara ukhuwah ke Lata Tembakah turut mewarnai ukhuwah
kita.
Masih bersambung episod ini..
Hingga saat ini, episod ukhuwah kita terus bersambung biarpun tidak serancak dulu. Pelbagai aktiviti terus diadakan bagi mengeratkan lagi ukhuwah kita. Biarpun dalam kesibukan masa terhadap komitmen hidup masing-masing, namun ia masih mampu direalisasikan dengan kesepakatan kita bersama.
Aktiviti ringkas seperti berkumpul di hari raya, perlawanan futsal, perjumpaan di kedai kopi, dan BBQ
terus diadakan bagi mengembalikan keakraban ukhuwah kita. Itulah aktiviti
bersama kita hingga ke hari ini. Alhamdulillah… Masih bersambung episod itu.
Dengan kesepakatan dan kesatuan
kita dalam berukhuwah, kita masih boleh menjayakan aktiviti-aktiviti masa
lapang kita bersama. Tidak mustahil dengan kesepakatan dan kesatuan yang
ditunjukkan ini, suatu hari nanti kita mampu mengadakan aktiviti yang lebih
menarik seperti menganjurkan Hari Keluarga buat ukhuwah kita. Insya-Allah..
Kita pernah bersama
mewarnainya…
Memori itu, menjadi bukti kita
pernah bersama mewarnainya. Kita menghiasi ukhuwah ini dengan pelbagai corak
dan ragam. Kenangan pahit manis perjalanan sepanjang ukhuwah kita. Darinya
wujud kemesraan, penghargaan, gelak tawa, serta suka duka dalam ukhuwah ini. Indahnya
kerana kesatuan kita dalam mengharunginya serta gelagat dan karenah kita yang
pelbagai mencorak warna-warni persahabatan.
Begitulah sebahagian ingatan
episod ukhuwah kita. Masam manis perjuangan kita. Biarpun masih banyak lagi
yang menjadi kenangan kita bersama tetapi inilah antara kisah yang jelas
membuktikan keakraban ukhuwah kita. Kita menciptanya dengan penuh keindahan dan
kenangan. Menikmati setiap detik waktu bersama dalam menghargai persahabatan
ini.
Episod itu kenangan kita hari
ini, teruslah mencipta episod indah ukhuwah kita dalam kesempatan masa yang ada
agar kemanisan ukhuwah akan terus kita rasai. Dalam pertemuan, ada kisah
tercipta, ada cerita terjadi. Bukti kita pernah bersama mengharunginya!!!
Hargailah sebuah pertemuan kerana di situ bermulanya
kenangan..
Perpisahan datang mencipta kerinduan..
Hanya cebisan kenangan yang mempertahankan ingatan..
Kerana adanya kemanisan di sebalik sebuah pertemuan..
Salam ukhuwah, salam mahabbah!!!