“Dia
minta PUTUS...”
“Hubungan kami… TAMAT!!!”
Bersabarlah wahai teman. Sekalipun pahit terpaksa ditelan. Allah
sedang menguji dirimu. Mungkin dia bukan yang terbaik buatmu, mungkin dia mahu
menghadirkan insan yang lebih baik buatmu. Insan ini mengerti sekalipun tidak
pernah mengalami situasi sedemikian. Betapa pahitnya bila sebuah harapan dan
impian yang kita idamkan, musnah dalam sepatah kata, hancur dalam sekelip mata.
Insan ini tidak mampu berbuat apa-apa. Sayu telinga mendengarnya, pasti
berat lagi bebanan rasa di hatimu. Hanya mampu berdoa mudah-mudahan dirimu
diberi kekuatan dalam menerima kenyataan yang amat perit itu. Begitulah situasi
cinta sesama makhluk-Nya, ada pasang dan surutnya. Sekalipun kelihatan baik
pada awalnya, usah terlalu ghairah
dengan tipu dayanya. Kerana hati manusia hakikatnya sering berbolak-balik.
Mungkin belum tiba masanya buatmu untuk memiliki yang sebenar-benar cinta. Mungkin sedikit masa lagi, ia akan bertamu. Justeru, jangan terlalu
bersedih. Yakinlah bahawa bila tiba masanya nanti pasti ianya akan datang jua.
Justeru cintailah Dia dan raihlah cinta-Nya. Agar dengan mencintai-Nya, dirimu
tidak tenggelam dalam amukan cinta manusia. Jika cinta Allah s.w.t menjadi
tunjang, usahlah dibimbangi cinta sesama insan. Dialah pemilik cinta sejati. Semuanya
adalah milik-Nya.
Tanpa cinta manusia, kita tetap akan mampu bahagia. Tapi tanpa cinta
Allah, mampukah kita beroleh ketenangan jiwa? Justeru, Allah sedang berbicara
denganmu perihal cinta, perihal jodoh serta perihal-perihal selainnya. Dia yang
lebih mengetahuinya. Kita sekadar merancang, tetapi Dialah yang menentukan
segala-galanya. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Setinggi mana pun harapan dan impian kita, jika ia telah ditakdirkan
bukan milik kita, pasti akan ada rintangan yang menjelma. Itulah dugaan hidup,
ujian buat hamba-Nya. Bersabarlah dan tabahlah dalam menghadapi dugaan
tersebut. Sekalipun ada masanya kita tidak kuat, sekalipun ada ketikanya
mengundang airmata, namun jangan kita lupa bahawa Dia masih ada. Dia Maha
Mendengar, rintihan hamba-Nya. Justeru itu, mengadulah kepada-Nya.
Insan ini tidak layak berbicara tentang rasa cinta dan kasih sayang. Berbicara
tentang rasa terluka, rasa kecewa. Siapalah insan ini, terlalu mentah dengan
pengalaman rasa indah sebegitu. Namun, mustahil insan ini tidak pernah rasa
kecewa, rasa terluka sekalipun mungkin situasinya berbeza. Dari situ, insan ini
belajar, cinta itu apa yang kita sentiasa beri dengan harapan dan kehendak
kita, bukanlah bererti kita sentiasa akan menerimanya sebagaimana harapan atau
kehendak kita.
Cinta itu buta. Sekalipun kita nampak ianya bagai kisah cinta antara dua
benua, mungkin kita tidak nampak durinya yang berbisa. Kita mungkin rasa
bahagia seketika, bila ujian melanda, barulah teruji segala rasa. Lumrahnya
kita akan rasa kecewa dan terluka. Ada juga hingga mengundang airmata. Hibanya
rasa. Lebih-lebih lagi jika kita seorang yang setia, bukannya seorang ‘buaya’. Kita
dihambat rasa duka, saratnya membeban jiwa.
Justeru, bersabarlah dan kembalilah bercinta dengan-Nya. Mungkin cinta
itu telah lama terpinggir. Ujian cinta itu, untuk kita semakin hampir, semakin akrab
dengan pemilik segala cinta. Ujian rasa itu, jika ianya melanda tetap ada hikmahnya
yang sebenar-benar berpihak kepada kita jika kita sabar menelitinya. Allah tidak
pernah melupakan hamba-Nya tetapi kitalah yang seringkali melupakan-Nya.
Semoga Allah sentiasa merahmatimu dan melindungimu wahai teman..
Ketika cinta teruji, pasrahlah dengan ketentuan Ilahi!