Saturday, July 21, 2012
Saturday, July 14, 2012
Sekadar pandangan pada pertanyaan..
“Aku rimas laa bro..”
“Aku tidak minta dia hadir dalam hidupku..”
Begitulah luahan seorang teman melalui saluran mesej yang hadir di
paparan skrin telefon bimbit insan ini. Rimas dengan seseorang yang hadir dalam
hidupnya seolah-olah sedang mengganggu suasana aman dan tenteram sekeping
hatinya saat ini. Kasihan juga padanya sehingga terpaksa mengadu pada insan
ini. Namun apalah sangat yang dapat dibantu oleh insan yang dijadikan sebagai
tempat mengadunya saat ini. Sekadar hanya mampu untuk cuba memahami situasi
yang melanda dirinya ketika ini menerusi apa yang diluahkannya dalam untaian
SMS tersebut.
Pernahkah seseorang hadir dalam hidup kita dengan menampakkan kebaikan
di luar jangkaan kita sedangkan kita tidak mengharapkan apa-apa pun daripadanya?
Mungkin pernah bukan. Atau mungkin juga tidak. Ianya berlaku bukan sekali
tetapi berterusan biarpun kita seringkali menolaknya. Sekalipun antara kita
dengannya tiada apa-apa hubungan yang boleh dianggap sebagai hubungan istimewa.
Tentu sekali ianya membuatkan kita rasa kurang selesa dengan tindakannya yang
sebegitu kepada kita.
Mungkin itulah yang sedang mengganggu fikiran dan kehidupan teman
insan ini pada ketika ini melalui apa yang dikhabarkannya sebelum ini. Susah
juga hendak dibalas insan ini terhadap mesej tersebut. Bagaimana harus
difikirkan penyelesaiannya? Bukan jawapan yang mampu diberikan kepadanya tetapi
sekadar sedikit pandangan dan nasihat sebagai panduan menghadapi situasi yang
sedang melanda.
“Hargailah kebaikannya sekadar yang mampu..”
“Menghargai tidak semestinya kita mesti terima dia untuk diri kita.
Tapi kita menggelakkan diri dari membuatkan dia rasa terhina..”
Antara isi balasan mesej buat teman kepada insan ini. Ya, hargailah
kebaikannya sekadar yang kita mampu. Bersyukurlah kita kerana dia memberikan
kebaikannya dan bukannya berbuat jahat kepada kita. Menghargai pemberiannya
bukan bermaksud kita mesti terima dia untuk diri kita kerana kita harus memilih
untuk itu. Tetapi jangan sesekali kita menghina pemberiannya atau dirinya kerana
hanya atas alasan kita tidak suka dia ataupun dia bukan pilihan kita.
Pernahkah kita meletakkan diri kita di tempatnya? Kita tidak akan
faham selagi mana kita hanya mahu menjadi diri kita. Yang pastinya, tidak semua
orang mampu berbuat baik kepada kita di luar jangkaan kita. Justeru, hargailah
kebaikannya itu. Kita tidak tahu bila lagi kita akan berjumpa dengan insan yang
baik sepertinya sekalipun masih ramai tapi belum tentu terjamin kebaikan
insan-insan itu buat kita. Hakikatnya, mampukah diri kita jadi dia atau jadi
seperti dia? Cuba tanya diri kita. Tidak mudah bukan?
“Kamu bertuah bertemu dengan insan seperti dia sedangkan saya belum
tentu dapat apa yang kamu dapat..”
“Biarpun dia pada kamu hanya teman biasa, tapi mungkin di sisi yang
lain dia seorang yang istimewa..”
Secebis nasihat buat teman di perjalanan. Ya, kita tidak tahu. Jika kita
melihat seseorang dengan pandangan bahawa kita tidak menyukainya. Bererti kita
telah manafikan ketulusan dan keikhlasannya. Kita tidak akan nampak bahawa
ianya kebaikan tetapi kita akan melihatnya dari sudut yang berlainan yang
kebanyakannya dari sudut negatif. Kita rasa rimas, tidak selesa, ingin lari
daripadanya dan banyak lagi. Itulah pandangan kita kepada sesuatu yang kita
tidak suka. Betul bukan?
Berbeza pula dengan apa yang kita suka. Seandainya insan itu seorang
yang kita sukai, kita cintai dan kita senangi, sepastinya senario pandangan
kita turut akan berbeza. Sudah tentu ianya pasti. Kita impikan kebaikannya
berterusan kepada kita. Sebabnya kita suka. Di situ nampak kita terlalu positif
menerima segala kebaikannya walaupun cuma sedikit. Itulah bezanya di sini atas
kecenderungan kita menilai kebaikan seseorang berdasarkan siapa dia kepada
kita.
Pada kamu insan itu sebagai teman biasa. Tapi kita tidak tahu
pandangan orang lain terhadapnya. Dia mungkin dianggap istimewa di mata orang
lain. Jadi, jangan sesekali membuatkannya rasa terhina. Biarkanlah dia dengan
kebaikannya yang sememangnya kamu mungkin tidak mampu memilikinya dari insan
yang kamu sukai dan cintai. Terimalah dengan hati yang terbuka segala kebaikan
daripadanya. Seelok-eloknya anggaplah kehadirannya dalam hidupmu merupakan satu
kurniaan Allah s.w.t kepadamu.
Kamu bertuah kerana kehadirannya sedangkan saya belum tentu
mendapatinya dalam hidup saya. Justeru, fikir-fikirkanlah sebaik-baiknya dalam apa
jua tindakan kamu dalam menghadapi situasi yang melanda hidupmu. Biarpun
sekadar teman biasa, usah bertindak bersulam hina. Sekalipun dia menganggapmu
istimewa bersama jutaan harapan yang terpendam namun tidak pula dia membicarakan
dan meluahkan ataupun dia mungkin hanya mahu melihatmu dalam
kebahagiaan atau sekadar mengenalimu sebagai teman, kawan, rakan dan taulan.
Terimalah dengan hati terbuka lebih baik daripada membalas hina!!!
Subscribe to:
Posts (Atom)