Lama sudah tidak menitipkan sesuatu di blog Tinta Ukhuwah
ini. Maaf sekiranya ada yang tertunggu-tunggu bingkisan terkini dari insan ini.
Kekangan masa dan rasa menyebabkan insan ini kurang menjenguk dashboard blog
ini. Biarpun kerap kali menjenguk laman blog ini tetapi tidak berkesempatan
menggarap sesuatu untuk dicoretkan di laman ini.
Sekalipun ianya mungkin tidak bermakna kepada orang lain
tetapi laman ini cukup bermakna buat insan ini. Memang benar, bukan mudah untuk
istiqamah dalam menghidupkan laman yang kerdil ini kerana bukan senang untuk
membuahkan kisah dalam bentuk tulisan.
Entah ada atau tidak insan yang sudi membaca coretan
biasa ini ataupun ianya hanyalah sekadar menjadi diari yang terkunci meskipun
ia berada di jaringan terbuka. Biarkanlah sekiranya ianya cukup sekadar itu
dalam perkongsian yang sekelumit ini.
Hari berganti hari, masa pantas berlalu. Justeru, hari
ini tidak mungkin sama dengan semalam. Ya, semalam sudah menjadi kenangan
sedangkan hari ini adalah kenyataan sebuah perjuangan kerana esok adalah sebuah
harapan yang belum tentu. Banyak perkara sudah berubah, lantas suasana jua
pasti berbeza.
Ketika suasana terus berubah, bagaimana dengan pentas ukhuwah
ketika ini? Semestinya ia turut mengalami kesan perubahan itu. Benar, ramai
sudah dalam kalangan sahabat-sahabat yang telah mendirikan baitul muslim dan
mempunyai komitmen hidup masing-masing terhadap diri, keluarga, masyarakat,
agama dan negara.
Justeru, tidak terlambat kiranya insan ini mengucapkan
selamat pengantin baru kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang telah selamat
diijab kabulkan dengan pasangan masing-masing. Semoga perkahwinan kalian
diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t.
Tahniah buat pengantin baru, saudara Hamidul Hannan
Hasani Bin Mohd Nawi dan pasangan. Juga tidak dilupakan kepada saudara Mohd
Husnee Bin Awang dan isteri, saudara Mohd Zaidin Bin Sapian dan pasangan.
Tahniah juga buat saudara Muhamad Shukri Bin Che Noh dan pasangan serta saudara Mohd
Hafiz Azhari Bin Zulkifli dan isteri atas terbinanya ikatan pernikahan
berlandaskan syariat Islam. Kami juga mengharapkan doa daripada kalian agar
dapat menjejaki langkah kalian suatu hari nanti. Insya-Allah..
Sungguh, jodoh pertemuan, ajal dan maut itu adalah
ketentuan Allah s.w.t. Insya-Allah semuanya pasti akan hadir pada waktu yang
tepat. Maka, nikmatilah kebahagiaan yang dikurniakan tuhan disamping bersedia
dengan ujian alam rumahtangga yang pasti menuntut amanah dan tanggungjawab yang besar serta
perngorbanan dan ketabahan yang tinggi.
Rasanya cukuplah setakat ini dahulu coretan buat kali ini
bagi mencuci sedikit pandangan mata dan hati pada laman sesawang yang telah dipenuhi
sarang ankabut sejak berbulan-bulan lamanya ini.
Sekalung tahniah buatmu teman dari teman seukhuwah!