Hampir empat bulan menimba pengalaman sebagai guru ganti di SMU (A)
Meheliah Geting. Tiada siapa menduga, diri ini akan kembali ke Meheliah bagi
menyumbang bakti kepada adik-adik pelajar di sana. Selepas beberapa tahun meninggalkan
Meheliah bagi menyambung pengajian peringkat ijazah di bumi UKM. Kembali ke
Meheliah menimba pengalaman yang amat berharga sebagai seorang pendidik.
Berada dalam kelompok
pendidik yang rata-rata dalam kalangan mereka adalah bekas guru sendiri semestinya
diri ini sebenarnya berasa janggal dengan tugas ini. Namun begitu, amanah yang
diberikan ini perlu digalas dengan sebaik mungkin. Hanya sekadar yang termampu
dari insan yang tidak mempuyai pengalaman mendidik kerana bukan berasal dari
bidang pendidikan. Alhamdulillah dengan sokongan teman-teman, guru-guru serta
pelajar-pelajar dapatlah diri ini belajar menjadi seorang pendidik.
Jika suatu ketika dulu.
Diri ini belajar menjadi seorang pelajar, namun kini status itu berubah sebagai
seorang pengajar. Sebenarnya diri ini terasa kekok dengan suasana di Meheliah
apabila ramai dalam kalangan pelajar sendiri sedia mengenali diri ini. Mana
tidaknya, mengajar di sekolah sendiri lebih-lebih lagi berada di kampung sendiri.
Malahan perbezaan umur dengan pelajar-pelajar juga tidaklah terlalu jauh. Batch
terakhir di Meheliah ketika ini adalah pelajar Tingkatan 1 semasa diri ini masih
menjadi pelajar senior di Meheliah.
Terasa amat bertuah
kerana berpeluang menjadi pendidik kepada adik-adik di Meheliah. Sebenarnya
berada di Meheliah membuatkan diri ini banyak mengimbau kenangan zaman
persekolahan dahulu. Ianya amat indah untuk dikenang. Biarlah ianya menjadi
sebuah memori yang terus segar diingatan. Memori sebuah perjuangan dan
persahabatan. Di situlah diri ini berjuang siang dan malam menimba ilmu dan
memburu kejayaan.
Pengalaman dalam bilik
darjah semasa mengajar semestinya tidak dapat dilupakan oleh diri ini. Pada
permulaannya tidak dinafikan ada perasaan gugup dalam diri ini namun
Alhamdulillah, lama-kelamaan perasaan itu hilang dengan sendirinya. Mungkin
kerana ketidakbiasaan pada awalnya menyebabkan keadaan itu berlaku. Namun
apabila sudah biasa menjadikan perkara itu biasa. Dengan berbekalkan ilmu yang
ditimba selama ini, Alhamdulillah dapat dikongsi bersama adik-adik pelajar di
sana. Biarpun hakikatnya masih banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki,
namun diri ini teruja kerana diberi peluang mengajar di sekolah tercinta.
Dua bulan pertama,
mengajar subjek Tauhid & Mantiq, Pendidikan Islam Tingkatan 2 serta
Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah dan dua bulan berikutnya mengajar subjek
Hadis wa Mustolah, Pendidikan Syariah Islamiah dan subjek sejarah Tingkatan 1.
Sepastinya setiap satu mengundang pengalaman berbeza. Selain itu berkesempatan
juga menyemak kertas peperiksaan percubaan STAM dan SPM. Itulah pengalaman
menjadi seorang guru. Biarpun penat tapi tetap relax.
Selain itu, pengalaman
menyemak kertas Peperiksaan memang banyak menguji kesabaran diri ini. Tugas
yang memang memenatkan dan juga memeningkan. Bayangkan ditugaskan menyemak
kertas peperiksaan percubaan pelajar-pelajar STAM sebanyak 2 buah kelas lebih
kurang seramai 60 orang pelajar. Manakala pelajar SPM sebanyak 4 buah kelas
lebih kurang seramai 120 orang pelajar dan sejarah seramai 40 orang pelajar
Tingkatan 1. Tugas yang amat memerlukan kesabaran dan fokus serta komitmen bagi
menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan. Lebih-lebih lagi apabila menyemak
kertas 2 subjek Pendidikan Syariah Islamiah SPM dengan pelbagai jenis tulisan
yang memeningkan.
Selayaknya insan ini mengakui
bahawa bukan mudah menjadi seorang pendidik. Dengan pelbagai karenah pelajar
yang rata-rata semakin merosot nilai akhlaknya pada masa kini. Justeru,
kesabaran, keikhlasan serta doa perlu seiring bagi memastikan kecemerlangan
akademik dapat diselarikan dengan kemantapan akhlak yang mahmudah bagi
melahirkan pelajar-pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademiknya tetapi
tinggi pula nilai akhlaknya.
Diri ini berundur
sekembalinya guru asalnya. Alhamdulillah.. Pengalaman itu amat berharga.
Selebihnya ukhuwah dan persahabatan turut berputik. Antara diri ini dengan
warga pendidik dan antara diri ini dengan adik-adik Meheliah.. Generasi pertama
yang menemani sesi pengajaranku. Terima kasih semua atas sokongan dan kerjasama
serta perhatian yang diberikan sepanjang diri ini belajar menjadi seorang
pendidik.
Diri ini mendoakan agar
pelajar-pelajar sekalian berjaya dalam peperiksaan masing-masing seterusnya
berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Teruskanlah usaha kalian dalam
menghadapi ujian hidup ini mudah-mudahan kalian menjadi insan gemilang yang
akan mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara. Coretan ini menjadi
saksi bahawa kita pernah bersama mengharungi perjalanan hidup ini biarpun hanya
seketika tetapi ianya akan menjadi kenangan selama-lamanya.
Terima Kasih semua!!!
No comments:
Post a Comment