Thursday, July 23, 2009

..:Kerana Aku Bukan Sahabatmu:..

Dalam meniti persahabatan ini

Tiada yang lebih bererti

Miliki teman yang mengerti

Miliki sahabat yang sejati


Hati ini mengharapkan

Teman yang ditemui

Mengukir memori tersendiri

Dalam persahabatan ini


Kerana kau sahabatku

Tidak pernah dilupakan

Saat berada di puncak tinggi

Kau masih dekat di hati


Kerana persahabatan ini

Bukan hanya hari ini

Bukan hanya saat ini

Tapi hingga ke akhir nanti


Kerana pengorbananmu teman

Tidak pernah dilupa insan ini

Biarpun diri berlalu pergi

Namun akan setia menemani


Dalam ketenangan diri ini

Ada resah yang tersembunyi

Dalam kesepian waktu

Ada rindu berbisik syahdu


Kini segalanya berubah

Melewati saat sukar ini

Disangka panas hingga ke petang

Rupanya hujan di tengah hari


Kerana aku bukan sahabatmu

Terus ditinggal pergi

Dalam memori sepi

Tanpa berpaling lagi


Kerana aku bukan sahabatmu

Terus dibiarkan sendiri

Meniti perjalanan ini

Mencari kekuatan diri


Kerana aku bukan sahabatmu

Dari perananmu aku mengerti

Kehadiran yang tiada erti

Pemergian tiada peduli





Kerana Aku Bukan Sahabatmu

22 Julai 2009

10.00 P.M.

Hanya Kecewa, Bukannya Benci...

Karenah teman-teman rumah sewa di Taman Universiti mencuit hatiku. Kadang-kadang tergelak bila terdengar kata-kata yang melucukan. Membuat hatiku sedikit ceria dan terhibur. Itulah realiti kehidupan kami seharian di sini. Biarpun masing-masing sibuk, tapi masih ada ruang masa berkumpul di ruang tamu sambil menonton TV dan berbual-bual. Sesekali berbincang tentang sesuatu isu. Saling memberi pandangan dan pendapat menjadikan isu yang dibincangkan semakin panas.


Sudah dua semester lebih aku bersama dengan teman-teman di rumah sewa ini. Biarpun kebanyakan mereka berasal dari negeri-negeri di utara tanah air, namun tidak aku berasa asing berada di celah kelompok mereka. Mereka banyak membantu sepanjang aku di sini. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t kerana dianugerahkan teman-teman yang memahami keadaanku. Merekalah sumber kekuatan ketika ini dalam meniti perjalanan di universiti ini.


Aku kagum dengan keakraban yang ditunjukkan oleh teman-teman serumah di sini. Dari zaman sekolah sehinggalah di universiti, mereka masih setia mengikat persahabatan sesama mereka. Saling menghargai antara satu sama lain. Saling menghormati dan saling membantu. Berbeza dengan teman-temanku. Jauh bezanya. Terlalu jauh.


Biarpun teman-teman sekolah dulu berada di universiti yang sama, namun masing-masing membawa haluan sendiri. Terasa bagai sendirian meniti perjuangan ini. Mencari kekuatan ketika diri berjauhan dari keluarga di kampung halaman. Entahlah, mungkin terselit rasa kecewa dengan sikap teman-teman sebenarnya.


Saat post ini ditaip, hatiku telah beberapa kali tersentak dengan pertanyaan seorang teman tentang persahabatanku. Hati mana yang tidak terkesan bila keakraban yang pernah dirasa dulu tidak lagi terasa. Malah semakin jauh.. Jauh dan jauh sekali.. Terasa malu untuk mengiyakannya biarpun hakikatnya adalah benar. Terasa amat pahit,kelat dan perit untuk mengungkapkannya walaupun hanya kalimah’ya’. Hati mana yang tidak terkilan dengan sikap teman-teman begitu. Namun inilah realiti yang terpaksa dihadapi diri ini.


Kadang-kadang hati ini berbisik. Siapakah yang dapat ku harapkan jika berlaku apa-apa kepada diriku ketika berjauhan ini? Kalau dulu aku mengharapkan sahabat yang lebih mengenaliku. Namun kini mungkin tidak. Apalah yang aku dapat harapkan daripada mereka. Bertanya khabar pun tidak pernah. Bahkan tidak pernah kisah. Sepi.


Kenyataan temanku bagaikan mencengkam naluriku. Bagaikan aku yang bersalah dalam situasi ketika ini. Mungkin dia tidak pernah mengerti siapa aku. Mungkin dia tidak tahu bagaimana hubungan aku dengan sahabat-sahabatku. Aku tidak menyalahkannya walau apapun pandangannya terhadap diri ini. Aku redha. Mungkin ini jalan terbaik bagiku. Cukuplah aku sendiri merasakannya. Aku sudah tidak berdaya memulakannya. Aku sudah tidak punya kekuatan. Aku perlukan masa untuk semua ini.


Cukuplah selama ini aku yang memulakannya. Biarlah aku mempertahankan pendirianku. Jika diri ini ego dalam tanggapan temanku itu. Biarkanlah asal aku tahu siapa aku. Aku tahu kedudukanku dan akan tetap dengan pendirianku. Sudah lama aku belajar memendamkan keegoan dalam diriku. Meletakkannya pada tahap paling minimum. Namun hingga saat ini keegoan ini seolah-olah dicabar. Memaksa aku melawan arusnya. Cukuplah selama ini aku bertahan. Demi kepentingan bersama. Demi ukhuwah ini.


Percayalah, hanya kecewa. Bukan kebencian menguasai jiwa ini. Kalimah benci tidak pernah wujud dalam kamus persahabatan ini. Hanya yang ada kasih dan sayang, rindu dan harapan. Nikmat yang Allah s.w.t anugerahkan dalam hati ini. Manisnya terasa. Hati ini tidak berdusta. Hati ini lebih mengerti apa yang dirasakannya.


Tiada apa-apa yang aku harapkan ketika ini. Cuma yang aku harapkan hanyalah pengertian. Kerana untuk menghargai persahabatan ini memerlukan kesabaran dan ketabahan. Jua kerelaan hati untuk menghadapinya. Ia nampak ringan sahabatku. Tapi hakikatnya....


Tidak sanggup aku menitipnya lagi sahabatku. Terasa amat pahit dan perit. Cukuplah sekadar itu dari lubuk hatiku. Terlalu sukar rasanya menghargaimu. Terlalu payah menghargai persahabatan ini. Sebak rasa hati ini. Berat sekali. Biarlah kepiluan rasa menemani mimpiku malam ini. Aku tidak menyalahkan sesiapa. Mungkin ini kesilapanku...


Ya Allah, Ampunilah dosa-dosaku. Teguhkanlah hati hamba-Mu ini. Kuatkanlah semangatku dalam meniti perjuangan ini. Tabahkan hatiku menghadapi segala dugaan-Mu. Teguhkanlah iman hamba-Mu ini. Tunjukilah aku jalan yang lurus. Jalan yang Kau redhai. Jalan menuju nikmat-Mu”. Amin. Amin ya Rabbal ’Alamin...


Tuesday, July 21, 2009

Seraut Wajah


Seraut wajah

Putih seri bercahaya

Tenang mengatur langkahnya

Redup sayu matanya

Sinar hening pandangannya


Seraut wajah

Saat melirik senyumannya

Menghibur duka nestapa

Amat terasa manisnya

Di lisan sentuhan jiwa


Seraut wajah

Tika membuka bicara

Lembut tulus bahasanya

Begitu terasa indah

Sulaman kata madahnya


Seraut wajah

Murah gelak tawanya

Sebalik lontaran suara

Walau terselit malunya

Kerana belum terbiasa


Seraut wajah

Rupa penyejuk mata

Mengubat rindu di hati

Mengalir suci wudhuknya

Memancarkan nikmat seri


Seraut wajah

Milik insan bertuah

Bersih disulami taqwa

Dengan tekad imannya

Terdidik dengan hebatnya


Seraut wajah

Tiada ternilai harganya

Anugerah indah Ilahi

Bukti agung ciptaan-Nya

Moga terus disyukuri


Seraut wajah

Tersimpan seribu erti

Sebalik tenangnya diri

Ada rindu tersembunyi

Tetap dibiarkannya sepi


Seraut wajah

Padanya ada segala

Gambaran suka duka

Mungkin riang ceria

Atau titisan airmata


Seraut wajah

Tersimpan sejuta rahsia

Memang sukar ditafsir

Dengan kalutan jiwa

Tanpa pengertian hati


Seraut wajah

Dambaan jiwa seorang teman

Padanya ada kesamaan

Melegakan kehangatan rindu

Buat teman di perantauan


Seraut wajah

Pastinya menggamit kenangan

Pada teman di perjalanan

Biarpun beribu batu jauhnya

Terasa dekat sedarah rasa


Seraut wajah

Peninggalan yang terlalu indah

Detik sepi teman berlalu

Mengisi ruang ketiadaannya

Saat hilang di bayangan mata


Seraut wajah

Biarpun keakraban tidak terasa

Seerat ikatan dengan saudaranya

Namun munculnya amat bermakna

Mengisi kesepian rinduan rasa




Seraut Wajah

29 Disember 2008

11.45 P.M

Monday, July 20, 2009

Tanggal 27 Rejab 1430H...

Pejam celik pejam celik, kita sudah hampir ke penghujung bulan Rejab. Hari ini bersamaan 27 Rejab 1430H. Satu tarikh yang mulia. Ada peristiwa besar yang telah berlaku pada tanggal ini. Peristiwa yang terukir dalam sejarah Islam. Peristiwa yang tercatat dalam al-Quran. Peristiwa yang dilalui oleh Rasul junjungan mulia Muhammad s.a.w. Iaitu peristiwa agung perjalanan Isra’ dan Mi’raj.


Umum mengetahui bahawa Isra’ adalah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Manakala Mi’raj pula adalah perjalanan naik Nabi Muhammad s.a.w dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha menemui Allah s.w.t bagi menerima fardhu solat.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud:


"Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."

(Surah al-Isra’: ayat 1)


Maksud ayat al-Quran tersebut menjadi dalil peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang berlaku kepada baginda Rasulullah s.a.w yang diperjalankan oleh Allah s.w.t untuk menunjukkan bukti kekuasaan-Nya dimana Dia berkuasa memperjalankan hamba-Nya dalam tempoh satu malam sahaja.


Sepanjang perjalanan itu, Nabi Muhammad s.a.w diperlihatkan oleh Allah s.w.t dengan pelbagai nikmat dan juga azab-azab yang disediakan kepada hamba-Nya yang beriman atau sebaliknya. Antaranya, nabi telah diperlihatkan satu kejadian aneh di mana terdapat segolongan manusia yang bercucuk tanam pada suatu hari dan pada hari berikutnya menuai hasilnya dan begitulah seterusnya. Nabi s.a.w juga telah diperlihatkan satu golongan manusia yang disediakan dua bekas berisi daging. Bekas yang pertama berisi daging yang telah masak, enak dan segar. Manakala bekas yang kedua berisi daging yang mentah, busuk dan hanyir. Namun manusia tetap memilih daging yang mentah itu walaupun ada yang lebih elok.


Kisah Isra’ dan Mi’raj adalah satu peristiwa yang menguji keimanan umat Islam ketika itu. Hanya dengan keimanan yang teguh membuatkan umat membenarkannya seperti sahabat baginda s.a.w iaitu Saidina Abu Bakar yang telah membenarkan peristiwa tersebut. Sebab itulah Saidina Abu Bakar diberi gelaran as-Siddiq. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini juga membuktikan betapa mulianya ibadah solat berbanding dengan ibadah-ibadah lain dalam Islam. Ibadah solat adalah ibadah yang diterima terus oleh Nabi Muhammad s.a.w daripada Allah s.w.t tanpa perantaraan malaikat Jibril a.s.


Beberapa hari lagi, Rejab akan meninggalkan kita. Selepas ini akan kita lalui pula bulan Sya’baan seterusnya kita akan bertemu dengan bulan Ramadhan al-Mubarak. Sepatutnya bulan Rejab ini menjadi bulan kita mentarbiah diri kita dengan mula membiasakan diri kita dengan amalan-amalan sunat sebagai persiapan kita menyambut bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan tidak lama lagi.


Sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah berdoa ketika berada dalam bulan Rejab yang bermaksud:


Ya Allah Ya Tuhan Kami, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Sya’baan dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan”.


Nabi s.a.w bersungguh-sungguh memohon kepada Allah s.w.t agar disampaikan usia kepada bulan Ramadhan melambangkan betapa mulianya bulan Ramadhan yang mana pada malam-malamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Oleh sebab itu, Rasulullah menganjurkan kepada umatnya supaya berdoa mudah-mudahan Allah s.w.t memberkati kehidupan di bulan Rejab dan Sya’baan dan memanjangkan umur kita hingga sampai ke bulan Ramadhan al-Mubarak.


Ada ulama’ berpendapat bahawa bulan Rejab ini adalah bulan menanam, bulan Sya’baan sebagai bulan berbuah manakala bulan Ramadhan adalah bulan mengutip hasil.


Sebahagian ulama’ yang lain pula berkata bahawa Rejab itu ibarat bulan angin bertiup, Sya’baan pula bulan awan berkumpul manakala Ramadhan adalah bulan hujan turun.


Ibarat perumpamaan yang digambarkan oleh para ulama’ tersebut menunjukkan bahawa perlunya kita bersedia untuk menghadapi bulan Ramadhan bermula dari bulan Rejab lagi. Yang mana kita diseru meningkatkan amalan-amalan kita dari sehari ke sehari dan dari semasa ke semasa bagi kita mengecapi nikmat yang sebenar-benarnya ketika berada dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Tanpa pentarbiahan dan pengisian jiwa dengan amalan-amalan kebajikan di peringkat awal mana mungkin kita mampu menghadapi bulan Ramadhan yang mulia nanti dengan sebaik-baiknya.


Oleh yang demikian itu, marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan amalan-amalan soleh mudah-mudahan kita lebih bersedia menjalani ibadah di bulan Ramadhan dan mendapat rahmat dan keredhaan daripada Allah s.w.t.



Sunday, July 19, 2009

Tanggal 18 Julai 2009: Sebuah Pertemuan...

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Setiap perpisahan belum pasti ada pertemuan. Itulah suratan hidup ini. Aku mengucapkan syukur ke hadrat Allah s.w.t di atas segala nikmat yang dikurniakan-Nya. Hari ini hari yang paling bahagia rasanya. Dianugerahkan oleh Allah s.w.t sebuah pertemuan yang tidak disangka-sangka. Baru semalam aku menghubungi dia setelah sekian lama sepi beritanya. Semalam aku bertanya khabar menerusi mesej buatnya kerana baru beberapa hari yang lalu memperoleh nombor telefonnya daripada seorang teman lama. Sudah lama rasanya tidak bersua dengannya.


Detik pertemuan yang membahagiakan jiwa. Dia tidak banyak berubah. Bagaikan baru semalam dia berlalu. Keceriaan dan keakraban terasa bagaikan seperti dulu. Biarpun hakikatnya sudah lama masa berlalu. Saat bertemu di Masjid UKM petang tadi, senyumannya melirik riang ke arahku. Saat pertemuan itu kami berpelukan melepaskan kerinduan. Maklumlah sudah terlalu lama tidak berjumpa. Suaranya yang ku nanti sekian lama. Akhirnya menusuk jua ke ruang telinga. Menatap wajahnya untuk sekian kalinya yang ku damba selama ini. Itulah detik pertemuan dengan sahabat lama. Hatiku mengucapkan syukur yang tidak terhingga kepada-Nya di atas pertemuan ini.


Dia sahabat zaman kanak-kanak sebelum meniti alam remaja. Dia sahabat zaman sekolah rendah. Sahabat yang hebat. Sahabat kebanggaanku. Suatu ketika dulu, kejayaannya menjadi pendorongku. Zaman sekolah rendah yang masih dalam ingatan. Adalah kisah-kisahnya biarpun bukan semua yang masih ku ingat. Namun dia pembakar semangatku. Hingga ku genggam kejayaan demi kejayaan. Dalam meniti zaman remaja.


Sedikit mengimbau memori lalu ketika bersamanya. Sepastinya terdetik kenangan di sekolah rendah dulu. Ketika itu di darjah 6. Sekolah Kebangsaan Geting 1. Kelas 6 Anggerik tahun 1999. Tahun itu, kami bakal menduduki UPSR. Peperiksaan yang penting di peringkat sekolah rendah selepas 6 tahun berada di situ bermula tahun 1994.



Tidak banyak ingin ku imbas. Sekadar cebisan-cebisan sejarah yang menjadi kenangan manis untuk hidup ini. Masihku ingat, ketika keputusan percubaan keluar. Seingat aku, aku hanya mendapat 1A 3B dan 1D. Sedangkan sahabatku itu mendapat 5A. Dia sahabat yang hebat. Aku kagum dengannya. Satu majlis perhimpunan meraikan kejayaannya. Semua guru memberi hadiah kepadanya sebagai peransang untuknya agar mengekalkan kecemerlangan dalam UPSR yang sebenar. Betapa bahagianya dia saat itu. Merasai nikmat kejayaan yang tidak pernah dirasai oleh diri ini. Bagiku, kalau dia boleh kenapa aku tidak. Aku tidak pernah menguji kesungguhanku. Semangatku selalu luntur.


Kejayaannya itu bagaikan membakar semangat dalam diriku. Ketika itu hanya tinggal sebulan lagi UPSR yang sebenar akan berlangsung. Aku berjanji pada diriku untuk berusaha sebaik yang mungkin. Aku banyak belajar daripadanya. Jika ada apa-apa yang tidak ku faham aku akan bertanya kepadanya dan juga bertanya pada teman-teman yang lain. Mereka banyak membantu. Aku hanya pelajar biasa. Nombor dalam kelas pun hampir-hampir penghujung. Dengan tempoh masa yang berbaki itulah aku berjuang. Pagi petang siang malam mengulangkaji pelajaran sehinggalah berakhirnya UPSR.


Keputusan UPSR amat mengejutkanku. Aku bersorak riang ketika slip keputusan UPSR digenggaman. Mana tidaknya. Aku mendapat 4A 1C. Manakala sahabatku itu terus mengekalkan kecemerlangannya. 5A terus dalam genggamannya. Tahniah sahabatku!!!.


Namun satu kata-katanya yang akan aku ingat sampai bila-bila dan akan ku bawa bersama meneruskan perjuangan hidup ini. ”Kamu hebat Nan!!!”. Masih terngiang-ngiang di telinga ini. Terharu rasanya hati ini ketika mendengar kata-kata itu terpacul dari mulutnya. Ikhlas dari bibirmu sahabatku. Terima kasih sahabatku!!!. Biarpun kau di puncak jaya, namun kau masih merendah diri. Tidak angkuh dan tidak pula meninggi diri.


Aku banyak belajar daripadamu sahabatku. Dari dirimu aku mencari kekuatan. Bermula dari situlah aku rasakan adanya semangat juang dalam diriku. Semangat yang aku bawa ke medan perjuangan seterusnya. Hingga ke hari ini dan ke akhirnya. Insya-Allah.


Kejayaan demi kejayaan aku kecapi. Biarpun tanpamu di sisi sahabatku. Tapi semangatmu tetap menemani perjalanan ini. Bukan hendak berbangga dengan kejayaanku hari ini kerana kau jauh lebih cemerlang daripadaku. Kejayaanku tiada apa-apa nilai sahabatku. Namun kekuatan ukhuwah itulah yang lebih bernilai. Tanpa kau sahabatku, mungkin aku tidak mampu mengecapi semua itu. Ucapan terima kasih dariku buatmu sahabatku. Norfaiz Bin Mohd Mokhtar. Dirimu mencipta memori tersendiri dalam kamus hati dan kehidupanku.


Mengenalimu sahabatku, membuatkan aku menghargai sebuah persahabatan. Kerana tanpa sahabat, aku tidak mampu berjaya. Aku tidak mungkin mempunyai kekuatan untuk berjuang sendirian. Di saat aku ditimpa kegagalan. Sahabatlah sumber kekuatan. Agar tidak terus rebah. Kerana itulah di saat aku merasai nikmat kejayaan. Tidak pernah aku melupakan sahabat-sahabatku. Mereka juga patut menikmatinya bersama. Bagiku kejayaanku adalah kejayaan buat sahabat-sahabatku. Kejayaan buat semua. Biarpun aku berlalu. Namun sahabat tetap di hatiku. Dekat sekali.


Tiada ertinya kejayaan bagiku jika aku melupakan insan-insan yang banyak berkorban padaku. Aku hanya insan biasa. Dari bawah aku bermula. Biarpun berada tinggi di puncak sekalipun, aku akan terus memandang ke bawah. Kerana bawah adalah permulaan. Tanpa permulaan tiadalah penghujungnya. Aku hanya insan biasa. Semuanya aku belajar dari hakikat kehidupan silam. Dari sahabat setia.


Pertemuan hari ini sepastinya mengubat rindu di hati. Suara yang dirindui. Wajah yang dinanti. Sahabat yang ku cari sekian lama. Kini ku temui. Semoga pertemuan ini dapat menceriakan kembali persahabatan yang telah sepi sekian lama. Semoga Allah s.w.t merahmati persahabatan ini dan persahabatan kita semua...




***Sahabatmu***

18 Julai 2009

10.05 P.M.

Ucapan Takziah Buatmu…

Setiap yang hidup pasti merasai mati. Itulah hakikat kehidupan ini. Hidup di dunia ini adalah persinggahan sementara menunggu saat di panggil oleh Allah s.w.t ke alam yang kekal abadi iaitu alam akhirat.

Dunia ini adalah tempat untuk mencari bekalan amalan untuk dipersembahkan kepada tuhan Rabbul Jalil di akhirat kelak. Setiap amalan sama ada baik atau buruk telah dijanjikan balasannya sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran. Firman Allah s.w.t yang bermaksud dalam surah al-Zalzalah ayat 7-8 yang bermaksud:

maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini tidak panjang. Bila tiba waktu ajal seseorang maka tidak akan dipercepatkan walaupun sesaat dan tidak akan diperlambatkan walaupun sesaat. Itulah hakikat yang terkandung dalam al-Quran yang mulia.

Kematian adalah sesuatu yang pasti terjadi dan tidak dapat dielakkan oleh sesiapa pun. Namun apa yang penting adalah persiapan kita dalam menghadapi kematian agar kita mati dalam keimanan dan di redhai oleh Allah s.w.t serta mendapat nikmat-Nya.

Oleh yang demikian, Islam menyeru manusia agar berbuat kebaikan dan meninggalkan keburukan. Islam juga menganjurkan kepada manusia supaya selalu mengingati mati dan takutkan azab Allah s.w.t. Ini adalah benteng bagi mengelakkan manusia melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah s.w.t dan sebagai pendorong kepada manusia agar melakukan perkara-perkara yang baik.

Kelmarin, aku dikhabarkan oleh sahabatku bahawa ayahnya telah meninggal dunia. Ucapan takziah buatmu sekeluarga sahabatku. Aku turut bersimpati denganmu. Semoga tabah menghadapi dugaan ini. Banyak-banyaklah berdoa dan mengingati Allah s.w.t. Semoga roh ayahmu dirahmati Allah s.w.t dan ditempatkan bersama golongan orang yang soleh. Al-Fatihah.

Sahabatku,
Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

apabila mati seorang anak Adam maka terputuslah semua amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, anak yang soleh yang mendoakannya dan ilmu yang bermanfaat.

Oleh itu sahabatku, janganlah bersedih. Jadilah anak yang soleh kerana itulah impian setiap ibu bapa apabila mereka tiada lagi di dunia ini mudah-mudahan anak-anaknya mendoakan kebahagiaan mereka di alam sana. Redhalah dengan ketentuan Allah s.w.t ini sahabatku...


Wednesday, July 15, 2009

Memori Bersamamu...

Di malam yang sepi ini, tenang dan damai ku rasakan. Tatkala ku menaip post ini. Aku masih di kampung halaman. Entah mengapa mataku tidak mahu lena malam ini. Beberapa hari di kampung. Perasaan boring mencengkam jiwa. Tiada apa yang dapat ku lakukan di sini. Cukuplah rasanya seminggu bercuti di sini. Dua orang teman dari Mesir telah ku temui. Tidak banyak berbual dengan mereka dan tidak banyak masa dihabiskan dengan mereka.


Entah mengapa terasa kekok untuk berbicara. Mungkin sedikit segan dengan mereka. Terasa tidak puas lagi bersama mereka. Maklumlah sudah lama tidak berjumpa. Bila mereka pergi lagi selepas ini, entah bila pula rasanya akan kembali. Bukan tidak mahu bertemu dengan mereka tapi tidak mahu menganggu mereka. Biarlah mereka dengan urusan mereka. Mindaku melayang mengingati sahabat yang masih di sana. Di kota ilmu tempat impiannya sejak dahulu lagi. Sudah lama tidak bertemu. Mujurlah kadang-kadang berhubung melalui YM. Kalau tidak terus sunyi tanpa khabar berita.


Sesekali terkenang memori lalu. Bersama sahabatku itu. Zaman persekolahan yang tidak pernah ku lupakan. Masih lagi ku ingat, sebulan sebelum peperiksaan STAM, kami sama-sama berjuang. Di Qa’ah Ishlah Lughoh 'Arabiyyah kami berkumpul. Menginap di situ bersama teman-teman yang lain. Dari ramainya teman sehingga akhirnya hanya tinggal aku dan dia. Terus setia di situ.



Melewati hari-hari itu, ketika itu bulan puasa. Sama-sama bersahur. Sama-sama berbuka. Sama-sama memasak dan menghidang juadah. Kami sama-sama berjuang. Menghafal bersama-sama. Mengulangkaji dan bertadarus. Kadang-kadang teman-teman lain datang menemani. Saling membantu dan bekerjasama. Namun yang banyaknya adalah gurau-senda, lawak jenaka dan riang gembira. Memecah sepi di malam hari. Mewarnai perjalanan waktu itu. Itulah memori ketika bersama. Sukar dilupakan hati ini. Pahit manis perjuangan dirasa bersama.


Alhamdulillah, akhirnya keputusan MUMTAZ milik kami. Biarpun sekadar saja. Tapi itulah usaha kami. Titik peluh kami memerah keringat minda. Itulah kejayaan kami bersama. Jua teman-teman yang lain. Memecah rekod dalam peperiksaan STAM 2006 selepas memecahkan rekod dalam SPM 2005 dan SMU 2004 bagi SMU (A) Meheliah Geting. Batch Meheliah yang unggul. Syabas buat semua!!!



Itulah kenangan bersama. Kenangan antara aku dan dia. Sahabat yang setia. Teguh berdiri dengan semangat yang ada. Saling membakar. Menyemarakkan semangat ukhuwah dalam perjuangan ini. Dari Meheliah hingga ke akhirnya…


Hari ini, kau di sana sahabatku. Sementara aku di sini. Meneruskan perjalanan hidup ini. Berjuanglah sahabatku. Teruskan perjuanganmu hingga ke akhirnya. Aku sentiasa mendoakan kejayaanmu. Moga pulangmu nanti sebagai cahaya yang menerangi. Genggamlah bara api itu sahabatku. Biarpun ia panas namun percayalah ia akan padam. Panas akan hilang. Sejuk jua akhirnya. Biarpun pahit jalan yang dilalui ini sahabatku. Namun percayalah. Manis akan menjelma...




***Sahabatmu***

Tarikh 09/07/2009 jam 2.05 A.M.

Tuesday, July 14, 2009

Transformasi GABPEM - Satu Kemestian!!!!


Satu tajuk discussion dalam group Meheliah Alumni di laman friendster amat menarik untuk dibincangkan. Entah mengapa post ini menarik perhatian ana. Ana memang amat bersetuju dan menyokong penuh cadangan tersebut kerana merasakan sudah tiba masanya satu-satunya persatuan alumni SMU(A) Meheliah Geting atau dengan nama penuhnya Gabungan Bekas Pelajar Meheliah (GABPEM) bergerak aktif dalam membantu pihak sekolah mencapai Misi dan Visi sekolah.


Sebagai seorang alumni, ana masih kurang jelas mengenai Misi dan Visi GABPEM. Bukan hendak mempertikaikan kewujudan GABPEM kerana ana juga adalah salah seorang alumni Meheliah, tetapi itulah hakikatnya. Seharusnya, Misi dan Visi GABPEM perlu diperjelaskan secara terperinci kepada semua pihak terutama pelajar-pelajar di sekolah. Nama GABPEM seperti tenggelam timbul dalam kalangan pelajar serta alumni itu sendiri. Macam Chipsmore. Kejap ada, kejap tiada. Kemungkinan besar disebabkan kurangnya aktiviti yang melibatkan GABPEM di sekolah.


Sewajarnya hari ini, GABPEM sudah boleh berdiri sebagai sebuah persatuan alumni yang bergiat aktif dalam merealisasikan Misi dan Visi sekolah serta alumni sepertimana persatuan alumni di kebanyakan sekolah menegah yang lain. Para alumni Meheliah seharusnya memainkan peranan mereka bagi memastikan Misi dan Visi GABPEM tercapai. Jika benar-benar GABPEM mahu melakukan ‘transformasi’, semestinya ada penggerak yang memulakannya. Tapi siapakah yang sudi menjadi penggerak???


Kebanyakan alumni Meheliah seperti tidak mempedulikan kewujudan GABPEM. Inilah masalah yang paling besar. Apakah sebenarnya punca alumni Meheliah tidak prihatin terhadap kegiatan alumni??? Kemungkinan besar adalah kerana tiada organisasi khusus yang bertanggungjawab bagi memastikan kelangsungan kegiatan GABPEM menyebabkan alumni Meheliah kurang berminat untuk mengambil tahu tentang kegiatan GABPEM. Keadaan ini menimbulkan masalah kepada alumni kerana tiada tempat yang khusus untuk dijadikan sebagai rujukan.


Perbincangan berkenaan dengan GABPEM adalah baik dan perlu diteruskan seperti di laman friendster terutamanya di group Meheliah Alumni dan juga di blog GABPEM. Di samping itu, kata sepakat mesti dicapai bagi mengadakan satu perbincangan ataupun mesyuarat yang bertujuan melantik secara rasmi organisasi kepimpinan GABPEM yang terbaru. Organisasi ini akan berperanan sebagai tempat rujukan kepada semua pihak berkaitan dengan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan GABPEM. Di samping itu juga, ia berperanan sebagai perancang aktiviti-aktiviti GABPEM yang seterusnya.



Kini sudah tiba masanya, alumni Meheliah duduk semeja mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh GABPEM. Biarpun tidak ramai alumni yang akan terlibat pada permulaan ‘transformasi’ ini namun ia mesti dimulakan. Biarpun langkah pertama adalah langkah yang paling sukar, namun dengan kerjasama dan kesungguhan daripada warga alumni insya-Allah ia akan menjadi lebih mudah. Kita mesti ingat bahawa tanpa langkah pertama, “transformasi GABPEM” yang dicanang tidak mungkin dapat direalisasikan.


Sekiranya langkah pertama berjaya, ia akan memudahkan langkah-langkah yang seterusnya. Tidak mustahil jika suatu hari nanti, GABPEM dapat menganjurkan Muktamar Alumni Meheliah seperti yang dijalankan di sekolah-sekolah menengah yang lain. Muktamar adalah penting bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit dan membentangkan kewangan serta bajet GABPEM di samping bertukar-tukar pandangan dan mendapatkan cadangan serta usul yang mesti dilaksanakan oleh kepimpinan GABPEM bagi meningkatkan kualiti GABPEM pada masa akan datang.



Aktiviti-aktiviti yang melibatkan GABPEM perlulah diperbanyakkan dan dipelbagaikan bukan sahaja aktiviti motivasi tahunan GABPEM kepada pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM dan PMR seperti MIRJAN’09, Kem PESAT’08 dan PKAA’07 tetapi juga harus menganjurkan kegiatan-kegiatan lain seperti Kem Pemantapan Solat, Kem Kepimpinan Pelajar dan sebagainya di peringkat sekolah. Kegiatan GABPEM mestilah melibatkan semua alumni Meheliah tanpa mengira batch. Ini adalah bertujuan bagi mengeratkan ikatan ukhuwah sesama alumni dan mewujudkan perpaduan serta kerjasama dalam kalangan ahli GABPEM.


Diharap setiap kegiatan alumni yang mendapat lampu hijau daripada pihak sekolah dipostkan di ruangan announcement di group Meheliah Alumni (friendster) dan juga dipostkan ke dalam blog GABPEM yang sedia ada iaitu di alamat http://mygabpem.blogspot.com/ serta mana-mana laman yang sesuai bagi makluman kepada semua pihak khususnya kepada alumni yang berada di IPTA/IPTS kerana kebanyakan mereka sering melayari internet terutama laman-laman sosial seperti friendster, myspace, hi5, tagged dan sebagainya.


Diharapkan semoga “transformasi GABPEM” yang dicanang menjadi sebuah kenyataan. Ana menyeru kepada semua alumni Meheliah agar dapat memberikan kerjasama yang sewajarnya bagi menjayakan usaha murni ini. Tanpa kerjasama daripada semua pihak, persatuan alumni Meheliah tidak akan mampu melakukan perubahan demi kebaikan bersama. Semoga Allah s.w.t membalas pengorbanan dan usaha murni kita bagi menjayakan “transformasi GABPEM” dengan kebaikan disisi-Nya. Amin.




***Alumni Meheliah***

Batch SPM 2005,

SMU(A) Meheliah Geting.

Monday, July 13, 2009

Selamat Bercuti dan Selamat Berjuang Sahabatku!!!

Selepas 8 minggu menjalani praktikal di Kementerian Dalam Negeri. Tidak sabar rasanya menunggu masa untuk pulang ke Kelantan. Sebaik tamat praktikal, aku terus pulang ke kampung halaman selama satu minggu. Lega rasanya hati ini dapat berjumpa dengan ayahbonda tercinta dan juga dengan sanak-saudara di kampung. Keadaan kesihatan ayah yang tidak terlalu sihat membuatkan hatiku sedikit sayu.


Sebenarnya, tiada peruntukan cuti untukku. Sengaja aku tidak mengikuti kuliah pada minggu pertama. Tidak tertahan rasa untuk pulang. Ingin sekali berjumpa dua sahabat yang pulang dari Mesir. Tidak ku khabarkan kepulanganku kerana pada awalnya aku merancang untuk pulang pada minggu kedua perkuliahan. Tetapi memandangkan laporan praktikal sudahpun siap dan bimbang sedikit sibuk pada minggu kedua dengan urusan di Kelab Jabatan menyebabkan aku mengambil keputusan untuk pulang seminggu lebih awal.


Selama seminggu di kampung tidaklah banyak aktiviti yang ku lakukan. Letih melayan karenah anak-anak buahku dan menjaga my new niece. Lagipun tidak ramai sahabat-sahabat di kampung. Kebanyakannya sudah kembali ke pusat pengajian masing-masing. Amat membosankan. Inilah antara sebab aku jarang pulang ke kampung. Tiada benda yang hendak dibuat. Cuma adanya sahabat-sahabat dari Mesir menjadikan pulang kali ini berbeza dengan yang lepas. Terasalah juga semangat untuk pulang. Maklumlah sudah lama tidak berjumpa.


Apapun cukuplah seminggu di kampung. Menenangkan fikiran dan merehatkan badan. Deruan angin pantai juga telah dirasai. Tenang dan mendamaikan hati. Di sini tiada pantai. Cuma yang ada bukit-bukau. Hijau nyaman mata memandang. Kalau adapun pantai. Terlalu jauh. Di Port Dickson sana. Jarang sekali dapat ke sana. Jalan-jalan mencari ilham. Mendengar tiupan angin pantai dan bahar-bahar ombak nan indah.


Hari ini aku selamat kembali ke perbukitan ilmu ini. Meneruskan perjuangan di Universiti. Pada sahabatku di kampung, selamat bercuti. Kepada sahabat di pusat pengajian. Selamat berjuang. Sama-samalah kita mendoakan kejayaan kita bersama...