“Belajar
rajin-rajin. Jangan putus asa.”
“Ngaji molek tuh. Usaha betul-betul. Buat yang terbaik.”
Antara ungkapan yang pernah hadir
dalam hidup insan ini suatu ketika. Mungkin biasa kita dengar ungkapan ini atau seumpamanya.
Biasa yang membiasakan jiwa. Hingga tawar dirasa kerana telah lali terbiasa. Sebenarnya
pada insan ini, ungkapan begini merupakan kata-kata yang luar biasa. Besar
pengaruhnya buat jiwa. Bukan mudah ianya hadir menyapa dalam hidup ini terutamanya daripada ibu bapa, saudara-mara mahupun teman-teman insan ini. Namun,
bicara ini seringkali terungkap dari bibir seorang guru. Benar bukan?
Guru. Ya, mereka lebih memahami
potensi diri kita. Mereka lebih tahu kemampuan dan kebolehan kita sekalipun
kita sendiri masih belum atau tidak menyedarinya. Guru kita sering melihat kita
dengan penuh harapan. Agar kita, insan yang mereka didik suatu hari nanti akan
menjadi insan yang berjaya. Jika tidak pun, jadi insan yang berguna.
Seringkali pesanan atau nasihat
begini dirasakan biasa. Namun di sebalik kebiasaannya, ia mampu menguatkan
jiwa. Tatkala kita seringkali berputus asa. Rasa lemah tidak bermaya
mengharungi perjuangan kita. Kadang-kadang hadirnya kembali menyuburkan
semangat yang kian padam dan suram. Seakan masih ada yang berharap dan ingin
melihat kita berjaya.
Insan ini belajar dari kata-kata yang
dianggap ‘biasa’ ini. Sejak zaman persekolahan hingga ke detik ini, insan ini
meneroka dan meneliti bicara ‘biasa’ ini. Ya, besar makna dan pengaruhnya pada
diri ini. Meniti kejayaan demi kejayaan sering bertemankan kata-kata sebegini.
Dari lisan para murabbi yang tidak jemu menyuntik kata-kata semangat. Begitulah
ungkapan rasa berunsur pesanan yang penuh harapan daripada mereka. Sekalipun pada anak didiknya,
ianya mungkin ungkapan biasa sahaja. Sesekali ianya hadir daripada ashab
seperjuangan dan saudara-mara. Namun, gurulah yang paling banyak menuturkannya.
Insan ini ingin sekali menjadi
seorang yang tidak jemu meluahkan bicara ini. Insan ini merasai kepentingannya
buat diri dan buat sesiapa sahaja bergelar insan. Betapa besarnya kuasa
kata-kata, sekalipun hanya biasa namun tetap amat berharga. Berharga buat hati
dan berharga buat diri. Hingga dengannya mampu mengubah jiwa agar menjadi lebih
bersemangat meneruskan perjuangan dalam hidup ini. Dari kata-kata itu, ada
harapan yang menyentuh perasaan bagi mereka yang memerhati dengan hati.
Bagi yang tidak memerhati, ianya
sekadar kata-kata biasa yang telah lali di halwa telinga. Dibiarkan berlalu
sepi tanpa mengambil hikmah yang tersembunyi. Benar, hikmah kata-kata tidak
mampu dilihat dengan mata, sekalipun ianya sering singgah di cuping telinga,
tetapi ianya mampu dirasa oleh hati yang mengerti. Hati yang benar-benar ingin
berusaha memperbaiki kelemahan diri dan hati yang berusaha mencungkil potensi
diri.
Terima kasih cikgu. Juga terima
kasih buat yang pernah menyuntik semangat perjuangan dalam diri ini. Seringkali
semangat yang seakan luntur, kembali berseri mewarnai perjuangan ini bila mana hadirnya kata-kata 'biasa' begini. Hati rasa
seakan berteman dan tidak keseorangan dalam menghadapi mehnah dan tribulasi
perjuangan hidup ini. Masih ada yang menaruh harapan. Masih ada yang meletakkan
kepercayaan pada diri. Sekalipun harapan tersebut tidak semuanya mampu dipenuhi.
Adapun kepercayaan itu seringkali dimusnahi. Justeru, itu kelemahan diri yang
perlu dimuhasabah sendiri.
Betapa insan ini menyedari,
bernilainya kata-kata sebegini sekalipun ianya biasa. Mungkin bukan hanya insan
ini. Anda juga mungkin menyedarinya. Sebagai pendidik jiwa, insan ini tidak mahu menjadi insan yang
bakhil untuk merakam dan menuturkannya. Adapun dalam bentuk kalam bicara ataupun
dalam bentuk kalam bertinta. Biarlah jika ianya hanya sekadar kata-kata biasa, asalkan penuh
bermakna.
Hikmah kata-kata, biasa yang luar
biasa!