Masa pantas berlalu. Terasa sekejap sungguh, tiga minggu berada di halaman bonda. Keadaan cuaca musim tengkujuh yang sering hujan menyebabkan tidak banyak aktiviti yang dapat dijalankan insan ini. Gerimis hati mencari erti. Kadang-kadang terasa amat bosan berada di kampung pada musim sebegini. Namun tetap bersyukur kerana dapat menikmati percutian di kampung halaman selepas terbeban dengan tugasan yang bertimbun-timbun yang masih belum selesai lagi sehingga kini.
Terdetik rasa
hati. Apakah makna percutian pada kali ini buat insan ini? Terasa amat kosong
daripada pengisian yang mampu memberikan seribu erti dalam hidup ini. Bukan
tiada langsung tapi tidak terasa pengisian tersebut. Mungkin faktor cuaca
agaknya dan mungkin tiada apa-apa lagi yang menarik untuk diteroka dewasa ini.
Nostalgia
masa lalu..
Terimbau zaman
kanak-kanak yang lalu, seronoknya bermain air ketika musim bah melanda.
Aktiviti yang boleh dikatakan dilakukan setiap hari. Mandi-manda, berenang gaya
bebas, dan bermain pelampung besar, berakit di kawasan baruh yang berhampiran.
Seronoknya zaman itu. Sampai menggigil-gigil kesejukan akibat bermain air.
Kini, zaman itu
sudah berlalu. Bukan tidak boleh dicipta lagi tetapi bukan masanya untuk meneruskan
aktiviti seperti itu. Banyak komitmen lain yang perlu diutamakan. Cukuplah
berasa seronok melihat gelagat budak-budak yang begitu teruja bermain air di
halaman rumah. Mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak yang lalu.
Buku minda
ilmu..
Mujur jugalah
ada buku-buku yang dapat dibaca saat berada di rumah. Membaca menjadi hobi
sejak dahulu. Rela pula insan ini berhujan semata-mata ingin membeli buku-buku
baru di pasaran. Ya, bagi menambahkan koleksi buku-buku di rak buku yang
terdapat di rumah. Juga menambahkan ilmu pengetahuan buat insan ini. Membaca
buku bagaikan membaca pemikiran penulis dan mengikuti kisah-kisah yang dapat
dicungkil hikmah dan pengajaran buat diri. Buku itu minda ilmu yang menyimpan
hikmah dalam bentuk aksara. Sekurang-kurangnya masa tidak banyak terluang kosong
begitu sahaja. Tanpa apa-apa manfaat yang dapat diperolehi.
Pertemuan dan
kerinduan..
Kita hanya
merancang, tuhan menentukan segala-galanya. Bukan apa, sesekali pulang ingin
juga bertemu teman-teman di perjalanan. Namun apakan daya, ingatkan sudah mendekat
namun tetap menjauh di serata penjuru. Bukan tiada, tetap ada pertemuan ukhuwah
bersama sahabat-sahabat seperjuangan, namun terasa tidak lengkap pula tanpa
pertemuan dengan mereka yang sering hadir pada setiap kali kepulangan.
Redha dan
pasrah. Mungkin itu ‘latihan awal’ untuk masa depan yang tidak dapat dijangka.
Mungkin tersirat jutaan hikmah sebagai persediaan bagi menempuhi hari-hari
mendatang. Rindu. Hati ini terasa ianya hadir menyapa dinding lembut hati ini.
Biasalah bila berjauhan dan pula bila berlama-lama, meskipun sudah berdekatan
yang tetap berjauhan. Pelik sungguh bahasa ini.
Semoga
berbahagia ke akhirnya..
Selamat
menempuhi hari bahagia buat sahabat seperjuangan, saudara Mohd Nasruddin Bin
Loman dan isterinya yang melangsungkan perkahwinan pada 22.12.2012 yang lalu.
Semoga berbahagia hingga ke akhirnya. “Barakallahu laka wa baraka ‘alaika wa
jama’a bainakuma fi khoir.” Selamat menempuhi masam-manis kehidupan
berumahtangga dengan penuh kerukunan dan ketabahan. Mudah-mudahan ianya dapat
meningkatkan rasa takwa kepada-Nya.
Ramai yang sudah
mendirikan rumah tangga. Yang lainnya bakal menyusul nanti, insya-Allah.
Termasuklah juga insan ini. Doa-doakan kami yang belum ini semoga dipermudahkan
segala urusan ke arah melaksanakan tuntutan sunnah Nabi Muhammad s.a.w dan juga
saranan Allah s.w.t yang termaktub dalam Kitab Suci Al-Qur’an dan Al-Sunnah.
Teruskan
perjuangan..
Kembali ke medan
perjuangan membawa kenangan dan rasa rindu berpanjangan buat warga di halaman
bonda. Bumi Sarawak ini, tanah ketentuan-Nya buat insan ini mencari cicipan
rezeki bagi membina dan meneruskan kehidupan. Sehingga berjumpa lagi di lain
ketika jika diizinkan Allah Yang Maha Kuasa. Selamat berjuang buat semua..
Gerbang baru
kehidupan, bilakah akan tibanya giliran? Pasrah ketentuan!
No comments:
Post a Comment