Thursday, August 13, 2009

Membantu Sekadar Termampu...


Ana bukannya hebat. Sekadar membantu kawan-kawan yang memerlukan pertolongan diri ini. Bila ada yang memerlukan insya-Allah, akan cuba membantu. Tapi tengoklah keadaan juga, kalau tidak terlalu sibuk insya-Allah dapatlah ana membantu.


Bukan mudah untuk mentranslate bahasa kepada bahasa yang lain sebenarnya. Tapi hanyalah sekadar yang termampu dengan ilmu yang sedikit ini. Insya-Allah membantu kepada yang meminta. Biarpun sedikit. Sebagai kawan, perkara biasalah dalam berkongsi ilmu. Usah malu, usahlah segan. Ana juga masih belajar.


Di samping menguji kecekapan penulisan diri ini, ia juga membantu diri ini memenuhi waktu lapang. Dari terbiar kosong dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Sekurang-kurangnya memberi ‘kerja’ kepada diri ini. Tidak mengapa. Terima kasih diucapkan kerana sudi bertanya pada diri yang serba kekurangan ini. Menarik minat diri ini untuk membuka kamus mencari kalimah yang tidak diketahui dan diragui ketepatannya dari minda ini.


Biarpun seringkali bertemu dengan kalimah yang mudah tapi kadang-kadang diri ini lupa. Ragu-ragu. Ya atau tidak. Tidak yakin. Sekurang-kurangnya dengan membuka kembali kamus dapatlah meningkatkan keyakinan terhadap makna sesuatu kalimah dan menyegarkan kembali ingatan. Maaflah jika ada kekurangan. Sekadar yang mampu disumbangkan. Biarpun tidak memuaskan. Maaf atas kekurangan diri ini.


Saat kawan-kawan bertanya, ana menjawab sekadar yang ana tahu. Sekadar mana yang dipelajari dan mampu dijawab. Sekadar yang diingat. Jika tidak mampu, ana cuba rujuk kepada yang pakar. Kerana ana ini pelajar biasa. Yang masih lagi belajar. Membaiki kekurangan diri. Semakin tinggi belajar, semakin banyak benda yang ana tidak tahu. Terasa ilmu di dada ini terlalu kurang. Bukan bererti ana belajar tinggi-tinggi, semuanya ana tahu. Tetapi masih perlu banyak belajar untuk menambahkan ilmu pengetahuan.


Seronok bila ada kawan-kawan bertanya tentang ilmu. Biarpun tidak mengetahui jawapannya. Sekurang-kurangnya bolehlah diri ini mencari jawapan. Walau kadang-kadang tidak ditemui jawapannya. Jadilah, asalkan ada usaha dan ikhtiar. Tidak dapat apa yang diinginkan pun tidak mengapa kerana mungkin menemui perkara-perkara lain. Itukan ilmu juga. Daripada tidak tahu kepada tahu. Biarpun sedikit tapi bolehlah mengisi kejahilan diri ini dengan cahaya ilmu. Kerana tidak ada sesiapa pun yang dapat mengubah diri ini kecuali diri ini yang kena berubah. Semestinya perubahan itu dari diri sendiri. Dan ia bukannya secara drastik. Beransur-ansurlah. Kerana perubahan itu memerlukan pentarbiahan jiwa.


Jangan malu untuk berubah untuk kebaikan diri. Tanamkan keazaman dalam diri agar istiqamah dalam perjuangan. Demi perubahan. Demi kebaikan. Orang yang takut untuk berubah tidak akan mendapat keuntungan. Kerana keuntungan itu milik mereka yang sanggup berubah. Jangan hiraukan persepsi orang lain terhadap diri anda. Mereka bukannya yang terbaik. Anda adalah anda. Maka, jadilah diri anda...



Wednesday, August 12, 2009

Asyik Meeting Saja...

“Meeting!!! Meeting!!! Meeting!!!” itulah antara keluhan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia. Banyak tafsiran pelajar tentang UKM. Antara yang paling masyhurnya adalah Universiti Kuat Meeting. Hahaha..


Ana pun tidak terlepas daripada kesannya. Nak kata mengarut pun, ada juga kebenarannya. Kerana diri ini sendiri yang melaluinya. Tengah hari esok, ada meeting dengan Kelab Debat FPI untuk Liga Piala Dekan Debat Bahasa Arab. Sebelah petang pula, meeting dengan Kelab Jabatan pula. Mujurlah dua kali saja meeting esok jika hendak dibandingkan dengan teman-teman yang lain. Lagi banyak rasanya. Setiap hari meeting pun ada.


Apapun meeting tetap meeting. Belajar tetap belajar. Kelas tetap kena masuk. Jika meeting itu clash dengan kelas. Lebih rela ana memilih untuk ke kelas kerana memikirkan keutamaan dan tanggungjawab.


Maka di sini, pengurusan masa itu adalah amat penting. Agar tidak terlalu leka dengan kerja-kerja berpersatuan hingga mengabaikan pelajaran. Maka mesti mengenal pasti aktiviti-aktiviti agar tidak terlalu mengganggu masa belajar. Masa belajar kita belajar. Masa berprogram kita berprogram.


Berprogramlah bagi mengisi masa lapang. Isilah masa dengan aktiviti-aktiviti yang membangun jiwa. Menguji fizikal dan minda. Dan aktiviti yang boleh membina semangat baru. Realiti hari ini, masa belajar di universiti pun berapa jam sangatlah dalam seminggu. Bergantung kepada jumlah kredit masa yang diambil. Kalau di awal tahun pengajian dulu tu mungkinlah sibuk sedikit. Tapi alhamdulillah di tahun akhir ini tiadalah banyak sangat. Terasa ringan sikit. Sebab itulah ana berkesempatan menulis blog ini. Sekadar mengisi masa lapang di samping banyak mengajar ana supaya lebih peka terhadap ilmu. Alhamdulillah dengan menulis blog ini membuatkan ana lebih banyak membaca dan meneliti ilmu serta menghargainya.


Sudah lama juga tidak menulis menjadi faktor minda ini bagai membeku. Tidak banyak berfikir tentang ilmu. Terasa rugi pun ada. Masa banyak dibuang begitu sahaja. Berbeza dengan zaman sekolah dahulu. Maka, inisiatif blog ini sekurang-kurangnya dapat membantu diri ini. Apapun pandangan teman-teman, percayalah bahawa ana mempunyai pandangan ana sendiri.


Sebenarnya, ana masih mencari idea untuk dimuatkan dalam blog ini. Maklumlah proses pembelajaran memang memakan masa. Tipulah kalau tiada usaha sedikitpun seseorang itu boleh berjaya. Melalui pengalaman ana sendiri pun, ana pun berusaha untuk berjaya. Kena bersungguh-sungguh. Kena ada keyakinan. Kena ada semangat. Kerana bukan mudah untuk berjaya, dan bukan payah untuk gagal. Jangan mengharapkan bulan jatuh ke riba. Bulan tu tak jatuh pun! Yang jatuh kebanyakannya yang mengharap, rasanya itulah yang paling awal jatuh.


Saja menulis sekadar mengisi sebelum mendapat idea-idea baru. Tengah berusaha. Insya-Allah, ada rezeki nanti datanglah idea tu. Bila masanya, itulah yang kita tidak tahu. Tapi Allah jualah yang Maha Mengetahui.


Maaf bahasa tidak rasmi. Hmm...



Saturday, August 8, 2009

Sekadar Coretan Biasa...

Sudah hampir dua minggu rasanya ana tidak meng“update” blog ini. Kesibukan waktu menyebabkan ana tidak berkesempatan untuk mencatit post-post yang terbaru untuk tatapan teman-teman.


Minda ini banyak memikirkan urusan pengajian di sini. Di tambah lagi dengan urusan-urusan persatuan kelab jabatan menyebabkan diri ini sedikit penat di samping keadaan kesihatan yang tidak menentu menyebabkan diri ini terasa berat sedikit untuk menaip post yang baru.


Baru sahaja habis menyelesaikan program Interaksi dengan pelajar baru jabatan minggu lepas, semalam sudah dipanggil oleh sahabat dari Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam bagi membantunya dalam gerak kerja program Operasi Khidmat Masyarakat yang akan di adakan insya-Allah selepas hari raya nanti. Ditakhlifkan buat kali kedua sebagai AJK Protokol bagi program OPKIM PMFPI ini.


Biasalah apabila bergelar mahasiswa bukan tugasnya belajar semata-mata bahkan perlu mengikuti aktiviti persatuan bagi menimba pengalaman dalam gerak kerja khususnya. Apapun belajar itu penting walaupun sedikit tapi tetap perlu mencuba bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan menimba sebanyak mungkin pengalaman. Seronok sebenarnya bekerjasama dalam gerak kerja berpersatuan di sini. Jalinan ukhuwah dapat dieratkan.


Bukanlah ana mahu memanjangkan bicara dalam post ini. Tapi sekadar mengisi ruang waktu lapang yang sedikit ini. Biarpun menganggu sejenak waktu rehat, tapi tidak mengapa rasanya. Sekadar ingin mengisi blog yang tidak ter“update” ini. Sesekali teringat pada teman-teman. Apa khabar teman-teman sekarang ini. Jauh diri ini termenung mengingati teman-teman. Mungkin kalian sedang sibuk dengan urusan pengajian masing-masing. Entahlah mengapa diri ini semakin berat untuk menaip mesej bagi bertanya khabar kepada sahabat-sahabat. Mungkin rasanya tidaklah berapa penting. Rasa malas menganggu pun ada. Bimbang menganggu komitmen teman-teman. Biarkanlah...


Sebelum terlupa, rasanya belum terlambat mengucapkan tahniah kepada teman-teman dan adik-adik dari Meheliah yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam mahupun Swasta. Semoga dengan kejayaan yang dicapai itu menjadi pendorong bagi kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang. Pesanan ana adalah agar teman-teman dapat belajar dengan bersungguh-sungguh dalam bidang pengajian masing-masing dan belajarlah menjalani kehidupan sebagai mahasiswa dengan sebaik yang mungkin. Ana akan sentiasa mendoakan kejayaan teman-teman agar mendapat kejayaan yang cemerlang dan mampu berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.


Apapun segala aturan hidup ini telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Kita hanya mampu berusaha dan Allah s.w.t jualah yang menentukan segala-galanya. Redhalah walau di mana pun kita berada. Kerana pasti ada hikmah setiap perkara yang ditentukan oleh Allah s.w.t dan ingatlah kita hanya mampu merancang, berimpian dan berusaha tetapi Allah s.w.t jualah sebaik-baik perancang dan Dialah yang lebih mengetahui kebaikan buat setiap hamba-Nya…



Wednesday, July 29, 2009

..:Segalanya Berubah:..

Segaris luka kau guriskan

Sembilu bisa menusuk tajam

Mengundang derita berpanjangan

Tidak tertahan bertubi serangan


Semanis madu aku taburkan

Sepahit hempedu kau curahkan

Tawar hati suram kehidupan

Tiada erti dalam pandangan


Ingin sekali jauh ku berlalu

Meninggalkan sepi memoriku

Tiada guna dalam ingatan

Kosong tanpa hiasan keriangan


Bunga tidak selalu mekar

Tanpa taburan baja penyegar

Tanpa siraman yang mencurah

Tanpa cahaya yang memancar


Kelopaknya akan terus layu

Tidak lagi seindah ratu

Wanginya tidak semerbak dulu

Semakin rapuh menunggu waktu


Begitu sukar mengayuh perahu

Melawan arus mudik ke hulu

Betapa besar bebanan di bahu

Dikerah segala keringat yang padu


Cukuplah masa yang lalu

Melukis sayu kehidupan pilu

Tidak akan bererti semua itu

Tanpa satu pengertian jitu


Hari ini berubah segala

Yang mendung mulai hujan

Yang manis sudah tiada

Hanya yang ada bisu segala





Segalanya Berubah

29 Julai 2009

7.30 A.M

Tuesday, July 28, 2009

Berjalanlah di atas muka bumi ini...



Kepenatan perjalanan masih lagi terasa. Perjalanan dari Pulau Pinang ke Universiti Kebangsaan Malaysia selepas mengikuti program Lambaian Tautan Kasih Kenari 2 di Universiti Sains Malaysia anjuran Persatuan Kebajikan Mahasiswa Kedah. Mungkin perubahan suasana menjadi mata ini masih belum stabil.

Entah apa yang hendak dicoretkan dalam post ini. Kepala ini terasa amat berat sekali. Ingin sekali memejamkan mata untuk sekian waktu tapi terasa bagai ada tugasan yang perlu dilakukan oleh diri ini.

Jalan-jalan menikmati keindahan alam ciptaan Allah s.w.t ini. Memikirkan kehebatan dan kebesaran Yang Maha Berkuasa melalui ciptaan-Nya yang tersergam indah di bumi Malaysia ini. Bersyukur ke hadrat Ilahi atas segala nikmat kurniaan-Nya. Walau di mana pun kita berada maka hendaklah selalu mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t. Kerana Dialah pemilik dunia ini.

Allah s.w.t ada berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 115 yang bermaksud:

"Maka Adakah patut kamu menyangka Bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja Dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?"

Sesungguhnya ciptaan Allah s.w.t bukanlah sia-sia. Allah s.w.t menciptakan manusia untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Allah menciptakan alam untuk manusia mengambil faedah daripadanya dan bersyukur di atas nikmat kurniaan-Nya. Setiap ciptaan Allah s.w.t mempunyai hikmat-hikmatnya yang tersendiri yang patut dikaji dan diterokai oleh manusia.
Masih terdapat banyak lagi ciptaan Allah yang tidak diterokai hikmat ciptaan-Nya oleh manusia. Justeru itu, berjalan-jalanlah di atas muka bumi ini supaya dapat mengambil pengajaran dan supaya kita dapat melihat bukti kebesaran Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman dalam surah ar-Rum ayat 42 yang bermaksud:
”Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik”.

Allah s.w.t menyeru kepada kita supaya mengembara di atas muka bumi ini untuk melihat sendiri bukti-bukti kekuasaan-Nya supaya kita mengambil pengajaran dari sejarah-sejarah silam yang telah ditinggalkan orang-orang terdahulu. Bangunan-bangunan bersejarah, kesan-kesan perang, khazanah-kazanah alam dan sebagainya sepastinya menyimpan sejuta rahsia sejarah yang mampu memberikan pengajaran dan peringatan kepada kita agar kita menghargai kehidupan ini.
Justeru itu, kita mestilah mensyukuri nikmat kurniaan Allah ini supaya kita tergolong dalam golongan hamba-Nya yang bersyukur kerana nikmat kurniaan-Nya terlalu banyak dan tidak akan mampu dihitung oleh manusia sepertimana firman Allah s.w.t di dalam surah Ibrahim ayat 34 yang bermaksud:

”Dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.”

Manakala dalam surah Ibrahim juga dalam ayat 7 yang mana Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:
”dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras".
Marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran di atas nikmat Allah s.w.t yang dikurniakan kepada kita kerana janji Allah itu pasti dan Allah tidak pernah memungkiri janjinya sebagaimana firman-Nya dalam surah ar-Rum ayat 6 yang bermaksud:

”demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”.



Friday, July 24, 2009

Didiklah Jiwa Dengan Membaca…


Betapa besarnya hikmah membaca. Jika tidak mana mungkin Allah s.w.t mengutuskan Jibril a.s kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk mengajarkan nabi membaca. Dengan kalimah Iqra’ yang merupakan satu perintah yang memerintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya membaca sebagaimana wahyu yang pertama diturunkan kepada baginda s.a.w ketika berkhalwat di Gua Hira’ sepertimana yang terkandung dalam surah al-‘Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:


“Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”


Betapa besarnya hikmah yang terkandung dalam wahyu pertama ini membuktikan bahawa membaca merupakan salah satu sumber ilmu pengetahuan. Dengan membaca manusia dapat mengetahui perkembangan semasa dan mendalami pelbagai disiplin ilmu. Membaca juga dapat membuka minda kita untuk memikirkan tentang segala ciptaan Allah s.w.t serta mengkaji kehebatan dan keindahan ayat-ayat al-Quran yang mengandungi pelbagai hikmah untuk manfaat kepada umat manusia.


Membaca mampu meningkatkan pengetahuan. Di samping itu, membaca juga membantu kita dalam menyelesaikan pelbagai masalah. Dengan membaca kita akan dapat mengambil pengajaran daripada sejarah masa lalu dan dapat menguatkan daya fikir di samping boleh mengetahui dan mendalami sesuatu ilmu.



Hari ini, sikap membaca semakin luntur dalam kalangan pelajar. Pelajar hari ini kebanyakannya tidak berminat untuk membaca kerana bagi mereka membaca merupakan satu aktiviti amat membosankan. Memang tidak dinafikan membaca itu adalah sesuatu perkara yang menjemukan. Pelbagai halangan pasti kita temui ketika membaca seperti rasa mengantuk, rasa jemu dan sebagainya. Mungkin kerana kita telah terbiasa dengan aktiviti yang tidak bermanfaat. Maka oleh itu, didiklah kembali jiwa kita kepada budaya cintakan ilmu. Jadikan buku sebagai kekasih kita yang terbaik.

Cuba kita renung sejenak, berapa banyak masa yang kita habiskan untuk membaca dalam satu hari? Cuba kita bandingkan masa tersebut dengan aktiviti-aktiviti yang sia-sia kita lakukan sepanjang sehari dalam kehidupan kita. Kita lebih suka menghabiskan masa dengan bermain permainan komputer, menonton televisyen, lepak dan sebagainya. Mungkin terlalu banyak pembaziran masa yang kita lakukan pada satu hari kehidupan kita.


Pertama-tamanya sukanya saya sebut di sini bahawa membaca adalah salah satu cara memperolehi ilmu pengetahuan. Di samping itu ia membantu kita dalam membaiki penulisan dan membaiki cara pemikiran dan tutur bicara kita ke arah yang lebih baik. Ini kerana buku adalah pentarbiah dan pendidik jiwa dan rohani yang baik. Buku juga merupakan sahabat yang terbaik.


Mengapa kita malas membaca? Sebenarnya kita selama ini berada dalam keadaan yang teramat rugi. Pelbagai jenis buku yang telah diterbitkan dan dijual di pasaran ataupun yang terdapat di perpustakaan sekolah ataupun universiti.. Mungkin kita lupa akan sejarah lampau. Kita tidak menghargai karya-karya agung yang dihasilkan oleh para ilmuan. Orang zaman dahulu sukar untuk mendapatkan bahan bacaan. Sehingga terpaksa menadah ilmu secara talaqi kerana kekurangan bahan rujukan. Kita hari ini diberikan satu anugerah yang besar hasil kesungguhan orang yang terdahulu. Adakah kita mensyukurinya?



Sikap malas membaca mesti dibuang dalam jiwa kita. Semailah semangat cintakan ilmu dan tingkatkan minat untuk membaca. Untuk berjaya seseorang itu perlu ada tiga aspek penting iaitu:


Pertama, memiliki rasa bertanggungjawab. Hal ini kerana menuntut ilmu adalah satu kewajipan kepada setiap orang muslim. Tanggungjawab ini mesti dipikul oleh setiap orang yang inginkan kejayaan. Kewajipan yang mesti dilakukan. Iaitu menuntut ilmu. Jika kita memahami kewajipan itu semestinya kita tidak boleh meninggalkannya atau bersikap sambil lewa. Kerana menuntut ilmu itu adalah juga satu amanah. Amanah daripada ibu bapa kita supaya kita belajar dengan bersungguh-sungguh.


Kedua, mesti ada sikap bersungguh-sungguh. Kita mesti bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu pengetahuan. Janganlah terlalu memikirkan kepayahan menuntut ilmu. Tapi fikirkanlah tentang kemanisan ilmu dan kemanisan kejayaan. Untuk menikmati kemanisan ilmu itu bukannya mengambil masa sehari. Tetapi kemanisan itu akan hadir sendiri tanpa kita menyedarinya. Segala kepayahan dan kesusahan yang dilalui sepanjang menuntut ilmu akan hilang dengan hadirnya kemanisan ilmu dan kerana manisnya kejayaan itu sendiri.


Ketiga, mestilah ada perasaan ’ubudiyyah. Iaitu rasa kehambaan. Hubungan kita dengan Allah s.w.t. Di mana segala usaha kita mestilah kita serahkan kepada Allah s.w.t. Kita mestilah berusaha dahulu sebelum bertawakkal kepada Allah s.w.t. Ini adalah penting bagi menjamin kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat.


Kesimpulannya, kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu kerana kita memikul satu amanah yang sangat besar. Amanah agama, ibu bapa, bangsa dan negara. Kita mestilah mentarbiah diri kita kembali agar ikhlas dan sabar dalam menuntut ilmu kerana amanah kita terlalu besar dan kita mesti ingat bahawa setiap amanah itu akan dipersoalkan oleh Allah s.w.t di akhirat kelak.



Thursday, July 23, 2009

..:Kerana Aku Bukan Sahabatmu:..

Dalam meniti persahabatan ini

Tiada yang lebih bererti

Miliki teman yang mengerti

Miliki sahabat yang sejati


Hati ini mengharapkan

Teman yang ditemui

Mengukir memori tersendiri

Dalam persahabatan ini


Kerana kau sahabatku

Tidak pernah dilupakan

Saat berada di puncak tinggi

Kau masih dekat di hati


Kerana persahabatan ini

Bukan hanya hari ini

Bukan hanya saat ini

Tapi hingga ke akhir nanti


Kerana pengorbananmu teman

Tidak pernah dilupa insan ini

Biarpun diri berlalu pergi

Namun akan setia menemani


Dalam ketenangan diri ini

Ada resah yang tersembunyi

Dalam kesepian waktu

Ada rindu berbisik syahdu


Kini segalanya berubah

Melewati saat sukar ini

Disangka panas hingga ke petang

Rupanya hujan di tengah hari


Kerana aku bukan sahabatmu

Terus ditinggal pergi

Dalam memori sepi

Tanpa berpaling lagi


Kerana aku bukan sahabatmu

Terus dibiarkan sendiri

Meniti perjalanan ini

Mencari kekuatan diri


Kerana aku bukan sahabatmu

Dari perananmu aku mengerti

Kehadiran yang tiada erti

Pemergian tiada peduli





Kerana Aku Bukan Sahabatmu

22 Julai 2009

10.00 P.M.

Hanya Kecewa, Bukannya Benci...

Karenah teman-teman rumah sewa di Taman Universiti mencuit hatiku. Kadang-kadang tergelak bila terdengar kata-kata yang melucukan. Membuat hatiku sedikit ceria dan terhibur. Itulah realiti kehidupan kami seharian di sini. Biarpun masing-masing sibuk, tapi masih ada ruang masa berkumpul di ruang tamu sambil menonton TV dan berbual-bual. Sesekali berbincang tentang sesuatu isu. Saling memberi pandangan dan pendapat menjadikan isu yang dibincangkan semakin panas.


Sudah dua semester lebih aku bersama dengan teman-teman di rumah sewa ini. Biarpun kebanyakan mereka berasal dari negeri-negeri di utara tanah air, namun tidak aku berasa asing berada di celah kelompok mereka. Mereka banyak membantu sepanjang aku di sini. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t kerana dianugerahkan teman-teman yang memahami keadaanku. Merekalah sumber kekuatan ketika ini dalam meniti perjalanan di universiti ini.


Aku kagum dengan keakraban yang ditunjukkan oleh teman-teman serumah di sini. Dari zaman sekolah sehinggalah di universiti, mereka masih setia mengikat persahabatan sesama mereka. Saling menghargai antara satu sama lain. Saling menghormati dan saling membantu. Berbeza dengan teman-temanku. Jauh bezanya. Terlalu jauh.


Biarpun teman-teman sekolah dulu berada di universiti yang sama, namun masing-masing membawa haluan sendiri. Terasa bagai sendirian meniti perjuangan ini. Mencari kekuatan ketika diri berjauhan dari keluarga di kampung halaman. Entahlah, mungkin terselit rasa kecewa dengan sikap teman-teman sebenarnya.


Saat post ini ditaip, hatiku telah beberapa kali tersentak dengan pertanyaan seorang teman tentang persahabatanku. Hati mana yang tidak terkesan bila keakraban yang pernah dirasa dulu tidak lagi terasa. Malah semakin jauh.. Jauh dan jauh sekali.. Terasa malu untuk mengiyakannya biarpun hakikatnya adalah benar. Terasa amat pahit,kelat dan perit untuk mengungkapkannya walaupun hanya kalimah’ya’. Hati mana yang tidak terkilan dengan sikap teman-teman begitu. Namun inilah realiti yang terpaksa dihadapi diri ini.


Kadang-kadang hati ini berbisik. Siapakah yang dapat ku harapkan jika berlaku apa-apa kepada diriku ketika berjauhan ini? Kalau dulu aku mengharapkan sahabat yang lebih mengenaliku. Namun kini mungkin tidak. Apalah yang aku dapat harapkan daripada mereka. Bertanya khabar pun tidak pernah. Bahkan tidak pernah kisah. Sepi.


Kenyataan temanku bagaikan mencengkam naluriku. Bagaikan aku yang bersalah dalam situasi ketika ini. Mungkin dia tidak pernah mengerti siapa aku. Mungkin dia tidak tahu bagaimana hubungan aku dengan sahabat-sahabatku. Aku tidak menyalahkannya walau apapun pandangannya terhadap diri ini. Aku redha. Mungkin ini jalan terbaik bagiku. Cukuplah aku sendiri merasakannya. Aku sudah tidak berdaya memulakannya. Aku sudah tidak punya kekuatan. Aku perlukan masa untuk semua ini.


Cukuplah selama ini aku yang memulakannya. Biarlah aku mempertahankan pendirianku. Jika diri ini ego dalam tanggapan temanku itu. Biarkanlah asal aku tahu siapa aku. Aku tahu kedudukanku dan akan tetap dengan pendirianku. Sudah lama aku belajar memendamkan keegoan dalam diriku. Meletakkannya pada tahap paling minimum. Namun hingga saat ini keegoan ini seolah-olah dicabar. Memaksa aku melawan arusnya. Cukuplah selama ini aku bertahan. Demi kepentingan bersama. Demi ukhuwah ini.


Percayalah, hanya kecewa. Bukan kebencian menguasai jiwa ini. Kalimah benci tidak pernah wujud dalam kamus persahabatan ini. Hanya yang ada kasih dan sayang, rindu dan harapan. Nikmat yang Allah s.w.t anugerahkan dalam hati ini. Manisnya terasa. Hati ini tidak berdusta. Hati ini lebih mengerti apa yang dirasakannya.


Tiada apa-apa yang aku harapkan ketika ini. Cuma yang aku harapkan hanyalah pengertian. Kerana untuk menghargai persahabatan ini memerlukan kesabaran dan ketabahan. Jua kerelaan hati untuk menghadapinya. Ia nampak ringan sahabatku. Tapi hakikatnya....


Tidak sanggup aku menitipnya lagi sahabatku. Terasa amat pahit dan perit. Cukuplah sekadar itu dari lubuk hatiku. Terlalu sukar rasanya menghargaimu. Terlalu payah menghargai persahabatan ini. Sebak rasa hati ini. Berat sekali. Biarlah kepiluan rasa menemani mimpiku malam ini. Aku tidak menyalahkan sesiapa. Mungkin ini kesilapanku...


Ya Allah, Ampunilah dosa-dosaku. Teguhkanlah hati hamba-Mu ini. Kuatkanlah semangatku dalam meniti perjuangan ini. Tabahkan hatiku menghadapi segala dugaan-Mu. Teguhkanlah iman hamba-Mu ini. Tunjukilah aku jalan yang lurus. Jalan yang Kau redhai. Jalan menuju nikmat-Mu”. Amin. Amin ya Rabbal ’Alamin...


Tuesday, July 21, 2009

Seraut Wajah


Seraut wajah

Putih seri bercahaya

Tenang mengatur langkahnya

Redup sayu matanya

Sinar hening pandangannya


Seraut wajah

Saat melirik senyumannya

Menghibur duka nestapa

Amat terasa manisnya

Di lisan sentuhan jiwa


Seraut wajah

Tika membuka bicara

Lembut tulus bahasanya

Begitu terasa indah

Sulaman kata madahnya


Seraut wajah

Murah gelak tawanya

Sebalik lontaran suara

Walau terselit malunya

Kerana belum terbiasa


Seraut wajah

Rupa penyejuk mata

Mengubat rindu di hati

Mengalir suci wudhuknya

Memancarkan nikmat seri


Seraut wajah

Milik insan bertuah

Bersih disulami taqwa

Dengan tekad imannya

Terdidik dengan hebatnya


Seraut wajah

Tiada ternilai harganya

Anugerah indah Ilahi

Bukti agung ciptaan-Nya

Moga terus disyukuri


Seraut wajah

Tersimpan seribu erti

Sebalik tenangnya diri

Ada rindu tersembunyi

Tetap dibiarkannya sepi


Seraut wajah

Padanya ada segala

Gambaran suka duka

Mungkin riang ceria

Atau titisan airmata


Seraut wajah

Tersimpan sejuta rahsia

Memang sukar ditafsir

Dengan kalutan jiwa

Tanpa pengertian hati


Seraut wajah

Dambaan jiwa seorang teman

Padanya ada kesamaan

Melegakan kehangatan rindu

Buat teman di perantauan


Seraut wajah

Pastinya menggamit kenangan

Pada teman di perjalanan

Biarpun beribu batu jauhnya

Terasa dekat sedarah rasa


Seraut wajah

Peninggalan yang terlalu indah

Detik sepi teman berlalu

Mengisi ruang ketiadaannya

Saat hilang di bayangan mata


Seraut wajah

Biarpun keakraban tidak terasa

Seerat ikatan dengan saudaranya

Namun munculnya amat bermakna

Mengisi kesepian rinduan rasa




Seraut Wajah

29 Disember 2008

11.45 P.M