Suatu ketika jiwa insan
ini terusik bila melihat gurau senda adik-adik pelajar sesama mereka. Mereka
mencipta kenangan mereka. Membina ukhuwah persahabatan. Melihat mereka seperti
ana sedang melaluinya kembali kerana di tanah Meheliah itulah memori telah
dicipta. Ana hanya mampu tersenyum melihat gelagat mereka. Igauan nostalgia
subur kembali di hati ini. Menyemarakkan kembali episod masa silam bersama
teman-teman seperjuangan.
Hari-hari di Meheliah,
menggamit selautan memori. Setiap ruangnya menyimpan nostalgia tersendiri buat
insan ini. Pertemuan, persahabatan dan perpisahan. Itulah kisah zaman remaja
yang sarat dengan cerita. Kisah kenakalan dan pemberontakan jiwa. Episod kegagalan
dan kejayaan. Saat itu, insan ini sendirian tanpa sahabat seperjuangan.
Ketiadaan mereka amat dirasai. Rindu kemesraan itu. Wujudnya mewarnai dan
menceriakan ukhuwah ini. Itulah persahabatan, anugerah daripada Allah s.w.t.
Kebiasaan dalam
berukhuwah..
Bila adik-adik pelajar
bersama ana, pasti ada yang merangkul bahu dan memeluk tubuh ini. Ana tidak
pernah mengelak sebaliknya membiarkan sahaja mereka berbuat begitu. Mungkin ana
sudah biasa dengan keadaan ini. Biarpun mereka pelajar, tetapi mereka juga
teman buat ana. Bagi ana, mereka seperti adik-adik ana. Adik-adik Meheliah!!!
Mungkin telah menjadi
kebiasaan insan ini dalam berukhuwah, merangkul bahu dan memeluk tubuh sahabat-sahabat
saat bersama. Ana menghargai kehadiran mereka dalam hidup ini dan menghargai
pertemuan ini. Eratnya ukhuwah bukan hanya pada lamanya tempoh persahabatan,
tetapi juga pada ingatan, cinta, kasih dan sayang, ketulusan, kejujuran dan
juga kesetiaan.
Begitu juga dengan
adik-adik, ana juga sering menggauli mereka begitu dalam mencipta kemesraan
bersama. Tanda penghargaan juga kasih dan sayang dari insan ini buat mereka di
perjalanan. Dengan mereka, ukhuwah terbina. Tanpa mereka, tiadalah ukhuwah ini.
Sungguh, ana menghargai pertemuan ini!!!
Gurau senda penyubur
ukhuwah..
Mencipta kemesraan
bersama teman-teman sesuatu yang indah. Caranya berbeza bagi setiap insan. Begitulah
dalam persahabatan. Tidak lengkap tanpa adanya kemesraan antara satu sama lain.
Kemesraan yang terjalin menunjukkan keindahan dalam berukhuwah. Bagaimana kita
mewujudkan suasana mesra dan ceria dalam persahabatan kita terpulanglah kepada
kita. Kita pasti lebih mengerti jiwa masing-masing.
“Aku suka bergurau
denganmu..”, luahan kata seorang sahabat ketika sedang bergurau
senda bersama-sama suatu ketika dulu. Terngiang kata-kata itu, masih segar di ingatan
biarpun masa terus berlalu. Bagai sesuatu menyentuh jantung hati ini mendengar
luahan katanya. Ianya seperti membelai perasaan ini.
“Kenapa?..”, ana cuba menduga.
Mencari kepastian di mana ke‘suka’annya pada gurauan diri ini yang
mungkin menambat hati dan perasaannya. Entah di mana istimewa cara insan ini di
mata hatinya itu selama meniti ukhuwah ini.
“Ye la, kamu tidak bergurau
kasar-kasar, tetapi bestlaa..”, lebih kurang begitulah jawapannya. Walaupun ana
kurang mengerti apa yang sebenarnya dimaksudkannya saat itu. Ana hanya mampu
tersenyum mendengar jawapannya. Biarpun masih tercari-cari maksudnya.
“Ooo.. Mari nak
bergurau lagi gak..”, balas ana sambil mencubit manja pipi sahabat ana itu.
Kami tersenyum sesama kami. Ada gelak kecil yang wujud. Indah sungguh ukhuwah
itu bila teringat kembali. Bagai semalam baru terjadi. Gurau senda membuahkan
keriangan malahan lebih daripada itu. Penyubur ukhuwah kita bersama.
Begitulah dalam
berukhuwah. Saling memainkan peranan dan saling menghargai dalam mewujudkan
kemesraan bagi mengeratkan ikatan ukhuwah. Di samping mencipta kenangan yang
menjadi ingatan terhadap ikatan ukhuwah. Saling memberi untuk saling menerima. Luahan
penuh kejujuran dan ketulusan, mencuit
hati sanubari insan ini. Menjadikannya ingatan yang masih segar hingga ke saat
ini.
Dalam ketegasan ada
kelembutan..
Meniti ukhuwah ini pasti
tidak terasa manisnya jika tiada gurau senda. Darinya lahirlah gelak ketawa.
Sepi berubah riang gembira. Dengannya juga diri terasa dekat dengan
sahabat-sahabat. Terasa eratnya ukhuwah mengiringi perjuangan di medan ilmu.
Mereka seperti saudara sendiri bagi diri ini. Tidak boleh dikasari tetapi mesti
dikasihi dan dihargai.
Biarpun ketegasan wujud
ketika berukhuwah, pastikan dalam ketegasan ada kelembutan. Catatan ini sebagai peringatan sesama kita.
Bergaullah dengan teman-teman dengan cara sebaiknya kerana mereka adalah
sebahagian daripada hidup kita. Sesungguhnya, hidup kita pasti sepi tanpa kehadiran
sahabat di sisi. Merekalah tempat berkongsi keriangan dan kedukaan. Sahabat
sepermainan di celahan perjuangan.
Berlembut hatilah dalam
berukhuwah. Kerana ia mengundang banyak kebaikan. Kebaikan inilah yang mewarnai
sesebuah ikatan. Dengan berlembut hati, kita akan mudah berlapang dada. Jika
wujud kekhilafan pandangan, kita akan menghormati pandangan sesama kita. Kita
akan lebih berlapang dada dengan pandangan mereka biarpun berbeza dengan
pandangan kita. Dengan itu akan mewujudkan keharmonian dan mampu mengelakkan
berlakunya perkelahian.
Renunglah kisah Imam
Malik dan Imam Syafie ketika menghadapi situasi ini. Mereka saling menghormati
pandangan sesama mereka. Suatu ketika saat Imam Malik menjadi imam sembahyang
subuh, beliau membaca doa qunut kerana menghormati mazhab Imam Syafie yang
menjadi makmumnya ketika itu biarpun menurut mazhabnya, beliau tidak membaca
doa qunut. Keesokannya, Imam Syafie pula yang menjadi imam solat subuh. Beliau
tidak membaca doa qunut kerana menghormati mazhab Imam Malik yang menjadi
makmumnya ketika itu. Begitulah teladan bagi kita dalam menghadapi perbezaan
pandangan dalam berukhuwah. Saling menghormati dan tidak mementingkan diri.
Daripada Aisyah r.ha,
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya sikap lemah lembut itu tidak berada
pada sesuatu melainkan dia akan menghiasinya (dengan kebaikan). Sebaliknya,
tidaklah sifat itu dicabut daripada sesuatu melainkan ia akan membuatnya
menjadi buruk.” (Riwayat Muslim). Indahnya sifat lemah lembut ini kerana
padanya terhimpun segala kebaikan sebagaimana dalam satu lagi hadis baginda
s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang diberikan sifat lemah lembut nescaya dia
akan memperoleh kebaikan dalam semua hal.” (Riwayat Muslim). Sifat lemah
lembut ini adalah anugerah rahmat daripada Allah s.w.t buat hamba-Nya melalui
firman-Nya dalam surah Ali ‘Imran ayat 159 yang bermaksud: “Maka disebabkan
rahmat daripada Allah s.w.t kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka.
Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan
menjauhkan diri dari sekelilingmu.”
Dengan berlembut hati,
kita lebih mudah disenangi dan didekati. Sekiranya kita berkeras hati mungkin
akan ada yang membenci dan menghindari. Justeru, insafi diri kita. Sejauh mana
sikap kita dalam berukhuwah. Agar kita mampu mengubahnya menjadi lebih baik.
Terus berbicara dan bersedia
mendengar..
Lazimnya bagi insan
ini, saat sahabat-sahabat rancak berbicara, insan ini lebih suka mendiamkan
diri. Mungkin tiada apa yang ingin diperkatakan. Sekadar mencelah sekali
sekala. Insan ini lebih suka mendengar, menilai dan memerhati. Terus bersikap
positif. Kadang-kadang ianya juga penting daripada sekadar hanya berbicara.
Belajarlah menjadi
sahabat yang bukan sahaja pandai berbicara tetapi sedia mendengar. Jangan pula
hanya berbicara tetapi kurang mendengar. Juga jangan hanya mendengar tapi
berbicaralah walaupun tidak serancak yang lain. Agar kita tidak ketinggalan dan
rasa bersama sentiasa. Biar kita juga wujud dalam suasana ketika itu. Hargailah
ruang waktu bersama-sama, kerana bukan mudah untuk berkumpul kembali setelah
perpisahan terjadi.
Bersabarlah dalam
bersahabat..
Dalam meniti ukhuwah,
ada juga masanya kita ditegur, dimarahi dan dijadikan tempat melepaskan rasa
ketidakpuasan hati oleh sahabat-sahabat kita. Mungkin disebabkan oleh tindakan
yang kita lakukan atau mungkin juga tidak. Kesabaran amat penting agar kita
tidak mudah melenting. Bertenanglah menghadapinya. Dengan ketenangan akan
dipermudahkan jalan. Melaluinya akan timbul kesedaran dalam menyelami
kebenaran.
Di saat api marak
membakar jangan disirami dengan minyak. Carilah air agar dapat memadamkan api yang
sedang marak itu. Belajarlah menerima teguran dan belajarlah mengawal emosi.
Kerana bukan kemenangan yang kita cari tetapi kebenaran. Dalam bersahabat tiada
istilah menang dan kalah. Jika kita merasakan kita beroleh kemenangan, kita
sebenarnya telah menempuhi kegagalan!!!
Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya
ada seorang lelaki yang berkata kepada Nabi s.a.w.: “Berikanlah wasiat padaku!”
Nabi s.a.w. menjawab: “Janganlah engkau marah.” Orang itu
mengulang-ulangi lagi permintaan wasiatnya sampai beberapa kali, tetapi baginda
s.a.w. tetap menjawab: “Janganlah engkau marah.” (Riwayat Muslim)
Marah itu mudah, sabar
itu indah. Bersabarlah dalam menghadapi situasi sebegini. Rasulullah s.a.w
bersabda: “Sesungguhnya kesabaran itu ialah pada hentaman (pukulan)
pertama.” (Muttafaq ‘alaih). Sebaik-baik sabar adalah pada situasi pertama
saat menerima sesuatu dugaan. Justeru, bersabarlah. Jangan cepat melatah. Jika
kita benar, kita tidak perlu terlalu emosi. Tenangkan diri selamatkan situasi.
Kuncinya adalah sabar!!!
Memang tidak dinafikan
dalam bersahabat banyak dugaannya. Bersabarlah dengan karenah sahabat-sahabat
kita. Seperti kita, mereka juga ada kelemahan dan kekurangan. Usah dipandang
kekurangan itu, percayalah kebaikan dan kelebihan mereka tetap ada. Hargailah
semua itu. Kekurangan dan kelebihan itulah yang banyak mewarnai ikatan ukhuwah
bersama. Tanpanya mungkin ukhuwah itu tawar tiada manisnya, layu tiada
mekarnya. Jangan berbangga dengan kelebihan yang ada pada kita, tetapi pandang
dan hitunglah kekurangan dan kelemahan yang kita miliki. Dengan itu, kita mampu
mengubahnya menjadi lebih baik.
Carilah kemanisan iman
di sebalik ukhuwah..
Setiap insan mencipta
kemesraan dengan cara masing-masing. Kemesraan itu membuktikan erat sesebuah
ikatan. Begitulah persahabatan ini. Indahnya kerana bersulam kemesraan. Dibajai
dengan kejujuran dan disirami dengan kasih sayang.
Teruslah mencipta
kemesraan dalam berukhuwah agar kemanisannya dapat dinikmati bersama. Hargailah
ukhuwah yang terbina kerana ianya adalah anugerah. Kerana Allah kita bertemu,
kerana-Nya kita berpisah. Pertemuan dan perpisahan, Di celahnya ada ukhuwah,
ada memori tercipta. Terangkum sebuah perjalanan hidup yang dibina
bersama-sama. Asam garam perjuangan, suka duka kehidupan, dan lebih penting
lagi, darinya akan dicapai kemanisan iman.
Dari Anas bin Malik
r.a, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Ada tiga perkara yang
jika tiga perkara itu ada pada diri seseorang, maka dia akan merasai kemanisan
iman; sesiapa yang cinta-Nya kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya
kepada yang lain; sesiapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah;
dan dia benci untuk kembali (kepada kekufuran) selepas Allah menyelamatkannya
dai kekufuran seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api neraka.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Memiliki perasaan cinta
itu mudah tetapi untuk menzahirkannya pada bentuk tindakan dan ucapan tidak
semudah memilikinya. Lumrahnya bagi mereka yang bercinta, akan sedaya upaya
memikat hati dan menambat perasaan pasangannya dengan ayat-ayat cinta. Namun
dalam berukhuwah, ianya sesuatu yang seakan sukar direalisasikan kerana mungkin
ianya sesuatu yang dianggap di luar norma kehidupan. Mengatakan ucapan cinta,
kasih dan sayang seakan hanya khusus buat si pujaan hati. Jika selain itu,
seakan ianya kejelikan dalam pandangan mata dan perasaan hati hingga dibalas
penghinaan dan cacian. Mereka lupa bahawa apa yang mereka terima itu sesuatu
yang indah, mengapa sanggup mereka membalasnya dengan sesuatu yang keji?
Bukankah tindakan itu sama ‘seperti kera mendapat bunga’?.
Sekiranya ungkapan cinta ini satu
kesalahan, maka selayaknya mereka yang mengungkapnya menerima penghinaan. Lantas,
layakkah penghinaan itu jika mengungkapkannya adalah satu tuntutan dan digalakkan
dalam Islam?. Renungilah sebuah hadis bagaimana indahnya ungkapan cinta dalam
konteks berukhuwah. Cinta terhadap persaudaraan kerana Allah s.w.t. Dari Abu
Karimah iaitu al-Miqdad - di sebahagian naskhah disebut al-Miqdam- bin
Ma'dikariba r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jikalau seseorang itu mencintai saudaranya, maka
hendaklah memberitahukan pada saudaranya itu bahawa ia mencintainya."
(Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi dan Tirmidzi
mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih).
Bukankah mencintai itu indah dan
meluahkannya menjadi lebih indah?. Ia boleh menghilangkan rasa gelisah yang bersarang
di lubuk hati serta mampu membawa kepada suasana saling mencintai. Bukankah
begitu realitinya saat mengungkap kata cinta kepada si permata hati? Jika
begitu, samalah juga dalam berukhuwah. Melahirkan rasa cinta bukan sekadar
melalui tindakan tetapi juga perlu diluahkan dengan kata-kata agar kedua-dua
pihak memahami dan merasai keindahan, kemanisan dan kemesraan dalam jalinan
ukhuwah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam
Abu Daud dengan isnad shahih, Dari Anas r.a. bahawasanya ada seorang lelaki yang berada
di sisi Nabi s.a.w., lalu ada seorang lelaki lain berjalan melaluinya, lalu
orang yang hampir dengan baginda berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya saya
mencintai orang ini.” Nabi s.a.w. bertanya: “Adakah engkau sudah
memberitahukan padanya tentang itu?” Ia menjawab: "Tidak, belum
saya beritahukan." Nabi s.a.w. bersabda: “Beritahukanlah padanya.”
Orang yang bersama beliau s.a.w. lalu menyusul orang yang melaluinya tadi, lalu
berkata: “Sesungguhnya saya mencintaimu.” Orang itu lalu menjawab: “Engkau
juga dicintai oleh Allah yang kerana Allah itulah engkau mencintai aku.”
Subhanallah!!! Begitu indah ukhuwah berteraskan
keimanan dan ketaqwaan. Di saat lupa ada yang mengingatkan, di saat gembira
dikongsi keriangan, di saat lemah didorong kekuatan, di saat sedih dihiburkan
perasaan, di saat sakit diberi perhatian, dan di saat tersalah ditunjuk
kebenaran. Yang menjadikannya terlebih indah kerana melaluinya kita akan
dicintai oleh Allah s.w.t.
Rindukah kita…
Rindukah kita kemesraan itu??? Tanyalah iman di hati,
maniskah ukhuwah kita??? Jika belum terasa manisnya, di mana puncanya??? Silap
siapa??? Jangan menunding jari kepada sahabat kita jika diri kita juga adalah
sahabat mereka. Justeru, muhasabah diri kita, jangan dinilai apa yang telah
atau sedang kita terima dari ukhuwah kita tetapi renunglah apa yang telah atau
sedang kita berikan kepada ukhuwah kita.
Agar ukhuwah semakin indah, marilah kita sama-sama
menyebar mahabbah, mudah-mudahan terasa halawah!!!
No comments:
Post a Comment