Friday, December 13, 2013
Saturday, December 7, 2013
Wednesday, October 30, 2013
Friday, October 11, 2013
Tuesday, September 10, 2013
Wednesday, August 14, 2013
Thursday, May 16, 2013
Istimewa buat guru..
“Selamat
Hari Guru, Cikgu!”
“Terima
kasih atas tunjuk ajarmu..”
Itulah ucapan yang pernah meniti
dibibir insan ini suatu ketika dulu. Meraikan hari guru buat warga pendidik di
sekolah. Jasa dan pengorbanan guru amat besar dalam mendidik anak bangsa. Siapa
pun kita pada hari ini, bermulanya dari didikan insan bergelar guru. Ya, guru-guru kita yang tidak jemu mengajar kita membaca, menulis dan mengira.
Coretan ini mampu ditulis juga kerana hasil didikan warga guru yang tidak jemu mengajar hingga berjaya. Terima
kasih cikgu! Istimewa ku bicarakan buat para murabbi yang telah banyak berjasa buat
diri ini. Tanpa mereka, siapalah insan ini pada hari ini.
Selembut bayu;
membelai tenang..
Selamat Hari Guru;
jasamu terus
dikenang..
Siapa pun yang pernah menjadi
guru kepada insan ini, terima kasih diucapkan atas segala ilmu yang disampaikan
kepada insan ini. Hanya Allah s.w.t yang mampu membalas jasa dan pengorbanan
kalian. Insan ini akan terus mendoakan kebaikan buatmu guru. Mudah-mudahan
segala ilmu yang dicurahkan menjadi bekalan yang berharga di akhirat nanti.
Justeru, terlalu banyak kenangan
bersamamu guru. Ianya menjadi ingatan saban hari dan waktu. Terasa bagai semalam,
aku bersamamu. Sungguh hati ini rindu saat-saat itu. Masih dahagakan
mutiara-mutiara ilmu yang keluar dari bibirmu. Kaulah insan istimewa yang
pernah hadir dalam hidup ini. Menabur jasa dan bakti hingga insan ini menjadi
seperti hari ini.
Hari ini, aku berada di tempatmu.
Merasai jerih lelah menjadi insan bergelar guru. Melayan karenah anak-anak
murid insan ini. Sebagaimana sabarmu guru, begitulah insan ini belajar erti
kesabaran. Meskipun adakalanya insan ini sering tewas dengan karenah anak-anak
didik insan ini. Namun insan ini perlu untuk terus belajar erti sabar yang
cukup indah.
Detik pertama menjadi guru
sepastinya tidak akan insan ini lupakan. Meskipun hanya bergelar guru ganti
ketika itu. Itulah permulaan tugas sebagai pendidik. Detik-detik mengajar pelajar-pelajar
generasi pertama insan ini akan menjadi kenangan buat selama-lamanya. Merekalah
generasi yang mula-mula melaungkan “Terima kasih, cikgu!” dalam versi yang
berbeza namun maksudnya seiras sama.
Bertalu ucapan selamat;
terima kasih kerana ingat..
Dengan sekelumit kudrat;
menjadi bekalan ke
akhirat..
Kini, “Selamat Hari Guru!”, “Terima
kasih, Cikgu!” bakal menemani perjuangan insan ini dalam kehidupan ini. Seakan
tidak percaya insan ini kini bergelar guru. Terima kasih atas ucapan dan
ingatan buat insan ini. Terima kasih buat adik-adik pelajar generasi pertama
insan ini dan juga anak-anak murid diri ini pada hari ini.
Buat semua yang bergelar guru. “Selamat
Hari Guru!” Istimewa buat kita semua..
Friday, May 10, 2013
Monday, May 6, 2013
Saturday, April 20, 2013
Friday, April 12, 2013
Hulur pemberian, nikmati perkongsian..
“Bukan
banyak pun nilainya, tidak semahal nilai ukhuwah yang ada..”
“Terimalah seadanya, rezeki kamu. Bahagian saya tetap
ada.. Insya-Allah..”
Seringkali kita mengelak daripada
menerima sesuatu pemberian daripada orang lain. Mungkin pada saat itu, kita
tidak memerlukannya kerana kita tahu kita masih punya. Ataupun kita merasakan
bahawa kita lebih berada daripada insan yang memberi.
Janganlah begitu wahai teman.
Terimalah pemberian itu biarpun pada saat itu kita masih punya atau sekalipun
kita tidak berhajat kepadanya. Tidak akan jatuh martabat kita, tidak akan
hilang maruah kita jika kita menerimanya. Justeru, kita telah meraikan perasaan
orang yang memberi. Berilah peluang untuk orang lain berbuat kebajikan kepada
kita kerana memberi itu merupakan salah satu sunnah yang amat digalakkan.
Usahlah dilihat dan dihitung
berapa nilainya kerana bukan kita yang berhak menilainya. Biarpun rasa berat
namun raikanlah nilai ukhuwah yang ada di sebaliknya. Lumrah hidup berukhuwah,
adakalanya kita memberi, adakalanya kita diberi. Ada ketikanya kita menghargai,
ada ketikanya kita dihargai. Ada waktunya kita membantu, ada waktunya kita
dibantu. Justeru, begitulah keindahan yang wujud dalam ukhuwah kita. Ya, dengan
adanya sebuah perkongsian.
Maka bersyukurlah kepada Allah
yang memberikan kita rezeki-Nya sekalipun tanpa usaha kita. Biarpun kita tidak
pernah meminta dan berhajat kepadanya. Justeru, percayalah bahawa rezeki Allah
itu sangatlah luas dan ianya datang dari pelbagai sumber yang sukar untuk
dijangka. Kerana rezeki itu adalah dalam rahsia Allah Yang Maha Kaya. Dia telah
menentukan kadarnya untuk setiap makhluk-Nya.
Raikanlah ukhuwah dengan cara
kita masing-masing. Agar dengannya dapat mewujudkan kemesraan dan kasih sayang
yang berpanjangan. Justeru, membina ukhuwah itu amat mudah. Dengan hanya
menyebarkan salam, kita dapat mewujudkan suasana ukhuwah. Namun untuk
menjadikan ukhuwah itu lebih berharga bukanlah semudah membina ukhuwah. Untuk
itu, ia memerlukan pengorbanan dan komitmen yang berterusan.
Binalah ukhuwah dan hargailah
ukhuwah. Ianya terlalu indah jika kita berusaha mengindahkannya. Dari ukhuwah
yang biasa-biasa mampu menjadi luar biasa. Erat dan akrab, kita sendiri yang
mencetuskannya. Kita mampu melihat dan lebih penting daripada itu, kita mampu
merasakannya. Justeru, kita yang mencorak ukhuwah kita, jadi rasanya lebih
indah jika kita yang mewarnainya. Jadi, warnailah dengan warna-warni yang penuh
ceria agar kita beroleh bahagia.
Secicip rezeki kita, Allah jua
yang memberinya!..
Saturday, March 30, 2013
Monday, March 18, 2013
Tuesday, February 12, 2013
Ungkapan biasa; hikmahnya tetap ada..
“Belajar
rajin-rajin. Jangan putus asa.”
“Ngaji molek tuh. Usaha betul-betul. Buat yang terbaik.”
Antara ungkapan yang pernah hadir
dalam hidup insan ini suatu ketika. Mungkin biasa kita dengar ungkapan ini atau seumpamanya.
Biasa yang membiasakan jiwa. Hingga tawar dirasa kerana telah lali terbiasa. Sebenarnya
pada insan ini, ungkapan begini merupakan kata-kata yang luar biasa. Besar
pengaruhnya buat jiwa. Bukan mudah ianya hadir menyapa dalam hidup ini terutamanya daripada ibu bapa, saudara-mara mahupun teman-teman insan ini. Namun,
bicara ini seringkali terungkap dari bibir seorang guru. Benar bukan?
Guru. Ya, mereka lebih memahami
potensi diri kita. Mereka lebih tahu kemampuan dan kebolehan kita sekalipun
kita sendiri masih belum atau tidak menyedarinya. Guru kita sering melihat kita
dengan penuh harapan. Agar kita, insan yang mereka didik suatu hari nanti akan
menjadi insan yang berjaya. Jika tidak pun, jadi insan yang berguna.
Seringkali pesanan atau nasihat
begini dirasakan biasa. Namun di sebalik kebiasaannya, ia mampu menguatkan
jiwa. Tatkala kita seringkali berputus asa. Rasa lemah tidak bermaya
mengharungi perjuangan kita. Kadang-kadang hadirnya kembali menyuburkan
semangat yang kian padam dan suram. Seakan masih ada yang berharap dan ingin
melihat kita berjaya.
Insan ini belajar dari kata-kata yang
dianggap ‘biasa’ ini. Sejak zaman persekolahan hingga ke detik ini, insan ini
meneroka dan meneliti bicara ‘biasa’ ini. Ya, besar makna dan pengaruhnya pada
diri ini. Meniti kejayaan demi kejayaan sering bertemankan kata-kata sebegini.
Dari lisan para murabbi yang tidak jemu menyuntik kata-kata semangat. Begitulah
ungkapan rasa berunsur pesanan yang penuh harapan daripada mereka. Sekalipun pada anak didiknya,
ianya mungkin ungkapan biasa sahaja. Sesekali ianya hadir daripada ashab
seperjuangan dan saudara-mara. Namun, gurulah yang paling banyak menuturkannya.
Insan ini ingin sekali menjadi
seorang yang tidak jemu meluahkan bicara ini. Insan ini merasai kepentingannya
buat diri dan buat sesiapa sahaja bergelar insan. Betapa besarnya kuasa
kata-kata, sekalipun hanya biasa namun tetap amat berharga. Berharga buat hati
dan berharga buat diri. Hingga dengannya mampu mengubah jiwa agar menjadi lebih
bersemangat meneruskan perjuangan dalam hidup ini. Dari kata-kata itu, ada
harapan yang menyentuh perasaan bagi mereka yang memerhati dengan hati.
Bagi yang tidak memerhati, ianya
sekadar kata-kata biasa yang telah lali di halwa telinga. Dibiarkan berlalu
sepi tanpa mengambil hikmah yang tersembunyi. Benar, hikmah kata-kata tidak
mampu dilihat dengan mata, sekalipun ianya sering singgah di cuping telinga,
tetapi ianya mampu dirasa oleh hati yang mengerti. Hati yang benar-benar ingin
berusaha memperbaiki kelemahan diri dan hati yang berusaha mencungkil potensi
diri.
Terima kasih cikgu. Juga terima
kasih buat yang pernah menyuntik semangat perjuangan dalam diri ini. Seringkali
semangat yang seakan luntur, kembali berseri mewarnai perjuangan ini bila mana hadirnya kata-kata 'biasa' begini. Hati rasa
seakan berteman dan tidak keseorangan dalam menghadapi mehnah dan tribulasi
perjuangan hidup ini. Masih ada yang menaruh harapan. Masih ada yang meletakkan
kepercayaan pada diri. Sekalipun harapan tersebut tidak semuanya mampu dipenuhi.
Adapun kepercayaan itu seringkali dimusnahi. Justeru, itu kelemahan diri yang
perlu dimuhasabah sendiri.
Betapa insan ini menyedari,
bernilainya kata-kata sebegini sekalipun ianya biasa. Mungkin bukan hanya insan
ini. Anda juga mungkin menyedarinya. Sebagai pendidik jiwa, insan ini tidak mahu menjadi insan yang
bakhil untuk merakam dan menuturkannya. Adapun dalam bentuk kalam bicara ataupun
dalam bentuk kalam bertinta. Biarlah jika ianya hanya sekadar kata-kata biasa, asalkan penuh
bermakna.
Hikmah kata-kata, biasa yang luar
biasa!
Saturday, February 9, 2013
Meheliah; namamu terus gemilang..
Gemilang namamu terus cemerlang.
Nama yang sentiasa mekar di ingatan. SMU (A) Meheliah Geting. Sekolah yang
pernah menjadi saksi sebuah perjuangan buat insan ini. Dari seorang pelajar
sehingga berkesempatan menjadi tenaga pengajar di situ. Tempat bermulanya
langkah insan ini sebagai seorang pendidik, meskipun hanya sementara sebagai
guru ganti di situ. Namun ianya memberi banyak pengalaman yang berguna buat
insan ini.
Terlalu besar dirasakan jasa
sekolah itu buat insan ini. Jasa warga pendidiknya yang begitu tabah mendidik
insan ini. Tidak mampu dibalas oleh insan ini. Kenangan di sekolah itu menjadi
sebuah nostalgia yang tersimpan utuh dalam diari kehidupan. Kenangan bersama sahabat-sahabat
seperjuangan, guru-guru, dan juga adik-adik pelajar insan ini adalah cukup
indah dan sentiasa menerpa dalam ingatan saban waktu.
Meheliah; namamu terus gemilang.
Insan ini catatkan di laman ini sebagai tanda penghargaan buat sekolah yang
telah banyak menyumbangkan bakti buat diri ini. Jasa warga pendidik yang tidak
jemu mencurahkan mutiara ilmu yang berharga sebagai bekalan berguna sepanjang
kehidupan.
Di bangku sekolah itu pernah
insan ini duduk, menimba mutiara berharga dari warga pendidik yang berjasa. Di
tanah itu juga, kaki ini pernah kembali menyumbang sedikit bakti yang tetap tidak
mampu membalas jasa sekolah itu buat diri. Sungguh, insan ini amat bertuah
kerana dapat merasai dan menikmati pengalaman dalam 2 situasi yang berbeza.
Tahniah atas kejayaan..
Cemerlang dan terus gemilang.
Mekar harum namamu dijulang. Itulah SMU (A) Meheliah Geting. Dinobatkan sekolah
bantuan kerajaan terbaik, dalam keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia 2012 baru-baru ini. Ianya merupakan sebuah pengiktirafan yang cukup membanggakan bagi
seluruh warga sekolah dan bekas pelajar yang masih dan pernah berada di situ.
Tahniah atas kejayaan ini!!!
Sekalung tahniah dan syabas juga
kepada bekas adik-adik pelajar insan ini yang telah lulus dengan cemerlang
dalam STAM 2012 terutamanya kepada Ali Zakaria Tabari Bin Mohd Nawi yang telah
memperolehi 10 MUMTAZ dalam peperiksaan tersebut. Pencapaian ini turut
mengulangi pencapaian abangnya, Hamidul Hannan Hasani yang merupakan sahabat
seperjuangan insan ini dalam STAM 2006 yang lalu di sekolah yang sama. Sejarah
si abang dicipta kembali oleh si adik. Sebagai bekas pendidik, insan ini turut
berbangga dengan kejayaan dan kecemerlangan ini. Tahniah dan syabas! Mabruk!
Cerita SMU (A) Meheliah Geting
dalam post kali ini. Sekian lama tidak mencatatnya di laman Tinta Ukhuwah ini. Dari
seorang pelajar kepada seorang tenaga pengajar. Ia sesuatu yang cukup bermakna
dalam menulis diari kehidupan. Cerita-cerita pahit manis perjalanan sebagai
seorang pelajar bersama sahabat-sahabat seperjuangan pada awal persinggahan ke
hujung perjuangan di sekolah yang tercinta itu, hatta kisah-kisah bersama
adik-adik pelajar yang pernah bersama-sama menemani hari-hari insan ini sebagai
seorang pendidik sekalipun dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama. Ianya
cukup bermakna dalam meniti ukhuwah di perjalanan dalam kehidupan. Semoga ianya
menjadi memori yang terus diingati sampai bila-bila..
Sekalung tahniah, setinggi syukur,
Alhamdulillah!
Monday, February 4, 2013
Kayakanlah hati, hidup pasti bererti..
Alhamdulillah.. Detik ke-26 disambut dengan penuh syukur. Hari ini elaun masuk lagi setelah ianya masuk pada minggu lepas untuk bulan Januari. Seakan hadiah ulangtahun pada kali ini walaupun semua itu adalah elaun semata. Berminggu-minggu mencatur kewangan dengan bajet yang entah cukup entah tidak. Bimbang juga kiranya tidak sempat menampung dengan poket yang semakin mengering dan mengecut lantaran lajunya aliran wang keluar.
Cuba untuk tidak mahu berhutang
dengan sesiapa lagi. Masih belum terdesak untuk begitu. Mengurus kewangan bukannya suatu perkara yang mudah. Jika
terlalu berjimat, bimbang dikatakan kedekut pula. Jika terlalu boros, bimbang
lari bajet pula nanti. Maklumlah hanya berbekalkan elaun untuk menyara hidup di
kepulauan borneo ini.
Terlalu banyak difikirkan dalam
menguruskan kewangan. Wang untuk keluarga di kampung juga perlu dihantar. Itu
adalah tanggungjawab. Sekalipun masih belum mampu dihantar setiap bulan namun
pasti ada juga untuk kedua orang tua. Menanti elaun masuk untuk itu. Sungguh, belum
berkesempatan untuk menabung buat diri sendiri namun tetap bersyukur kerana
Allah, masih mengurniakan nikmat-Nya untuk terus hidup di dunia ini. Sekalipun
kewangan adalah suatu keperluan namun masih ada lagi yang lebih utama daripada
itu.
Insan ini tidaklah memikirkan
sangat kewangan saat ini. Yang ada pun hanya digunakan untuk keperluan diri sendiri
sahaja. Tidak mahu melayan kehendak nafsu yang pastinya tidak puas dengan
nikmat dunia. Sekalipun sedikit, biarlah ada keberkatannya. Ya, dalam tidak
seberapa masih mampu berkongsi. Masih mampu memberi meskipun kelihatan seakan ‘sesak’
melanda diri. Namun keyakinan tetap ada dalam hati yang selalu berbisik “Rezeki
itu urusan Allah”. Justeru, Dia yang telah mengatur indah untuk setiap
hamba-Nya maka bersyukurlah kepada-Nya.
Mendidik jiwa untuk kaya hati
adalah lebih utama daripada kaya harta. Sukar untuk memiliki hati yang suci.
Hati yang tidak cenderung dengan keindahan pesona duniawi yang penuh
fatamorgana. Ianya memerlukan tarbiah dan mujahadah yang tinggi. Justeru,
sekalipun memiliki harta yang banyak juga satu kelebihan, namun terlalu ramai
yang tewas dalam ujian nikmat kekayaan material. Kaya harta yang tidak seiring
dengan kaya hati adalah kemiskinan dan kepapaan yang bersembunyi. Apa gunanya
kaya harta namun masih lagi mencuri? Apa gunanya kaya harta namun tidak diguna
untuk bekalan di akhirat nanti? Apa gunanya kaya harta jika keresahan terus
melanda jiwa?.
Justeru, tatkala ramai manusia
bercita-cita dan berlumba-lumba untuk menjadi jutawan harta dunia, marilah kita bercita-cita dan berlumba-lumba untuk menjadi jutawan hati yang lebih akrab dengan tuntutan ukhrawi. Meraih
ketenangan dalam kesederhanaan. Mensyukuri setiap nikmat yang dimiliki dan
dikurnia oleh Ilahi. Ketenangan itu lebih utama daripada memiliki kekayaan
berjuta-juta. Justeru, bersederhanalah dalam urusan kehidupan kerana itulah
sebaik-baik jalan untuk meraih kedamaian dan kebahagiaan.
Jutawan hati, inspirasi insani!
Friday, January 25, 2013
Ketika Bukan Milikmu Lagi..
Ketika Bukan
Milikmu Lagi..
Saat kau cuba berbicara;
Ketika mula asing terasa..
Mulai rindu sentuhan manja;
Pernah hadir, hambar disapa..
Ketika bukan milikmu lagi;
Saat itulah kau cuba mencari..
Kemesraan tidak tercipta lagi;
Suatu ketika tidak pernah dipeduli..
Dari bening mata yang mulai sepi;
Harapan pernah menggunung tinggi..
Saat itu tidak sedikit pun kau sedari;
Mungkin berasa semuanya telah dimiliki..
Ketika semuanya bukan milikmu lagi;
Seiring berubahnya rasa sekeping hati..
Pastinya terasa kehilangan sesuatu kini;
Pernah erat namun tidak pernah dihargai..
Ketika Bukan Milikmu Lagi..
25 Januari 2013
10.10 P.M
Tuesday, January 8, 2013
Negeri Serambi Mekah..
Negeri Serambi
Mekah
Serendah sekebun bunga..
Serambi kota yang mulia..
Semarak budaya ilmu agama..
Itulah Kelantan negeri tercinta..
Indah pekerti seorang sultan..
Dasar Islam dalam pemerintahan..
Golongan ulamak sebagai rujukan..
Al-Quran dan As-Sunnah jadi panduan..
Seorang Tok Guru berwibawa..
Dialah Menteri, dialah Murabbi..
Dikasihi dan disanjungi rakyatnya..
Memimpin negeri, kerajaannya berintegriti..
Walau di mana medan perlawanan..
Merah melimpah banjiri suasana..
The Red Warriors tanda kesatuan..
Bukti sokongan peminat yang setia..
Jika tidak mampu makan budu..
Cubalah merasa nasi kerabu..
Rakyatnya cemerlang berilmu..
Berkat asuhan para guru yang jitu..
Ke mana sahaja menuju arah..
Tidak akan sunyi mendengar loghatnya..
Ramai sudah yang merantau dan berhijrah..
Berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara..
Kelantanku negeri yang indah..
Halamannya subur dan penuh barakah..
Walau sejauh mana pun kaki melangkah..
Hati pasti rindu pada tanah tumpah darah..
Negeri Serambi Mekah
22 JULAI 2012
10.00 P.M
Sunday, January 6, 2013
Ketika cinta teruji..
“Dia
minta PUTUS...”
“Hubungan kami… TAMAT!!!”
Bersabarlah wahai teman. Sekalipun pahit terpaksa ditelan. Allah
sedang menguji dirimu. Mungkin dia bukan yang terbaik buatmu, mungkin dia mahu
menghadirkan insan yang lebih baik buatmu. Insan ini mengerti sekalipun tidak
pernah mengalami situasi sedemikian. Betapa pahitnya bila sebuah harapan dan
impian yang kita idamkan, musnah dalam sepatah kata, hancur dalam sekelip mata.
Insan ini tidak mampu berbuat apa-apa. Sayu telinga mendengarnya, pasti
berat lagi bebanan rasa di hatimu. Hanya mampu berdoa mudah-mudahan dirimu
diberi kekuatan dalam menerima kenyataan yang amat perit itu. Begitulah situasi
cinta sesama makhluk-Nya, ada pasang dan surutnya. Sekalipun kelihatan baik
pada awalnya, usah terlalu ghairah
dengan tipu dayanya. Kerana hati manusia hakikatnya sering berbolak-balik.
Mungkin belum tiba masanya buatmu untuk memiliki yang sebenar-benar cinta. Mungkin sedikit masa lagi, ia akan bertamu. Justeru, jangan terlalu
bersedih. Yakinlah bahawa bila tiba masanya nanti pasti ianya akan datang jua.
Justeru cintailah Dia dan raihlah cinta-Nya. Agar dengan mencintai-Nya, dirimu
tidak tenggelam dalam amukan cinta manusia. Jika cinta Allah s.w.t menjadi
tunjang, usahlah dibimbangi cinta sesama insan. Dialah pemilik cinta sejati. Semuanya
adalah milik-Nya.
Tanpa cinta manusia, kita tetap akan mampu bahagia. Tapi tanpa cinta
Allah, mampukah kita beroleh ketenangan jiwa? Justeru, Allah sedang berbicara
denganmu perihal cinta, perihal jodoh serta perihal-perihal selainnya. Dia yang
lebih mengetahuinya. Kita sekadar merancang, tetapi Dialah yang menentukan
segala-galanya. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Setinggi mana pun harapan dan impian kita, jika ia telah ditakdirkan
bukan milik kita, pasti akan ada rintangan yang menjelma. Itulah dugaan hidup,
ujian buat hamba-Nya. Bersabarlah dan tabahlah dalam menghadapi dugaan
tersebut. Sekalipun ada masanya kita tidak kuat, sekalipun ada ketikanya
mengundang airmata, namun jangan kita lupa bahawa Dia masih ada. Dia Maha
Mendengar, rintihan hamba-Nya. Justeru itu, mengadulah kepada-Nya.
Insan ini tidak layak berbicara tentang rasa cinta dan kasih sayang. Berbicara
tentang rasa terluka, rasa kecewa. Siapalah insan ini, terlalu mentah dengan
pengalaman rasa indah sebegitu. Namun, mustahil insan ini tidak pernah rasa
kecewa, rasa terluka sekalipun mungkin situasinya berbeza. Dari situ, insan ini
belajar, cinta itu apa yang kita sentiasa beri dengan harapan dan kehendak
kita, bukanlah bererti kita sentiasa akan menerimanya sebagaimana harapan atau
kehendak kita.
Cinta itu buta. Sekalipun kita nampak ianya bagai kisah cinta antara dua
benua, mungkin kita tidak nampak durinya yang berbisa. Kita mungkin rasa
bahagia seketika, bila ujian melanda, barulah teruji segala rasa. Lumrahnya
kita akan rasa kecewa dan terluka. Ada juga hingga mengundang airmata. Hibanya
rasa. Lebih-lebih lagi jika kita seorang yang setia, bukannya seorang ‘buaya’. Kita
dihambat rasa duka, saratnya membeban jiwa.
Justeru, bersabarlah dan kembalilah bercinta dengan-Nya. Mungkin cinta
itu telah lama terpinggir. Ujian cinta itu, untuk kita semakin hampir, semakin akrab
dengan pemilik segala cinta. Ujian rasa itu, jika ianya melanda tetap ada hikmahnya
yang sebenar-benar berpihak kepada kita jika kita sabar menelitinya. Allah tidak
pernah melupakan hamba-Nya tetapi kitalah yang seringkali melupakan-Nya.
Semoga Allah sentiasa merahmatimu dan melindungimu wahai teman..
Ketika cinta teruji, pasrahlah dengan ketentuan Ilahi!
Labels:
Bicara,
Coretan Biasa,
Lain-lain,
Mawaddah,
Motivasi
Friday, January 4, 2013
Tuesday, January 1, 2013
Lafazkan Kasih Sayang
Lafazkan Kasih Sayang
Kerana wujudnya sayang;
Ku menghargai ikatan..
Dalam waktu yang panjang;
Ku buru kemanisan iman..
Hati mendamba tenang;
Ku hulur penuh ketulusan..
Hidup perlu berjuang;
Ku damba kemenangan..
Kita hanya merancang;
Allah menentukan keputusan..
Moga ujian yang datang;
Hati dipandu keimanan..
Nilai sebuah kasih sayang;
Berkorban demi sebuah persaudaraan..
Hikmah pasti datang;
Mengiringi sebuah perjalanan..
Saat melafaz sayang;
Ku mohon keredhaan Tuhan..
Mendung pasti terang;
Bila mentari menampakkan sinaran..
Bernilainya kasih sayang;
Menyemai ukhuwah berpanjangan..
Dalam kalam ku dendang;
“Ana uhibbuka ya akhi fi Islam wa Iman”..
Lafazkan Kasih Sayang
26 Disember 2012
6.50 A.M
Subscribe to:
Posts (Atom)