“Tulislah pasti akan ada yang membaca, biarpun bukan hari ini!”
“Tulislah sejujurnya,
biarkanlah apa yang hendak dikata, sedangkan realitinya sering begitu..”
Ayat-ayat ini membuatkan diri ini
berusaha untuk terus menulis. Biarpun terkadang semangat untuk itu sering ada pasang surutnya. Mungkin
disebabkan kesibukan terhadap komitmen dewasa ini. Namun laman ini sentiasa
juga perlu di ‘update’ walaupun sedikit cuma. Tidak pula mahu ianya sepi tanpa
apa-apa. Biarpun sekadar kad-kad ucapan ulangtahun buat ashab insan ini.
Bukannya malas untuk menitipkan
sesuatu di laman ini. Tapi setiap kali melewatinya tidak pula memiliki mood
untuk menulis. Bergelut dengan kerja yang bertimbun menyebabkan sekadar
memandang sepi ke laman tinta ukhuwah ini.
Sesepi ikatan ukhuwah ini
layaknya. Ya, Mungkin begitulah gambarannya. Entah tiada apa yang mampu
diperkatakan lagi. Hanya mampu menanti dengan sabar bunga-bunga ukhuwah ini berkembang
semula. Harum semerbak menghiasi taman persahabatan ini.
Suram. Lama sudah berlaku. Seakan
irama tidak berlagu. Tiada apa yang mampu dibuat. Itulah pilihan kita semua.
Setakat itu cuma. Seindahnya dalam kenangan, sukar dicipta semula. Bila jauh
terus sepi. Sekalipun dekat belum tentu lagi mendekati. Tidak dicipta untuk
mencipta. Yang ada hanya membiarkannya sahaja.
“Kasihilah untuk dikasihi.”
Tersentuh mendengar cerita
seorang teman. Sejak berkenalan sering juga dirinya berkongsi cerita.
Cerita-cerita hati yang mengundang seribu satu rasa. Melewati kisahnya yang begitu
bersahaja. Kisah ukhuwah yang penuh dengan curahan rasa dari hati nan indah.
Bukan kisah cinta tetapi kisah yang sering mendidik rasa kasih sayang dalam
jiwa.
Dikurniakan hati yang penyayang
sebenarnya adalah untuk disayangi. Begitulah seringkali aturan kehidupan ini
kerana orang yang menyayangi pasti disayangi. Itulah yang terkandung dalam
salah satu sabda junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Dari kelembutan rasa,
mampu membina jiwa. Insan memandangnya berbunga harapan yang mampu membenih
rasa kasih dan sayang. Telepati rasa yang mengulik jiwa sehingga mampu melembutkan
kekerasan hati yang tersimpan di dada. Tersentuh dengan gaya dan cara insan
pendidik jiwa.
Ya, dia membina ukhuwah yang
cukup indah. Mengisi ruang jiwa, mencurah rasa dan berkongsi setulusnya rasa
bahagia. Biarpun terkadang mengundang airmata dan kekesalan rasa namun itulah
yang perlu ditempuhinya. Sesekali terselit rasa kecewa namun terus percaya
bahawa setiap sesuatu itu pasti ada hikmahnya.
Kata-kata semangat sering mengubah tatkala hati sering berubah!
No comments:
Post a Comment