Menyingkap sebuah nostalgia. Mengungkap memori perjuangan. Sepanjang
perjalanan hidup sebagai pelajar di SMU (A) Meheliah Geting. Kenangan yang
kekal dalam ingatan sepanjang kehidupan. Di situ terbinanya ukhuwah dan
terjalinnya persahabatan semasa berjuang di bumi Meheliah.
Alhamdulillah, 27 Oktober 2011 melakar sejarah. Berkesempatan melaluinya
sekali lagi bersama-sama adik-adik pelajar SPM 2011 di Meheliah. Meskipun keadaannya
kini berbeza. Hakikatnya, detik itu bukanlah sejarah buat diri ini sebaliknya
hari buat adik-adik pelajar SPM 2011. Mencipta satu daripada jutaan kenangan
sepanjang perjuangan menuntut ilmu di bumi Meheliah yang tercinta.
Sekian lama mereka berada di bumbung yang sama. Hari itu bagai detik
perpisahan buat mereka. Mungkin itulah majlis terakhir bagi mereka meraikannya
bersama-sama. Selepas berakhirnya peperiksaan SPM nanti, sepastinya mereka akan
membawa haluan masing-masing. Mungkin sebahagian akan ke institusi pengajian
tinggi, sebahagian lagi akan meneruskan perjuangan di bumi Meheliah untuk terus
menimba ilmu di Tingkatan 6 Bawah dan sebahagian yang lain entah ke mana hala
tuju mereka. Semestinya akan terus mencari pengalaman dan memulakan perjuangan
hidup yang baru.
Inilah lumrah kehidupan. Setiap pertemuan akan disusuli perpisahan. Lima
tahun adalah satu tempoh yang lama. Tempoh berkenalan, tempoh persahabatan. Bersama
menempuh asam garam dalam perjuangan menimba mutiara ilmu pengetahuan. Menelan
pahit dan manis dalam mencipta kenangan zaman persekolahan. Biarpun hakikatnya
persahabatan itu tidak bertempoh. Selama-lamanya mungkin. Selagi hayat di
kandung badan. Di dunia hingga akhirat sana. Insya-Allah.
Pagi itu, bermula dengan solat hajat bersama para pelajar, ibu bapa dan
warga pendidik Meheliah. Bermunajat memohon taufik dan hidayah daripada Allah
s.w.t agar dipermudahkan segala urusan para pelajar ketika menghadapi
peperiksaan tidak lama lagi. Mudah-mudahan segala ilmu yang dipelajari dan
ditimba selama ini akan diberkati oleh Allah s.w.t serta menjadi panduan dalam
meneruskan kehidupan ini. Agar dalam usaha dan amalan ada keberkatan dalam
memburu kejayaan.
Selepas ibu bapa bersurai, majlis Restu Ilmu Pelajar SPM 2011 dimulakan
dengan bacaan al-Quran al-Karim. Seterusnya, ucapan wakil pelajar Tingkatan 5
memohon restu daripada warga pendidik terhadap ilmu yang dicurahkan selama ini.
Selepas itu disusuli dengan ucapan para guru buat anak-anak didik sebagai
amanat terakhir sebelum mereka berjuang di dalam dewan peperiksaan.
Kemudiannya, majlis diteruskan dengan ucapan Penolong Kanan 1, al-Fadhil Ustaz
Ibrahim Din, selaku wakil bagi pihak Tuan Mudir yang tidak berkesempatan pada
hari tersebut sekaligus merasmikan Majlis Restu Ilmu Pelajar SPM 2011. Acara
diteruskan lagi dengan tayangan multimedia oleh AJK Pelaksana Program. Selepas
itu, acara menyuap pulut semangat kepada para pelajar pula berlangsung.
Suasana pilu dan sebak mula terasa semasa majlis bersalaman dengan warga
guru. Diiringi dengan alunan nasyid yang amat menyentuh perasaan saat itu. Airmata
adik-adik pelajar bergenang dan mengalir mencurah rasa. Ada sesuatu yang menyelubungi
hati dan perasaan mereka saat itu. Tiada yang mampu mengungkap erti airmata
yang mengalir saat itu. Mungkin kesedihan, mungkin terharu, mungkin keinsafan
atau lain-lain lagi. Hanya mereka yang lebih mengerti dan memahami perasaan
mereka saat itu. Saling berpelukan antara para pelajar dan guru. Seerat ikatan
ukhuwah yang terjalin selama ini. Di samping kata-kata terakhir sebagai amanat
kepada mereka dalam pelukan dan tangisan. Kedengaran esak tangis adik-adik
pelajar, sepastinya menyentuh dan meruntun kalbu.
Sejujurnya, ana turut terharu. Biarpun airmata ini tidak mengalir tetapi
hati ini turut merintih hiba. Sedih dan pilu amat terasa saat bersalaman dan
berpelukan dengan mereka. Ana hanya mampu menahan sebak di dada. Biarpun hanya
seketika bersama mereka, namun mereka tetap sebahagian daripada hidup ini.
Mereka adalah adik-adik pelajar generasi pertama insan ini yang pastinya akan
tersemat utuh di hati ini. Hari-hari bersama mereka menjadi kenangan yang tidak
mungkin dilupakan diri ini. Mereka adalah pelajar, juga sebagai adik dan teman
bagi insan ini. Terasa amat bertuah diberi peluang untuk mengenali mereka.
Seandainya tidak menjadi guru ganti di Meheliah, ukhuwah ini tidak mungkin
terjalin. Jika ada pun mungkin hanya yang sedia dikenali insan ini. Alhamdulillah,
syukur pada-Mu ya Rabbi atas pertemuan ini!!!
Majlis diteruskan lagi dengan acara wida’, bersalaman tanda
perpisahan yang bakal terjadi sesama pelajar. Iringan alunan nasyid berjudul “Doa
Perpisahan” dan “Nostalgia” turut mengharukan lagi suasana. Salam
kemaafan dan salam perjuangan. Mereka berpelukan sesama mereka. Seerat ukhuwah
sepanjang perjuangan. Mungkin buat kali terakhir sebelum kaki melangkah pergi
meninggalkan Meheliah dengan membawa kenangan masing-masing. Kenangan zaman
remaja yang penuh dengan watak kenakalan, pemberontakan jiwa dan impian memburu
kejayaan. Semoga perpisahan ini tidak menjadi noktah pada sebuah ikatan
persahabatan. Biar di mana pun berada, namun akan terus bersahabat. Bersahabat
kerana Allah tidak mengenal jauh dan dekat, batasan usia dan perbezaan bangsa
kerana bersatu pada agama, kita bersaudara seiring dengan tuntutan keimanan.
Teruslah berhubung biarpun tidak lagi sebumbung. Ukhuwah fillah!!!
Ana meratib setiap bait alunan nasyid tersebut. Seakan mengimbau
kenangan semalam. Kesedihan menyelubungi jiwa. Setiap patah mengundang sejuta
makna. Pertemuan dan perpisahan. Memori yang tidak mungkin dilupakan bersama
sahabat-sahabat seperjuangan suatu ketika dahulu. Alhamdulillah, ukhuwah antara
kami terus subur biarpun kami sering sibuk dengan komitmen masing-masing. Namun
itu bukan alasan me‘lupa’kan persahabatan ini. Dengan pelbagai aktiviti
bersama saat ada kelapangan masa, kami bersatu mengusahakannya. Reunion adalah
antara cara menyuburkan kembali persahabatan kami. Bertemu biarpun hanya
seketika dengan mengadakan BBQ, perlawanan futsal atau berkumpul pada hari raya,
tetapi ia tetap memberi makna kepada ukhuwah kami. Itulah reunion kami!!!
Nostalgia zaman persekolahan adalah antara yang terindah. Tidak lagi
tercipta selepas itu. Biarpun diri ini sudah berkelana jauh. Namun kenangan
zaman persekolahan tetap segar di ingatan. Terpahat kukuh dalam lipatan sejarah
hidup ini. Itulah zaman asam garam perjuangan memburu ilmu dan kejayaan. Menelan
pahit manis dalam meniti ukhuwah persahabatan. Antara diri dengan
sahabat-sahabat tercinta dan juga ukhuwah bersama warga pendidik yang banyak
berjasa. Semuanya kini tidak mungkin lagi dapat bersatu di bawah bumbung yang
sama. Memori yang mengundang suasana berbeza yang pastinya akan terus dikenang
dan dirindui kerana masing-masing pergi membawa haluan diri bagi meneruskan
perjuangan hidup dalam usaha mencari keredhaan Allah s.w.t.
Namun tidak dinafikan akan wujud mereka yang cuba mengelak diri dari
bertemu muka dengan teman-teman lama. Mungkin kerana timbul perasaan malu dan
segan untuk berjumpa atau mungkin disebabkan mereka kurang berjaya berbanding
dengan teman-temannya itu. Bila bertemu, terasa biasa hingga tiada bicara
biarpun sepatah kata. Tidak seerat ukhuwah saat bersama-sama seperti dahulu
yang sarat dengan memori bergurau senda. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang
bermaksud: “Jangan kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria” (Hadis riwayat Muslim).
Justeru, tunjukkan wajah yang bahagia walau di mana pun kita berjumpa. Tegurlah
teman-teman walau siapa pun kita. Ingatlah kejayaan itu bukan penyebab
menjadikan kita sombong dan lupa diri dan kegagalan itu bukan penyebab kita
terus merendah dan menjauhkan diri. Semuanya itu ketentuan ilahi. Dalam satu
hadis riwayat Abu Daud, Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Tidak ada
dua orang Muslim yang berjumpa lalu berjabat tangan melainkan kedua-duanya
diampunkan dosa mereka sebelum berpisah.”
Majlis diakhiri dengan jamuan makan. Barisan pendidik dijamu terlebih
dahulu. Selepas selesai barulah giliran adik-adik pelajar semuanya. Menu jamuan
ialah Nasi Ayam. Amat menyelerakan dan mengenyangkan. Terima kasih semuanya
atas jamuan pada hari itu dan tidak lupa juga atas cenderamata yang diberi.
Bukan itu sebenarnya yang warga pendidik hasratkan. Kejayaan kalian yang mereka
impikan. Lebih daripada itu, mereka mengimpikan kalian menjadi insan yang
berakhlak mulia disamping mampu menyumbang jasa dan bakti kepada agama, bangsa
dan negara. Sebagai delegasi pewaris dakwah para Nabi!!!
Laman tinta ukhuwah ini merakamkan kembali Majlis Restu Ilmu Pelajar SPM
2011 sebagai kenangan buat insan ini dan buat semua yang terlibat dalam
menjayakan majlis tersebut. Juga sebagai tanda ukhuwah yang terbina antara diri
ini dengan adik-adik pelajar SPM 2011 dan warga Meheliah seluruhnya serta
sebagai tanda penghargaan daripada insan ini buat semua warga Meheliah,
terutamanya buat adik-adik pelajar generasi pertama insan ini. Biarlah ianya
menjadi kenangan kita bersama yang tercatat di laman ini dan terpahat utuh di
sanubari.
Buat adik-adik semuanya, ana mengucapkan selamat berjuang menghadapi
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2011. Semoga Allah s.w.t mempermudahkan
segala urusan kalian dalam usaha memburu kejayaan. Selamat berjuang dan selamat
berjaya dalam SPM seterusnya berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.
Semoga ikatan ukhuwah yang terbina suatu ketika akan terus berkekalan ke
akhirnya. Terima kasih atas segala-galanya. Terima kasih atas sokongan dan
perhatian yang diberikan selama ini. Juga kemaafan dipohon sepanjang perjalanan
bersama jika ada terguris rasa, tersalah bicara, tersilap dalam pergaulan dan
sebarang ketidak puasan hati kalian terhadap insan ini. Ana memanjat kesyukuran
terhadap pertemuan dan ukhuwah yang terjalin ini. Semua yang pernah ana berikan
sekadar yang termampu dari diri yang tidak berpengalaman dalam usaha mencari
pengalaman. Pada ana, tiada apa-apa buat kalian, hanya doa yang akan terus mengiringi perjuangan kalian.
Teruskan perjuangan dan teruslah berkorban agar kalian berjaya dalam mengejar
cita-cita dan menjadi insan yang berguna kepada umat ini. Wallahua’lam.
Terima kasih semua!!!