Tuesday, April 20, 2010

Sanah Helwah Buat Sahabatku!!!


Buat sahabat di perantauan.. Sanah helwah buatmu.. Sudah genap 22 tahun usiamu.. Kullu Sanah Wa Anta Bi Khoir.. Mudah-mudahan dikurniakan kesihatan, ketenangan dan kekuatan dalam mengharungi perjuangan ini.. Tanggal 20 April.. Lahirnya seorang insan bernama Hamidul Hannan Hasani.. Indah nama ini.. Tersusun cantik seindah maknanya..

Sengaja mencoretkannya di laman tinta ukhuwah ini.. Sebagai tanda ingatan ikhlas dari sahabatmu ini.. Tarikh yang tercatat dalam diari minda ini.. Tidak pernah padam biarpun adakalanya tidak berkesempatan mengucapkan Selamat Hari Lahir buatmu.. Namun diri ini akan terus mendoakan agar dirimu sentiasa berada dalam limpah rahmat dan hidayah serta nikmat daripada Allah s.w.t dalam meniti perjalanan dan perjuanganmu..

Meringankan tangan mencatit kalimah ini.. Biarpun dalam kesibukan waktu ketika ini.. Namun tetap ada waktu untuk diluangkan demi ukhuwah ini.. Jarak bukan penghalang mengeratkan sebuah ikatan.. Kesibukan bukan alasan melupakan persahabatan.. Kejayaan bukan penyebab untuk meninggalkan ukhuwah yang terbina ini kerana pahit manis perjuangan pernah kita lalui bersama..

Teruskan perjuanganmu sahabatku..

Aku di sini.. Meneruskan perjuangan.. Minggu peperiksaan di sini.. Kalau tiada aral melintang.. Ini adalah peperiksaan terakhir buat diri ini di sini.. Terasa amat malas untuk menghadapi peperiksaan begini lagi.. Sudah jemu rasanya.. Sejak zaman sekolah hinggalah universiti.. Exam semata-mata.. Dah tiada semangat untuk melaluinya..

Selepas ini.. Mahu meniti pengajian tanpa exam pula rasanya.. Kalau boleh biarlah sampai ke akhir hayat.. Belajar dan terus belajar.. Doakanlan diri ini.. Mudah-mudahan terus istiqamah dalam menuntut ilmu Allah yang teramat luas ini.. Diri ini masih terlalu jahil.. Banyak lagi yang perlu dipelajari dan diperbaiki.. Terasa amat sedikit ilmu di dada ini.. Untuk dibawa meniti kehidupan ini.. Insya-Allah akan terus mencari dan mencari.. Walau di mana pun nanti..

Ok la.. Cukuplah sampai di sini saja untuk kali ini.. Saje je nak tulis.. Nak mengarang benda-benda ilmiah tiada masa lagi.. Nantilah jika ada kelapangan selepas ini.. Sekarang masih sibuk dengan peperiksaan dan projek akhir..

Apa-apa pun buat sahabat-sahabat selamat berjuang dan semoga berjaya.. Jua selamat menghadapi peperiksaan.. Buat sahabat di kota piramid sana sekali lagi Happy Bestday ya Akhi… Semoga hari ini lebih baik dari semalam dan pastikan esok lebih cemerlang daripada hari ini… Mudah-mudahan dengan kehendak serta taufiq dan hidayah daripada-Nya..

Thursday, April 15, 2010

Terima Kasih Atas Kebencianmu...

Kebencian yang kau pamerkan biarpun dalam diammu jelas terlihat gelisah yang terpancar di wajahmu. Usah kau membohongi jiwa ini. Kerana aku mengenalimu. Terima kasih kerana membenciku. Mungkin ini balasan terhadap kelemahanku. Tidak layak aku berada di sisimu. Aku insan hina. Tidak layak untuk bersama insan sepertimu.

Airmataku mengalir lagi hari ini mungkin kerana kebencianmu. Terasa amat berat menanggung penghinaan ini. Terasa amat perit sekali. Terasa diri ini terbuang jauh dari kamar hidupmu. Aku renung kembali. Keindahan masa nan lalu. Ketika semuanya masih mekar di taman perhubungan ini.

Aku bagai tersepit dalam gelora amarahmu. Bagai ada dendam di dadamu. Memaksa aku berpaling redha. Membiarkanmu dengan amarahmu. Tidak perlu diusik saat ini. Membiarkan ianya berlalu sendiri. Aku bimbang gelora itu semakin parah membara. Kerana langkahku yang mungkin sedia silap. Menjadi semakin bertambah silap.

Seandainya kebencian itu terus membara. Usah kau kenangi diri ini. Bergeraklah kau bebas dalam duniamu. Insan ini mengerti. Kepahitan yang dilalui. Amarah yang kau rasai. Jiwa ini tidak layak dikenang. Diri ini tidak pantas di ingatanmu.

Aku membiarkan airmataku mengalir. Mengenangkan betapa hinanya diriku. Dari matamu yang pernah ku tatap sayu. Dari jiwamu yang pernah dekat denganku. Kerana aku tahu. Banyak perkara yang kau tidak tahu. Mungkin kerana kau tidak perlu tahu.

Dalam kesedihan ini. Ada kebimbangan di hatiku. Kerana kau tidak tahu dan kau tidak pernah tahu. Terlalu banyak rahsia perlu ku pendamkan. Aku menjaganya sebaik-baiknya. Bagiku itu amanah buatku. Tidak layak aku membukanya dan tidak pantas bagiku membicarakannya. Demi menjaga hak bersama. Biarpun berat bagiku untuk menanggungnya sendirian. Namun akan tetap aku gagahi. Demi kita bersama.

Juga aku bimbangkan jika dalam sepi kataku membicarakan segala-galanya. Kau terus menghukum diriku. Dengan kebencian demi kebencian. Mungkin bisa kau sembunyikan. Di sebalik raut wajahmu. Kau bisa membohongiku. Kerana aku tidak mengetahui apa yang tersirat dalam hatimu.

Agar kau tahu betapa aku menhormati keadaanmu. Mempertahankan hakmu padaku. Biarpun bisa aku membencimu lebih dari kebencianmu. Kerana kau tidak tahu. Namun aku cuba menghilangkannya. Dari lubuk hatiku. Biarlah aku mengalah. Demi kita bersama.

Biarpun apa pun yang terjadi selepas ini. Aku redha. Aku terima pendirianmu. Aku terima kebencianmu. Begitu sukar untuk aku menghargaimu. Aku jauh terlalu hina padamu. Namun aku cuba menilai kehadiranmu dalam ikatan ini.

Seandainya kau terus membenciku. Aku tidak mampu berbuat apa-apa. Cuma kemaafan aku pohonkan. Jika kau masih tetap membenciku. Kerana aku insan hina. Selayaknya aku memulakannya. Memohon kemaafan padamu atas kekhilafan itu. Agar kau tahu aku tidak pernah membencimu. Biarpun aku melukai hatimu dan menoreh jiwamu. Tapi aku tidak pernah membencimu.

Biarlah semuanya menjadi rahsia bagiku. Cukuplah aku yang melaluinya. Agar suatu ketika nanti, kau mengerti bahawa sehina-hina diriku. Aku tetap menjaga hakmu. Aku tetap menghargai perhubungan ini.

Satu pintaku. Jika kau tidak menerima satu silap atau salahku. Jangan kau tolak semuanya yang ada padaku. Kerana kau juga perlu adil. Biarpun bukan padaku tapi pada perhubungan ini. Juga kau perlu adil untuk hati dan perasaanmu.

Terima kasih atas kebencianmu!!!

Tuesday, March 30, 2010

Penantian Ini...

Penantian ini..

Amat menyeksa batin..

Terkulai dalam kelemasan tabah..

Melawan arus keinginan nafsu..


Penantian ini..

Terselit rindu dalamnya..

Terbina harapan untuknya..

Namun mungkin sekadar sahaja..


Penantian ini..

Bilakah akan berakhir..

Menemui segala jawapan..

Agar terungkap makna..


Penantian ini..

Kemanisan terasa pahit..

Nikmatnya sudah terbalik..

Sepasti lesu menemani..


Penantian ini..

Bermain dalam waktu..

Terasa keterlambatan sahaja..

Biarpun telah tertulis takdir..


Penantian ini..

Memerlukan kesabaran yang tinggi..

Dalam kerinduan jiwa menghadapinya..

Adakah kemanisan di penghujungnya..


Penantian ini..

Agar cepat ia berlalu..

Melewati kesunyian waktu..

Dalam resah sang perindu..


Tuesday, March 23, 2010

Kini Aku Kembali...

Seminggu berada di kampung halaman cukup merasai nikmat cuti sakit yang diberikan oleh doktor Pusat Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Semester ini terasa banyak kali pula kaki ini singgah di kampung halaman. Baru sebulan yang lalu pulang bercuti sempena tahun baru cina dan kali ini pula bercuti kerana kesihatan yang sedikit terganggu yang memerlukan rehat yang mencukupi dan rawatan susulan yang amat memeritkan. Hihi..

Empat hari di kampung, aku tidak ke mana-mana kerana keadaan diriku yang perlu di ‘kuarantin’ dalam tempoh itu menunggu penyakitku sedikit reda. Alhamdulillah.. selepas empat hari tahap kesihatanku semakin pulih dan stabil. Namun kesan-kesannya masih ada sehingga hari ini. Entah bila akan hilang semuanya.

Tiga hari terakhir pula, aku melepaskan geram kuarantin. Aku mula bergerak aktif. Rata-rata berjalan menikmati hari-hari terakhir cuti. Malam sabtu yang lalu aku berkesempatan mendengar ceramah maulidur rasul di sekolah tercinta. Sudah lama kaki ini tidak menjejak kaki ke bumi Meheliah. Akhir sekali ke sana adalah bagi mesyuarat persatuan alumni pelajar Meheliah (GABPEM) akhir tahun lalu. Itulah kali terakhir menjejak kaki ke situ. Sekolah yang banyak menyimpan kenangan bersama sahabat-sahabat seperjuangan dan guru-guru. Sekolah yang banyak mengajar aku erti kehidupan, agama dan persahabatan. Di situlah pernah ku rasai nikmatnya kejayaan.

Malam itu berkesempatan berjumpa dengan Mudir Madrasah, Ustaz Ariffain Mis. Sudah lama tidak bersua. Mudir kebanggaan yang banyak merintis perubahan di Meheliah. Semoga Meheliah terus cemerlang di bawah kepimpinannya. Melihat suasana di Meheliah malam itu semestinya terimbau memori suatu masa lalu. Melihat adik-adik Meheliah membuka gerai makanan pasti mencuit kenangan yang pernah dilalui bersama-sama sahabat-sahabat pada zaman persekolahan dulu. Begitulah suasana jika diadakan ceramah besar-besaran di sekolah. Teringat juga suasana Pasaria suatu ketika dulu. Sememangnya terlalu banyak kenangan di Meheliah yang sukar dilupakan diri ini.

Tiket malam ini telah habis. Terpaksa aku melewatkan sehari keberangkatanku ke pusat pengajian sehari dan terpaksa aku meninggalkan kuliah pada esok hari. Malam ini, malam terakhirku di kampung halaman. Terasa hendak disambung cuti ini seminggu lagi tapi apakan daya masih banyak kerjaku di sana. Projek ilmiahku entah bila akan ku siapkan. Masa hanya ada sebulan sahaja lagi untuk mencari maklumat dan menulis. Mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan dan dapat ku menyiapkannya nanti dalam tempoh yang ditetapkan.

Tenang rasanya berada di kampung biarpun sedikit terasa ketiadaan teman-teman di sisi. Mujurlah ada si permata hati yang menguatkan perjuangan ini. Bersama dengannya sepastinya menghilangkan segala beban yang terpikul di minda ini. Dalam suasana yang tenang dapat lagi ku tatapi seraut wajahnya yang ku rindui dan sepastinya senyumannya yang tidak dilupakan diri ini. Dalam sepi waktu ini, cukuplah hadirnya mengubat keresahan rindu di jiwa. Biarpun seketika bersama tapi ianya cukup bermakna. Terima Kasih ya Allah.. Kau hadirkan permata hati dalam penantian ini. Semoga terus kuat menghadapi perjuangan ini. Dan ketika ini aku kembali menyambung langkah. Meneruskan perjalanan hidup di perbukitan ilmu ini…