“Anggaplah dia seperti adikmu, saat dia menganggapmu seperti
abangnya..”
“Lupakan kenangan pahit semalam, bangkit dan binalah ukhuwah yang
lebih indah..”
Dari cerita seorang teman saat
meminta pandangan. Terlihat dirinya seakan sedang berputus asa. Mungkin kenangan
pahit masih menghantui dirinya. Tidak berani memulakannya buat sekian kalinya. Dari
bicaranya jelas hampa namun masih tetap ada harapan di dalamnya.
Begitulah cebisan nasihat buatnya
sebagai renungan dalam meniti ukhuwah dalam kehidupan. Ya, hidup ini umpama
roda. Kekadang di atas, kekadang di bawah. Begitu juga hati dan perasaan kita.
Pasti sering berubah-ubah. Mengikut situasi dan keadaannya.
Serik. Mungkin itulah yang
terbungkam di hatinya saat itu. Memori lalu seakan meremuk dadanya. Kisah yang
sering dikongsinya dengan insan ini. Meluahkan rasa yang sangat berat sehingga membebankan jiwa. Seringkali juga
mengundang airmata.
Sabarlah wahai teman. Ujian rasa
di hatimu. Insan ini mengerti biarpun sukar. Rasa sebak juga mendengarnya.
Berat telinga mendengarnya, berat lagi hatimu menanggungnya. Namun apakan daya,
insan ini yang dicari untuk diceritakan segala bebanan rasa yang sarat
ditanggung sendirian. Berkongsi dan melepaskan rasa sebak di dada. Agar ianya
dapat melegakan amukan jiwa yang bersarang dukacita.
Masih lagi wujud harapan dalam
dirinya. Hatinya ingin sekali lagi mengalaminya namun seakan tidak kuat dan
yakin untuk menghadapinya. Berkongsi bahagia dengan insan yang sedang menambat
jiwanya. Mengusik lembutan rasa kasih dan sayang di hatinya.
Teruslah menganggapnya seperti
adikmu, saat dia menganggapmu seperti abangnya. Begitulah juga sebaliknya.
Penuhi harapannya mudah-mudahan harapanmu juga dipenuhi. Lapangkan dadamu dalam
menerima agar dirimu mudah memberi dengan penuh ketulusan dan keikhlasan.
“Uruskanlah perasaan kasih dan sayang itu sebaik-baiknya..”
“Jangan kau membezakan dirinya
dengan saudaramu, kerana pasti berbeza selama-lamanya..”
Kasih sayang itu fitrah. Maka
uruskanlah fitrah yang suci dan indah itu dengan sebaik-baiknya. Agar kita juga
dapat menikmati keindahan rasa itu. Tiada salahnya berkongsi perasaan kasih dan
sayang itu kerana darinya akan melahirkan ketenangan, kedamaian dan
kebahagiaan. Justeru, sebarkanlah kasih sayang di hati dalam berukhuwah kerana
dengan perasaan itu mampu menyuburkan ukhuwah yang lebih bermakna.
Siapalah kita untuk menghalang perasaan
itu daripada wujud dalam diri. Sekalipun bagi insan yang kejam pasti tetap wujud perasaan itu di dalam jiwa biarpun sedikit. Selagi mana Allah tidak
menghilangkan perasaan itu dalam hati kita selama itulah ianya akan terus
menghuni lubuk jiwa kita selama-lamanya.
Dayunglah sampan perasaan ke
muara kebahagiaan. Berukhuwahlah dan luaskanlah medannya dengan sesiapa pun. Jangan
pula dirimu membezakan dirinya dengan saudaramu, kerana pasti berbeza
selama-lamanya. Dia juga memiliki keistimewaannya tersendiri yang belum pasti
dirimu perolehi daripada saudaramu. Sekiranya kamu membandingkan dirinya dengan
saudaramu semestinya kamu lebih memilih saudaramu. Selebihnya kamu akan
menafikan dan membiarkannya kerana dia bukan pilihanmu.
Anggaplah kehadirannya sebagai
anugerah daripada Allah s.w.t buatmu. Mungkin itulah yang terbaik pada ketika
ini. Sekalipun hari ini dirimu masih tidak memerlukannya dalam kehidupan ini. Kerana
kita tidak tahu bila masanya kita akan memerlukannya untuk hadir dalam hidup ini.
Jadi, hargailah yang ada selagi mana terdaya sebelum tiba waktunya hadirnya
rasa kamu ingin menghargainya sedangkan pada waktu itu suasana ukhuwah telah pun
berbeza.
Rintihanmu teman, membuatkan
insan ini berfikir akan keindahan ukhuwah antara dirimu dengannya. Coretan ini
hanyalah sekadar pandangan dari insan yang maha kerdil ini. Semoga ianya
menjadi renungan bersama. Sekalipun bukan semuanya berguna, agar ada manfaatnya
biarpun sedikit cuma. Terima kasih teman di atas kepercayaan yang diberikan
dalam sebuah perkongsian. Terima kasih…
Fitrah cinta untuk semua, justeru
itu sebarkanlah keindahan rasa itu seadanya!!!
No comments:
Post a Comment