Rasa
rindu pula untuk kembali menulis setelah sekian lama ber‘cuti’ merehatkan minda
dan hati. Mungkin terkena virus ‘kemalasan’ membuatkan diri ini membiarkan sekian lama laman Tinta Ukhuwah ini tidak di
‘update’ dalam menyimpan info-info terkini berkenaan ukhuwah di sini.
Apa
cerita kali ini ya?
Saat
ini, insan ini telah berada di kepulauan Borneo bagi meneruskan khidmat sebagai
seorang guru setelah hampir sebulan setengah pulang bercuti di desa.
Alhamdulillah, cuti pada kali ini membuka lembaran kepada insan ini untuk
merakam sedikit kenangan ukhuwah yang berlangsung sepanjang percutian pada kali
ini.
Syukur
kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya aktiviti-aktiviti ukhuwah masih mampu
dianjurkan walaupun situasi kini telah banyak berbeza. Meskipun ramai dalam
kalangan ashab seperjuangan yang sudah berumah tangga, namun masih berusaha meluangkan
masa untuk bersama-sama dalam menjayakan aktiviti-aktiviti ukhuwah yang
dirancang bersama.
Pelbagai
peristiwa telah berlaku sepanjang ketidak bersamaan dalam menempuh perjalanan
hidup ini. Tidak diduga, musibah melanda sahabat insan ini. Setiapnya mungkin
mempunyai hikmah. Bersabarlah di atas ujian dan dugaan yang melanda. Berita
ketika masih di kepulauan Borneo amat mengejutkan insan ini apabila dikhabarkan
seorang sahabat ditimpa kemalangan jalan raya. Keterbatasan masa dan jarak
menyebabkan insan ini dan sahabat-sahabat yang lain tidak berkesempatan
melawatnya di hospital.
Ziarah
ukhuwah diatur sebaik sahaja pulang bercuti di kampung halaman. Ziarah atas
dasar ukhuwah amat digalakkan dalam Islam. Justeru, ziarah ukhuwah bagi
bertanya khabar dan berbual bicara dengan sahabat yang ditimpa musibah.
Mendengar ceritanya pastinya amat menyayat hati. Mana tidaknya, kejadian
berlaku ketika diri jauh di perantauan. Tiada ahli keluarga bersama. Yang ada
hanya teman-teman seperjuangan di perjalanan.
Cerita
ukhuwah bukan sekadar ziarah. Ianya terus diwarnai dengan aktiviti bersama bagi
mengeratkan ukhuwah yang telah sekian lama terbina. Permainan mesra ukhuwah
dirancang dan semestinya futsal yang menjadi kegemaran warga tinta ukhuwah.
Bermain secara santai dan bersuka ria cukup menghiburkan hati. Perlawanan
badminton juga turut diadakan bagi memenuhi diari percutian ukhuwah pada kali
ini.
Ya,
santapan ukhuwah amat meriah di meja ukhuwah. Sesekali mengadakan aktiviti
makan-makan cukup menyelerakan. Hidangan ukhuwah semestinya yang berasaskan
belut menjadi menu sajian. Ditambah pula dengan ikan kakak masak stim dan tiga
rasa membuatkan selera semakin bergelora. Namun pada kali ini tidak
berkesempatan menganjurkan aktiviti BBQ. Tidak mengapa, mungkin boleh dirancang
pada masa yang akan datang.
Meja
ukhuwah juga turut diserikan dengan pertemuan demi pertemuan bagi mengikuti
perlawanan bola sepak liga antarabangsa di kedai makan. Ya, sambil menyaksikan
bola sepak sambil berbual bicara, bergelak ketawa dan sebagainya. Pertemuan
ukhuwah yang cukup bermakna mengisi ruang percutian pada kali ini. Itulah
antara bingkisan percutian pada kali ini di kampung halaman. Berukhuwah dengan
ashab seperjuangan akan diteruskan sampai bila-bila. Merekalah sahabat yang
sering menghiburkan ketika berada di halaman bonda meskipun masing-masing
mempunyai komitmen sendiri yang perlu dilunaskan namun pada masa yang sama
tidak pernah meminggirkan ukhuwah yang telah dibina sekian lama. Mudah-mudahan
persahabatan yang terbina ini akan berkekalan sampai ke syurga yang abadi.
Biarpun
percutian kali ini tampak menyeronokkan namun hati insan ini merasai kehilangan
sesuatu yang sering hadir setiap kali percutian sebelum ini. Ya, percutian kali
ini tanpa kelibat adik-adik pelajar insan ini yang pastinya menggamit memori
yang tersendiri untuk dikenang oleh insan ini.
Kebiasaan
bersama-sama dengan mereka setiap kali berada di kampung halaman dengan aktiviti
bersama pasti menyuburkan ukhuwah yang cukup bermakna. Rindu rasa hati insan ini
pada mereka namun apakan daya perpisahan itu menuntut sabar dan redha.
Insya-Allah, tiba masanya nanti akan bertemu lagi dan ukhuwah ini akan terus
dihubungkan melalui ruang talian massa yang ada pada masa kini.
Selamat
berjuang kepada adik-adik pelajar insan ini yang telah berangkat ke medan-medan
pengajian tidak kira di dalam mahu pun di luar negara. Mudah-mudahan mendapat
kejayaan di medan perjuangan masing-masing.
Ukhuwah
dibina, mesra bersama, memori tercipta!