Hari ini, insan
ini masih berada di bumi Sarawak untuk tahun yang keempat. Alhamdulillah kerana
masih diberi kesempatan untuk terus berkhidmat di kepulauan Borneo ini. Ketika
kebanyakan teman yang pernah bersama-sama melalui perjuangan di sini telah
berangkat pulang ke tanah semenanjung, insan ini masih lagi berada di sini
untuk terus menabur bakti kepada generasi ibu pertiwi.
Meskipun saban
hari kelihatan semakin sepi dari gelak tawa teman-teman terdahulu, namun perjuangan
mesti diteruskan demi anak bangsa. Segala kenangan bersama teman-teman akan
tersimpan utuh di pentas sanubari insan ini. Insan ini mengucapkan
berbanyak-banyak terima kasih kepada teman-teman yang banyak membantu dari awal
keberadaan insan ini di negeri asing ini. Sungguh, berukhuwah sememangnya
indah!
Jauh dari
keluarga, sanak saudara dan sahabat-sahabat di kampung halaman merentas Laut
Cina Selatan pastinya menggamit kerinduan yang kadangkala singgah mengusik
lubuk hati insan ini. Siapa sangka, pejam celik pejam celik sudah hampir tiga
tahun berada di sini. Terasa sekejap sahaja. Mungkin kerana insan ini tidak
terlalu memikirkan untuk pulang berkhidmat di semenanjung lagi buat masa ini
menyebabkan insan ini mampu menyerap tekanan perasaan yang sering melanda
kebanyakan teman-teman yang lain.
Insya-Allah suatu
hari nanti insan ini akan ditukarkan kembali ke semenanjung. Biarlah buat masa
ini berada di sini untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman berada di tempat
orang. Masa akan menjawab segala-galanya. Kita hanya merancang, Allah sebaik-baik
perancangan.
Di kesempatan
ini, insan ini ingin mengucapkan tahniah buat sahabat seperjuangan yang telah
menamatkan zaman bujang pada cuti akhir tahun yang lalu. Tahniah buat saudara
Ahmad Saifullah Bin Nawi dan isteri. Tidak dilupa juga ucapan tahniah buat
saudara Muhammad Syibly Bin Hussin dan isteri atas mahligai yang dibina.
Mudah-mudahan diberkati oleh Allah s.w.t dan berbahagia hingga ke syurga-Nya
nanti.
Ya, cuti hujung
tahun 2014 yang lalu berkesempatan meraikan hubungan ukhuwah bersama-sama ashab
seperjuangan. Biarpun suasana tidak seperti dulu, namun tetap cukup bermakna
dalam mengisi diari ukhuwah pada cuti hujung tahun yang lalu. Berkesempatan
bersama-sama dengan ashab seperjuangan dalam beberapa aktiviti yang dirancang
bersama. Sepastinya permainan futsal dan badminton menjadi pilihan warga tinta
ukhuwah.
Selain itu,
majlis menjamu selera juga turut diadakan. Walaupun tidak ramai yang dapat
hadir ke majlis tersebut namun ianya tetap membuktikan bahawa persahabatan yang
terbina sejak di bangku sekolah masih lagi utuh walaupun ramai dalam kalangan
warga tinta ukhuwah yang telah berumah tangga. Namun ianya bukannya alasan
untuk tidak bersama-sama dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang.
Terima kasih
kepada semua yang terlibat dalam menjayakan aktiviti ukhuwah sepanjang cuti
akhir tahun yang lalu. Mudah-mudahan, kita dapat menganjurkannya lagi pada masa
yang akan datang. Insya-Allah..
Benar sekali, berukhuwah
sememangnya indah!