Saturday, July 21, 2012
Saturday, July 14, 2012
Sekadar pandangan pada pertanyaan..
“Aku rimas laa bro..”
“Aku tidak minta dia hadir dalam hidupku..”
Begitulah luahan seorang teman melalui saluran mesej yang hadir di
paparan skrin telefon bimbit insan ini. Rimas dengan seseorang yang hadir dalam
hidupnya seolah-olah sedang mengganggu suasana aman dan tenteram sekeping
hatinya saat ini. Kasihan juga padanya sehingga terpaksa mengadu pada insan
ini. Namun apalah sangat yang dapat dibantu oleh insan yang dijadikan sebagai
tempat mengadunya saat ini. Sekadar hanya mampu untuk cuba memahami situasi
yang melanda dirinya ketika ini menerusi apa yang diluahkannya dalam untaian
SMS tersebut.
Pernahkah seseorang hadir dalam hidup kita dengan menampakkan kebaikan
di luar jangkaan kita sedangkan kita tidak mengharapkan apa-apa pun daripadanya?
Mungkin pernah bukan. Atau mungkin juga tidak. Ianya berlaku bukan sekali
tetapi berterusan biarpun kita seringkali menolaknya. Sekalipun antara kita
dengannya tiada apa-apa hubungan yang boleh dianggap sebagai hubungan istimewa.
Tentu sekali ianya membuatkan kita rasa kurang selesa dengan tindakannya yang
sebegitu kepada kita.
Mungkin itulah yang sedang mengganggu fikiran dan kehidupan teman
insan ini pada ketika ini melalui apa yang dikhabarkannya sebelum ini. Susah
juga hendak dibalas insan ini terhadap mesej tersebut. Bagaimana harus
difikirkan penyelesaiannya? Bukan jawapan yang mampu diberikan kepadanya tetapi
sekadar sedikit pandangan dan nasihat sebagai panduan menghadapi situasi yang
sedang melanda.
“Hargailah kebaikannya sekadar yang mampu..”
“Menghargai tidak semestinya kita mesti terima dia untuk diri kita.
Tapi kita menggelakkan diri dari membuatkan dia rasa terhina..”
Antara isi balasan mesej buat teman kepada insan ini. Ya, hargailah
kebaikannya sekadar yang kita mampu. Bersyukurlah kita kerana dia memberikan
kebaikannya dan bukannya berbuat jahat kepada kita. Menghargai pemberiannya
bukan bermaksud kita mesti terima dia untuk diri kita kerana kita harus memilih
untuk itu. Tetapi jangan sesekali kita menghina pemberiannya atau dirinya kerana
hanya atas alasan kita tidak suka dia ataupun dia bukan pilihan kita.
Pernahkah kita meletakkan diri kita di tempatnya? Kita tidak akan
faham selagi mana kita hanya mahu menjadi diri kita. Yang pastinya, tidak semua
orang mampu berbuat baik kepada kita di luar jangkaan kita. Justeru, hargailah
kebaikannya itu. Kita tidak tahu bila lagi kita akan berjumpa dengan insan yang
baik sepertinya sekalipun masih ramai tapi belum tentu terjamin kebaikan
insan-insan itu buat kita. Hakikatnya, mampukah diri kita jadi dia atau jadi
seperti dia? Cuba tanya diri kita. Tidak mudah bukan?
“Kamu bertuah bertemu dengan insan seperti dia sedangkan saya belum
tentu dapat apa yang kamu dapat..”
“Biarpun dia pada kamu hanya teman biasa, tapi mungkin di sisi yang
lain dia seorang yang istimewa..”
Secebis nasihat buat teman di perjalanan. Ya, kita tidak tahu. Jika kita
melihat seseorang dengan pandangan bahawa kita tidak menyukainya. Bererti kita
telah manafikan ketulusan dan keikhlasannya. Kita tidak akan nampak bahawa
ianya kebaikan tetapi kita akan melihatnya dari sudut yang berlainan yang
kebanyakannya dari sudut negatif. Kita rasa rimas, tidak selesa, ingin lari
daripadanya dan banyak lagi. Itulah pandangan kita kepada sesuatu yang kita
tidak suka. Betul bukan?
Berbeza pula dengan apa yang kita suka. Seandainya insan itu seorang
yang kita sukai, kita cintai dan kita senangi, sepastinya senario pandangan
kita turut akan berbeza. Sudah tentu ianya pasti. Kita impikan kebaikannya
berterusan kepada kita. Sebabnya kita suka. Di situ nampak kita terlalu positif
menerima segala kebaikannya walaupun cuma sedikit. Itulah bezanya di sini atas
kecenderungan kita menilai kebaikan seseorang berdasarkan siapa dia kepada
kita.
Pada kamu insan itu sebagai teman biasa. Tapi kita tidak tahu
pandangan orang lain terhadapnya. Dia mungkin dianggap istimewa di mata orang
lain. Jadi, jangan sesekali membuatkannya rasa terhina. Biarkanlah dia dengan
kebaikannya yang sememangnya kamu mungkin tidak mampu memilikinya dari insan
yang kamu sukai dan cintai. Terimalah dengan hati yang terbuka segala kebaikan
daripadanya. Seelok-eloknya anggaplah kehadirannya dalam hidupmu merupakan satu
kurniaan Allah s.w.t kepadamu.
Kamu bertuah kerana kehadirannya sedangkan saya belum tentu
mendapatinya dalam hidup saya. Justeru, fikir-fikirkanlah sebaik-baiknya dalam apa
jua tindakan kamu dalam menghadapi situasi yang melanda hidupmu. Biarpun
sekadar teman biasa, usah bertindak bersulam hina. Sekalipun dia menganggapmu
istimewa bersama jutaan harapan yang terpendam namun tidak pula dia membicarakan
dan meluahkan ataupun dia mungkin hanya mahu melihatmu dalam
kebahagiaan atau sekadar mengenalimu sebagai teman, kawan, rakan dan taulan.
Terimalah dengan hati terbuka lebih baik daripada membalas hina!!!
Thursday, May 10, 2012
Sunday, May 6, 2012
Friday, April 20, 2012
Saturday, March 31, 2012
Bingkisan sang musafir di Kepulauan Borneo..
Melewati sebulan di bumi
kenyalang ini, pelbagai pengalaman dilalui. Cerita suka dan dukanya. Namun keceriaan
tetap menghiasi kehidupan di sini. Apa khabar sahabat-sahabat semua?
Mudah-mudahan sahabat semua sihat wal ‘afiat. Sudah lama tidak menulis
bingkisan sebegini. Hari ini tajuknya, bingkisan sang musafir di Kepulauan
Borneo memandangkan insan ini sedang menikmati permusafiran di perantauan ini. Bulan
Februari yang lalu telah membuka lembaran baru dalam hidup ini, bukan
disebabkan insan ini dilahirkan dalam bulan tersebut tetapi kerana insan ini
diberi peluang dan dipilih oleh Allah s.w.t untuk bernafas di bumi kenyalang
ini yang kaya dengan keindahan flora dan faunanya.
Ya, tiada siapa menduga. Di sini
pilihan terbaik yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t untuk insan ini. Di tanah
yang pasti tidak diimpikan oleh kebanyakan kita. Tetapi insan ini berserah diri
biarpun di mana sahaja kaki ini memijak demi satu usaha mendidik anak bangsa.
Seperti yang insan ini katakan sebelum ini, banyak pengalaman baru yang dilalui
di sini. Ya, suasana yang cukup berbeza. Dari sudut ketentuan takdir-Nya yang
begitu hebat dan tidak terduga, hinggalah pelbagai perubahan pada kehidupan insan
ini.
Berada di sini banyak mengajar
erti kesabaran dan ketabahan. Juga mengajar erti ukhuwah bagi insan ini. Bukan
mudah berada di tempat asing bagi diri kita. Jauh dari keluarga. Jika mahu
pulang ke halaman bonda pun pasti akan terfikir banyak kali lantaran kos
ulang-alik yang tinggi dan ianya pasti berbeza dengan kosnya di Semenanjung.
Namun begitu, sudah menjadi kebiasaan bagi insan ini berada jauh dari kampung
halaman. Tiada apa yang hendak dirisaukan untuk berada di Kepulauan Borneo ini.
Di sini, ukhuwah berputik dan jalinannya dapat dipereratkan. Ramai rakyat
semenanjung di sini. Merekalah keluarga di sini. Saling membantu bila
diperlukan kerana masing-masing mengerti hakikat diri dan ukhuwah di tanah
asing ini.
Alhamdulillah.. Bersyukur
kerana dipermudahkan lagi oleh Allah s.w.t. Terus bertukar IPG ke Kota
Samarahan di Kuching. Biarpun jaraknya seakan-akan dari Kota Bharu ke Kuala
Lumpur. Namun itulah yang lebih mudah bagi insan ini berbanding pada asalnya
terpaksa berkejaran dari Sibu ke Kota Bharu. Ya, dapatlah menjimatkan kos
perjalanan ulang-alik insan ini setiap kali tibanya musim cuti persekolahan.
Seronok mengajar di sini lantaran
bilangan pelajar yang tidak ramai. Biarpun pelbagai karenah mereka banyak
menguji kesabaran dan ketabahan diri ini. Biasalah bermain dengan kanak-kanak
ribena ini memerlukan ketabahan dan kecekalan dalam diri. Namun yang
seronoknya, di sini boleh cubit-cubitan, rotan-rotanan dan pukul-pukulan. Bukan
berniat untuk menyakitkan tapi untuk mendidik menjadi insan yang berakhlak
mulia yang mampu membeza baik dan buruk.
Seringkali sinis kedengaran. “Mengajar
budak-budak, tidak berkembang ilmu.” Pada insan ini tidak begitu. Mengajar
budak-budak juga, ilmu juga mampu dipertingkatkan. Malahan ianya bukan terletak
pada tahap pengajaran kita tetapi ianya terletak pada kesungguhan kita dalam menuntut
ilmu. Jadi, walau di mana pun kita, seharusnya kita yang memilih sama ada untuk
terus belajar atau kita hanya ingin berkerja semata-mata.
Mengajar budak-budak mengenal
Alif, Ba, Ta dan ABC, usah dipandang remeh. Percayalah, bukan mudah untuk
mengajar mereka dalam tahap mengenal dan mengeja bahkan untuk menulis
huruf-huruf tersebut. Seringkali orang berbangga dengan pencapaian peringkat
menengah mahupun universiti namun ketahuilah asalnya mereka dilahirkan dari
bimbingan guru yang mengenalkan mereka huruf-huruf aksara dan ejaan secara
berperingkat sehinggalah mereka mampu mengeja, membaca dan menulis.
Berada di kepulauan Daro, Sibu
banyak memberi pengalaman baru. Perjalanan menaiki “Boyew Ekspress” selama
lebih kurang 2 jam dari jeti Sibu untuk sampai ke Kepulauan Daro.
Alhamdulillah.. Mujurlah rumah sewa dekat dengan pekan kecil. Malahan pula,
dapat menyewa di Kampung Baru bersama sahabat seperjuangan Mohd Husnee Awang
adalah satu keajaiban dalam takdir Ilahi buat insan ini. Mana tidaknya, seluas
tanah di bumi kenyalang ini, kami disatukan di Kepulauan Daro. Jarak dari rumah
sewa ke sekolah lebih kurang 15 hingga 20 minit perjalanan menaiki motorsikal.
Jalannya tidaklah sesibuk di kebanyakan tempat di Semenanjung. Jalanan yang
begitu tenang, segar dan nyaman. Keadaan jalan yang sedikit beralun mungkin
disebabkan ianya sering digunakan oleh lori-lori pemunggah kelapa sawit.
Pengalaman menjengah hidup ini. Antaranya
terpaksa merasai pengalaman naik lori yang sarat dengan muatan kelapa sawit
suatu hari tatkala tayar motorsikal pancit semasa pulang dari mengajar di
sekolah. Terpaksalah menumpang lori tersebut untuk tiba ke rumah sewa.
Pengalaman yang menduka cita juga tercatit dalam hari-hari kehidupan insan ini
di sini. Salah satunya adalah, terjatuh daripada motorsikal kerana keadaan
jalan yang tidak begitu baik. Mujurlah tiada apa-apa yang teruk berlaku. Cuma
luka-luka kecil sahaja di tapak tangan dan lutut. Nasib baik keadaan tar yang
basah kerana hujan pada pagi itu mengurangkan kesan-kesan luka pada diri ini.
Krisis air bersih juga menguji
ketabahan hati. Seringkali bekalan air paip sukar didapati di sini. Persediaan mental
dan fizikal menghadapi segala kemungkinan perlulah sentiasa ada bagi
mengelakkan masalah yang lebih besar berlaku. Ya, ini adalah ujian-Nya yang
sedikit cuma. Mengajar kami menghargai setitis air. Sebotol air mineral untuk
membasahi tubuh badan dan berwuduk sudah mencukupi dalam kadarnya saat berada
dalam krisis bekalan air. Menggunakan spray untuk membasahi tubuh badan dan
berwuduk. Itulah rutin kami di sini menghadapi saat-saat getir ketiadaan
bekalan air bersih. Kebiasaannya akan menumpang mandi di rumah teman-teman di
sini yang mempunyai bekalan air. Ya, begitulah suasana ukhuwah di sini.
Semasa orang lain sedang
bergembira untuk bercuti di halaman bonda. Insan ini pula akan bermusafir ke
Kota Samarahan, Kuching untuk menghadiri interaksi di sana mengikut jadual yang
ditetapkan. Buat pertama kali pada cuti penggal pertama persekolahan bulan Mac,
insan ini menaiki bas dari Sibu ke Kuching. Perjalanan yang jauh mengambil masa
7 jam untuk sampai ke maktab Kota Samarahan. Jadual yang padat dari pagi hingga
ke lewat petang. Selepas ini, mungkin akan mengikuti jalan laut ataupun jalan udara
pula. Bergantung kepada keputusan bersama teman-teman seperjalanan di sini.
Buat masa ini, satu kem telah
diikuti insan ini di sekolah. Ya, Kem Jati Diri Pelajar namanya. Selama 3 hari
2 malam berkampung dan berprogram di sekolah. Pelbagai pengalaman yang pasti
mencipta nostalgia dalam hidup insan ini bersama adik-adik pelajar di sini. Berada
di bumi Sarawak, dapatlah belajar bahasa Melanau. Biarpun tidak banyak tapi
insya-Allah dalam tempoh kurniaan Allah s.w.t ini, insan ini akan cuba
mempelajarinya setakat yang termampu.
Redha ketentuan-Nya, menikmati
hidup yang lebih tenang dan bahagia!!!
Friday, March 30, 2012
Sunday, March 18, 2012
Saturday, March 17, 2012
Bertuahnya diri bila dirindui..
“Miss u”
“Kau tak rindu kat aku ke?”
Antara SMS ringkas bertinta di
skrin telefon bimbit insan ini. Dari seorang teman di perjalanan. Ada insan
yang sedang merindui insan ini. Bukan seorang ‘kekasih’. Sekadar seorang teman.
Bertuah rasanya diri bila dirindui. Bererti insan ini masih diingati. Biarpun
datangnya dari seorang teman. Ya, dari luahan sekeping hati. Bertinta di ruang
teknologi.
SMS begitu bukan untuk dimaki,
dihina mahupun dicela. Tetapi ia perlu dibalas dengan sebaik balasannya. Kerana
dia memberi yang baik. Seharusnya dijawab dengan baik. Bukan dengan celaan dan
penghinaan. Juga bukan membisu tanpa jawapan. Biarpun ianya hanya sepatah kata.
Ia tetap amat bernilai. Nilai ukhuwah di dalamnya. Ada hati yang sarat merindu.
Rindu yang mencengkam batin. Lumrahnya begitu. Ada jiwa yang sedang mengingati.
Ingatan yang menganggu emosi. Justeru, kita masih di hatinya. Biarpun tidak
bersama. Jauh jarak yang memisahkan hatta sukar bertemu muka dan
bertentang mata semula.
“Ya Allah.. Ampunilah hamba-Mu
ini. Mungkin insan ini terlalu lama menyepi. Membiar teman terusik rindu. Pasti
sesak dadanya. Menahan kerinduan itu. Insan ini mengerti. Pahit menahannya
sendiri. Hingga dizahirkannya perasaan itu. Dalam sepatah kata yang bertinta di
ruang teknologi. Ringkas. Namun padat dengan maknanya. Terasa bersalah dan malu
padanya. Kenapa dia terpaksa mengungkapnya?. Relanya insan ini membiarkan sepi
merajai ikatan ini sehingga menyeksa batinnya. Rindu.”
Rindu.. Ya, hati ini tidak
menafikannya. Rindu pada teman-teman. Banyak kenangan yang terpahat di hati. Banyak
terhutang budi kepada mereka. Terlalu banyak peranan mereka dalam membantu
perjalanan dan perjuangan ini. Sukarnya untuk bersua kembali sejak perpisahan
terjadi. Jika ada pun perhubungan berlaku mungkin hanya sekadar di sebalik
tabir lambakan ruang teknologi terkini. Itu tetap tidak sama. Tidak mungkin
seindah realiti bertentang mata.
Jangan mudah menghina..
“Sayang kamu”
“Rindu kamu”
Beginilah antara SMS dari teman
yang mencurah rasa. Mungkin jelik bunyinya. Mungkin rasa jijik membacanya.
Mungkin biasa sahaja. Kerana ianya dari insan bernama teman. Benar bukan?. Namun
jika ia realitinya. Beruntungnya kita. Bertuahnya kita. Ada teman yang
menyayangi dan merindui kita. Bukan mudah meluahkan rasa, menuturkan sayang dan
melafazkan rindu pada insan bernama teman. Kerana persepsi pemikiran kita
berbeza. Betapa sinis dan sensitifnya kita mentafsir ayat-ayat ini. Sedangkan
kita??? Berani menuturkannya? Pernah melafazkannya? Err… kenapa??? Malu..
Jijik.. Tak penting.. Benarkah???
Jangan dibalas SMS teman-temanmu
dengan penghinaan. Ingatlah, sepatah kata yang menyakitkan bisa merobek segala
keindahan rasa. Layakkah penghinaan untuknya? Atas alasan apa?. Renunglah
kembali. Siapa anda tanpanya? Jangan ditambah beban perasaannya. Raikanlah
perasaannya sepertimana dia meraikan anda. Sedangkan dia teman anda. Adilkah
anda kepadanya jika penghinaan yang anda lemparkan?. Atau adilkah jika anda
hanya membisu tanpa membalasnya?. Sekurang-kurangnya khabarkanlah sesuatu agar
terubat sedikit kerinduan itu. Dia berhak merindui dan menyayangi anda. Kerana anda
adalah temannya.
“Ah.. Kekasihku lebih bermakna
dan lebih penting. Hanya kekasihku yang layak mengungkapnya. Kalau kekasihku
baru aku layan. Lebih penting untuk difahami. Lebih utama dibelai perasaannya.
Dipujuk dan dirayu. Ku rela berkorban untuknya. Apa hal dengan dia ni? Buang
tabiat ke apa?” Begitulah sering deras hati kita membeza dan mempertahankan
alasan kita. Penuh sinis dan prejudis. Berbeza layanan kita. Pada insan bernama
teman. Namun kita silap membezakan. Beza yang teramat ketara.
Bezanya, teman kita ‘halal’
untuk berhubung dengan kita. Sedangkan kekasih itu ‘haram’ berhubung
dengan kita. Kita sering memandang sebelah mata perhubungan yang halal tetapi
meng‘agung’kan perhubungan yang haram. Selagi tiada ikatan yang sah,
selagi itu hukumnya tidak berubah. Kenapa tidak diraikan mereka sebagaimana
mereka meraikan kita? Begitulah keadaannya bila kebenaran sering di‘kemudian’kan
sedangkan kebatilan sering di‘utama’kan. Sering ego mengikut hawa nafsu
sehingga dengan berani memilih neraka daripada memilih syurga. Ya, mungkin
kerana ego, hati mungkin menidakkannya, tapi dari segi perbuatan seolah-olah
mengiyakannya.
Justeru, jangan mudah menghina
pemberian teman-temanmu. Raikanlah mereka. Kerana bukan semua teman yang akan
meraikan kita. Beruntunglah kita bila kita diraikan. Bererti kita masih lagi di
hati. Kita masih diingati. Sebagaimana kita sering sukar meraikan seseorang
teman, begitu juga halnya seorang teman, bukan mudah baginya untuk meraikan
kita. Ingatlah jika suatu hari nanti, dia tidak lagi meraikan kita, pasti kita
akan merindui keraiannya seperti suatu ketika. Dari lemah tutur katanya, dari
manja gurauannya, dari lembut layanannya dan dari kejujuran hatinya. Jadi,
alangkah ruginya kita jika kita tidak menghargai keraiannya terhadap diri kita
pada saat ini dan betapa bakhilnya kita jika kita buat-buat tidak mampu untuk
meraikannya kembali. Kerana itulah bukti bahawa kita telah hilang ke‘peduli’an
rasa kepada teman kita sendiri.
Pemurah atau bakhilkah kita?
“Siapa kita untuk tidak memberi?”
“Siapa kita untuk mencaci dan
mengeji?”
Allah s.w.t itu adalah pemilik
mutlak segala macam perasaan. Cinta, kasih, sayang dan rindu hatta
perasaan benci dan dendam sekali pun. Sekiranya Allah s.w.t begitu pemurah
dengan sifat cinta, kasih, sayang dan rindu-Nya kepada makhluk-Nya, siapalah
kita ini untuk bersifat bakhil menyimpan sifat “ketuhanan” ini daripada dikongsi
sesama makhluk. Sedangkan Allah s.w.t pula begitu bakhil dengan sifat benci dan
dendam-Nya tatkala hamba-Nya melakukan maksiat kepada-Nya, siapalah kita ini
untuk bersifat begitu ego me‘murah’kan sifat “ketuhanan” ini untuk
dilemparkan kepada makhluknya.
Salahkah untuk menyayangi dan disayangi?
Siapakah yang suka membenci dan dibenci? Rasanya orang yang telah Mati Hatinya sahaja
akan menjawab ‘Ya’ dan ‘Aku’ bagi persoalan tersebut. Sebenarnya ianya adalah
kerana sikap mereka yang menyempitkan skop istilah “Cinta, Kasih, Sayang dan Rindu”
untuk siapa dengan istilah ‘Hanya’. Jika kita meluaskannya kepada sesiapa
sahaja, pasti kita akan menerima seadanya.
Raikan ukhuwah, sebarkan mawaddah,
agar beroleh rahmah!!!
Tuesday, March 6, 2012
Nasihat dari sahabat di perantauan..
“Setelah sekian lama aku
berada di bumi yang asing.. Bumi yang penuh barokah.. Bumi yang menjadi tempat
persinggahan para anbia', para aulia', para ulama' dari salafuna soleh dan
kholafuna hakim.. Ku jumpa akan satu jalanan (thoriq), yang mana jalanan itu
sama dengan jalanan para ulama' kita di Nusantara (Fatoni, Malaysia dan
Indonesia). Ia tidak jauh dari jalanan salafuna soleh kerana di bumi ini
(Mesir) amat menitik beratkan 3 ilmu yang usul iaitu Tauhid (Ilmu Kalam), Fiqh
dan Tasauf... Dan ketiga-tiga ilmu ini sama bawakan dan jalanannya dengan Tanah
Jawi kita dan begitu juga Tanah Suci Mekah dalam sudut sama jalannya dan di
bumi para habaib atau para ahlu bait Rasulullah (Yaman)... Thuruq-thuruq
kesemua tempat itu adalah sama.. Jadi aku nasihatkan kepada teman-teman dan
sahabat-sahabatku agar janganlah salah pilih jalanan yang menjadi panduan hidup
setiap hari.. Di Mesir para ulama' sangat mengambil berat tentang tauhid di
setiap masjid yang ada pengajian tentang ilmu tauhid.. Kalau dilihat
betul-betul ia tidak terasing dari tempat kita Malaysia, yang pada setiap malam
dan setiap masjid atau surau mengadakan pengajian itu.. Jadi jangan berasa
tersalah dalam mengambil langkah dengan bawakan para ulama' dan ahli ilmu yang
mengajar di masjid..”
Secebis nasihat dari sahabat di
perantauan. Jauh di bumi anbiya’ sana. Meminta insan ini post nasihat ini di
laman tinta ukhuwah ini sebagai sebuah perkongsian. Insan ini bukanlah mengerti
maksud asalnya menulis coretan nasihat ini. Mungkin sahabat kita itu lebih
mengerti. Pada insan ini, sebarang perkongsian daripada sahabat-sahabat adalah dialu-alukan
bagi mengisi laman tinta ukhuwah ini. Ya, sebagai wadah untuk kita semua
berkongsi cerita bersama di laman ini.
Tiada apa yang dapat insan ini
bantu. Sekadar menyampaikan amanat dan hasrat sahabat kita. Ada maksud
sebenarnya di sebalik cebisan nasihat ini. Namun huraiannya, masih diperlukan
dan diperjelaskan. Insan ini memohon maaf jika tidak mampu menghuraikannya
secara terperinci kerana masih tercari-cari maksud sebenarnya. Mungkin atas dasar
kurangnya ilmu untuk memahami sudut kefahaman orang lain. Hakikatnya, insan ini
hanya manusia biasa yang masih banyak perlu belajar lagi daripada insan lain.
Inilah sebuah perkongsian yang
diminta sahabat insan ini menyiarkannya di laman blog Tinta Ukhuwah ini.
Siapalah insan ini untuk menghampakan harapan sahabat-sahabat insan ini.
Sekadar termampu membantu merealisasikan hasrat sahabat-sahabat insan ini. Jauh nasihat ini
datang menjenguk laman ini, bagaikan terisi mutiara ilmu dari cebisan nasihat
sahabat insan ini yang sedang berjuang di medan ilmu, menimba mutiara berharga
daripada para ulama’ di Kota Piramid sana. Terima kasih diucapkan kerana sudi
berkongsi sesuatu untuk dimuatkan di laman ukhuwah ini biarpun ianya ringkas
tetapi ia tetap padat dengan mesej-mesej berguna untuk kita semua.
Mudah-mudahan Allah s.w.t memberkati dirimu dan kita semua dalam perjalanan
kita mencari keredhaan-Nya dalam kehidupan yang sementara ini.
Jauh merantau dan menggembara
bagi menimba khazanah berharga, mudah-mudahan tersingkap hikmahnya!!!
Sunday, February 26, 2012
Cerita ukhuwah di kejauhan..
Dalam tempoh jarak masa 20 hari, sahabat-sahabat insan ini kembali mengadakan aktiviti mesra ukhuwah. Tanggal 25 Februari 2012, mereka mengadakan aktiviti BBQ bagi mengeratkan ikatan ukhuwah mantan pelajar SPM 2005, SMU (A) Meheliah Geting. Kali ini, insan ini tidak berkesempatan untuk bersama-sama dalam aktiviti tersebut kerana berada jauh di negeri Sarawak atas urusan pra-kerjaya.
Sekadar mampu melihat
potret-potret mereka yang di upload di laman muka buku. Ya, tidak sendiri
mengikuti aktiviti berkenaan menyebabkan insan ini tidak tahu apa yang ingin
dicatatkan dalam post Tinta Ukhuwah pada kali ini. Sekadar memasukkan beberapa
keping foto untuk tatapan semua yang diambil dari laman FB. Biarlah ianya
tercatat di laman blog ini sebagai kenang-kenangan buat sahabat semuanya.
Cerita ukhuwah di kejauhan.
Insan ini bukanlah reporter.
Tetapi sekadar mengutip dan menceritakan kembali perjalanan ukhuwah yang indah
ini. Biarpun tidak dapat bersama dalam aktiviti reunion pada kali ini kerana
ada komitmen lain di Kepulauan Borneo ini. Namun, insan ini tetap berasa
gembira dengan perkembangan ukhuwah kita yang terus subur dengan
aktiviti-aktiviti bersama yang sering dijalankan bagi mengeratkan ikatan
persahabatan ini.
Opss.. Sebenarnya insan ini tidak
tahu apa yang ingin dibicarakan dalam post ini. Bukan mudah untuk memahami
keadaan jika kita sendiri tidak mengalami keadaan itu. Samalah seperti aktiviti
yang diadakan pada hari ini, sukar hendak menulisnya jika tidak berada di sana
bersama-sama. Hanya gambar yang menceritakan pelbagai cerita. Namun hakikat
realitinya, tidak mampu insan ini merasai suasananya. Kemeriahan dan keriuhan
suasana dengan gelagat sahabat-sahabat semuanya yang pasti mencuit perasaan.
Ya, sama-sama bergelak ketawa dan berkongsi cerita.
Apa-apa pun, tahniah diucapkan
kerana berjaya menganjurkan aktiviti mesra ukhuwah pada kali ini. Mudah-mudahan
suatu ketika nanti, kita akan dapat bersama-sama menganjurkan aktiviti seperti
itu lagi. Buat masa ini, insan ini mengundurkan diri terlebih dahulu daripada
sebarang aktiviti mesra ukhuwah kerana ketidakberadaan insan ini di tanah
halaman atas urusan pra-kerjaya di bumi Sarawak ini. Hanya doa yang insan ini
iringkan, mudah-mudahan segala aktiviti yang dirancang dapat dianjurkan dengan
jayanya.
Saturday, February 25, 2012
Ukhuwah bertaut kembali di medan kerjaya..
Sudah satu minggu lebih insan ini
berada di tanah baru ini. Di kepulauan Borneo. Kepulauan yang biasanya tidak
diimpikan oleh sebahagian besar rakyat semenanjung untuk menjejakkan kaki ke
tanah ini bagi satu tempoh yang agak lama. Namun tiada siapa yang mampu menolak
ketentuan takdir Ilahi yang tercatat sejak azali lagi. Alhamdulillah.. Insan
ini merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana diberi
peluang untuk berkhidmat di bumi kenyalang ini.
Ya, tiada siapa menduga begitu
hebat perancangan Allah s.w.t. Ukhuwah bertaut kembali di medan
kerjaya dengan seorang sahabat. Seluas tanah di bumi kenyalang ini, Allah s.w.t.
telah memilih insan ini untuk terus menjalinkan ikatan ukhuwah seerat mungkin
dengan sahabat insan ini, Mohd Husnee Bin Awang. Sahabat zaman persekolahan
setelah dipisahkan di peringkat pengajian tinggi buat seketika. Hari ini, kami
disatukan di tanah asing bagi diri kami, di bumi kenyalang ini. Ya, di
kepulauan ini kami dipertemukan kembali meniti ukhuwah di sini. Biarpun
ditempatkan di sekolah berlainan, namun kami di sini tinggal sebumbung. Hari
ini, dialah housemate dan roommate bagi insan ini.
Begitu indah aturan-Nya. Dia
tidak membiarkan insan ini sendirian di tanah asing ini. Dia menghadirkan
sahabat seperjuangan untuk menemani perjalanan hidup insan ini di kepulauan
Matu Daro ini. Dialah sahabat yang akan menemani hari-hari insan ini di sini.
Bertuah rasanya insan ini, memiliki teman yang telah lama berukhuwah dengan
insan ini di sini. Begitulah perancangan Allah s.w.t yang tidak mampu kita
duga. Dia berkuasa atas segala-galanya.
Seminggu di sini. Menempuh
pengalaman berbeza. Jauh dari keluarga mungkin itu adalah perkara biasa. Jauh
dari sahabat-sahabat itu juga telah terbiasa. Di sini, suasana persekitarannya
mungkin jauh berbeza dengan suasana di tanah semenanjung sana. Namun di sinilah
pilihan terbaik sang Pencipta buat insan ini bagi menabur bakti dan jasa.
Siapalah kita untuk mempersoalkan kenapa dan mengapa kerana setiap
ketentuan-Nya pasti ada hikmah buat setiap hamba-Nya.
Terima dengan redha setiap
ketentuan-Nya. Usah dihiraukan kata-kata sinis yang dilempar melata. Juga
jangan peduli kisah-kisah mereka yang belum sendiri mengalaminya. Agar hati
terus kuat untuk menghadapi setiap ketentuan-Nya. Mungkin untuk pertama kali
akan terkesima. Antara percaya dan tidak. Namun hakikatnya ia tidak seteruk seperti
yang dibayangkan di awanan minda. Bila mengalaminya sendiri, barulah insan ini
mengerti. Khabar tidak seindah rupa. Di sini insan ini bahagia.
Jauh berkelana, ada tugas untuk
dilaksana. Membimbing generasi ummah ini di tanah asing bagi insan ini. Antara
teruja dan kasihan melihat masyarakat Islam di sini. Yang masih memerlukan
banyak bimbingan agama dari insan bergelar da’ie. Di sinilah lapangan
terbaik untuk berdakwah kepada masyarakat yang masih rendah tahap pengetahuan
agama Islam. Sukar itu adalah lumrah dalam berdakwah. Adakah patut hanya sebab
sedikit kesukaran menghalang untuk menjalankan kerja dakwah? Jika begitu,
alangkah lemahnya diri kita jika kita terus beralasan untuk tidak sampai ke tempat
seperti ini. Relakah kita memilih untuk bersenang-lenang sedangkan saudara
seakidah kita masih banyak memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar daripada kita?.
Semuanya adalah pilihan kita. Tapi betapa ramai yang tetap menyatakan ketidaksanggupan
lantaran hanya beralasan jauh dari keluarga, rasa tidak bahagia, takut dengan
pelbagai cerita yang belum dialami sendiri dan pelbagai alasan lagi yang terus
dicipta sendiri.
Menempuh suasana berbeza. Insan
ini merasai situasinya. Perlahan-lahan mengikut rentak bagi menurunkan tahap
pengajaran seminimum mungkin. Maklumlah sebelum ini, bersama adik-adik pelajar
generasi pertama insan ini di tahap pertengahan. Kini situasinya amat berbeza.
Mind-set perlu berada di tahap yang lebih rendah. Mengikut tahap pemikiran
kanak-kanak. Semestinya, pengalaman bersama adik-adik pelajar generasi pertama
tidak akan dilupakan insan ini. Mereka adalah yang pertama menghiasi diari
status pelajar insan ini dan mereka bukti bermulanya tugas insan ini sebagai
pendidik biarpun insan ini tidak lama bersama mereka mengharungi perjuangan di
sekolah tercinta.
Begitu hebat perancangan-Nya,
terasa kerdilnya hamba!!!
Sunday, February 5, 2012
Sepetang Bersama Mengeratkan Ukhuwah..
Tanggal 5 Februari 2012 pada hari ini melakar satu aktiviti ukhuwah yang akan dirakamkan dalam post pada hari ini. Saat menulis post ini, insan ini baru sahaja pulang dari aktiviti bakar ayam (BBQ) bersama sahabat-sahabat seperjuangan bertempat di tasik Pantai Sri Tujuh. Masih kekenyangan menikmati menu-menu BBQ pada petang ini. Alhamdulillah.. Masih ada lagi aktiviti seumpama ini yang terus dirancang dan dianjurkan oleh kita semua.
Rasanya sudah satu tahun lebih kita tidak berkumpul beramai-ramai menikmati aktiviti santai sebegini bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Biarpun tidak semua dapat menghadirkan diri pada pertemuan ukhuwah pada hari ini, namun sekurang-kurangnya aktiviti ini mampu menyuburkan kembali suasana mesra ukhuwah kita. Sepetang bersama mengeratkan ukhuwah di tepi tasik landai di Pantai Sri Tujuh yang telah banyak menyaksikan pelbagai memori program-program ukhuwah kita. Hari ini, diari Tinta Ukhuwah merakamkan satu lagi aktiviti ukhuwah kita sebagai kenang-kenangan buat kita semua.
Meskipun tidak ramai yang hadir pada hari ini kerana berkemungkinan sahabat-sahabat mempunyai komitmen masing-masing, namun suasana BBQ pada hari ini tetap meriah dengan pelbagai gelagat dan ragam masing-masing. Ya, ramai di kalangan kita tiada di kampung halaman, sama ada sedang berkhidmat di Sabah, Sarawak atau mana-mana negeri di tanah air ini, ataupun juga ada di kalangan kita yang masih meneruskan perjuangan di medan ilmu sama ada di dalam atau di luar negara, Hari ini, kita bertemu, bersua muka, dan bertentang mata sambil berkongsi cerita dan menikmati menu-menu yang biasa kita sediakan untuk aktiviti seperti ini.
Catatan ringkas ini seperti yang dijanjikan akan di‘post’kan di laman Tinta Ukhuwah ini. Sekadar menghiasi paparan di skrin teknologi ini bagi menyimpan cerita ukhuwah kita ini. Saban tahun dan ketika ada cerita ukhuwah kita, berpisah lumrah biasa dan kita sering bersatu pula di medan pertemuan ukhuwah yang dirancang secara drastik dan ‘asal jadi’ seperti ini. Biarpun hanya sekadar aktiviti biasa namun ianya amat bermakna dan berharga untuk ukhuwah kita.
Laman Tinta Ukhuwah merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang bertungkus-lumus menyediakan bahan-bahan aktiviti BBQ kita pada hari ini juga pada mereka yang ‘sponsor’ atau ‘support’ aktiviti ukhuwah pada hari ini. Mudah-mudahan Allah s.w.t terus melimpahkan rezeki kepada kalian dan juga buat kita semua dalam menjalani kehidupan ini. Insya-Allah, jika ada di lain perancangan, kita akan bertemu lagi dengan aktiviti-aktiviti mesra ukhuwah kita.
Buat sahabat-sahabat yang tidak berkesempatan untuk bersama-sama pada hari ini, jangan berkecil hati dan merasa rugi kerana tidak bersama, kami mengerti dan memahami situasi kalian semua. Insya-Allah kita akan menganjurkan aktiviti seperti ini lagi pada masa yang akan datang untuk kita bersama-sama berkumpul bagi mengeratkan ukhuwah kita yang telah dibina sekian lama. Doakanlah semoga ukhuwah sesama kita terus subur biarpun kita terus terhimpit dengan komitmen kita masing-masing. Teruskanlah perjuangan kita di medan kehidupan ini. Kepada yang berkerjaya, selamat berkerja menabur bakti dan mencurah tenaga untuk agama, bangsa dan negara. Buat yang masih di medan ilmu, teruskan perjuangan menimba khazanah mutiara berharga sebagai bekalan di hari muka.
Selamat Maju Jaya kepada semua!!!.
Sedetik Bersama Selamanya Terasa!!!
Tuesday, January 24, 2012
Bertemankan semua..
“Biasanya ramai, mana yang lain?”
Antara sapaan adik-adik pelajar
dan kenalan bagi insan ini ketika berada di kedai makan bagi menyaksikan siaran
perlawanan bola sepak. Kebiasaan insan ini berada di kedai-kedai makan bagi
menonton siaran perlawanan bola sepak untuk melepaskan rasa bosan apabila tiada
apa yang ingin dilakukan dalam kelapangan waktu serta bagi mengisi rasa sunyi
tanpa teman-teman di sisi. Ya, biasanya sering sendirian sahaja pergi
menyaksikannya jika tidak mengajak atau diajak sahabat-sahabat untuk
menyaksikannya bersama mereka. Adakalanya akan bertemu secara tidak langsung
dengan kenalan-kenalan di tempat-tempat berkenaan.
Begitulah insan ini. Terasa malas
untuk menyusahkan sahabat-sahabat kerana insan ini sering tidak disusahkan
mereka. Juga tidak mahu menganggu sahabat-sahabat kerana insan ini sering tidak
diganggu mereka. Ya, buat apalah insan ini rasa memerlukan untuk berada bersama
mereka jika insan ini sering tidak diperlukan bagi mereka. Biarpun insan ini
sendirian, namun biasanya akan tetap ditemani mereka yang ada di sekeliling
insan ini. Ya, mungkin mereka adik-adik pelajar insan ini, saudara mara atau
kenalan di perjalanan ini. Ianya sudah cukup bagi insan ini menghiburkan
kesepian rasa. Adakalanya berasa senang bertemankan semua orang yang ada
daripada terfokus dalam ukhuwah semeja. Mungkin sepanjang ketidak bersamaan
dalam ukhuwah ini cukup banyak mengajar insan ini agar tidak mengharapkan
apa-apa daripada sahabat-sahabat insan ini. Itulah yang kukuh tertanam di hati
insan ini saat ini.
Memang tidak dinafikan,
seringkali ada pentingnya ukhuwah semeja ini. Saling berbincang dan saling
berbual-bual. Memesrakan lagi ikatan yang terbina ini. Namun, tidaklah salah jika
sekali-sekala kita bertemankan semua yang ada. Ya, dengan siapa sahaja di
sekeliling kita. Biarpun kita tidak mengenali dan tidak pula dikenali, tapi
suasana begitulah yang sering mewujudkan perpaduan dan kesatuan ummat. Bukankah
kita diciptakan untuk saling berkenal-kenalan antara satu sama lain?. Jadi, di
mana ada keselesaan dan kemahuan, kita boleh merealisasikannya. Bertemankan
semua, menjadikan skop suasana ukhuwah kita semakin meluas. Tidak hanya
tertumpu pada ukhuwah semeja yang melibatkan hanya kita dan sahabat-sahabat
kita.
Biarpun kadang-kadang melihat ada
juga sahabat-sahabat insan ini berkumpul sesama mereka di meja-meja ukhuwah.
Namun insan ini sering memilih untuk tidak bersama mereka. Ya, buat apalah
insan ini untuk terlajak jika tidak diajak. Insan ini tidak mahu menjadi insan
yang tidak diundang yang mengganggu keadaan di meja ukhuwah sahabat-sahabat
insan ini. Mungkin insan ini tidak diperlukan dalam suasana ketika itu.
Biarkanlah mereka sesama mereka kerana mungkin banyak cerita yang mereka ingin
kongsikan sesama mereka tanpa kehadiran insan ini. Jadi, tidak perlulah insan
ini mengganggu situasi di meja ukhuwah sahabat-sahabat insan ini kerana insan
ini bimbang kehadiran insan ini sebagai penganggu suasana mereka.
Maafkan insan ini seandainya
sahabat-sahabat terasa jika insan ini menolak apabila diajak selepas
sahabat-sahabat menyedari kewujudan dan keberadaan insan ini. Bukan tidak mahu
bersama mengeratkan ukhuwah, tetapi insan ini kadang-kadang sedang ditemani
adik-adik pelajar insan ini atau pun kenalan-kenalan lain. Terasa tidak manis
pula sekiranya insan ini meninggalkan meja ukhuwah bersama mereka setelah
sekian waktu dengan mereka. Juga keberadaan jarak yang tidak menyenangkan bagi
insan ini bagi melihat siaran perlawanan tersebut kerana hasrat insan ini ke
tempat itu adalah bagi menonton siaran perlawanan bola sepak dan ukhuwah pada
ketika itu tetap berjalan seiring dengan hasrat biarpun bukan dengan
sahabat-sahabat insan ini pada masa itu.
Bertemankan semua, mampu menyubur
ukhuwah yang amat bermakna!!!
Thursday, January 19, 2012
Harga ayat-ayat power..
“Tolong buat ayat yang best2 sikit..”
“Acu send ayat yang macam ni..
macam ni.. & macam ni..”
Antara tinta-tinta yang meminta
bantuan insan ini daripada seorang sahabat suatu ketika. Meminta direka
ayat-ayat penuh makna. Dari minda insan yang kerdil ini. Entah di mana bestnya
ayat-ayat dari insan ini. Mungkin ianya sudah sebati dengan jiwanya. Kerana
insan ini sering menghantar ayat-ayat dan kata-kata yang mengusik perasaan
bertinta di ruang teknologi bukan sahaja kepadanya tetapi juga kepada
teman-teman yang lain jika ada kesempatan waktu.
Harapan yang tidak mungkin
disia-siakan insan ini. Biarpun ayat-ayat permintaannya itu bukanlah sesuatu
yang penting bagi insan ini tetapi insan ini sedaya upaya tidak mahu
menghampakan permintaannya. Dengan kudrat minda anugerah Allah s.w.t ini, insan
ini cuba memenuhi permintaannya. Mencipta ayat-ayat yang sesuai dengan
permintaannya. Sekadar termampu dari insan ini. Sebagai tanda menghargai ukhuwah
dengannya.
Bukan mudah memikirkannya. Perlu
mencari matlamat terlebih dahulu. Perlu fokus dan sepenuh rasa menciptanya.
Minda perlu bergerak seiring alunannya. Hati berbisik tangan mencatit
segalanya. Buatlah dari hati untuk terus sampai ke hati. Menusuk sukma,
menjentik rasa. Menilai betapa bernilainya harga ayat-ayat power. Begitulah
hendaknya sabar menduga rasa. Sekalipun manis bicara belum tentu bermakna. Jika
hati tidak hadir memahaminya serta tidak sedalam mungkin meneroka maknanya.
Macam-macam sahabat insan ini.
Tapi mujurlah dimintanya kudrat minda. Rasa lega dapat membantunya biarpun
sedikit cuma. Sekadar mencatit barisan kalimah-kalimah bertinta bermain lenggok
bahasa. Tersusun mengikut alunan rima. Terpahat jutaan makna dalam deretan
ayat-ayat yang setiapnya mempunyai erti dalam kamus bahasa. Keindahannya pada
insan berjiwa sastera, pasti akan mampu menilai makna.
Hidup ini sebuah perkongsian..
“Hargailah kelebihan dan
hormatilah kelemahan sesama kita..”
Berkongsi kelebihan yang ada.
Semua itu anugerah yang dikurnia Allah s.w.t. bukan untuk dibangga tapi untuk
dinikmati bersama. Menghayati kepuasan rasa. Hidup ini sebuah perkongsian. Kita
berkongsi dalam pelbagai aspek kehidupan. Ya, kita tidak mampu hidup tanpa
perkongsian daripada makhluk yang lain. Manusia memerlukan sesuatu manfaat
daripada manusia yang lain. Juga manfaat dari binatang, tumbuh-tumbuhan dan
sebagainya. Justeru, ia menunjukkan betapa lemahnya manusia yang sering
bergantung pada makhluk ciptaan yang lain dan ingatlah sebaik-baik tempat
bergantung adalah kebergantungan kita kepada Allah s.w.t.
Juga meraikan dan menghormati
kelemahan dan kekurangan yang wujud. Agar ianya tidak dipandang sebelah mata.
Sebaliknya terus bersama memperbaikinya. Jangan dibiarkannya terus sepi dari
sebarang usaha untuk mengatasinya. Begitulah kita dalam berukhuwah, jangan
terlalu taksub dengan kelebihan yang ada. Juga jangan pula meremehkan kelemahan
teman-teman kita. Hakikatnya, kita sendiri masih banyak kelemahan diri.
Justeru, jangan bangga diri dengan kelebihan yang ada. Kelebihan itu adalah
satu anugerah untuk dikongsi bersama dan kelemahan itu adalah satu muhasabah
untuk diatasi bersama. Biar apa pun kelebihan dan kelemahan itu membuktikan
bahawa kita adalah makhluk Allah s.w.t yang tidak sempurna.
Jangan hampakan permintaan
teman-temanmu..
“Mohon doakan aku jua
sahabatku..”
Setakat kudrat yang ada. Dari
selautan ilmu ditimba. Juga dari simpanan khazanah harta. Jika dirimu mampu menghulurkannya.
Maka berilah mengikut kemampuanmu. Biarpun hanya untaian doa dalam pengabdianmu
dimintanya. Jangan hampakan permintaan teman-temanmu. Jika ada cebisan nasihat yang
ditagihnya. Maka berikanlah biarpun sekadar kata-kata biasa. Yang mungkin biasa
didengarnya dari ilmuan yang lain. Tetapi belum pernah diterimanya dalam versi
kita. Kerana jika kita membiarkannya, pasti dia akan terus hanyut dalam badai dunia.
Jangan sampai syaitan melompat gembira dengan alasan yang sering kita berikan
melalui kata-kata: “Aku tidak layak!”, “Aku belum layak!” dan seumpamanya.
Soalnya sampai bila? Sampai ilmu
penuh di dada. Itulah jawapan yang senantiasa diimpi. Entah bila realitinya
akan terjadi. Hakikat ilmu yang begitu luas. Semakin kita mempelajarinya,
semakin banyak yang kita belum mengetahuinya. Ya, belum puas menimbanya
sehingga kita merasakan kita belum layak apabila diminta biarpun hanya secebis
nasihat sebagai peringatan. Menunggu saat itu, pasti kemungkaran telah pun
berlaku. Sedangkan kita mampu memberikannya ketika kita berkata: “Aku tidak
layak!”, “Aku belum layak!” atau seumpamanya biarpun sedikit cuma.
Agama itu nasihat. Itu yang kita pelajari. Setiap kita layak memberi nasihat selagi mana ianya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Tidak kira apa jua pangkat kita. Bahkan seorang adik layak menasihati abangnya, seorang sahabat layak menasihati sahabatnya, hamba kepada majikannya, dan rakyat kepada pemerintahnya. Ya, berkata benar walaupun ianya pahit. Kebenaran mesti ditegakkan biarpun nyawa perlu dipertaruhkan. Hanya untaian kata-kata nasihat yang mampu kita ungkapkan, selebihnya kita serahkan kepada Allah s.w.t kerana urusan hidayah itu adalah milik-Nya.
Bagi yang menerima nasihat.
Lihatlah pada ungkapan kata-kata nasihat itu. Jangan dilihat pada orang yang
menuturkan nasihat itu. Selagi mana nasihat itu baik untuk kita dan menepati
ajaran agama, maka terimalah nasihat itu dengan hati yang terbuka. Jangan
sesekali meremehkan nasihat yang diberikan biarpun kita mengetahui siapa
gerangan yang memberi nasihat. Fokuskan kepada nasihat bukannya kepada pemberi
nasihat. Itulah bukti kita berlapang dada menerima nasihat mahupun teguran.
Agar kita tidak ego atau “pongoh” ketika berdepan dengan situasi begini.
Akuilah bahawa kita juga mempunyai kelemahan yang memerlukan teguran serta
nasihat untuk memperbaikinya. Ambillah nasihat tersebut sebagai peringatan
kepada kita bagi menilai kembali setiap sudut dalam diri kita. Ya, jangan kita
bersikap ukur baju di badan sendiri!!! Jangan pula hanya pandai menilai
kelemahan orang lain sedangkan kita lupa menilai kelemahan diri sendiri.
Saling menasihati dan saling
menegur adalah amalan yang amat digalakkan dalam ajaran agama Islam. Rasulullah
s.a.w bersabda: “Sesiapa yang melihat kemungkaran berlaku di kalangan kamu,
maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasa dan kudrat yang ada),
sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lisannya
(teguran dan nasihat) dan jika dia tidak mampu juga maka hendaklah dia
membencinya dengan hatinya. Dan demikian itu, adalah selemah-lemah iman.”
Itulah tanggungjawab kita.
Menegur dan menasihati sesama kita. Ianya merupakan satu cabang dakwah yang
amat dituntut oleh agama kita bagi membanteras segala kemungkaran yang berlaku.
Justeru, berilah nasihat-nasihat yang baik agar ianya mampu mempengaruhi jiwa
manusia agar senantiasa mematuhi peraturan dan syariat yang telah ditetapkan
oleh Allah s.w.t biarpun ianya adalah hanya sekadar kata-kata yang biasa
didengar kerana lumrah manusia yang sering lupa. Maka dengan adanya nasihat dan
teguran, pasti ia akan mengingatkan kembali dan menggerakkan jiwa yang sedang
nyenyak terlena dalam belaian nikmat sementara dunia.
Dalam ketidak bersamaan ini,
jangan pernah meninggalkan terus ukhuwah ini. Doakanlah kebaikan buat
sahabat-sahabat kita. Hanya itu tanda ingatan yang masih tersisa yang menjadi
bukti kesetiaan kita kepada ikatan ukhuwah sesama kita. Ya, ketidak bersamaan
bukanlah pemutus sebuah ikatan kerana ingatan dan doa yang akan terus menjadi
penghubung antara kita dan sahabat-sahabat kita. Justeru, dalam kejauhan kita,
hadiahkanlah doa-doa berharga buat sahabat-sahabat kita sebagai tanda
penghargaan kita kepada mereka.
Kuasa kata-kata, ia mampu
mempengaruhi jiwa, agar tersedar daripada enaknya lena!!!
Tuesday, January 17, 2012
Luahkanlah Hasrat Hatimu..
“Berilah masa kepadanya,
jangan memaksanya untuk menerima hasrat hatimu itu.”
Catatan bertinta di ruang
teknologi kepada seorang teman di perjalanan. Dia meminta pandangan dan nasihat
daripada insan ini berkenaan hasrat hatinya terhadap seseorang. Bukan mudah
untuk memberi pandangan dan nasihat pada situasi ini. Tetapi insan ini tidak
mungkin menghampakan permintaannya kerana ianya sekadar pandangan dari sudut kefahaman
insan ini terhadap situasinya ketika itu. Dengan harapan agar ianya dapat
membantu menenangkan hatinya menghadapi sebarang tekanan yang sedang dan akan
melanda dirinya. Juga peringatan bagi insan ini dalam menghadapi situasi
sepertinya.
Untuk lebih merasakan ketenangan,
luahkanlah hasrat hatimu itu kepadanya. Kemudian berdoa dan serahkanlah hasrat
hatimu itu kepada Allah s.w.t. Panjatkanlah doa mengharap perkenan-Nya. Ya, bukan
mudah menyatakan hasrat hati kepada seseorang. Ia memerlukan keberanian diri
dan kekuatan hati kita. Seringkali timbul perasaan bimbang di hati kita. Ya, kita
bimbang ianya ditolak dan jika itu berlaku ianya pasti memalukan diri kita.
Tetapi bagaimana dirinya itu akan mengetahui hasrat hati kita seandainya kita
tidak meluahkannya? Jika tidak melalui kata-kata sekali pun, nyatakanlah dengan
kalimah bertinta atau melalui pertolongan orang lain bagi menyampaikan hasrat
hati kita. Agar dia mengetahui perkara yang sebenar.
Jangan hanya bersuara dengan
redup pandangan mata. Juga bukan hanya dengan tingkah laku kita. Kerana belum
tentu dirinya mengerti hasrat di hati kita. Tuturkanlah sesuatu walaupun ianya
hanya pada catatan warkah atau melalui wakil sebagai pengganti diri. Pasti
ianya lebih difahami dan dimengerti. Bukannya dengan hanya mendiamkan diri
menanti dengan penuh harapan agar ianya menjadi realiti. Ianya tidak semudah
itu!
Berilah masa kepadanya. Jangan
memaksa untuk diterima dan jangan pula terus mendesak minta jawapan darinya.
Dia berhak menerima atau pun sebaliknya. Paksaan bukanlah cara terbaik untuk
memiliki. Biarlah dia yang membuat keputusan tanpa sebarang paksaan. Biarpun
dirinya tidak membalas apa-apa. Anggaplah dia sedang memikirkannya. Biarpun
bagi tempoh yang amat lama. Barangkali dia sedang menilai siapa diri kita. Mana
kita tahu!
Serahkan semuanya kepada Allah
s.w.t..
“Sabar dan redha dengan
ketentuan-Nya dan jangan berputus asa..”
Sabar dan redha. Serahkanlah
semua harapan kita kepada Allah s.w.t yang Maha Pencipta. Dia pemilik
segalanya. Perbanyakkanlah berdoa mengharap dari-Nya. Dialah sebaik-baik
penyempurna harapan hamba-Nya. Mudah-mudahan dimakbulkan-Nya akan hasrat dan
harapan hati kita dengan syarat kita ikhlas dengannya. Apa yang penting kita
telah meluahkan hasrat hati kita kepadanya. Terpulanglah kepadanya untuk
menerima atau menolaknya. Ya, bukan mudah meluahkannya. Ditempis perasaan malu
itu dan perlu dikuatkan emosi serta hati kita bagi menghadapi pelbagai
kemungkinan. Apa pun keputusannya jangan kita berputus asa. Biarpun perlu
menanti keputusan yang tidak kunjung tiba. Apa yang penting, kita telah
berusaha meluahkan hasrat hati kita. Walau sebesar mana pun harapan dan hasrat
hati kita, kita jangan memaksa dan mendesaknya. Dia juga manusia, miliki hati
dan perasaan yang perlu kita hormati.
Setelah itu, jalani kehidupan ini
seperti biasa. Seperti tiada berlaku apa-apa antara diri kita dan dirinya.
Jangan malu dan jangan pula segan padanya. Dia juga insan biasa dan dia juga
pasti akan melalui situasi begini. Jika kita benar-benar tulus untuk
memilikinya, teruslah menjadi temannya biarpun tiada ikatan yang bermakna dan
biarpun status antara kita dengannya tidak berubah. Ingatlah status itu
hanyalah sekadar istilah nama untuk lebih melahirkan rasa akrab dan erat. Bukannya
bukti kejujuran dan ketulusan kita. Kerana bukti itu ada pada peranan kita
kepadanya. Biarpun sekadar teman biasa dan bukannya teman istimewa atau apa-apa
sahaja status yang kita hasratkan. Yang penting kita tetap bersaudara
dengannya. Ya, bersaudara dalam kesatuan akidah. Itu sudah cukup indah! Dan
hasrat kita itu tidak lain hanyalah cuma untuk lebih mengindahkannya. Untuk
lebih rapat, lebih erat dan lebih akrab! Justeru, jagalah adab pergaulan kita
dengannya berlandaskan syariat Allah s.w.t.
Jangan berputus asa. Jika kita
tahu betapa indahnya “keikhlasan dirinya” dalam menerima hasrat hati kita,
pasti kita tidak akan memaksanya. Keikhlasan itu amat penting dalam perhubungan
sesebuah ikatan walaupun apa jua status ikatan itu. Tanpa keikhlasan, kejujuran
dan ketulusan hati sudah pasti hubungan yang dibina tidak bererti. Paksaan dan
desakan hanya akan menawarkan suasana sesebuah ikatan. Pasti akan timbul
pelbagai masalah nanti. Biarlah dirinya menerima kita seadanya kerana hanya
dengan itu yang mampu memberi kebahagiaan dalam perhubungan. Catatan ini bukan
untuk menggalakkan apa jua status perhubungan tetapi hanya sekadar pandangan
dari insan yang kerdil ini sahaja.
Luahkanlah hasrat terpendam untuk
difahami, agar jiwa beroleh ketenangan hati!!!
Saturday, January 14, 2012
Di sebalik kelembutan hati..
“Anta ni suka sangat bergurau mesra dengan budak-budak..”
“Ana lihat anta layan budak-budak tu macam adik-adik
sendiri..”
Insan ini tersenyum mendengar
kenyataan ini suatu ketika. Jauh di sudut hati insan ini mengatakan ia sebenarnya
adalah satu kebiasaan dalam diri. Sebaliknya ia adalah satu situasi yang
dibentuk dan dididik dalam diri ini bagi melahirkan kemesraan sesama insan. Alhamdulillah..
Allah s.w.t mengurniakan sekeping hati yang penuh kelembutan di sebalik ketegasan
yang tetap wujud dalam diri ini. Itulah hati yang subur dengan rasa kasih dan
sayang bagi menghiasi sesebuah ikatan dalam kehidupan ini. Di sebalik kelembutan
hati itulah yang sering mengindahkan suasana dalam berukhuwah dengan segala
rasa cinta, kasih sayang, bertimbang rasa dan prihatin terhadap ukhuwah yang
dibina. Ya, indahnya hidup ini kerana ianya adalah sebuah perkongsian.
Berkongsi bererti kita perlu memberi dan menginfaqkan apa yang kita miliki sama
ada harta benda, ilmu, perasaan hati dan sebagainya kepada sesama makhluk-Nya. Saling
memberi dan saling menerima. Barulah kita akan menikmati keindahan dalam hidup
ini.
Bukan mudah jika kita tidak
mendidik hati kita untuk bermesra dengan budak-budak seperti adik-adik kita. Biasanya
perbezaan umur pasti akan menjarakkan hubungan kita dengan budak-budak yang
jauh lebih muda usianya daripada kita. Lebih-lebih lagi jika mereka yang tidak
mengenali kita atau mengenali kita sedikit sahaja. Juga jika antara kita dengan
mereka tiada pertalian darah dan kita tidak pula dikenali oleh mereka sejak
mereka kecil lagi. Kadang-kadang kita yang lebih dewasa ini pun adakalanya berasa
rimas dengan budak-budak. Ya, mereka dengan dunia mereka sendiri. Kita juga pasti
pernah melaluinya saat itu suatu ketika dulu. Mereka ada rakan-rakan mereka
sendiri. Mana mungkin mereka mudah mendekati kita yang lebih dewasa. Begitulah
juga dengan kita. Ada dunia kita sendiri.
Namun ianya bukan alasan untuk
terus menjarakkan hubungan. Sebaliknya kita perlu melahirkan kemesraan dengan
mereka. Kita yang lebih dewasa perlu menunjukkan rasa kasih sayang kita kepada
mereka agar mereka tidak takut dan tidak malu untuk mendekati kita. Kita juga
manusia seperti mereka. Tiada sebab untuk ditakuti dan dimalukan oleh mereka. Cuma
jarak umur yang membezakan kita dengan mereka yang mungkin melahirkan perasaan
itu. Jadi, apabila kita menunjukkan kemesraan kita kepada mereka, insya-Allah
mereka akan lebih menghormati kita dan merasa senang di samping kita.
Untuk melahirkan kemesraan dengan
budak-budak atau ‘adik-adik’, gunalah bahasa yang setaraf dengan mereka dari
sudut membahasakan diri kita dan diri mereka. Jangan menggunakan bahasa seperti
bahasa kita dengan teman-teman sebaya kita. Tidak praktikal untuk melahirkan
kemesraan. Justeru, gunalah bahasa-bahasa yang sesuai dalam berkomunikasi
dengan mereka. Panggillah nama mereka dengan panggilan yang manja. Berlembutlah
ketika bergurau senda dengan mereka. Cubalah pelbagai pendekatan untuk
melahirkan kemesraan dalam hubungan kita dengan mereka. Kita pasti mempunyai
cara tersendiri untuk memikat hati dan perasaan mereka.
Jika mampu membelai mereka, maka belailah
mereka. Zahirkan kasih sayang kita melalui tindakan kita. Sesekali jika mampu
memeluk mereka, maka peluklah mereka. Berikan perhatian bila berbicara dengan
mereka. Dengarlah percakapan mereka dengan sebaiknya. Tumpu dan lihatlah kepada
wajah mereka. Ukirlah senyuman penuh mesra. Sesekali kita perlu memainkan memek
muka dengan mereka. Agar mereka merasa terhibur dan merasa tenang bersama kita.
Tunjukkan kepada mereka yang kita seorang yang mudah didekati dan raikanlah
mereka seperti adik-adik kita sendiri. Kita perlu berada dalam dunia mereka
seketika bagi melayan karenah mereka agar mereka rasa ‘bersama’ dengan kehadiran
kita.
Hargailah adik-adikmu..
“Mesti seronok ada adik-adik
tempat kita mencurahkan kasih sayang kita..”
Cebisan kata-kata insan ini buat
seorang sahabat suatu ketika. Mungkin biasa bagi dirinya kerana memiliki
adik-adik untuk bermain, bergurau dan bermanja. Tapi bagi insan ini, sepastinya
lebih merasakan kekurangan yang wujud tanpa adik-adik bagi mencurah perasaan
kasih sayang dan bermanja dengan mereka. Biarpun memiliki seorang adik
perempuan namun ianya tetap tidak sama kerana ada batasan-batasan tertentu
dalam gurauan bersamanya. Maklumlah sifat wanita, tidak sama dengan lelaki.
Lagi pun pula jarak umur dengannya terlalu rapat.
Bukan tidak mensyukuri dan tidak
menghargai pemberian-Nya tetapi hati ini tetap merasakan seperti adanya
kekurangan dalam hidup ini apabila melihat kemesraan orang lain yang begitu
akrab bersama adik-adik mereka. Cemburu!. Tidak salah cemburu yang hanya ada
rasa cinta bukannya kerana benci atau cemburu secara membabi buta. Insan ini memang
merasai kekurangan yang ada, namun insan ini tetap redha pada ketentuan-Nya. Ya,
bertuahlah mereka yang dianugerahkan semua itu. Memiliki adik-adik yang
dijadikan tempat bermesra dan bermanja serta dapat dijadikan sebagai teman
dalam kehidupan sebuah keluarga. Justeru, hargailah adik-adikmu. Merekalah
permata-permata hati anugerah Ilahi buatmu. Hadir mereka sudah pasti
membahagiakan dan menceriakan suasana dalam keluargamu. Hargailah mereka!!!.
Mungkin itulah antara sebab insan
ini amat senang bergaul dengan ‘adik-adik’ bagi insan ini. Ya, sebagai tempat bermanja
dan mencurahkan perasaan kasih sayang dalam diri ini. Alhamdulillah..
Syukur kepada Allah s.w.t yang tetap menghadirkan ‘adik-adik’ yang sudi bergaul
mesra dengan insan ini. Permata-permata hati, tempat insan ini tumpang bermanja
dengan mereka seperti adik-adik sendiri. Berkongsi keindahan rasa dalam ikatan
ukhuwah ini. Juga bersyukur kerana Allah
s.w.t mengurniakan insan ini adik-beradik yang lain. Sekurang-kurangnya insan
ini dapat merasai nikmat memiliki abang dan kakak serta seorang adik perempuan juga.
Jauh berbeza dengan anak tunggal. Ya, pasti mereka lebih sepi hidup tanpa
kehadiran insan lain dalam keluarga dengan hanya memiliki ayah dan ibu sahaja.
Entah bagaimana rasanya jika dipilih Allah s.w.t berada pada situasi begitu.
Sedangkan yang ada, rasanya belum mencukupi, inikan pula yang tiada. Justeru,
dalam kelebihan yang ada, prihatinlah pada yang tiada. Syukur kepada-Nya.
Biarpun tidak ramai tetapi tetap
ada. Merekalah ‘adik-adik’ bagi insan ini. Insan ini menghargai kehadiran
mereka. Biarpun tidak selalu bersama mereka dan tidak pula berjumpa sebagai
satu keluarga tetapi ianya sudah cukup bagi insan ini untuk merasai sedikit apa
yang dirasakan insan-insan lain yang memiliki permata-permata hati ini.
Begitulah indahnya Allah s.w.t. mengatur kehidupan ini dalam perhubungan sesama
manusia. Yang ada disyukuri, yang hadir dihargai dan yang tiada boleh dikongsi.
Sebab ikatan persaudaraan itu tidak menghalang perhubungan sesama insan biarpun
berbeza darah keturunan, umur dan darjat kerana tetap bersatu dalam akidah
keimanan kepada Allah s.w.t. Justeru, Islam amat mementingkan aspek muamalat
sesama manusia dalam berkongsi perasaan cinta, dan kasih sayang. Ia juga
menjadi prasyarat bagi memiliki iman yang sempurna.
Istilah “angkat” melahirkan rasa
akrab dan erat..
“Temankan ana ke rumah
keluarga angkat ana..”
Seringkali ia pernah singgah di
ruang pendengaran insan ini dari teman-teman . Salahkah untuk memiliki
seseorang dengan istilah ‘angkat’? Bergantung pada diri kita. Selagi mana kita
tidak melanggar batasan syariat dalam pergaulan selagi itu ianya diharuskan. Sebaliknya
jika kita melanggar batasan syariat, maka ianya diharamkan. Jika kita sering
mengikuti program-program kemasyarakatan yang melibatkan keluarga angkat, kita
akan menjalinkan hubungan dengan semua ahli dalam keluarga angkat kita. Bahkan
juga saudara-mara dan jiran tetangga mereka. Di situ, terjalinnya ukhuwah
sesama insan. Ya, begitulah istilah keluarga angkat yang sering kita dengar.
Ianya istilah untuk melahirkan rasa akrab dan erat. Di situlah wujudnya istilah
adik angkat, abang angkat, kakak angkat, ibu angkat dan ayah angkat.
Istilah ‘angkat’ seakan sebati
dan sinonim dalam kehidupan masyarakat kita terutamanya bagi golongan
mahasiswa. Namun di dalamnya tetap ada batasan yang perlu dijaga dan dipelihara
terutamanya batasan aurat dan pergaulan dengan mereka yang bukan muhrim dengan
kita. Ianya perlu dipelihara dan dikawal agar tidak menimbulkan fitnah dan
mendatangkan dosa. Istilah ‘angkat’ tidak menghalalkan pergaulan bebas antara
lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Justeru, berhati-hatilah dengan istilah-istilah
‘angkat’ kerana dibimbangi diri kita akan bergelumang dengan dosa dan noda jika
kita tidak menjaga hukum-hakam syariat dalam aspek pergaulan kita dengan mereka.
Jika kita memerlukannya bagi melahirkan keakraban dan kemesraan serta
mencurahkan perasaan kasih sayang kita kepada mereka, sebaik-baiknya pilihlah
mereka yang sejantina atau semuhrim dengan kita agar batasan aurat mudah
dipelihara dan dijaga.
Kita pasti mempunyai persepsi
kita masing-masing berkenaan istilah ‘angkat’ ini. Ada yang menyenanginya dan
ada pula yang meremehkannya. Jika kita melihat dalam sejarah Islam, Nabi
Muhammad s.a.w sendiri memiliki seorang anak angkat iaitu Zaid bin Harithah. Jadi,
hubungan anak ‘angkat’ ini akan merangkumi pelbagai istilah ‘angkat’ yang lain
kerana ianya sudah tentu melibatkan satu keluarga. Baginda s.a.w amat
menyayangi Zaid bin Harithah. Keakraban dan kemesraan antara Rasulullah s.a.w
dengan anak angkatnya itu menyebabkan golongan masyarakat pada ketika itu
memanggil dan menggelarkan Zaid dengan gelaran Zaid Bin Muhammad. Namun, ianya
dilarang dan ditegah oleh Allah s.w.t melalui firman-Nya di dalam al-Quran yang
menyuruh agar manusia memanggil anak-anak angkat dengan dinasabkan kepada bapa
kandungnya. Ya, istilah saudara ‘angkat’ bukanlah bererti sama seperti
adik-beradik kandung kita dan mereka tidak boleh mewarisi harta pusaka tetapi
istilah ‘angkat’ itu akan lebih melahirkan rasa akrab dan erat. Justeru, dalam
Islam sendiri mempunyai contoh yang jelas dan terbaik berkenaan istilah
‘angkat’, jadi sangkaan atau persepsi yang meremehkannya atau menafikannya
adalah salah dan tidak benar sama sekali sebaliknya ia adalah diharuskan bagi
meraikan perasaan cinta dan kasih sayang yang wujud dalam hati manusia. Begitu
terperincinya Islam meraikan perasaan dan jiwa kita. Subhanallah!!!
Alhamdulillah!!! Allahu Akbar!!!
Justeru, beruntunglah mereka yang
memiliki saudara ‘angkat’ tidak kiralah apa jua istilah statusnya kerana ianya
mampu mengeratkan hubungan silaturrahim sesama manusia di samping dapat
menyebarkan rasa kasih dan sayang sesama insan. Ya, mereka mampu merasai kasih
sayang daripada saudara ‘angkat’ mereka dan mereka juga boleh berkongsi
perasaan kasih sayang mereka dengan saudara ‘angkat’ mereka. Bukankah Islam itu
agama yang mengajak kepada persaudaraan dan menganjurkan perdamaian serta
menuntut untuk saling berkasih sayang? Justeru, istilah ‘angkat’ antara yang
mampu melahirkan bibit-bibit kemesraan dalam jalinan muamalat sesama manusia
dengan berlandaskan syariat bagi mewujudkan suasana aman dan damai dalam
kehidupan manusia.
Coretan ini bukanlah untuk
menggalakkan istilah ‘angkat’ kerana kita mengetahui bahawa ianya sekadar
diharuskan dalam Islam dengan syarat-syarat tertentu dan bukannya ia digalakkan
tetapi hanya ingin mengajak kita merenung nilai ukhuwah yang begitu indah di
sebalik istilah ‘angkat’ ini. Nilai kasih sayang dan nilai keimanan yang wujud
dalam ukhuwah ‘angkat’ mampu melahirkan ketenangan dan kedamaian dalam
kehidupan ini terutamanya bagi mereka yang memerlukannya.
Sebarkanlah kasih sayangmu dalam
berukhuwah, agar hidup terasa tenang dan indah!
Subscribe to:
Posts (Atom)


































