Tahun 2015,
berkesempatan untuk pulang ke kampung halaman dengan lebih kerap pada kali ini.
Tahun keempat di bumi kenyalang. Terasa sekejap sahaja. Menimba pengalaman di
sini sebelum pulang berbakti ke tanah semenanjung. Insya-Allah tidak lama lagi.
Mungkin.
Baru kembali dari
halaman bonda minggu lepas. Pulang sempena cuti Hari Raya Aidil Adha setelah
tiga tahun beraya di tempat orang. Alhamdulillah, berkesempatan menunaikan
ibadah korban pada tahun ini setelah sekian lama bercita-cita untuk
melaksanakannya.
Kepulangan kali
ini cukup bermakna. Walaupun tidak bertemu ashab seperjuangan, namun dapat berpeluang
bersama adik-adik pelajar Meheliah dalam aktiviti riadah dan ziarah. Lama tidak
bersama mereka lantaran masing-masing jauh berkelana menuntut ilmu di Universiti
al-Azhar, Mesir. Ya, sejak dua tahun yang lalu. Alhamdulillah, kembali bertaut ukhuwah kita.
Kebetulan tahun
ini mereka pulang bercuti, dapatlah bersama mereka di gelanggang riadah. Begitulah
rutin sebagaimana sebelum ini. Ya, sebelum mereka pergi menuntut ilmu ke sana.
Sering bersama-sama dalam aktiviti sukan. Terima kasih atas ajakan untuk saling
mengeratkan ukhuwah sesama kita. Maklumlah, seringkali kepulangan sekadar untuk
menjenguk keluarga dan kaum kerabat di kampung. Jarang benar ada aktiviti
bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Sekurang-kurangnya dapat mengisi waktu
terluang dengan aktiviti yang berfaedah.
Justeru,
kepulangan pada cuti Hari Raya Korban kali ini merupakan kali terakhir dapat
bersama-sama adik-adik pelajar sebelum mereka kembali bermusafir jauh ke Timur
Tengah untuk menyambung urusan pengajian mereka. Maaf, kerana tidak mempunyai
ruang waktu yang banyak untuk bersama-sama kerana insan ini jauh bertugas di
kepulauan Borneo ini.
Hanya waktu cuti
sahaja dapat pulang ke kampung halaman. Selebihnya perlu mencari rezeki di
negeri orang. Mendidik anak-anak generasi ibu pertiwi. Sungguh, insan ini
sedaya upaya merebut peluang yang ada untuk bersama-sama adik-adik pelajar yang
pulang dari jauh kerana selepas ini entah bila pula mereka akan kembali ke
tanah air. Bertahun-tahun lagi pula barulah dapat bersua kembali. Insya-Allah.
Terlalu banyak
kenangan bersama telah tercipta meskipun lewat pertemuan ukhuwah ini bertaut
dengan mereka. Terima kasih kerana tidak jemu mengajak insan ini untuk aktiviti
bersama. Justeru, insan ini semampunya akan cuba untuk terus menghargai ukhuwah
yang cukup indah ini.
Benar, ukhuwah
tidak mengenal usia. Tidak berkira jauh mahupun dekat. Selama mana kita beriman
pada Allah Yang Maha Esa, selama itulah kita bersaudara. Sungguh, Islam
mengutamakan ukhuwah sesama manusia.
“Tidak
sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya apa
yang dia suka untuk dirinya.”
Begitulah mafhum
sabda junjungan baginda Nabi Muhammad s.a.w. Untuk mencapai kesempurnaan iman,
kita mesti saling mengasihi sesama saudara kita sebagaimana kita mengasihi diri
kita sendiri.
Berkasih sayang
sesama saudara, semoga iman semakin sempurna!
No comments:
Post a Comment