Melewati sebulan di bumi
kenyalang ini, pelbagai pengalaman dilalui. Cerita suka dan dukanya. Namun keceriaan
tetap menghiasi kehidupan di sini. Apa khabar sahabat-sahabat semua?
Mudah-mudahan sahabat semua sihat wal ‘afiat. Sudah lama tidak menulis
bingkisan sebegini. Hari ini tajuknya, bingkisan sang musafir di Kepulauan
Borneo memandangkan insan ini sedang menikmati permusafiran di perantauan ini. Bulan
Februari yang lalu telah membuka lembaran baru dalam hidup ini, bukan
disebabkan insan ini dilahirkan dalam bulan tersebut tetapi kerana insan ini
diberi peluang dan dipilih oleh Allah s.w.t untuk bernafas di bumi kenyalang
ini yang kaya dengan keindahan flora dan faunanya.
Ya, tiada siapa menduga. Di sini
pilihan terbaik yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t untuk insan ini. Di tanah
yang pasti tidak diimpikan oleh kebanyakan kita. Tetapi insan ini berserah diri
biarpun di mana sahaja kaki ini memijak demi satu usaha mendidik anak bangsa.
Seperti yang insan ini katakan sebelum ini, banyak pengalaman baru yang dilalui
di sini. Ya, suasana yang cukup berbeza. Dari sudut ketentuan takdir-Nya yang
begitu hebat dan tidak terduga, hinggalah pelbagai perubahan pada kehidupan insan
ini.
Berada di sini banyak mengajar
erti kesabaran dan ketabahan. Juga mengajar erti ukhuwah bagi insan ini. Bukan
mudah berada di tempat asing bagi diri kita. Jauh dari keluarga. Jika mahu
pulang ke halaman bonda pun pasti akan terfikir banyak kali lantaran kos
ulang-alik yang tinggi dan ianya pasti berbeza dengan kosnya di Semenanjung.
Namun begitu, sudah menjadi kebiasaan bagi insan ini berada jauh dari kampung
halaman. Tiada apa yang hendak dirisaukan untuk berada di Kepulauan Borneo ini.
Di sini, ukhuwah berputik dan jalinannya dapat dipereratkan. Ramai rakyat
semenanjung di sini. Merekalah keluarga di sini. Saling membantu bila
diperlukan kerana masing-masing mengerti hakikat diri dan ukhuwah di tanah
asing ini.
Alhamdulillah.. Bersyukur
kerana dipermudahkan lagi oleh Allah s.w.t. Terus bertukar IPG ke Kota
Samarahan di Kuching. Biarpun jaraknya seakan-akan dari Kota Bharu ke Kuala
Lumpur. Namun itulah yang lebih mudah bagi insan ini berbanding pada asalnya
terpaksa berkejaran dari Sibu ke Kota Bharu. Ya, dapatlah menjimatkan kos
perjalanan ulang-alik insan ini setiap kali tibanya musim cuti persekolahan.
Seronok mengajar di sini lantaran
bilangan pelajar yang tidak ramai. Biarpun pelbagai karenah mereka banyak
menguji kesabaran dan ketabahan diri ini. Biasalah bermain dengan kanak-kanak
ribena ini memerlukan ketabahan dan kecekalan dalam diri. Namun yang
seronoknya, di sini boleh cubit-cubitan, rotan-rotanan dan pukul-pukulan. Bukan
berniat untuk menyakitkan tapi untuk mendidik menjadi insan yang berakhlak
mulia yang mampu membeza baik dan buruk.
Seringkali sinis kedengaran. “Mengajar
budak-budak, tidak berkembang ilmu.” Pada insan ini tidak begitu. Mengajar
budak-budak juga, ilmu juga mampu dipertingkatkan. Malahan ianya bukan terletak
pada tahap pengajaran kita tetapi ianya terletak pada kesungguhan kita dalam menuntut
ilmu. Jadi, walau di mana pun kita, seharusnya kita yang memilih sama ada untuk
terus belajar atau kita hanya ingin berkerja semata-mata.
Mengajar budak-budak mengenal
Alif, Ba, Ta dan ABC, usah dipandang remeh. Percayalah, bukan mudah untuk
mengajar mereka dalam tahap mengenal dan mengeja bahkan untuk menulis
huruf-huruf tersebut. Seringkali orang berbangga dengan pencapaian peringkat
menengah mahupun universiti namun ketahuilah asalnya mereka dilahirkan dari
bimbingan guru yang mengenalkan mereka huruf-huruf aksara dan ejaan secara
berperingkat sehinggalah mereka mampu mengeja, membaca dan menulis.
Berada di kepulauan Daro, Sibu
banyak memberi pengalaman baru. Perjalanan menaiki “Boyew Ekspress” selama
lebih kurang 2 jam dari jeti Sibu untuk sampai ke Kepulauan Daro.
Alhamdulillah.. Mujurlah rumah sewa dekat dengan pekan kecil. Malahan pula,
dapat menyewa di Kampung Baru bersama sahabat seperjuangan Mohd Husnee Awang
adalah satu keajaiban dalam takdir Ilahi buat insan ini. Mana tidaknya, seluas
tanah di bumi kenyalang ini, kami disatukan di Kepulauan Daro. Jarak dari rumah
sewa ke sekolah lebih kurang 15 hingga 20 minit perjalanan menaiki motorsikal.
Jalannya tidaklah sesibuk di kebanyakan tempat di Semenanjung. Jalanan yang
begitu tenang, segar dan nyaman. Keadaan jalan yang sedikit beralun mungkin
disebabkan ianya sering digunakan oleh lori-lori pemunggah kelapa sawit.
Pengalaman menjengah hidup ini. Antaranya
terpaksa merasai pengalaman naik lori yang sarat dengan muatan kelapa sawit
suatu hari tatkala tayar motorsikal pancit semasa pulang dari mengajar di
sekolah. Terpaksalah menumpang lori tersebut untuk tiba ke rumah sewa.
Pengalaman yang menduka cita juga tercatit dalam hari-hari kehidupan insan ini
di sini. Salah satunya adalah, terjatuh daripada motorsikal kerana keadaan
jalan yang tidak begitu baik. Mujurlah tiada apa-apa yang teruk berlaku. Cuma
luka-luka kecil sahaja di tapak tangan dan lutut. Nasib baik keadaan tar yang
basah kerana hujan pada pagi itu mengurangkan kesan-kesan luka pada diri ini.
Krisis air bersih juga menguji
ketabahan hati. Seringkali bekalan air paip sukar didapati di sini. Persediaan mental
dan fizikal menghadapi segala kemungkinan perlulah sentiasa ada bagi
mengelakkan masalah yang lebih besar berlaku. Ya, ini adalah ujian-Nya yang
sedikit cuma. Mengajar kami menghargai setitis air. Sebotol air mineral untuk
membasahi tubuh badan dan berwuduk sudah mencukupi dalam kadarnya saat berada
dalam krisis bekalan air. Menggunakan spray untuk membasahi tubuh badan dan
berwuduk. Itulah rutin kami di sini menghadapi saat-saat getir ketiadaan
bekalan air bersih. Kebiasaannya akan menumpang mandi di rumah teman-teman di
sini yang mempunyai bekalan air. Ya, begitulah suasana ukhuwah di sini.
Semasa orang lain sedang
bergembira untuk bercuti di halaman bonda. Insan ini pula akan bermusafir ke
Kota Samarahan, Kuching untuk menghadiri interaksi di sana mengikut jadual yang
ditetapkan. Buat pertama kali pada cuti penggal pertama persekolahan bulan Mac,
insan ini menaiki bas dari Sibu ke Kuching. Perjalanan yang jauh mengambil masa
7 jam untuk sampai ke maktab Kota Samarahan. Jadual yang padat dari pagi hingga
ke lewat petang. Selepas ini, mungkin akan mengikuti jalan laut ataupun jalan udara
pula. Bergantung kepada keputusan bersama teman-teman seperjalanan di sini.
Buat masa ini, satu kem telah
diikuti insan ini di sekolah. Ya, Kem Jati Diri Pelajar namanya. Selama 3 hari
2 malam berkampung dan berprogram di sekolah. Pelbagai pengalaman yang pasti
mencipta nostalgia dalam hidup insan ini bersama adik-adik pelajar di sini. Berada
di bumi Sarawak, dapatlah belajar bahasa Melanau. Biarpun tidak banyak tapi
insya-Allah dalam tempoh kurniaan Allah s.w.t ini, insan ini akan cuba
mempelajarinya setakat yang termampu.
Redha ketentuan-Nya, menikmati
hidup yang lebih tenang dan bahagia!!!
No comments:
Post a Comment