Setelah sekian
lama menyepi, hati terasa ingin menulis kembali. Berbulan-bulan lamanya tidak
menitipkan sesuatu di laman Tinta Ukhuwah ini. Entahlah, semangat untuk menulis
seakan sedikit pudar biarpun hakikatnya minat itu masih lagi segar.
Mungkin ada yang
menanti bingkisan terbaru daripada insan ini. Alhamdulillah masih lagi diberi kekuatan untuk menulis. Ada
dua yang terkini sebelum post ini, setelah sekian lama menghilangkan diri.
Bukan bermakna insan ini lari tetapi terasa sedikit tawar hati.
Insan ini tidak
kisah pun jika tulisan ini tidak ditatap mata. Jauh sekali mengharap untuk
dimengerti makna. Biarlah tulisan ini tersimpan kerana ianya mungkin untuk
tatapan sendiri di suatu ketika nanti. Sekadar ingin berkongsi, walaupun tidak
memberi apa-apa erti.
Maaf jika tulisan-tulisan
insan ini sebelum ini dan selepas ini ada yang melukakan hati kerana insan ini
hanyalah insan biasa di muka bumi ini. Kesilapan itu mungkin hadir daripada
kelemahan diri yang tidak sempurna ini. Walau apa pun yang terjadi,
tulisan-tulisan di laman ini adalah hasil keringat minda insan ini mengatur
susunan kata menjadi ayat-ayat dengan gaya bahasa yang tersendiri. Insya-Allah.
Jika terasa
terketuk beduk hati, anggaplah ianya perkara biasa yang kita sering alami.
Jikalau terasa dengan kata-kata, mungkin kita pernah makan nangka, tidak
hairanlah jika terkena getahnya. Mungkin juga kita pernah makan cili, tidak
hairanlah jika terasa pedasnya. Jadi, bagi insan ini, apa yang baik, kita
ambillah sebagai pedoman manakala apa yang tidak baik, jadikanlah ianya sebagai
sempadan.
Malas bukan satu
alasan tapi satu bentuk halangan yang merugikan. Ya, malas tidak memberi
apa-apa manfaat dalam meneruskan kehidupan. Kita perlu bangkit dari lena yang
panjang untuk menjadikan hidup ini lebih bermakna. Jangan jadi seperti Pak
Belalang yang hanya asyik tidur tidak kira malam mahupun siang hatta melupakan
tugasnya mencari nafkah untuk anaknya yang tersayang sehingga sanggup minum ‘kopi’
yang diperbuat dari ketulan dan debuan arang. Meskipun ianya sebuah cerita
rekaan namun mesejnya tetap menusuk perasaan dan sesuai diambil pengajaran.
Benar, kita punya
tanggungjawab yang perlu kita pikul selama kita bergelar insan. Kita adalah hamba
kepada tuhan yang perlu menunaikan hak dan kewajipan. Justeru, rasa malas jangan
dijadikan budaya dalam diri kita kerana ia boleh membantutkan potensi sebenar
yang ada dalam diri yang seharusnya sentiasa digilap sehingga berkerdipan dan bergemerlapan.
Walaupun tulisan kali ini kelihatan jauh dari topik asalnya, namun tetap membawa nilai kesedaran jika kita berusaha membuat penilaian untuk dijadikan pengajaran. Bacalah dari sudut pandang kebenaran bukannya dari
sudut penghinaan. Kebenaran seringkali bersembunyi di sebalik kejahilan namun
pasti akan terserlah bila adanya kekuatan. Kekuatan itulah yang perlu dicari,
digali dan dibina sehingga ia benar-benar kelihatan meskipun di hujung
perjuangan.
Tangan yang menulis,
pena yang mencatat, manakala tinta pula yang mencorak aksara huruf sehingga
mampu dibaca dan difahami oleh benak fikiran. Begitulah harga sebuah penulisan yang
bertujuan untuk menghidupkan pemikiran disamping memberi peringatan agar kita
kembali mencari kekuatan. Semoga dengan kekuatan yang ada akan menampakkan
kebenaran yang seringkali bersembunyi ekoran kerana gelapnya kejahilan yang
menguasai diri setiap insan.
Teruslah bersama
kebenaran sehingga ke hujung perjuangan!