Saturday, April 20, 2013
Friday, April 12, 2013
Hulur pemberian, nikmati perkongsian..
“Bukan
banyak pun nilainya, tidak semahal nilai ukhuwah yang ada..”
“Terimalah seadanya, rezeki kamu. Bahagian saya tetap
ada.. Insya-Allah..”
Seringkali kita mengelak daripada
menerima sesuatu pemberian daripada orang lain. Mungkin pada saat itu, kita
tidak memerlukannya kerana kita tahu kita masih punya. Ataupun kita merasakan
bahawa kita lebih berada daripada insan yang memberi.
Janganlah begitu wahai teman.
Terimalah pemberian itu biarpun pada saat itu kita masih punya atau sekalipun
kita tidak berhajat kepadanya. Tidak akan jatuh martabat kita, tidak akan
hilang maruah kita jika kita menerimanya. Justeru, kita telah meraikan perasaan
orang yang memberi. Berilah peluang untuk orang lain berbuat kebajikan kepada
kita kerana memberi itu merupakan salah satu sunnah yang amat digalakkan.
Usahlah dilihat dan dihitung
berapa nilainya kerana bukan kita yang berhak menilainya. Biarpun rasa berat
namun raikanlah nilai ukhuwah yang ada di sebaliknya. Lumrah hidup berukhuwah,
adakalanya kita memberi, adakalanya kita diberi. Ada ketikanya kita menghargai,
ada ketikanya kita dihargai. Ada waktunya kita membantu, ada waktunya kita
dibantu. Justeru, begitulah keindahan yang wujud dalam ukhuwah kita. Ya, dengan
adanya sebuah perkongsian.
Maka bersyukurlah kepada Allah
yang memberikan kita rezeki-Nya sekalipun tanpa usaha kita. Biarpun kita tidak
pernah meminta dan berhajat kepadanya. Justeru, percayalah bahawa rezeki Allah
itu sangatlah luas dan ianya datang dari pelbagai sumber yang sukar untuk
dijangka. Kerana rezeki itu adalah dalam rahsia Allah Yang Maha Kaya. Dia telah
menentukan kadarnya untuk setiap makhluk-Nya.
Raikanlah ukhuwah dengan cara
kita masing-masing. Agar dengannya dapat mewujudkan kemesraan dan kasih sayang
yang berpanjangan. Justeru, membina ukhuwah itu amat mudah. Dengan hanya
menyebarkan salam, kita dapat mewujudkan suasana ukhuwah. Namun untuk
menjadikan ukhuwah itu lebih berharga bukanlah semudah membina ukhuwah. Untuk
itu, ia memerlukan pengorbanan dan komitmen yang berterusan.
Binalah ukhuwah dan hargailah
ukhuwah. Ianya terlalu indah jika kita berusaha mengindahkannya. Dari ukhuwah
yang biasa-biasa mampu menjadi luar biasa. Erat dan akrab, kita sendiri yang
mencetuskannya. Kita mampu melihat dan lebih penting daripada itu, kita mampu
merasakannya. Justeru, kita yang mencorak ukhuwah kita, jadi rasanya lebih
indah jika kita yang mewarnainya. Jadi, warnailah dengan warna-warni yang penuh
ceria agar kita beroleh bahagia.
Secicip rezeki kita, Allah jua
yang memberinya!..
Subscribe to:
Posts (Atom)