“Wi ayat
nie lalu dio, segho kito..”
Begitulah antara lembaran mesej
yang singgah di ruangan message FB insan ini selepas post “Mencari
nilai ukhuwah..” disiarkan di laman blog Tinta Ukhuwah baru-baru ini. Jutaan
terima kasih dan penghargaan kerana sudi meluangkan masa seketika membaca catatan
di laman ini. Alhamdulillah, masih ada insan yang sudi berkunjung dan mengikuti
perkembangan blog Tinta Ukhuwah ini. Sekadar coretan biasa, sepanjang pemerhatian
insan ini terhadap hubungan ukhuwah sejak akhir-akhir ini. Di sebalik itu,
rupa-rupanya masih ada hati yang mengerti dan memahami serta menghargai
kewujudan laman blog ini.
Hingga ke saat ini, insan ini
melihat, memerhati dan menilai perkembangan ukhuwah ini dari semasa ke semasa.
Mendengar dan memerhati setiap kali saat berbicara dengan teman-teman.
Mendengar dan meneliti luahan sahabat-sahabat terhadap ukhuwah ini. Seakan ada
yang ‘tidak kena’ antara sesama kita selepas tidak lagi berada sebumbung
dalam perjuangan ini sama ada kita sedari atau pun sebaliknya.
Terlebih dahulu insan ini memohon
kemaafan jika ada yang terasa. Kerana sememangnya ada yang terasa. Juga jika
sepatutnya, tulisan seperti itu tidak perlu wujud. Ketahuilah tulisan itu tidak
ditujukan secara khusus kepada sesiapa pun dalam kalangan kita sebaliknya berbentuk
umum semata-mata. Jadi sesiapa pun layak membaca dan menilainya termasuk insan
ini biarpun hanya sekadar melepaskan batuk ditangga. Insan ini tidak
pernah memaksa, sebaliknya hanya berkongsi sesama kita. Jika ada yang ingin
membacanya, silakan. Jika tidak mahu, abaikan sahaja. Malah jika tidak berminat
singgah ke laman Tinta Ukhuwah ini pun tidak mengapa. Tidak ada kepentingan
bersifat peribadi dari insan ini.
Di sebalik tulisan dan catatan..
“Goni pun nok tulis ko?”
Itulah sering bersarang di hati dan minda kita. Kadang-kadang ianya singgah juga di fikiran insan ini. Ianya sering menjadi penghalang untuk meneruskan idea penulisan untuk di‘post’kan di laman ini. “Pematah semangat sungguh ayat-ayat ini!!!” Bukan mudah untuk menulis sesuatu untuk di‘post’kan bagi tatapan umum. Insan ini mengakuinya, kerana sepanjang menulis di laman blog ini ianya bukan sesuatu perkara yang mudah. Perlu sabar dan kuat semangat jika mahu menyiapkan sesuatu tulisan. Biarpun ianya tidak bernilai pada kaca mata orang lain, tetapi bagi insan ini ianya amat bernilai kerana berjaya mengatasi halangan yang sering wujud.
Menulis tentang ukhuwah, pastinya
bukan perkara yang mudah kerana boleh menimbulkan pelbagai persepsi sama ada
positif atau pun negatif. Mungkin akan ada dalam kalangan teman-teman yang
kurang senang dan tidak bersetuju terhadap sesuatu tulisan. Itu adalah perkara
biasa bagi insan ini. Bukan bermaksud merendah dan meremehkan ukhuwah ini dalam
tatapan umum, kerana insan ini sedia maklum lumrah berukhuwah. Sekadar untuk
kita sama-sama meneliti dan menilai situasi ukhuwah kita. Jika hanya mengetahui
lumrahnya, percayalah lumrah itu bukan sekadar ketentuan semata-mata, tetapi
ianya berubah mengikut komitmen dan peranan setiap insan dalam sesebuah
ukhuwah. Ada sebab dan musababnya. Dan kita adalah sebab dan musabab terhadap
ukhuwah kita.
Bagi insan ini, apa pun persepsi
terhadap tulisan dan diri ini, akan menerimanya seadanya. Tiada apa yang boleh
mengubah pendirian terhadap kenyataan yang telah dan akan dicatat dalam laman
blog ini. Insan ini juga terbuka menerima apa-apa pandangan daripada
teman-teman terhadap tulisan mahupun terhadap diri insan yang kerdil ini dan
sedia menerima sebarang perkongsian dari sahabat-sahabat semuanya.
Insan ini harus kuat. Sekalipun
tiada sesiapa yang ingin membaca tulisan di laman ini. Insan ini akan terus
menulis. Teringat kepada pesanan dan nasihat seorang sahabat kepada insan ini.
“Biarpun apa yang kita buat hari ini tidak dihargai, teruskanlah perjuangan
itu dengan penuh keikhlasan dan keyakinan. Insya-Allah, mudah-mudahan diberkati.
Kita jangan melihat nilainya hari ini, kerana mungkin ia bernilai suatu hari
nanti.”
Mengingatkan kata-kata itu,
memberi semangat untuk meneruskan perjuangan ini. Menulis selagi dan sekadar
termampu. Bukan penghargaan yang dicari tetapi kepuasan terhadap minat yang
wujud dalam diri. Bagi insan ini, menulis memberi kepuasan dan nikmat yang
tersendiri. Melapangkan hati dan menenangkan jiwa. Selain itu, ianya terus
mengasah minda dan menambah ilmu pengetahuan. Biarpun ia hanya sekadar tulisan
biasa. Tetapi ianya cukup bermakna untuk diri ini. Berkongsi dengan sesiapa
sahaja. Walaupun tidak semua memberi manfaat tetapi pasti ada biarpun cuma
sedikit. Teringat kata-kata yang telah diungkapkan oleh Imam Syafie: “Jika
tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua.”
Di sebalik pertanyaan dan
persoalan..
“Awe tu ado sini ko?”
Kerap kali persoalan ini timbul
menanyakan keadaan dan keberadaan teman-teman kepada insan ini. Bagaikan diri
ini mengetahui semua perkara yang melibatkan perihal teman-teman kebelakangan
ini. Insan ini hanya mampu memberi jawapan sekadar yang diketahui. Selebihnya jujur
insan ini katakan, ana tidak tahu! Mengapa perkara ini boleh terjadi? Bagai ada
garis pemisah antara kita sesama kita. Kenapa tidak terus bertanya kepada
empunya diri sedangkan banyak cara untuk berhubung? Adakah semakin maju
teknologi, semakin susah untuk kita berhubung sesama kita?
Ketahuilah, insan bukan
ditugaskan untuk mengeratkan kembali ukhuwah ini selepas perpisahan terjadi.
Bukan!!! Sedikit pun laman blog ini bukan semata-mata hanya untuk ukhuwah ini.
Diri ini hanya seorang sahabat sebagaimana insan lain dalam meniti ukhuwah ini.
Usaha insan ini amat sedikit jika kerana laman ini berbanding peranan
teman-teman kepada insan ini selama pertemuan dan ukhuwah ini. Seandainya
ukhuwah ini masih ada dan masih akrab, Alhamdulillah. Tetapi jika
sebaliknya, insan ini redha dan pasrah. Mungkin itulah kehendak kita semua
terhadap ukhuwah ini kerana semuanya bergantung kepada diri kita sendiri.
Seperti yang insan ini tegaskan sebelum ini, kita sendiri yang memberi nilai
kepada ukhuwah kita.
Menilai keadaan ini, sudah dapat
dilihat situasi ukhuwah kita hari ini. Seakan semakin renggang. Tidak lagi
seakrab dulu. Hinggakan khabar teman-teman sendiri diketahui daripada orang lain.
Biarkanlah mungkin tidak mengapa kerana itu pilihan kita masing-masing. Mungkin
situasi kini serta jarak dan masa membataskan segala-galanya untuk memberi
komitmen terhadap ukhuwah kita. Mungkin itulah alasan yang sering kukuh dalam
hati dan minda kita.
Di sebalik luahan dan
keluhan..
“Time nok kito, cari la kito
nie, time dok gak, senyap deep”
Antara luahan dan keluhan yang
sering kedengaran kini. Bukan untuk mengata atau menduga, tetapi ianya perlu
diperkata untuk muhasabah bersama. Rasailah ke‘renggang’an ukhuwah yang
terjadi ketika ini. Ini adalah realiti, bukannya fantasi mahupun ilusi. Bukan
untuk menyalahkan sesiapa, sekadar melihat kembali ke dalam diri kita. Apa yang
sedang kita lakukan untuk ukhuwah kita.
Ada kekusutan yang diluahkan.
Ketidak selesaan dan ketidak sefahaman terhadap teman-teman. Tidak sejalan dan
tidak sebulu. Entah di mana puncanya. Carilah kebenaran bukannya kemenangan
jika wujud kekhilafan. Berlapang dadalah dan jangan berkeras hati. Seperti apa
yang telah ana sebutkan dalam post “Rindu kemesraan itu..” sebelum ini. Belajarlah
untuk lebih berlapang dada serta meraikan dan menghormati pandangan sesama kita
jika ada khilaf pandangan. Sedangkan khilaf pendapat itu rahmat. Mengapa kita
tidak mahu menerima rahmat itu, hanya kerana sikap ego yang bersarang dalam
diri kita? Tujuan kita belajar bukan untuk kita menunjukkan kehebatan ataupun
kepakaran kita dalam apa-apa bidang yang kita ceburi, tapi untuk kita mencari
kebenaran dan memburu keredhaan Allah s.w.t.
Untuk apa kita berkeras hati dan
bersikap ego terhadap pandangan peribadi kita biarpun berdasarkan hujah
daripada sumber yang kuat sehingga mengeruhkan dan mengelakkan diri daripada ukhuwah
sesama kita? Adakah itu yang kita cari? Kemegahan, kemenangan, ketinggian ilmu,
kepakaran dan sebagainya sehingga membuang ukhuwah kita jauh ke tepi. Jika itu,
selidik kembali hati kita, ada sesuatu yang tidak kena. Ikutlah resmi padi,
semakin berisi semakin tunduk ke bumi. Jangan jadi seperti lalang, semakin
tinggi semakin megah berdiri. Ikut rasa, binasa. Ikut hati, mati. Ikutlah iman,
pasti aman.
Mungkin sebenarnya ia tidak perlu
diluahkan kepada sesiapa. Kita sedia tahu, kita tidak pernah kisah. Biarpun
hanya masa memerlukan, kita diperlukan dalam ukhuwah ini. Sekurang-kurangnya
ada yang masih mengigati dan memerlukan kita. Tetapi benarkah begitu sejarah
ukhuwah kita selama ini? Di saat kesempitan ukhuwah dicari, di saat kelapangan
ukhuwah dibiar sepi seperti ianya tidak penting untuk wujud dalam hidup ini.
Tepuk dada, tanya diri kita. Masing-masing lebih mengetahui dan
memahaminya. Bukan apa kita terima dari ukhuwah, tapi apa kita beri untuk
ukhuwah. Memberi untuk saling menerima. Berkongsi untuk saling menghargai. Mungkin
itulah yang terbaik untuk mengeratkan ukhuwah. Mewujudkan kembali kemesraan
yang kian pudar ini.
Di sebalik perubahan dan harapan..
“Indahnya jika kemesraannya seperti dulu..”
Perubahan adalah perkara lumrah
dalam kehidupan. Seperti kita, teman-teman juga layak berubah. Kita berubah
dengan cara kita masing-masing. Perubahan yang mungkin menjadi pendirian kita.
Ketetapan hati dan fokus kita terhadap sesuatu perkara akan berubah mengikut
keperluan dan keselesaan kita. Jadi, perubahan menjadi lumrah bagi setiap
manusia.
Begitu juga dengan perubahan
sikap yang kadang-kadang menyebabkan perubahan suasana dan perasaan kita dalam
berukhuwah. Perubahan mungkin disebabkan oleh hilangnya rasa kemanisan dalam
berukhuwah. Berasa tawarnya ukhuwah yang terjalin kini biarpun suatu ketika
pernah menampakkan kemesraannya dan merasai kemanisannya. Mengharap kemesraan
yang dulu menjelma kembali. Begitulah kita bila merasai kehilangan. Renunglah
kembali diri kita, adakah kita menghargai kemesraan dan kemanisan yang pernah
hadir suatu ketika dulu? Atau adakah kita hanya bersikap habis madu sepah
dibuang?
Jangan hanya menilai orang lain
sedangkan kita tidak pula menilai diri kita. Jika kemesraan itu hilang dalam
ukhuwah itu, tanyalah diri kita, perlukah kita sendiri membawa kemesraan yang
ada dalam diri kita ke dalam ukhuwah itu? Jika ya, teruslah membawanya. Jika
tidak, berusahalah membawanya. Atau kita sekadar hanya ingin merasai daripada
yang lain tanpa memberinya? Jika ya, silap kita. Jika tidak, mulakanlah
memberi. Insya-Allah, akan kita merasai kemesraan dan kemanisan itu nanti.
Mampukah kita???
Melihat kesuraman ini. Memandang keserasian
yang kian hilang. Memerhati keretakan dalam perhubungan, cukup perit seandainya
dinilai kembali. Kemesraan dicipta bagai terputus hanya kerana alasan tidak
lagi bersama-sama mengharungi perjuangan. Jika ukhuwah ini hanya wujud ketika
bersama, sesungguhnya ukhuwah ini hanya seperti ‘trademark’ bagi iklan
biskut chipsmore, kejap ada kejap tiada. Yang pastinya, lebih banyak tiada
daripada ada!!!.
Adakah kita hanya memerhati
keadaan yang berlaku kini? Adakah kita akan ‘melarikan diri’ dari
ukhuwah ini? Membiarkan kesuraman terus merajai ukhuwah ini disebabkan sikap
tidak pedulisme kita. Menyemai benih-benih racun dalam taman ukhuwah kita.
Racun yang sedikit demi sedikit akan terus men‘gersang’kan taman ukhuwah
ini. Akhirnya tandus dan sepi meninggalkan semua kenangan sepanjang ikatan
ukhuwah ini.
Mampukah kita mengubahnya kembali?
Kembali membina kemesraan itu. Biarpun tidak serancak suatu ketika dulu. Namun
pastikan taman ukhuwah ini terus subur. Ketika bersama, subur dengan kemesraan
dan kasih sayang, ketika berjauhan, subur dengan ingatan dan perhubungan. Agar
tanah ukhuwah yang tandus dan gersang kini, akan gembur dan subur lagi dengan keindahan
bunga cinta dan kemanisan kasih mesra dalam menghasilkan benih penghargaan
dalam ikatan ukhuwah kita.
Agar taman ukhuwah terus subur,
marilah terus berukhuwah biarpun telah terpisah!!!