Gemilang namamu terus cemerlang.
Nama yang sentiasa mekar di ingatan. SMU (A) Meheliah Geting. Sekolah yang
pernah menjadi saksi sebuah perjuangan buat insan ini. Dari seorang pelajar
sehingga berkesempatan menjadi tenaga pengajar di situ. Tempat bermulanya
langkah insan ini sebagai seorang pendidik, meskipun hanya sementara sebagai
guru ganti di situ. Namun ianya memberi banyak pengalaman yang berguna buat
insan ini.
Terlalu besar dirasakan jasa
sekolah itu buat insan ini. Jasa warga pendidiknya yang begitu tabah mendidik
insan ini. Tidak mampu dibalas oleh insan ini. Kenangan di sekolah itu menjadi
sebuah nostalgia yang tersimpan utuh dalam diari kehidupan. Kenangan bersama sahabat-sahabat
seperjuangan, guru-guru, dan juga adik-adik pelajar insan ini adalah cukup
indah dan sentiasa menerpa dalam ingatan saban waktu.
Meheliah; namamu terus gemilang.
Insan ini catatkan di laman ini sebagai tanda penghargaan buat sekolah yang
telah banyak menyumbangkan bakti buat diri ini. Jasa warga pendidik yang tidak
jemu mencurahkan mutiara ilmu yang berharga sebagai bekalan berguna sepanjang
kehidupan.
Di bangku sekolah itu pernah
insan ini duduk, menimba mutiara berharga dari warga pendidik yang berjasa. Di
tanah itu juga, kaki ini pernah kembali menyumbang sedikit bakti yang tetap tidak
mampu membalas jasa sekolah itu buat diri. Sungguh, insan ini amat bertuah
kerana dapat merasai dan menikmati pengalaman dalam 2 situasi yang berbeza.
Tahniah atas kejayaan..
Cemerlang dan terus gemilang.
Mekar harum namamu dijulang. Itulah SMU (A) Meheliah Geting. Dinobatkan sekolah
bantuan kerajaan terbaik, dalam keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia 2012 baru-baru ini. Ianya merupakan sebuah pengiktirafan yang cukup membanggakan bagi
seluruh warga sekolah dan bekas pelajar yang masih dan pernah berada di situ.
Tahniah atas kejayaan ini!!!
Sekalung tahniah dan syabas juga
kepada bekas adik-adik pelajar insan ini yang telah lulus dengan cemerlang
dalam STAM 2012 terutamanya kepada Ali Zakaria Tabari Bin Mohd Nawi yang telah
memperolehi 10 MUMTAZ dalam peperiksaan tersebut. Pencapaian ini turut
mengulangi pencapaian abangnya, Hamidul Hannan Hasani yang merupakan sahabat
seperjuangan insan ini dalam STAM 2006 yang lalu di sekolah yang sama. Sejarah
si abang dicipta kembali oleh si adik. Sebagai bekas pendidik, insan ini turut
berbangga dengan kejayaan dan kecemerlangan ini. Tahniah dan syabas! Mabruk!
Cerita SMU (A) Meheliah Geting
dalam post kali ini. Sekian lama tidak mencatatnya di laman Tinta Ukhuwah ini. Dari
seorang pelajar kepada seorang tenaga pengajar. Ia sesuatu yang cukup bermakna
dalam menulis diari kehidupan. Cerita-cerita pahit manis perjalanan sebagai
seorang pelajar bersama sahabat-sahabat seperjuangan pada awal persinggahan ke
hujung perjuangan di sekolah yang tercinta itu, hatta kisah-kisah bersama
adik-adik pelajar yang pernah bersama-sama menemani hari-hari insan ini sebagai
seorang pendidik sekalipun dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama. Ianya
cukup bermakna dalam meniti ukhuwah di perjalanan dalam kehidupan. Semoga ianya
menjadi memori yang terus diingati sampai bila-bila..
Sekalung tahniah, setinggi syukur,
Alhamdulillah!
No comments:
Post a Comment