“Selamat
Hari Guru, Cikgu!”
“Terima
kasih atas tunjuk ajarmu..”
Itulah ucapan yang pernah meniti
dibibir insan ini suatu ketika dulu. Meraikan hari guru buat warga pendidik di
sekolah. Jasa dan pengorbanan guru amat besar dalam mendidik anak bangsa. Siapa
pun kita pada hari ini, bermulanya dari didikan insan bergelar guru. Ya, guru-guru kita yang tidak jemu mengajar kita membaca, menulis dan mengira.
Coretan ini mampu ditulis juga kerana hasil didikan warga guru yang tidak jemu mengajar hingga berjaya. Terima
kasih cikgu! Istimewa ku bicarakan buat para murabbi yang telah banyak berjasa buat
diri ini. Tanpa mereka, siapalah insan ini pada hari ini.
Selembut bayu;
membelai tenang..
Selamat Hari Guru;
jasamu terus
dikenang..
Siapa pun yang pernah menjadi
guru kepada insan ini, terima kasih diucapkan atas segala ilmu yang disampaikan
kepada insan ini. Hanya Allah s.w.t yang mampu membalas jasa dan pengorbanan
kalian. Insan ini akan terus mendoakan kebaikan buatmu guru. Mudah-mudahan
segala ilmu yang dicurahkan menjadi bekalan yang berharga di akhirat nanti.
Justeru, terlalu banyak kenangan
bersamamu guru. Ianya menjadi ingatan saban hari dan waktu. Terasa bagai semalam,
aku bersamamu. Sungguh hati ini rindu saat-saat itu. Masih dahagakan
mutiara-mutiara ilmu yang keluar dari bibirmu. Kaulah insan istimewa yang
pernah hadir dalam hidup ini. Menabur jasa dan bakti hingga insan ini menjadi
seperti hari ini.
Hari ini, aku berada di tempatmu.
Merasai jerih lelah menjadi insan bergelar guru. Melayan karenah anak-anak
murid insan ini. Sebagaimana sabarmu guru, begitulah insan ini belajar erti
kesabaran. Meskipun adakalanya insan ini sering tewas dengan karenah anak-anak
didik insan ini. Namun insan ini perlu untuk terus belajar erti sabar yang
cukup indah.
Detik pertama menjadi guru
sepastinya tidak akan insan ini lupakan. Meskipun hanya bergelar guru ganti
ketika itu. Itulah permulaan tugas sebagai pendidik. Detik-detik mengajar pelajar-pelajar
generasi pertama insan ini akan menjadi kenangan buat selama-lamanya. Merekalah
generasi yang mula-mula melaungkan “Terima kasih, cikgu!” dalam versi yang
berbeza namun maksudnya seiras sama.
Bertalu ucapan selamat;
terima kasih kerana ingat..
Dengan sekelumit kudrat;
menjadi bekalan ke
akhirat..
Kini, “Selamat Hari Guru!”, “Terima
kasih, Cikgu!” bakal menemani perjuangan insan ini dalam kehidupan ini. Seakan
tidak percaya insan ini kini bergelar guru. Terima kasih atas ucapan dan
ingatan buat insan ini. Terima kasih buat adik-adik pelajar generasi pertama
insan ini dan juga anak-anak murid diri ini pada hari ini.
Buat semua yang bergelar guru. “Selamat
Hari Guru!” Istimewa buat kita semua..