Sudah satu minggu lebih insan ini
berada di tanah baru ini. Di kepulauan Borneo. Kepulauan yang biasanya tidak
diimpikan oleh sebahagian besar rakyat semenanjung untuk menjejakkan kaki ke
tanah ini bagi satu tempoh yang agak lama. Namun tiada siapa yang mampu menolak
ketentuan takdir Ilahi yang tercatat sejak azali lagi. Alhamdulillah.. Insan
ini merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana diberi
peluang untuk berkhidmat di bumi kenyalang ini.
Ya, tiada siapa menduga begitu
hebat perancangan Allah s.w.t. Ukhuwah bertaut kembali di medan
kerjaya dengan seorang sahabat. Seluas tanah di bumi kenyalang ini, Allah s.w.t.
telah memilih insan ini untuk terus menjalinkan ikatan ukhuwah seerat mungkin
dengan sahabat insan ini, Mohd Husnee Bin Awang. Sahabat zaman persekolahan
setelah dipisahkan di peringkat pengajian tinggi buat seketika. Hari ini, kami
disatukan di tanah asing bagi diri kami, di bumi kenyalang ini. Ya, di
kepulauan ini kami dipertemukan kembali meniti ukhuwah di sini. Biarpun
ditempatkan di sekolah berlainan, namun kami di sini tinggal sebumbung. Hari
ini, dialah housemate dan roommate bagi insan ini.
Begitu indah aturan-Nya. Dia
tidak membiarkan insan ini sendirian di tanah asing ini. Dia menghadirkan
sahabat seperjuangan untuk menemani perjalanan hidup insan ini di kepulauan
Matu Daro ini. Dialah sahabat yang akan menemani hari-hari insan ini di sini.
Bertuah rasanya insan ini, memiliki teman yang telah lama berukhuwah dengan
insan ini di sini. Begitulah perancangan Allah s.w.t yang tidak mampu kita
duga. Dia berkuasa atas segala-galanya.
Seminggu di sini. Menempuh
pengalaman berbeza. Jauh dari keluarga mungkin itu adalah perkara biasa. Jauh
dari sahabat-sahabat itu juga telah terbiasa. Di sini, suasana persekitarannya
mungkin jauh berbeza dengan suasana di tanah semenanjung sana. Namun di sinilah
pilihan terbaik sang Pencipta buat insan ini bagi menabur bakti dan jasa.
Siapalah kita untuk mempersoalkan kenapa dan mengapa kerana setiap
ketentuan-Nya pasti ada hikmah buat setiap hamba-Nya.
Terima dengan redha setiap
ketentuan-Nya. Usah dihiraukan kata-kata sinis yang dilempar melata. Juga
jangan peduli kisah-kisah mereka yang belum sendiri mengalaminya. Agar hati
terus kuat untuk menghadapi setiap ketentuan-Nya. Mungkin untuk pertama kali
akan terkesima. Antara percaya dan tidak. Namun hakikatnya ia tidak seteruk seperti
yang dibayangkan di awanan minda. Bila mengalaminya sendiri, barulah insan ini
mengerti. Khabar tidak seindah rupa. Di sini insan ini bahagia.
Jauh berkelana, ada tugas untuk
dilaksana. Membimbing generasi ummah ini di tanah asing bagi insan ini. Antara
teruja dan kasihan melihat masyarakat Islam di sini. Yang masih memerlukan
banyak bimbingan agama dari insan bergelar da’ie. Di sinilah lapangan
terbaik untuk berdakwah kepada masyarakat yang masih rendah tahap pengetahuan
agama Islam. Sukar itu adalah lumrah dalam berdakwah. Adakah patut hanya sebab
sedikit kesukaran menghalang untuk menjalankan kerja dakwah? Jika begitu,
alangkah lemahnya diri kita jika kita terus beralasan untuk tidak sampai ke tempat
seperti ini. Relakah kita memilih untuk bersenang-lenang sedangkan saudara
seakidah kita masih banyak memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar daripada kita?.
Semuanya adalah pilihan kita. Tapi betapa ramai yang tetap menyatakan ketidaksanggupan
lantaran hanya beralasan jauh dari keluarga, rasa tidak bahagia, takut dengan
pelbagai cerita yang belum dialami sendiri dan pelbagai alasan lagi yang terus
dicipta sendiri.
Menempuh suasana berbeza. Insan
ini merasai situasinya. Perlahan-lahan mengikut rentak bagi menurunkan tahap
pengajaran seminimum mungkin. Maklumlah sebelum ini, bersama adik-adik pelajar
generasi pertama insan ini di tahap pertengahan. Kini situasinya amat berbeza.
Mind-set perlu berada di tahap yang lebih rendah. Mengikut tahap pemikiran
kanak-kanak. Semestinya, pengalaman bersama adik-adik pelajar generasi pertama
tidak akan dilupakan insan ini. Mereka adalah yang pertama menghiasi diari
status pelajar insan ini dan mereka bukti bermulanya tugas insan ini sebagai
pendidik biarpun insan ini tidak lama bersama mereka mengharungi perjuangan di
sekolah tercinta.
Begitu hebat perancangan-Nya,
terasa kerdilnya hamba!!!
No comments:
Post a Comment