Lumrah dalam sesebuah perhubungan, adakalanya kita
ditegur dan dinasihati. Adakalanya kita yang menegur dan menasihati. Itulah
hubungan kesalingan yang perlu wujud dalam sesebuah ikatan. Tidak kiralah apa
jua status hubungan itu sama ada merangkumi hubungan kekeluargaan,
persaudaraan, persahabatan, suami isteri, masyarakat dan sebagainya.
Fahamilah dan ketahuilah bahawa setiap teguran atau
nasihat bukan bererti orang yang ditegur dan dinasihati itu melakukan kesalahan
mahupun dosa tetapi ianya mungkin sebuah peringatan kepada kita yang sering
lalai dan alpa.
Justeru, ayat-ayat al-Quran sendiri mengandungi teguran
dan nasihat. Bukan bererti ayat-ayat jenis teguran dan nasihat hanya ditujukan
kepada mereka yang melakukan kesalahan tetapi ianya adalah teguran dan nasihat
kepada semua tidak kiralah kepada mereka yang soleh ataupun sebaliknya.
Jelasnya, teguran kepada yang mereka yang melakukan
kesalahan bagi menegah mereka dari terus melakukan kesalahan yang sama dan
mengajak mereka supaya cepat-cepat menyesali perbuatan yang tidak baik itu
manakala teguran kepada orang yang soleh bertujuan agar mereka tidak sesekali terjerumus
ke dalam kesalahan seperti yang dilakukan oleh mereka yang bersalah walau
sekalipun mereka tidak melakukan kesalahan tersebut. Ianya seolah-olah menjadi peringatan
dan penghalang kepada kita dari melakukan perkara-perkara yang salah.
Tidak dinafikan bahawa kita mempunyai alasan terhadap
tindakan-tindakan kita. Justeru, teguran atau nasihat adalah untuk diterima
sekalipun kita berada di pihak yang benar. Bukannya meminta kita berhujah
membuktikan kebenaran. Lantas, setiap teguran itu perlu difahami, direnung dan
difikir dengan sebaik-baiknya dan sedalam-dalamnya bukannya dengan terburu-buru
sehingga kita mudah dipengaruhi dan dikuasai emosi.
Jadi bersangka baiklah dengan mereka yang menegur dan
menasihati kita. Jangan melihat kepada orang yang menegur dan menasihati kita
tetapi sebaliknya lihatlah kepada intipati teguran dan nasihat mereka itu. Jika
ada kebaikan untuk diri kita, kenapa tidak kita berlapang dada menerima teguran
dan nasihat itu dengan tanpa sebarang alasan untuk mempertahankan sebarang
pendirian sehingga kadangkala boleh mengeruhkan keadaan.
Bersyukurlah kepada Allah jika masih ada lagi mereka yang
sudi menegur dan menasihati kita kerana kita sebenarnya memiliki banyak
kelemahan dan kekurangan. Terkadang kita tidak mampu melihat kelemahan dan
kekurangan kita sehinggalah ada mereka yang sudi menegur dan menasihati kita.
Biarpun kadangkala kita merasakan segala tindakan yang
dibuat adalah benar tetapi pada pandangan orang lain ianya adalah sebaliknya.
Meskipun tindakan yang dibuat itu benar tetapi mungkin ianya tidak ataupun
kurang sesuai dilakukan dalam sesetengah keadaan. Justeru, teguran dan nasihat inilah yang sedikit
sebanyak membantu kita supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dalam tindakan
kita selepas itu.
Kita mungkin akan terus hanyut dengan tindakan kita yang
dirasakan benar sehingga menjadi kebiasaan dalam diri kita jika tanpa teguran dan
nasihat. Sekurang-kurangnya teguran yang pertama itu membuatkan kita berfikir
sejenak seterusnya mempertimbangkannya untuk kebaikan diri kita dan kebaikan
bersama.
Hari ini, kita berada di pentas rangkaian global dan talian
terbuka. Janganlah pula kita merasakan bahawa kita akan terselamat dari fitnah
yang rata-ratanya semakin berleluasa. Jadi, berhati-hatilah dalam tindakan kita
terutamanya di aliran massa yang kadang-kadang bisa mengundang fitnah tanpa
sedar disebabkan sikap keterbukaan kita yang keterlaluan di pentas massa.
Benar jika kita mengatakan bahawa mulut manusia mana
mampu ditutup dari berkata-kata yang tidak elok kepada kita tetapi sedarlah
bahawa kita juga mempunyai pilihan yang lebih baik dan lebih selamat. Bukankah
kita diajar dan diseru untuk memilih yang terbaik? Jadi, semuanya terpulanglah
kepada kita untuk membuat keputusan. Justeru, teguran dan nasihat itu hanyalah
benteng yang mencegah sesuatu yang lebih buruk daripada ianya berlaku.
Disebabkan kuasa memilih berada di tangan kita, maka pilihlah yang terbaik
untuk diri kita.
Jika sememangnya kita memilih untuk bebas berada di
pentas fitnah terbuka, janganlah pula kita sewenang-wenangnya menyalahkan
mereka yang menuding jari kepada kita dalam setiap tindak-tanduk kita.
Seharusnya kita sedar bahawa kita sebenarnya adalah pencetusnya! Kerana kita
dari awal lagi merelakannya meskipun kita tidak bermaksud sedemikian.
Berhati-hatilah dan berwaspadalah sentiasa dalam tindakan
kita dalam hidup ini. Cari, fikir, dan buatlah pilihan yang terbaik. Kita
dianugerahkan akal untuk berfikir dan hati untuk memahami. Jadi fikirlah
semasak-masaknya dan fahamilah sebaik-baiknya.
Catatan ini sekadar perkongsian kepada kita semua agar
kita lebih berhati-hati dalam perhubungan kita terutamanya di pentas talian
terbuka. Kita yang sering lalai dan leka sememangnya akan rasa terkejut dan
sedikit terkilan dengan teguran pertama. Ketahuilah bahawa di sebalik setiap
teguran pertama, kedua dan ke seterusnya itu, sepastinya mempunyai hikmah yang
tidak mampu kita ungkap dengan kata-kata. Kita sememangnya manusia dan
ketahuilah bahawa kita sering lupa kerana itulah fitrah kita. Jadi, kita layak
ditegur meskipun dari kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa!.
Teguran yang pertama, mengetuk beduk hati yang sering
leka, mencetus fikir yang lebih mulia!